Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Monday, June 27, 2011

Rencana : Elak hubungan pensyarah, pelajar kerana maksud tersembunyi

FUNGSI pensyarah bukanlah hanya seorang guru yang menyampaikan ilmu pengetahuan tetapi juga menjadi sarjana yang memberi rangsangan kepada mahasiswa untuk membuka alam pemikiran dan kreativiti mereka.

Mereka berperanan mendorong mahasiswanya supaya ingin tahu sesuatu yang dipelajari agar mereka lebih bersaing untuk menjadi seorang yang intelektual dan terpelajar.

Di sini, hubungan antara pensyarah dan mahasiswa penting bagi memastikan kewibawaan universiti sebagai sebuah pusat kecemerlangan ilmu dapat dikembang dan direalisasikan dengan baik.

Namun, dalam sesetengah keadaan, ada juga segelintir mahasiswa yang cuba meraih kejayaan mudah dengan merencana agenda tersembunyi di sebalik hubungan baik yang terjalin dengan pensyarah.
Senario bodek membodek berlaku dan ada kalanya pensyarah bagaikan termakan pujukan dan dengan mudah memberi penilaian yang tinggi biarpun hakikatnya prestasi mahasiswa itu tidaklah seberapa.

Mengulas mengenai isu itu, pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Roslizawati Mohd Ramli berkata, profesion pensyarah boleh disamakan seperti guru di sekolah dan ia dipandang tinggi masyarakat hari ini.
Justeru katanya, perbuatan tidak bertanggungjawab sesetengah pensyarah dalam memikul tanggungjawab mendidik mahasiswa secara tidak langsung mencemar status dan profesionalisme seluruh ahli akademik itu.

Mahasiswa pula katanya, sebagai kelompok yang berintelektual tinggi tidak seharusnya mengambil jalan mudah untuk berjaya kerana kesudahannya ia tidak memberi apa-apa makna kepada masa depan mahasiswa itu sendiri.

“Dalam konteks hubungan antara pensyarah dengan mahasiswa, saya lebih selesa menganggap mahasiswa sebagai kawan bagi mewujudkan suasana pembelajaran dan komunikasi yang tidak terlalu formal.

“Kebiasaannya mahasiswa juga senang dengan keadaan itu dan mereka tidak kekok untuk berkongsi apa jua pandangan atau idea, mahupun masalah yang mereka hadapi.

“Namun, bila berdepan dengan situasi atau keadaan yang memerlukan saya menilai tahap pencapaian mahasiswa, saya lebih bersikap professional dan tidak menjadikan hubungan itu sebagai faktor yang boleh mempengaruhi tahap penilaian yang akan diberikan kepada mahasiswa terbabit,” katanya.

Bagi mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Korporat dan Hubungan, Usim, Nurul Mu’Azzah Roalli, realiti hubungan antara mahasiswa dengan pensyarah tidak lagi hambar berbanding zaman sebelum ini kerana majoriti mahasiswa masa kini banyak memanfaatkan peluang diberikan untuk berbincang berkaitan masalah akademik atau berkongsi ilmu dengan pensyarah.

Katanya, pertemuan dengan pensyarah bukan hanya di dewan kuliah, malah menyusul sehingga ke bilik pensyarah dengan perbincangan lebih tertumpu kepada aspek pembelajaran tanpa ada maksud yang tersembunyi.

“Saya rasa tidak wujud lagi perbuatan bodek-membodek pensyarah semata-mata ingin mendapatkan markah yang lebih tinggi biarpun tugasan yang disiapkan tidaklah seberapa.

“Malah, saya yakin mahasiswa kini lebih matang dan mampu berfikir secara rasional terhadap baik buruknya setiap tindakan yang dilakukannya kerana kesannya suatu ketika nanti akan merugikan mahasiswa itu sendiri.

“Mahasiswa seharusnya sedar kecemerlangan hanya mampu dicapai jika mereka benar-benar berusaha dan melakukan apa yang terbaik dalam setiap tugasan yang diberikan,” katanya.
Muhamad Shahizad Saleh, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa, pula berpendapat kebanyakan pensyarah hari ini lebih bersikap bertimbang rasa dan bersedia membantu mahasiswa masing-masing khususnya mahasiswa tahun pertama berdepan dengan cabaran bergelar mahasiswa.

Katanya, senario itu secara tidak langsung menggambarkan hubungan baik mahasiswa dan pensyarah dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan.

“Namun, dalam isu hubungan mahasiswa dan pensyarah yang disalahgunakan, saya menganggap ia tidak wajar dan jika berlaku sekalipun, ia mungkin kes yang amat terpencil.

“Hakikatnya, bergelar seorang mahasiswa adalah satu cabaran yang besar dan tiada jalan mudah untuk kita berjaya. Tindakan negatif mahasiswa disifatkan sebagai tidak berakal kerana sebagai mahasiswa, mereka sewajarnya bijak memanfaatkan hubungan baik yang wujud dengan pensyarah,” katanya.


Artikel asal diperoleh di Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !