Salam takziah buat keluarga Siti Esah binti Mohamed, mahasiswi Tahun 3, Jabatan Syariah daripada Fakulti Pengajian Islam yang kembali ke rahmatullah pagi tadi disebabkan kecederaan parah akibat kemalangan jalan raya yang berlaku petang semalam.
Allahyarhamah bersama rakannya sekuliah, Maisarah binti Ghazalli yang cedera parah akibat kemalangan tersebut dilaporkan dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di Kelantan setelah tamat peperiksaan akhir di UKM. Mereka dilaporkan menaiki kereta Kancil ketika kejadian dikatakan merempuh sebuah lori treler di jalanraya Gua Musang semalam dan telah dikejarkan ke Hospital Kuala Krai. Siti Esah menghembuskan nafas terakhir di hospital tersebut kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.
Rakan allahyarhamah, Maisarah yang cedera parah akibat kemalangan tersebut diberitakan kini stabil setelah dilakukan pembedahan. Beliau dilaporkan mengalami patah kaki akibat kemalangan tersebut dan masih dirawat tetapi kini telah dipindahkan ke Hospital Besar Kota Bharu
Untuk makluman, allahyarhamah Siti Esah meninggalkan 8 orang adik-beradik dan ibunya yang bekerja kampung.
Gabungan Mahasiswa mendoakan semoga roh allayarhamah Siti Esah dan Hidayu Yaakob dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-hambaNya yang bertaqwa. Kita juga mendoakan juga saudari Maisarah akan segera sembuh dan kembali ke pangkuan keluarga.
Gabungan Mahasiswa dalam pada itu turut menyeru rakan-rakan mahasiswa agar menjaga keselamatan diri semasa pulang bercuti ini. Elakkan daripada memandu dan menunggang motosikal sekiranya tidak perlu. Pastikan juga rakan-rakan mendapat rehat yang cukup sebelum melakukan perjalanan jauh.
Al-Fatihah.
2 comments:
Al-fatihah :(
alfatihah
Post a Comment