Kebelakangan ini, Aspirasi melalui wakil MPP mereka bagaikan meracau dengan beberapa tuduhan yang agak liar dan bersifat provokatif tanpa mengambil iktibar dan teladan daripada sejarah-sejarah terdahulu. Gelagat mereka seolah dilihat seolah-olah 'gila talak' dan bagaikan tidak dapat menerima kenyataan bahawa mereka kini tidak lagi memegang PMUKM, justeru itu bertindak tanpa henti menjatuhkan moral MPP GMUKM sejak 22 Februari yang lalu.
Terdapat banyak penyelewengan maklumat yang cuba disebarkan oleh pihak Aspirasi dalam percubaan memanipulasi dan memutarbelit cerita di sebalik kisah yang berlaku. Nilai dan etika profesional kewartawanan yang benar, tepat, berinformasi, bertanggungjawab dan sebagainya juga diketepikan dan tidak lagi menjadi prinsip utama di dalam organisasi Aspirasi dalam melaporkan berita kepada masyarakat kampus.
Harus diingatkan, tekanan dan ugutan yang dilakukan sebilangan MPP Aspirasi di dalam 'Group Facebook' di kalangan ahli PMUKM juga di dalam perhatian pihak GMUKM. Malah di pihak GMUKM juga bersedia pada bila-bila masa membawa aduan ini ke peringkat tertinggi Universiti dan pihak berkuasa sekiranya perkara ini masih berulang.
Terbaru, fitnah bahawa MPP Aspirasi digantung dan dihalau keluar daripada mesyuarat bersama PMUKM pada awal bulan lalu dan posting terkini bertajuk KPI PMUKM Sesi 2010/2011 Merudum? kelihatan sengaja memanipulasi fakta yang sebenar. Bagi Gabungan Mahasiswa, kita melihat sikap ini adalah tidak matang dan profesional.
Harus diingatkan spekulasi yang sengaja dicetuskan oleh pihak Aspirasi ini sebenarnya tidak akan menonjolkan mereka sebagai hero, tapi sayugia menampakkan kelemahan diri sendiri yang ketara oleh jentera Aspirasi yang gagal menyusun atur peranan mereka sebagai 'check-and-balance' sebagaimana yang disebut-sebut oleh mereka.
Kegagalan utama jentera Aspirasi yang dilihat kini oleh masyarakat kampus adalah perhubungan dan komunikasi yang tidak selaras di kalangan MPP Aspirasi di mana ada MPP yang terlampau menonjol dan MPP yang langsung tidak dikenali masyarakat kampus biarpun sudah berada dua tahun menjadi MPP dan bakal berada di tahun akhir.
Kegagalan lain Aspirasi yang kini disebut-sebut oleh masyarakat kampus adalah peranan MPP Aspirasi sendiri yang menggunakan ruang sebagai ahli-ahli biro PMUKM untuk menyumbang bakti kepada UKM. Masing-masing MPP Aspirasi dilihat bertindak secara individu dan hanya mengusahakan manifesto masing-masing, tetapi gagal berperanan sebagai Perwakilan Pelajar untuk berbakti secara umum dan meluas.
Ini berbeza di saat GMUKM tidak memegang PMUKM, MPP GMUKM bertindak secara kolektif menangani isu-isu di fakulti dan umum serta di peringkat nasional biarpun berdepan karenah birokrasi oleh pihak-pihak tertentu. Siapa dapat lupakan jasa dan bakti yang dicurahkan oleh saudara Faiz bin Ismail, Nabilah binti Mohamad Maiyidin, Alia Suzana bt Asri (sekadar beberapa nama) yang bertungkus-lumus mendekati dan menangani masalah masyarakat kampus pada sesi lalu.
Juga pada tahun sebelum itu, MPP GMUKM yang diwakili saudara Affandi Abdul Rahman, Idris Mohd Yusof, Fikah Bin Sanusi dan lain-lain juga benar-benar memainkan peranan sebagai Perwakilan Pelajar; tidak pula berkeinginan membuat onar atau 'meracau' di sana-sini. Maka jelas di sini masyarakat UKM dapat menilai KPI siapa yang semakin merudum dan siapa yang semakin meningkat.
Spekulasi liar adalah satu perkara tidak bertanggungjawab. Selain daripada ia berpotensi menggugat keamanan, spekulasi-spekulasi demikian yang tidak bertanggungjawab juga dilihat masyarakat umum sebagai usaha meraih perhatian politik murahan sekaligus percubaan nekad dan terdesak jentera Aspirasi untuk menyembunyikan kelemahan dan ketidakupayaan mereka semasa memegang PMUKM dahulu dalam menandingi prestasi PMUKM masa kini.
Maka dengan itu, kami di Gabungan Mahasiswa UKM sekali lagi ingin mengingatkan seluruh mahasiswa khususnya di Universiti Kebangsaan Malaysia tercinta ini untuk menolak sebarang usaha yang populis demi meraih perhatian yang rendah moralnya. Kekalkan sifat keintelektualan dan kemahasiswaan yang tertinggi dengan kita bertindak bijak memahami dan menangani masalah sekeliling.
Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti
0 comments:
Post a Comment