Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Sunday, March 18, 2012

"Kenapa takut berdebat ?" - Datuk Saifuddin Abdullah

Alasan 1: Tiada apa hendak didebatkan.
Jawapan 1: Takkanlah tokoh politik tidak punya idea. Banyak perlu didebatkan, contohnya dalam bidang politik apakah politik baru, transformasi politik, inovasi demokrasi dan pemikiran politik progresif untuk masa depan? Bidang-bidang lain juga ada isu yang wajar didebatkan.

Alasan 2: Tidak perlu debat, ucapan mencukupi.
Jawapan 2: Ramai boleh berucap. Adakalanya teks ucapan disediakan orang lain dan yang menyampaikannya tidak fahampun kandungannya. Kekurangan ucapan ialah idea itu tidak dapat diuji kebenaran dan kekuatannya. Sebaliknya, melalui debat, pendebat bukan sahaja perlu menyampaikannya, tetapi lebih penting lagi perlu mempertahankannya.

Alasan 3: Ia lebih banyak keburukan daripada kebaikan.
Jawapan 3: Ia menimbulkan keburukan jika tidak dilaksanakan dengan bijaksana. Sebenarnya, ia lebih banyak kebaikan sebab itu ia sebahagian daripada pendekatan dakwah Islamiah, iaitu seperti yang dicatat dalam al-Nahl:125, “...berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik”.

Alasan 4: Ia menyebabkan lawan memanipulasi masalah kita.
Jawapan 4: Pertama, siapa suruh mendebatkan masalah kita? Kedua, memang kerja lawan memanipulasi kita, tidak kira diadakan debat ataupun tidak, dan ketiga, debat adalah gelanggang untuk menunjukkan kebaikan kita.

Alasan 5: Tidak perlu ikut format debat pemilihan Presiden Amerika Syarikat.
Jawapan 5: Siapa kata mesti ikut format itu? Terdapat banyak format debat. Peserta boleh menentukan formatnya.

Alasan 6: Rakyat belum bersedia.
Jawapan 6: Rakyat telah lama bersedia. Rakyat inginkan keterbukaan dan ketelusan, pemimpin yang berilmu dan artikulatif, yang punya pendirian serta pandangan, dan bukannya sekadar pandai mengampu dan meraih undi semata-mata. Soalnya ialah adakah tokoh politik telah bersedia?

Alasan 7: Debat bukanlah jawapan kepada masalah negara. Apa yang penting ialah usaha membangun negara.
Jawapan 7: Siapa kata debat adalah jawapannya? Cuma ia adalah satu daripada jalan terbaik untuk mendapatkan jawapannya.

Alasan 8: Kita perlu pemimpin yang pandai bekerja dan bukannya hanya pandai berdebat.
Jawapan 8: Siapa kata kita hendak pemimpin yang hanya pandai berdebat? Adakah pemimpin yang pandai berdebat tidak pandai bekerja? Adakah pemimpin yang tidak berdebat semestinya pandai bekerja? Pandangan ini adalah pelarian daripada realiti bahawa antara kualiti pemimpin yang baik ialah kebolehannya berhujah. Kerana ia mencerminkan pemikirannya yang rasional dan kritis. Bukankah lebih baik memiliki pemimpin yang pandai kedua-duanya, iaitu berhujah dan bekerja?

Alasan 9: Debat di dewan legislatif memadai.
Jawapan 9: Agenda dewan legislatif mengehadkan peluang untuk debat yang sepatutnya. Lagipun, dunia demokrasi hari ini tidak terhad kepada dewan legislatif semata-mata.

Alasan 10: Debat bukan budaya kita.
Jawapan 10: Kalau begitu, tidak perlulah mengamalkan demokrasi!


Berikut merupakan hujah Datuk Saifudin Abdullah apabila 10 alasan diberi apabila soal debat diajukan.

Jawapan tersebut telah disiarkan di Sinar Harian pada awal bulan ini.

"Ia peluang untuk mencetuskan idea yang bernas dan mempertahankannya dengan cerdas. Rakyat akan menilai.

"Namun, terdapat mereka yang menolak debat. Tidak mengapa jika tidak ingin berdebat kerana itu pilihan masing-masing, tetapi usahlah menolaknya bulat-bulat," kata beliau dalam tulisan itu.

Awal bulan lalu mendapati kajian pendapat yang dilakukan oleh Merdeka Centre melaporkan, majoriti anak muda negara ini mahukan debat antara Najib dan Anwar.

Golongan paling tinggi menyokong menurut kajian itu adalah golongan muda yang berumur 21 hingga 30 tahun iaitu sebayak 67 peratus.

Mereka masing-masing mahu melihat kedua-dua tokoh politik tanah air itu mengutarakan 'idea dan dasar' masing-masing kepada rakyat.

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !