Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Sunday, April 8, 2012

Benarkah PTPTN boleh dihapuskan ?



Isu pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) yang heboh diwar-warkan di media arus perdana dan maya sepanjang minggu lalu agak menggamatkan politik negara.

Di pihak Pakatan Rakyat yang menjanjikannya, diketuai Ketua Pembangkang DS Anwar Ibrahim giat mencanangkan janji-janji PR menerusi ceramah-ceramah penerangan dan rakaman-rakaman video untuk dipaparkan di media alternatif.

Manakala di pihak kerajaan yang dikuasai Barisan Nasional yang semestinya menguasai media massa arus perdana pula tekad menafikan setiap satu hujah yang dikemukakan Pakatan Rakyat.

Persoalannya, adakah benar PTPTN boleh dihapuskan ?
'Hapus PTPTN, janji orang politik'

Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) enggan menyokong atau menolak hujah-hujah yang telah diperincikan, tetapi berminat untuk mengajak rakan-rakan meneliti hujah-hujah yang dikemukakan.

Bak kata bekas Ketua Penerangan GAMIS, saudara Mohd Yusof Hadhari "Zaman sekarang adalah tidak lagi bahawa 'politik janji', tetapi ia adalah mengenai politik fakta dan bukti," katanya dalam menggesa PR segera berikrar untuk memansuhkan PTPTN dengan memperincikan butir-butir pelaksanaannya seperti capaian berikut.

Beliau turut mengingatkan tidak semua anak muda akan yakin dengan janji tanpa fakta dan bukti. Maka pihak yang menawarkan janji (PR) jangan ingat orang ramai mudah terpengaruh dengan janji yang dibuat dan tidak peduli bagaimana mereka hendak melaksanakannya.

"Maka dicadangkan adalah lebih baik kiranya Pakatan Rakyat turun bertemu anak muda bagi membincangkan soal cadangan perlaksanaan. Mungkin dengan memanfaatkan keuntungan Petronas, yang melebihi RM90 bilion setahun. Atau jika debat antara Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri dapat di laksanakan mungkin boleh di masukkan isu PTPTN sebagai isu penting perbahasan debat," tambah beliau.

Husam Musa, Anwar Ibrahim beri penjelasan

Negeri Kelantan yang diterajui YAB Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat telah awal-awal lagi mengemukakan manifesto mahu hapus hutang PTPTN bagi hampir 93 ribu orang anak-anak kelahiran Kelantan.

Ini ditegaskan oleh Exco kanan kerajaan negeri Kelantan Datuk Husam Musa yang juga merupakan Naib Presiden PAS awal tahun ini dalam suatu konvensyen di Alor Setar.

Kerajaan Negeri Kelantan juga katanya telah digerakkan untuk mengenalpasti senarai peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sejak 2005, untuk dihapuskan hutang mereka jika Pakatan Rakyat menerajui Putrajaya.

Katanya, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah diarah untuk mengumpul data mereka yang terlibat.

Negeri lain saya tidak tahu, tetapi di Kelantan kita mempunyai royalti minyak dan ia membolehkan hutang berkenaan dihapuskan,” kata beliau ketika ditanya wartawan dalam satu sidang media selang beberapa hari selepas pengumuman awal berkaitan penghapusan PTPTN tersebut.

Janji tersebut diulangi sekali lagi pada awal bulan April ini oleh Ketua Pembangkang dalam satu siri ceramah berkaitan.

DS Anwar juga dalam nada menyindir berkata, "Lihat sahaja hasil minyak RM90 billion, dana lembu (NFC) RM250 juta, kapal terbang (MAS) RM890 juta, itu tidak dikira dengan ketirisan kewangan negara menurut Ketua Audit Negara dalam setahun RM21 billion.

"(Maka) Bagaimana (DS) Najib katakan kerajaan tidak mampu selesaikan kos PTPTN RM43 billion?"

Sambil merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dimaksudkan, jumlah ketirisan yang berlaku di seluruh agensi kerajaan berjumlah RM21 billion.

Manakala menurut kenyataan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 7 April 2011, untuk tahun 2010, PTPTN telah meluluskan sejumlah 238,722 bilangan pinjaman dengan peruntukan sebanyak RM6.04 bilion. Ini boleh dirujuk kepada laporan agensi berita BERNAMA yang bertarikh 8 April 2011.

Maka mengikut logik dengan fikiran rasional, seandainya sejumlah RM21 billion ketirisan yang berlaku dalam pelbagai agensi seperti yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara dapat dielakkan, adakah tidak mustahil wang ini dapat digunakan untuk menampung secara percuma pendidikan rakyat Malaysia di peringkat tinggi yang hanya berjumlah RM6.04 billion?

Turut ditambah, jumlah RM43 bilion yang disebut oleh Perdana Menteri juga adalah tidak benar dan mengelirukan.

Ini kerana, dengan jumlah peminjam seramai 1.9 juta orang, maka jumlah keseluruhan pinjaman yang dikeluarkan sejak ia mula dikeluarkan sehingga akhir 2012 sepatutnya hanya berjumlah RM28 bilion.

Jumlah RM43 billion itu tidak tepat, sebab jumlah itu adalah jumlah termasuk bunga (faedah) yang dikenakan dari setiap pelajar.

Sebagai contoh, fakta pinjaman PTPTN sebanyak RM1,000 bila dikenakan faedah ke atasnya, peminjam perlu bayar sekitar RM5,000. Jadi inilah cara bagaimana jumlah itu boleh dilipat ganda menjadi RM43 billion,”

Pemimpin PR itu turut menambah, jumlah keseluruhan RM28 bilon sehingga akhir 2012 tidak semestinya dilunaskan serta merta keseluruhannya sebaik Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa.

Ini berdasarkan perkiraan dan budi bicara yang dilakukan di antara kerajaan persekutuan yang memerintah dan agensi-agensi kementerian yang berada di bawahnya.

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !