Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Tuesday, September 6, 2011

Selamat datang mahasiswa baru 2011-2012

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera buat semua mahasiswa yang bakal mendaftar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pertama sekali saya selaku Pengerusi Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas di atas kejayaan saudara dan saudari mendapat tawaran melanjutkan pengajian di UKM bagi sesi pengajian 2011-2012.

Untuk makluman pada tahun ini sebanyak 41,267 buah tempat pengajian telah ditawarkan di 20 IPTA seluruh negara. Dan daripada jumlah tersebut hanya 2,860 buah tempat pengajian ditawarkan di 11 buah fakulti di UKM pada ambilan sesi kali ini.

Oleh hal yang demikian, saya secara peribadi amat berbangga di atas kejayaan saudara dan saudari yang bertuah kerana terpilih melanjutkan pengajian di universiti ketiga tertua di Malaysia selepas UM dan USM.



MERITOKRASI & TANGGUNGJAWAB MAHASISWA

Menurut maklumat yang diperoleh daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM), kaedah terbaru proses pemilihan kemasukan pelajar ke IPTA adalah berasaskan prinsip meritokrasi dengan mengambil kira komponen akademik 90% dan kokurikulum 10%. Maka di sini, kejayaan seseorang calon memperolehi tempat pengajian di IPTA bergantung kepada susunan merit dan pemilihan program pengajian yang dipohon.

Justeru itu, kami di Gabungan Mahasiswa ingin mengingatkan bahawa dalam persaingan tempat ke IPTA tidak bergantung pada keputusan akademik semata-mata, dan perlu ditambahnilai(add-on) dengan penglibatan di dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum.

Memetik kata-kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang turut mengingatkan mahasiswa baru agar berusaha bersungguh-sungguh agar tercapai segala cita-cita dan segala tanggungjawab yang telah diamanahkan di atas bahu mahasiswa-mahasiswi terlaksana. Juga diingatkan hanya mahasiswa yang memiliki jiwa besar, berfikiran matang dan berpandangan jauh mampu menyempurnakan tanggungjawab mereka dengan baik.

Mahasiswa-mahasiswi juga perlu disedarkan bahawa kita semua merupakan 'role model' kepada masyarakat. Saudara-saudari semua mempunyai tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat, persekitaran, ilmu yang dipelajari, negara bahkan dunia secara amnya. Tanggungjawab dan kewajipan ini adalah satu amanah yang mesti ditunaikan; bukan sekadar kita belajar dan menghadapi peperiksaan kerana ia merupakan syarat untuk bergraduasi.


PENGHAKUPAYAAN POTENSI ANAK MUDA

Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) juga bersetuju dengan pandangan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Saifuddin bin Abdullah yang melontarkan permaknaan semula istilah 'penghakupayaan anak muda' (youth empowerment).

Banyak pihak menyebut tentang penghakupayaan anak muda atau belia tetapi, ramai masih tidak pasti dengan maknanya yang sebenar. Malahan telah timbul beberapa kekeliruan terhadap maknanya.

Sebab itulah penghakupayaan belia yang sebenar perlu difahami. Penghakupayaan belia bukan bermakna memberikan kuasa secara semborono kepada anak muda. Sebaliknya, ia adalah proses menyalurkan idealisme, aktivisme dan intelektualisme yang telah sedia dimilikinya.

Dalam mengamalkan penghakupayaan belia, semua individu dan organisasi yang berkaitan perlu bersedia untuk melakukan anjakan paradigma dari segi cara berfikir dan berbuat. Struktur dan hirarki berbau birokrasi perlu dikurangkan.

Kini, banyak anak muda yang disebut-sebut Generasi-Y (Gen-Y) khususnya di kalangan mahasiswa mempunyai pandangan dan inisiatif yang telah menjangkaui apa yang orang dewasa fikirkan.

Adalah diingatkan jika golongan dewasa gagal atau enggan menyelami minda anak muda, mereka akan rugi kerana akan ketinggalan zaman. Dan jika mereka halang percambahan minda anak muda, mereka juga akan rugi kerana anak muda akan meninggalkan jauh ke belakang gologan dewasa.

Maka dengan itu, Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) mengajak semua pihak supaya serius melihat, menerima dan mengiktiraf pandangan anak muda khususnya mahasiswa dengan pendekatan baru, atau dalam erti kata lain, "penghakupayaan" yang jujur dan benar.


PENUTUP

Sebagi penutup, suka diingatkan sejarah telah membuktikan kekuatan dan keampuhan ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh sesebuah masyarakat mampu menundukkan kekuatan dan keutuhan masyarakat yang bergantung pada orang lain tanpa mengira kekuatan jumlah ahli masyarakat yang ada. Dengan ilmu pengetahuanlah yang berperanan besar dalam membina tamadun sesebuah negara dan bangsa.

Allah Ta'ala ada menjelaskan kepentingan ilmu pengetahuan ini menerusi firmannya dalam surah Al-Baqarah, Ayat 269 yang bermaksud,

Allah memberikan al-hikmah (ilmu pengetahuan) kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya dan sesiapa yang diberikan al-hikmah itu, maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil peringatan melainkan orang-orang yang menggunakan akal pemikirannya

Jelas Al-Quran membayangkan bahawa dengan ilmu pengetahuan (al-hikmah) yang diberikan oleh Allah itu, ia mampu memberikan kebaikan yang banyak kepada manusia khususnya yang memanfaatkannya. Semoga sama-sama kita dapat ambil manfaatnya.

Doa kami di GMUKM, sebagaimana pepatah yang acapkali kita dengari; "kalian datang dengan harapan, kalian pulang dengan kejayaan "

Selamat melangkah ke Universiti Kebanggaan Malaysia!


Ahmad Firdaus bin Ahmad Azam
Pengerusi Gabungan Mahasiswa UKM

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !