Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Monday, June 13, 2011

Kertas Kerja : PERANAN MAHASISWA, POLITIK DAN IDEALISME

Kebakaran di Dewan Tunku Canselor pada 29 Jun 2001 berserta dengan penangkapan dua orang pemimpin pelajar di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah menyebabkan seluruh negara hangat berbincang mengenai mahasiswa. Beberapa pemimpin kerajaan melaungkan amaran terhadap mahasiswa - tumpukan pelajaran dan jangan pedulikan politik. Sememangnya, pihak `establishment' kurang berminat akan pelajar yang terlibat dengan aktivisme. Ini kerana dengan pemerintahan pihak kerajaan takut akan golongan muda yang terdidik yang berani bersuara menentang corak pemerintahan yang mereka amalkan.

Sikap reaksionari ini sudah dari dahulu kala mengiringi pemerintah - pemerintah di dunia ini. Golongan mahasiswa mewakili golongan muda yang enlightened - berilmu kerana mendapat peluang pendidikan di menara gading, disamping memilikki darah muda yang berani, idealistik dan tidak dipengaruhi pelbagai kepentingan sebagaimana graduan yang telah lama meninggalkan universiti. Universiti diiktiraf sejagat sebagai pusat ilmu yang terunggul bagi mana - mana masyarakat. Universiti sama ada di Cordova dan Al-Azhar bagi masyarakat Islam, ataupun universiti-universiti di Oxford dan Bologna di Eropah menjadi simbol keunggulan ketamadunan bangsa di mana berdirinya universiti-universiti tersebut. Namun universiti menjadi simbol keunggulan ilmu dan ketamadunan sesuatu budaya bukanlah kerana menjadi tempat untuk mendapat segulung ijazah semata-mata -universiti mempunyai peranan yang jauh lebih besar. Setiap kali masyarakat memerlukan pimpinan yang berani menyuarakan kebenaran - ketika pihak lain gagal memainkan peranan tersebut secara efektif, mereka akan berpaling kepada golongan pelajar.


Ini kerana menara gading dilihat sebagai pusat pendidikan yang lengkap dan holistik, bukan tempat lahirnya pelajar yang lemah, lesu dan gagal memperjuangkan agenda yang lebih besar bagi manfaat ramai. Universiti menjadi jambatan antara alam remaja seseorang dan alam dewasanya - sekurang-kurangnya untuk majoriti mahasiswa. Maka sekiranya mahasiswa terus dilayan sebagai pelajar sekolah dengan pelbagai sekatan dan peraturan yang langsung tidak kena dengan kematangan yang dimilikki mereka, masa hadapan negara akan menjadi gelap. Tradisi kepimpinan untuk masa akan datang tidak dapat diwariskan dengan sempurna kepada pengganti-pengganti yang mampu. Disinilah potensi bakal pewaris kepimpinan negara akan dapat digilap
dan dilihat oleh masyarakat.

`Melayu mudah lupa' kata Dato' Seri Dr. Mahathir. Beliau bersama hampir keseluruhan saf kepimpinan negara kebanyakkannya dahulu pernah terlibat dengan aktivisme mahasiswa. Ketika menuntut di Singapura, beliau sering menulis di dalam akhbar membicarakan isu-isu yang hampir dengan bangsa Melayu, dengan menggunakan nama samaran Che Det. Pada zaman 60-an dan 70-an - ketika aktivisme siswa seluruh dunia menggelegak dengan semangat dan harapan yang besar di kalangan pejuang-pejuang gerakan pelajar, golongan siswa seringkali menjadi conscience masyarakat apabila pihak lain kelu membisu. Di pentas antarabangsa - nama-nama seperti Daniel Cohn-Bendit dan Abby Hoffman menjadi sebutan ramai kerana keberanian mereka mempersoal tindak-tanduk pemerintah. Gerakan mahasiswa sedunia menjadi antara barisan hadapan perjuangan anti-Perang di barat dan berani mendepani isu-isu masyarakat dengan liberal dan progresif.

Di negara kita, pemimpin mahasiswa seperti Anwar Ibrahim, Hishamuddin Rais, Adi Satria dan Ibrahim Ali mengisi vacuum yang terhasil dari penyertaan parti-parti pembangkang utama seperti PAS, Gerakan dan Parti Progressif Rakyat (PPP) ke dalam Barisan Nasional. Saf kepimpinan pelajarlah yang berani mendekati rakyat marhaen yang dilupakan, memperjuang nasib sejagat golongan tertindas oleh kuasa-kuasa imperialis dan akhirnya menjadi penggerak kebangkitan Islam di Malaysia. Ketika Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama Malaysia memecat Dr. Mahathir dari UMNO, gerakan pelajar dan parti pembangkanglah yang memberinya ruang untuk menegakkan keadilan buat dirinya. Tetapi, dengan kata-katanya sendiri, sayang sekali `Melayu mudah lupa'.

Akhirnya kegusaran pihak pemerintah menjelmakan dirinya di dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang kemudiannya dipinda pula untuk terus melemaskan suara-suara berani para mahasiswa. Persatuan Mahasiswa dirompak kebebasannya - menjadi Majlis Perwakilan Mahasiswa yang tidak lagi berpengaruh dan tidak lagi punya kuasa seperti era pra-AUKU. Akhirnya kekuatan gerakan mahasiswa sudah lenyap sama sekali.

Sepanjang dekad 80an dan 90an, mana-mana mahasiswa yang agak berani sedikit menghadapi tindakan dibuang universiti. Universiti menyingkirkan suara-suara yang dapat mengembalikan martabat mereka di kalangan masyarakat. Akhirnya, bersama-sama liberalisasi dasar pendidikan negara yang memberi ruang kepada ratusan kolej-kolej swasta yang bermotifkan keuntungan untuk tumbuh di negara, fungsi institusi pengajian tinggi di negara cuma sebagai kilang-kilang untuk menghasilkan makhluk-makhluk konformis, lembik dan sekadar untuk memainkan peranan di dalam ekonomi kapitalis sejagat. Mereka bagaikan android yang tidak tahu berkata `tidak', yang terpisah dari isu-isu masyarakat, malah tidak dapat menghayati keseluruhan falsafah ilmu
dan universiti itu sendiri.

Masih banyak potensi bakal kepimpinan negara dan bangsa berada di kampus-kampus negara. Sayang sekali, mereka yang dapat bersuara, yang dapat mendepani pelbagai isu dicantas tanpa belas kasihan, untuk survival politik pihak-pihak tertentu. Di dalam era globalisasi ini, sekiranya kita gagal melahirkan mahasiswa yang berkualiti, berkepimpinan dan berfikiran terbuka dan kritis, maka kita tidak dapat bersaing di dalam arus ekonomi antarabangsa; dan akhirnya akan ketinggalan dan impian `k-economy' kita akan tinggal sebagai impian. Usah dipermainkan kematangan mahasiswa. Mereka bukan kanak-kanak kecil lagi. Layanilah mereka sebagai orang dewasa yang bertanggungjawab. Di dalam Perlembagaan Persekutuan, mereka sudah berhak untuk menentukan kepimpinan negara dan dasar-dasar negara menerusi penglibatan di dalam Pilihanraya. Maka tidak ada salahnya mereka untuk punyai pendapat yang tidak sehaluan dengan pihak kerajaan. Tidak sependapat bukanlah satu kedurjanaan kepada negara, tetapi rahmat buat semua.

Bidang akademik sememangnya teras pembelajaran di kampus dan diberi perhatian yang secukupnya. Tidak seharusnya mana-mana mahasiswa memberi prioriti yang lebih kepada bidang-bidang bukan akademik sehinggakan menjejaskan keputusan mereka. Walaubagaimanapun, kebanyakan pimpinan mahasiswa adalah pelajar yang biasa (mendapat keputusan minimum untuk lulus) jika tidak pelajar cemerlang, maka masalah tersebut tidak timbul. Tidak berguna mendapat Sarjana Kelas Pertama sekiranya kita tidak berani untuk menyatakan pendirian dan ideal yang kita percayai. Jelas sekali, pemikiran yang cuba disebarkan oleh pihak kerajaan adalah umpama orang yang takut dengan bayang-bayang sendiri. Mereka sendiri pernah melalui zaman aktivisme, dan mereka takut generasi baru yang berwawasan, idealistik, berani dan berilmu akan
mencabar monopoli kekuasaan yang mereka milikki.

Idealisme, keikhlasan dan semangat generasi mahasiswa muda bersifat sebagai satu pengimbang kepada sifat pragmatik dan tidak endah golongan dewasa. Mereka penuh harapan setinggi gunung, tetapi pihak kerajaan merantai mereka dengan AUKU dan pelbagai akta lain yang merimaskan kerana benar-benar risaukan potensi yang dimiliki mahasiswa. Tindakan menahan dua orang pimpinan mahasiswa di bawah ISA menjadi bukti tambahan kepada betapa terdesaknya pihak pemerintah di dalam senario hari ini. Tokoh-tokoh politik, akademik, pejuang reformasi semuanya pernah menjadi mangsa akta zalim ini, tetapi dengan menggunakan ISA ke atas mahasiswa; seluruh dunia menjadi saksi terhadap sifat pengecut pihak kerajaan kepada generasi muda yang miliki idealisme.

Kertas kerja asal diterbitkan oleh Institut Kajian Dasar dan boleh diperoleh di sini.

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !