Walaupun diperkatakan bahawa isu AUKU sebagai isu basi dan taboo bagi mahasiswa, tetapi hasrat penulis adalah untuk menyedarkan mahasiswa dan rakyat
Mungkin ramai mahasiswa yang tidak memahami berkenaan dengan AUKU 1971 Pindaan 2008 ini malahan ada segelintir yang hanya tahu wujudnya tetapi tidak pernah mengambil tahu untuk memahami kandungan akta mahasiswa ini secara terperinci. Walaubagaimanapun, ia bukannya menjadi alasan bahawa ‘saya tidak tahu maka ini bukan satu kesalahan’ kerana dalam undang-undang, prinsip ignorantia legis non excusat yang bermaksud tidak prihatin kepada undang-undang bukanlah satu alasan untuk dikecualikan daripada terlepas daripada undang-undang terbabit.
AUKU sebenarnya suatu akta yang diwujudkan bagi tujuan mengenakan sekatan politik, berhimpun, bersuara kepada mahasiswa dan juga pensyarah kerana sebelum kewujudan AUKU, Universiti pada ketika itu boleh berdiri tanpa memerlukan akta khas untuk mengawal mereka. AUKU adalah tidak terpakai untuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang menggunakan Akta Syarikat 1965 (Akta 125) dan Universiti Teknologi Mara yang mempunyai Akta Universiti Teknologi Mara 1976. Bagi institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) pula, ia tertakluk kepada Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996.
Jika dahulu, ahli politik pasti takut untuk jejakkan kaki ke kampus jika mereka tidak mampu mematikan hujah mahasiswa. Mahasiswa bebas untuk bertanya, bebas untuk menegur tatkala kerajaan salah. Tetapi sekarang keadaan berubah kerana AUKU. Dengan AUKU, jika ada pelajar yang berani sebegitu, sudah pasti pelajar itu akan kena. Diambil tindakan dan kadang-kadang dikenakan hukuman yang tidak relevan. Ini kerana suara mahasiswa mempunyai suatu kuasa yang mesti diberikan perhatian dan diambil perhitungan (a force to be reckoned with) dan mempunyai nilai keyakinan masyarakat (public confident value).
Sejarah dunia menceritakan bahawa mahasiswalah yang mencetuskan gelombang tumbangnya Rejim Papandreou di Greece, Rejim Menderes di Turki pada tahun 1960, rejim korup Dr. Syngman Rhee yang berkuasa selama 12 tahun di Korea Selatan, pengulingan Shah Iran yang zalim di Iran akibat peristiwa Black Friday yang dicetuskan oleh mahasiswa, dan kejatuhan 32 tahun pemerintahan diktator Soeharto di Indonesia juga dikaitkan dengan peranan dan pengorbanan gerakan mahasiswa Universiti Trisakti pada tahun 1998 lalu. Jelas bahawa AUKU tidak boleh lari daripada dikaitkan dengan pengubalan undang-undang untuk mengawal suara keramat mahasiswa.
Terdapat ramai tokoh akademik mengsyorkan bahawa akta lapuk itu dimansuhkan terus, bukannya dipinda seperti sekarang. Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi pernah menyarankan agar AUKU dimansuhkan dalam kertas kerjanya yang bertajuk ‘Mahasiswa, Pemikiran dan Partisipasi’. Laporan Hala Tuju Pengajian Tinggi pada tahun 2005 yang diketuai Tan Sri Dato’ Dr. Wan Mohd Zahid Mohd Noordin turut menggesa agar pemansuhan dilakukan ke atas AUKU dan ini diakui oleh Tan Sri Prof Dr. Khoo Kay Kim, pensyarah kanan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya pernah berkata, pindaan (AUKU) itu wajar dilaksanakan kerana ia sebagai tanda kepercayaan kerajaan terhadap pihak berkenaan (mahasiswa) untuk lebih bersedia berdepan dunia global.
Jelas bahawa tokoh-tokoh akademik menyarankan agar AUKU dimansuhkan terus dalam kamus mahasiswa dan juga para pensyarah. Tindakan melakukan pindaan baru-baru ini dilihat sebagai satu lagi silap mata yang dilakukan oleh pihak pemerintah dalam mengaburi mata pihak mahasiswa akan pelaksanaan AUKU ini. Apa gunanya kebebasan menyertai NGO apabila senarai NGO ini dikeluarkan oleh Naib Canselor dan diluluskan oleh Menteri Pengajian Tinggi sepertimana peruntukkan Seksyen 15 (1) AUKU (pindaan 2008). Juga mahasiswa diberi kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat, tetapi hanya dalam soal akademik mengikut bidang pengajian masing-masing sebagai contoh, pelajar Fakulti Sains tidak boleh langsung bercakap soal Ekonomi, kerana ini bukan bidang pengajiannya. Malahan lebih kelakar, setiap pendapat mahasiswa dalam sesuatu majlis hanya dibolehkan apabila majlis tersebut telah diluluskan oleh menteri sepertimana Seksyen 15 (6) (b) AUKU (Pindaan) 2008 dan ini adalah sesuatu yang pelik dalam suasana kebebasan bersuara yang telah digariskan dengan jelas dalam Perkara 10 (a) Perlembagaan kita.
Terdapat banyak lagi pindaan AUKU 2008 yang lebih bersifat kosmetik dan ini ditunjukan juga dalam hak mahasiswa untuk menganggotai parti politik dan kebenaran hanya dibolehkan apabila segala butiran peribadi diberikan kepada Naib Canselor untuk kelulusan dan rekod Universiti melalui peruntukkan Seksyen 15 (4) Akta AUKU ini. Persoalan besar yang perlu kita tanya ialah beberapa ramai yang berani memberikan butiran peribadi kepada pihak Universiti berkaitan parti politik yang ingin dianggotai mereka dan adakah terdapat jaminan bahawa data tersebut tidak digunakan sebagai ugutan ataupun kawalan pihak Special Branch? Berdasarkan sejarah, mahasiswa yang menganggotai parti politik bukan kerajaan pasti akan dilakukan pemtauan 24 jam dan mereka ini akan dinafikan hak dalam pelbagai aspek termasuklah kelulusan mendiami kolej, peluang untuk menyambung pelajaran seperti di peringkat master dan phd atau ruang untuk kenaikan pangkat bagi para pensyarah.
Sebelum ini, pelbagai alasan diberikan oleh golongan bukan mahasiswa antara lainnya bahawa AUKU perlu diwujudkan kerana mahasiswa hari ini tidak bersikap dewasa dan bertanggungjawab. Mungkin berbangkit persoalan, adakah kita sebagai mahsiswa sudah lebih dewasa dan bertanggungjawab? Ukuran dewasa atau tidak, bertanggungjawab atau tidak, adalah subjektif. Dan tidak boleh diukur sesuka hati sahaja. AUKU sebenarnya boleh mengundang penghasilan pelajar yang suam-suam kuku, kerana sekatan ini akan menghasilkan mahasiswa yang jelas sekadar angguk-angguk, tetapi tidak berani geleng-geleng.
Selain itu, mahasiswa dihalang berpolitik kerana dikatakan akan menjejaskan daya berfikir mahasiswa. Sebenarnya ini adalah alasan yang berbentuk metafora, bersifat tuduhan semata-mata tanpa adanya satu kajian saintifik yang menunjukkan bahawa penglibatan dalam politik akan membantutkan daya berfikir mahasiswa. Satu lagi persoalan besar yang perlu dirungkaikan ialah wajarkah AUKU dikala mahasiswa juga mempunyai hak sebagai warganegara Malaysia layak untuk mengundi di dalam pilihan raya umum? Kita semua sedia maklum, purata umur mahasiswa dalam lingkungan 20 tahun. Berdasarkan Perlembagaan Negara, terang lagi bersuluh menyatakan bahawa semua warganegara Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas berhak untuk mengundi di dalam pilihan raya umum.
Kita sedia maklum bahawa pilihan raya umum adalah medan terbaik untuk semua warganegara Malaysia memanifestasikan hak demokrasi mereka dengan menentukan parti politik yang akan menerajui tampuk pemerintahan negara. Pengundi yang bijak pastinya mengikuti arus politik negara sebelum membuat keputusan untuk memangkah kertas undi. Namun, realiti dalam konteks mahasiswa: Bagaimana mahasiswa hendak mengikuti perkembangan politik? Adakah semata-mata berdasarkan sajian media massa yang majoritinya jelas berat sebelah dan 'double-standard' terhadap parti pembangkang? Ingatkah kita tentang cerita orang-orang buta dengan gajah? Bijakkah kita bila membuat keputusan berdasarkan satu perspektif sahaja dengan bulat-bulat mengabaikan perspektif2 yang lain?
Juga kebebasan untuk terlibat dengan politik, tidakkah kita sedar bahawa dengan penafian hak mahasiswa untuk terlibat di dalam politik ini, mereka akan dikategorikan sebagai pengundi yang tidak cerdik, buta tuli atau golongan yang pangkah ikut suka hati tanpa ada fikiran utk memikirkan parti mana yang terbaik untuk masa depan mereka? Pelik tapi benar yang mana mahasiswa punya hak mengundi, namun dalam masa yang sama, mahasiswa juga dinafikan hak menyertai politik. Inilah realiti dilemma mahasiswa di Malaysia.
Sedangkan di Amerika Syarikat, yang menduduki senarai top 10 universiti dalam Times Higher Education Ranking, memberikan kebebasan penuh kepada mahasiswa untuk berpolitik dan tiada akta draconian seumpama AUKU dijalankan di sana. Hinggakan seorang mahasiswa yang berusia 19 tahun telah berjaya dipilih menjadi Datuk Bandar Muskogee yang mempunyai penduduk seramai 38,000 orang. John Tayler Hammons yang masih mengikuti pengajian tahun pertamanya di universiti di Norman telah menerima 57 peratus undi menewaskan bekas datuk bandar Hershel Ray McBride. Ini jelas menunjukkan bahawa keterlibatan dalam politik tidak akan mencacatkan keputusan dan keintelektualan seseorang mahasiswa malahan memberikan dorongan semangat kepada mereka yang telah dilepaskan daripada sangkar AUKU yang tidak relevan ini.
AUKU juga wajar dimansuhkan terus daripada hidup mahasiswa atas alasan bahawa akta ini telah menafikan hak-hak asasi manusia bagi mahasiswa. Terdapat banyak peruntukkan dalam AUKU yang bercanggah dengan Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu 1945 dan juga Deklarasi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Asasi Manusia 1948, yang mana Malaysia menjadi salah satu anggotanya. Sebagai contoh, Artikel 19 dan 20 Universal Declaration of Human Rights jelas memberi jaminan hak setiap individu di dunia untuk menyatakan pandangan, berhimpun dan berpersatuan. (Rujuk Resolusi 217 A (III) bertarikh 10 Disember 1948 Perhimpunan Agung PBB) dan ini bercanggah dengan pindaan AUKU 2008 yang mensyaratkan bahawa kebebasan bersuara secara terhad. Apatah lagi hak mahasiswa untuk berhimpun, yang dinafikan sama sekali dalam AUKU terbaru ini.
Selain itu, AUKU bukan sahaja berjaya tidak mendisiplinkan mahasiswa malah berjaya mengikis kepekaan golongan intelek ini terhadap persoalan semasa yang berlaku di dalam dan luar kampus. Pelajar menjadi pasif dan isu-isu penting seperti isu rasuah, penyalahgunaan kuasa, gejala sosial dan lain-lain dipandang sepi. Jika ini yang dididik dari sekarang, apakah agaknya bayangan kita terhadap cara berfikir pemimpin 20 tahun akan datang? Belum lagi bercakap soal sikap sikap dan minat terhadap kegiatan Mahasiswa. Sekatan yang dikenakan menyebabkan mahasiswa mengambil sikap protes dengan bersikap individualistik dan tidak peduli hal-hal sejagat.Ambil sahaja iktibar dari sambutan Pilihanraya Kampus yang berlaku. Ada sebuah universiti yang mana sememangnya sudah terkenal dengan kepincangan demokrasinya, terpaksa menggula-gulakan mahasiswa dengan tindakan tatatertib dan umpan pemberian barangan percuma demi memaksa mereka turun memeriahkan pesta tersebut. Ini amat membahayakan negara kelak dalam arena demokrasi.
Premis hujah menyatakan bahawa AUKU wajar dimansuhkan juga bertitik tolak daripada keangkuhan Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang diberi imuniti atau kekebalan yang tinggi oleh AUKU. HEP sebenarnnya ditubuhkan adalah untuk melicinkan segala urusan yang berkaitan urusan kemahasiswaan yang merangkumi soal kewangan, penginapan, kebajikan , kebudayaan , sukan hubungan dengan masyarakat luar dan sebagainya. Malangnya, melalui terma “budi bicara HEP” , bidangkuasa HEP boleh ditafsirkan sesuka hati seseorang pegawai dalam menentukan sesuatu perkara. Ada universiti menggunakan berbagai peruntukan yang ada dengan mengetatkan pengalawalan ke atas pelajar dan sindrom sperti pilih kasih, double standard juga wujud. Jelas AUKU sengaja dicipta bagi memberikan satu kekebalan kepada HEP yang dari segi rekodnya, banyak melakukan diskriminasi kepada mahasiswa yang bersifat anti-HEP.
Terdapat juga suara-suara nakal dan tuduhan melulu yang dilemparkan menyatakan bahawa mahasiswa malas membaca sepertimana ucapan ahli parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman semasa perbahasan AUKU tahun lalu. Setakat ini masih tiada kajian empirikal yang dapat mengaitkan gerakan pelajar dengan kemerosotan akademik pelajar. Justeru tiada bukti yang menunjukkan bahawa gerakan pelajar mampu menyumbang kearah kemerosotan akademik pelajar..Pencapaian akademik adalah bergantung pada usaha dan sikap individu masing –masing dan AUKU tidak diperlukan untuk menyuruh mahasiswa belajar. Cukuplah statut perlembagaan universiti yang mensyaratkan bahawa setiap mahasiswa wajib mendapat PNGK 2.00 ke atas dan sekiranya gagal dua kali berturut-turut, mereka akan disingkirkan daripada Universiti. Lantas, kenyataan ini menafikan bahawa AUKU adalah instrument atau alat untuk meningkatkan mutu akademik pelajar adalah tidak berasas sama sekali dan kenyataan ini lebih bersikap pesimis terhadap mahasiswa.
Pemansuhannya adalah untuk membebaskan mahasiswa dan para akademik daripada kekangan birokratik, supaya mahasiswa-mahasiswi dan ahli-ahli akademik dapat mempelajari ilmu dan menjalankan kajiselidik terhadap ilmu alam semesta dalam suasana yang bebas. Pemansuhannya juga membolehkan mahasiswa-mahasiswi untuk lebih mendekati apa yang berlaku di luar menara gading, dan seterusnya dapat memperbaiki keadaan di dalam masyarakat apabila tamat pengajian nanti.
Kita perlu menerima hakikat bahawa kehidupan mahasiswa tidak hanya terhad kepada dewan kuliah, bilik tutorial, makmal dan perpustakaan. Sebaliknya, ia membabitkan seluruh kehidupan universiti, termasuk aktiviti kokurikulum, politik kampus, kebajikan, hak dan keadilan mahasiswa, dan sebagainya. Kehidupan mahasiswa tidak terhad dalam batasan pagar universiti saja. Mahasiswa adalah sebahagian daripada masyarakat yang perlu mendengar denyut nadi mereka, menjadi jurubicara dan agen perubahan dalam masyarakat.
Kehidupan mahasiswa bukan kehidupan berseorangan. Ia adalah kehidupan berkumpulan dan berorganisasi. Apabila berkumpulan dan berorganisasi, ia menjadi berstruktur, berprinsip dan punya hala tuju yang kemas, lalu menjadi satu gerakan yang dipanggil gerakan mahasiswa. Apabila wujud gerakan mahasiswa, ia lazimnya mempunyai rukunnya sendiri, iaitu idealisme, aktivisme dan intelektualisme.
Auku telah menyaksikan lahirnya mahasiswa yang lemah segala saraf kepekaan mereka terhadap isu yang menimpa rakyat dan negara. Bisu dan kelu terhadap kerakusan golongan penguasa menindas golongan marhean. Mengangguk dan mengiyakan segala penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan amanah sang penguasa. Tidak hairan apabila negara ketandusan pemimpin bertaraf nasional dan berwibawa pada hari ini untuk diketengah gunakan untuk menerajui kepimpinan negara.
Hakikatnya bahawa proses penggubalan, pindaan dan praktis penekanan AUKU lebih banyak bermotif politik adalah tidak dapat disangkal lagi. Malah saat AUKU didapati gagal mengawal kesedaran masyarakat universiti kerana Reformasi 1998, diwujudkan pula Aku Janji untuk memastikan rasa takut ini berterusan. Tuduhan bahawa mahasiswa dan pensyarah sebagai anti-kerajaan, berkecenderungan ganas, tidak bersyukur dan lain-lain hanya menunjukkan keangkuhan kuasa dan penghinaan besar kepada maruah insan dan dunia keilmuan. Janganlah kita sebagai pihak berkuasa bersikap doli incapax (bersikap angkuh) dalam menekan pelajar kerana mahasiswa mempunyai kedaulatan yang disifatkan sebagai ‘cream of the society’ atau ‘mahasiswa jurubicara masyarakat’.
Jelas secara tuntasnya bahawa pindaan AUKU 2008 tidak lebih sekadar memenuhi harapan sedikit orang sedangkan ia tidak diiktiraf oleh ramai komuniti yang terikat dengan undang-undang tersebut. Seorang falsafah barat, Jeremy Bentham telah menyatakan undang-undang sedimikian adalah bersifat zalim kerana ia dikeluarkan oleh pemerintah tidak berdaulat, sebuah pemerintah yang dipertikaikan oleh orang ramai. Justeru, kita menghapkan agar pemansuhan AUKU terus dilakukan dan suara mahasiswa amat diperlukan dalam memansuhkan Akta ini daripada pewartaan di Parlimen. Semoga iklim kebebasan yang lebih baik akan memacu penghargaan kepada kemuliaan insan dan memartabatkan dunia keilmuan di samping memberikan kecerian kepada
Hishamuddin Che Ali
2 comments:
wah..bukan main panjang lebar lagi..tapi hanya omong kosong oleh seorang pelajar yg terpengaruh dan tidak memahami secara mendalam apa sebenarnya AUKU
insyallah saya akan terangkan sedikit (petang nanti) berkaitan pindaan dan apa sebenarnya fungsi AUKU dalam kehidupan harian warga sesebuah institusi pendidikan..
Post a Comment