Saya rasa masih belum terlambat buat kami dari PMUKM dan GMUKM untuk mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan kepada seluruh umat Islam khususnya kepada warga UKM. Kita bersyukur kepada Allah SWT yang menemukan kita dengan bulan yang mulia dan penuh keberkatan ini.
Sesungguhnya bulan ramadhan merupakan bulan yang menghimpunkan banyak peristiwa-peristiwa dalam Islam antaranya kemenangan Islam dalam peperangan Badar Al-Kubra, Al-Yarmuk, Al-Qadisiah dan lain-lain lagi. Di dalamnya juga terkandung sebaik-baik malam iaitu malam Lailatul Qadr yang penuh barakah dan ganjaran sebagaimana yang telah kita maklumi.
Oleh itu menjadi kewajipan kepada kita menggunakan kesempatan Ramadhan untuk mendidik dan melatih diri untuk beribadat secara tekun dan istiqamah, serta taat kepada Allah SWT. Bulan ramadhan merupakan bulan pembersihan jiwa dari penyakit-penyakit batin dan pembersihan diri dari perbuatan-perbuatan yang tercela. Bulan ini juga sepatutnya dijadikan medan buat pejuang kebenaran dan keadilan untuk menyuburkan keinsafan diri dan keazaman dalam meneruskan perjuangan untuk memastikan matlamat suci perjuangan dapat dicapai.
Walaubagaimanapun, kita digesa untuk sedar dan cakna dengan kondisi saudara se-Islam kita di seluruh dunia yang menyambut bulan Ramadhan ini dengan situasi berbeza sama ada situasi perang, bencana atau pergolakan seperti di Palestin, Syria dan Myanmar (Burma). Sudah terlalu banyak darah ummat Islam ditumpahkan oleh manusia yang zalim. Maka kesempatan Ramadhan ini perlulah kita gunakan semaksimum mungkin untuk menunjukkan persaudaraan dan kasih sayang kita kepada mereka dengan berbanyak berdoa kepada Allah SWT, moga mereka dikeluarkan daripada kezaliman dan kesempitan serta diberi kemenangan oleh Allah SWT.
Justeru, ayuh sama-sama kita manfaatkan nikmat bulan ramadhan ini untuk kita mendekatkan diri kepada Allah dengan melipatgandakan ibadah kita melalui amalan-amalan sunat yang telah diajar oleh baginda nabi S.A.W dan para ulama'. Gunakanlah kesempatan ramadhan kali ini sebaik mungkin agar ianya mampu mengangkat kita ke tahap golongan umat Islam yang benar-benar bertaqwa seiring dengan matlamat puasa itu sendiri. Semoga ramadhan kali ini menjadi ramadhan yang terbaik buat kita sebagai satu persediaan untuk kita merentasi alam kehidupan yang kian mencabar ini.
Ahmad Muzammil b Mohd Hairi
Presiden PMUKM
0 comments:
Post a Comment