Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Monday, April 30, 2012

BERSIH 3.0 : Harapan untuk satu perubahan


Peserta BERSIH duduk bantah

Himpunan BERSIH 3.0 menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan anak muda. Baik penyokong kerajaan Malaysia mahupun pembangkang, masing-masing mengemukakan pendirian dan pandangan.

Bersih 3.0 tidak dapat dipisahkan lagi dengan slogan “Duduk Bantah”. Dalam pada itu, Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) membuat beberapa tinjauan dan pemerhatian terhadap pandangan serta komen daripada rakan-rakan mahasiswa di laman sosial, Facebook.

GMUKM mengharapkan agar Pilihan Raya Umum ke-13 yang bakal diadakan ini bersih daripada sebarang unsur negatif, berat sebelah dan sebagainya. Oleh itu, GMUKM bersetuju dengan 8 tuntutan yang dikemukakan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) terhadap sistem Pilihan Raya di Malaysia.


Kecewa dengan kejadian yang berlaku

GMUKM melahirkan rasa simpati di atas perkara yang menimpa peserta-peserta himpunan aman BERSIH 3.0. Perhimpunan ini bermula dengan keadaan yang aman, namun berakhir dengan peristiwa gelap.

Kekecohan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur menyaksikan ribuan peserta BERSIH diasak dengan kerenah provokasi. Dalam pada itu, polis mengambil tindakan dengan melepaskan gas pemedih mata beserta air campuran bahan kimia bagi menghuraikan keadaan.

GMUKM turut menegaskan bahawa kami tidak menyebelahi mana-mana pihak. GMUKM berdiri atas kapasiti mahasiswa yang memperjuangkan prinsip keintelektualan. GMUKM menyelar tindakan polis di atas kapasiti mahasiswa yang benci terhadap kezaliman. Mahasiswa yang benci terhadap penyelewengan. Mahasiswa yang benci terhadap kebatilan.

Walaubagaimanapun, GMUKM kesal terhadap tindakan sebahagian demonstran yang bertindak di luar kawalan. Media arus perdana pada hari ini dilihat berlaku tidak adil. Hanya aksi yang melibatkan tindak balas daripada peserta BERSIH terhadap polis disebar bagaikan tiada penamatnya.

Walhal, suasana tersebut hanya dilihat setelah peserta BERSIH berhimpun hampir 10 jam, bermula semalam. GMUKM kecewa dengan tindakan ini. GMUKM berpandangan bahawa berita yang rancak dimainkan oleh media arus perdana ini hanyalah 10 % daripada suasana sebenar perhimpunan aman BERSIH.

Pelbagai saluran alternatif mampu diperoleh daripada pelbagai sumber. Namun, saluran alternatif ini hanya mampu diperhatikan oleh rakyat yang berada di kawasan bandar. Kasihan kepada golongan luar bandar, melihat perkara yang negatif belaka.

Fokus!

GMUKM menyeru kepada rakan-rakan mahasiswa untuk tidak terpedaya dengan pelbagai kerenah serta persepsi luar. Malah selaku orang biasa, pasti menginginkan semua perkara bersih daripada pelbagai unsur negatif.

GMUKM mengharapkan pihak berwajib untuk mengambil perhatian serius terhadap isu BERSIH ini. Mesej  yang ingin disampaikan sudah jelas, bahawa peserta yang hadir mengharapkan perubahan terhadap sistem pilihan raya di Malaysia.

Isu peserta BERSIH berlaku liar, isu polis berlaku ganas bukan isu pokok. Berita peserta BERSIH menerajang perut anggota polis, berita polis menumbuk muka peserta BERSIH bukan isu yang perlu ditekankan oleh media.

Perkara ini harus jelas dalam minda setiap peringkat masyarakat. Namun, GMUKM khuatir sekiranya tiada tindakan lanjut dilakukan, sesuatu yang sukar digambarkan pasti mengubah suasana politik demokrasi di Malaysia.

Harapan yang perlu dilaksanakan, harapan untuk satu perubahan. Perubahan terhadap sistem pilihan raya.

Ber-GM Lebih Baik!

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !