Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) optimis melahirkan keyakinan bakal menghimpunkan lebih 200 orang mahasiswa dalam himpunan perdana 'Walk For Election 2012 (W4E'12) Khamis ini.
Ketua Pengarah program Ahmad Afif bin Zulkepli memaklumkan, sehingga petang semalam beliau telah mendapat respon lebih 5 buah persatuan mahasiswa yang menyatakan komitmen untuk turun bersama-sama himpunan W4E'12.
"Ada di antaranya menghantar emel dan 'private message' (PM) di Facebook (bertanyakan) fasal program ini.
"Tapi suka untuk saya maklumkan, sesiapa saja boleh hadir; tidak kisah GM atau Aspirasi; minat berpolitik atau tidak.
"Apa yang penting, ingat tema program kita; Kami Sayang UKM. Maka sesiapa yang sayang akan UKM, berhak dan harus hadir bersama-sama mahasiswa lain," jelas Afif yang juga merupakan mahasiswa Fakulti Sains & Teknologi tahun 2.
'Walk For Election' promosi politik nilai
Untuk makluman, Walk For Election 2012 (W4E'12) bermatlamat memberi kesedaran kepentingan proses demokrasi yang berjalan dengan telus dan integriti dalam kampus selain memberi pendidikan politik nilai yang menolak sentimen yang sempit dan tidak memberi keuntungan kepada mana-mana pihak.
Antara aktiviti menarik yang telah dirancang oleh urusetia W4E'12 termasuklah persembahan khas bertemakan apresiasi budaya warga UKM dan 'sketch' lakonan oleh jemputan khas GMUKM.
Turut disediakan ruang untuk sudut pidato kepada hadirin yang berminat menyampaikan pengucapan awam.
Menurut Afif lagi, aktiviti mengecat sepanduk akan dilakukan sebagai simbolik kesepaduan mahasiswa dalam menuju fasa pilihanraya kampus.
"Kita masih lagi membuka ruang kepada mana-mana persatuan (mahasiswa) untuk turun bersama-sama nanti (Khamis).
"Sama ada anda penyokong GM atau Aspirasi, 'just' turun sahaja!"
0 comments:
Post a Comment