Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Thursday, June 30, 2011

Pelajar IPT Malaysia Hampas ?



Ramai melenting apabila pelajar IPT yang belajar di dalam negara dikatakan sebagai kurang berkualiti atau hampas oleh Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Dr. Zaini Ujang.

Perkara tersebut yang ditegaskan oleh Naib Canselor UTM tersebut pada awal bulan lalu di dalam satu rancangan bual bicara di televisyen bahawa berpunca daripada langkah Kerajaan menghantar pelajar cemerlang ke luar negara menyebabkan universiti tempatan kini menjadi tempat lambakan mahasiswa yang kurang berkualiti.

Banyak pihak menafikan kenyataan ini termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan menyatakan setiap pelajar diiktiraf kerana mereka mempunyai idealisme dan corak perjuangan tersendiri.

Apa pun pandangan yang diberikan oleh pelbagai pihak, pelajar IPT di Malaysia tidak perlu melatah, malahan kenyataan ini perlu dilihat dari sudut positif dan dijadikan cabaran untuk bersaing dengan penuntut universiti luar negara.

Mahasiswa Kini Manja ?
Dibandingkan kehidupan dan cabaran pelajar dulu dan sekarang, memang banyak perbezaan. Jika dulu hanya berjalan kaki atau menaiki basikal, sekarang ada pengangkutan ke sekolah atau kereta yang menanti di depan rumah malah jika dulu hanya menjamah makanan asas sebagai alas perut, kini dilambakkan pelbagai juadah hebat.

Bagaimanapun, di tengah segala kemudahan itu, terbit pula kesannya apabila melihat jati diri dan semangat belajar mereka tidak sekental pelajar dahulu.

Pencapaian pelajar hari ini juga tidak sehebat mana walaupun dikelilingi kemewahan yang tidak dimiliki pelajar generasi lama. Apa puncanya?

Senario itu mewujudkan jurang ketara hingga membenarkan tanggapan pelajar hari ini terlebih dimanjakan hingga menyebabkan jati diri dan prinsip hidup menjadi lembik serta rapuh.

Tidak dinafikan pelajar yang menuntut diluar negara mempunyai peluang yang tinggi mempelajari teknologi terkini yang pesat berkembang di negara maju lain. Jika tahap kualiti pelajar tempatan dan luar negara dinilai dari sudut perkembangan ilmu dan teknologi sudah semestinya pelajar luar negara mempunyai nilai kualiti yang lagi tinggi.

Pengarah Pusat Inovasi Keusahawanan dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pelajar IPT masa kini diakui khususnya di dalam negara cukup bertuah kerana menikmati kemudahan dan kesenangan tanpa perlu berusaha keras hinggakan masyarakat melabelkan mereka dengan pelbagai pandangan serta isu skeptikal.

Apatah lagi, didorong sikap ibu bapa yang ‘menyogok’ anak-anak dengan pelbagai material atas alasan menutup rasa bersalah kerana pengukuhan kerjaya menjadikan keadaan semakin kronik.

Pelajar dulu perlu berusaha keras dengan kudrat sendiri bagi memenuhi keinginan, menjadikan mereka lebih berjaya meskipun dihambat kemiskinan.

Sedangkan pelajar IPT kini kerap kali dimanjakan dengan sogokan-sogokan material yang akhirnya menjerat diri. Pada hujung minggu pula, mereka ini diarahkan pulang ke rumah. Sekiranya sukar, mereka di'bekal'kan pula dengan kenderaan seperti motorsikal dan kereta.

Mahasiswa Luar Negara Lebih Berdikari
Tahap kemandirian hidup pelajar luar negara adalah tinggi berbanding pelajar tempatan. Hidup sebagai perantau banyak mendidik pelajar luar negara untuk berdiri di kaki sendiri dan mempunyai motivasi yang tinggi. Oleh itu, majikan ataupun masyarakat di Malaysia lebih memandang tinggi penuntut yang menuntut diluar negara berbanding penuntut tempatan.

Siapa tidak sayang anak tapi jika keterlaluan akan menyebabkan mereka ‘rosak’. Apabila sikap ini dibentuk sejak awal, apabila memasuki institusi pengajian tinggi (IPT), keadaan sukar diubah," ujar Prof Madya Dr Mohammad Shatar.

Di IPT, mereka melalui frasa pendidikan berlainan yang segalanya perlu bergantung pada diri sendiri. Malangnya, kerana sering terbiasa mewah dan manja, kebanyakannya gagal bertahan, banyak merungut atau menimbulkan masalah.

Apatah lagi faktor persekitaran seperti rakan sebaya menjadi ancaman kuat, mereka mudah terpengaruh.

Biarpun turut mempunyai kecenderungan dan kehendak serupa seperti rakan lain, mereka gagal mengawal diri kerana terlebih manja,” katanya menolak tanggapan faktor latar belakang keluarga punca kerapuhan jati diri pelajar hari ini.

Jangan berikan alasan latar belakang keluarga sebagai penyebab, namun keperluan perlu dilihat melalui cara didikan ibu bapa.

Kebanyakannya salah memilih dan membiarkan diri terus hanyut mengikut arus kesenangan tanpa memikirkan implikasi masa depan.

Akhirnya, mereka sukar keluar daripada kepompong lama untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Belajarlah untuk merasai kesukaran supaya tidak membebankan diri kelak,” katanya.

Bagaimanapun, akuinya, sikap ini berbeza dengan pelajar luar negara kerana tanpa pilihan, mereka terpaksa bergantung kepada diri sendiri.

Pelajar manja perlu sedar, kesenangan dinikmati tidak mungkin bertahan lama, justeru segeralah berubah untuk menyelamatkan diri pada masa depan,” katanya.

Apapun, ukuran kecemerlangan atau kualiti seseorang individu itu tidak harus diukur melalui tempat pengajian mereka di dalam atau luar negara, keputusan peperiksaan yang cemerlang tetapi bagaimana seseorang itu mengaplikasikan apa yang dipelajarinya di dalam kehidupan seharian dan sumbangan kepada masyarakat.

Setiap manusia diciptakan dengan pelbagai perbezaan supaya berlaku keseimbangan dalam alam ini. Setiap orang ada potensi yang tersendiri di dalam diri masing-masing. Ia bergantung pada tahap kesedaran setiap individu itu untuk menerokai potensi dan mengilapnya hingga mencapai tahap yang tertinggi dan cemerlang.

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !