Biarpun belum mendapat lantikan rasmi sebagai ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa UKM (MPMUKM) Sesi 2010-2011, beberapa orang MPM-GM kini sudah sibuk mengatur langkah, merencana program dan melunaskan manifesto-manifesto semasa kempen di dalam Pemilihan MPP minggu lalu.
Antaranya saudari Aida Rahayu dari Fakulti Sains & Teknologi tahun 3 biarpun dalam fasa sibuk menyiapkan tesis, berkata beliau kini sudah berkira-kira untuk mendapatkan maklum balas berkenaan isu kafeteria bagi seluruh Universiti.
" Sebagai permulaan, (untuk) pemantau kafeteria (yang) saya (tawarkan) hari itu (semasa kempen Pemilihan MPP), saya (kini) sedang kumpulkan maklumat kafe-kafe yang meletakkan harga yang tinggi dan tidak munasabah. Contoh maklumat yang saya dapat, nasi dengan dua ketul tauhu di satu kolej tu (sudah) lebih RM 4.00. Ini satu contoh harga (makanan) yang tak masuk dek akal. Insyallah banyak lagi isu-isu kafeteria yang bakal dibawakan di dalam majlis yang saya (bercadang) wujudkan sedikit masa lagi ini. Cuma kini kami selaku MPM sedang menyusun portfolio yang khusus supaya MPM yang ada akan dimobilasi dengan berkesan, " tambah beliau melalui SMS yang dikirimnya kepada krew blog PM-UKM semalam.
Saudara Faizal pula dari Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina (FKAB) bagi kerusi tahun 3/4 pula baru-baru ini telah bertindak segera membantu salah seorang penghuni Kolej Rahim Kajai yang biliknya dimasuki pencuri.
" Saya sudah berjumpa dengan mangsa pada pagi Sabtu (yang lalu), dan berbincang (berkenaan tindakan) apa yang harus dilakukan selepas ini termasuk berjumpa dengan UKP (Unit Kebajikan Pelajar) (dalam kadar) segera.
" Apa pun, saya hairan (dalam masa ketika) Universiti hendak membina mahasiswa kelas pertama, masih ada mahasiswa yang bertaraf pencuri-pencuri berkeliaran (di dalam Universiti). Saya tidak mahu menuding (kepada sesiapa), cuma saya agak terkilan di mana sebenar identiti mahasiswa kini. Bagaimana hendak membawa (agenda) keilmuan jika benda (perkara) haram masih kita buat.
Kepada rakan-rakan yang punyai masalah yang sama, segera berjumpa dengan pegawai di Unit Kebajikan Pelajar. Boleh buat aduan di situ, dan pihak Universiti akan beri sedikit pampasan. Kepada rakan-rakan yang belum mengalaminya (kecurian barangan), saya nasihatkan dua perkara. Pertama, jaga barang anda baik-baik. (Kecurian) Ini tak dapat tidak dibanteras kecuali kita sendiri sama-sama 'alert' (akan barang kita sendiri). Dan kedua, nasihatkan kawan-kawan kita, (agar) mereka pun 'alert' seperti kita. Sama-sama kita ingatkan, " ujar saudara Faizal dalam perjumpaan lewat petang tadi.
Di Kampus Cheras atau mesra kita kenali sebagai Kolej Tun Dr Ismail (KTDI) di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), MPM-GM saudara Idrul ketika dihubungi krew blog PM-UKM berkata, beliau kini sibuk menyemak kembali dokumen-dokumen MPP Farih Najihah.
" Tidak banyak yang ingin dilakukan, (buat masa ini kerana) masing-masing kami di kampus Cheras ini dalam fasa menghadapi peperiksaan akhir. Cuma kalau ingin ditambahbaikan kini, ada beberapa perkara (yang dibawa MPP Farih) masih berstatus 'pending' dan perlu 'follow up' seterusnya.
" Mungkin itu yang perlu diutamakan sekarang sebelum saya melakukan perkara-perkara berikutnya (seperti mana yang ditawarkan dalam manifesto saya dahulu), " ujar saudara Idrul yang merupakan mahasiswa tahun 3 bagi kursus Perubatan di KTDI.
Lain pula hal dengan saudara Muzzamil dari kerusi Tahun 3/4 FEP yang kini sedang mencatur agenda pengantarabangsaan jenama UKM. Beliau yang juga merupakan Yang Di-Pertua Persatuan Mahasiswa Fakulti Ekonomi & Pengurusan (PMFEP) berkata, " 'Ranking' UKM saban tahun semakin jatuh di mata dunia. Maka menjadi tugas kami di MPM untuk berkerjasama dengan pihak pengurusan Universiti menaikkannya semula.
" MPM yang diberi mandat oleh rakan-rakan mahasiswa kalau dilihat sebenarnya bukan sahaja berkhidmat untuk rakan-rakan mahasiswa, tetapi turut merangkumi kerja-kerja menjenamakan nama Universiti Kebangsaan Malaysia agar tersohor di mata masyarakat. Dan lebih penting, apabila jenama UKM ini sudah terkenal, lebih mudah lah rakan-rakan memperoleh peluang pekerjaan selepas bergraduasi nanti. Inilah yang saya cuba usahakan dengan pengalaman saya yang lalu di dalam PMFEP untuk menyediakan peluang kepada rakan-rakan masuk ke pasaran pekerjaan nanti; di samping tidak lupa kita menjayakan misi dan visi Universiti," tambah beliau lagi.
Mengenai agenda keilmuan dan kebajikan yang diwar-warkan di dalam manifesto Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) semasa kempen PRK minggu lalu, beliau berkata perkara tersebut tidak pernah dilupakan. Cuma kaedah implementasinya agak sedikit berbeza daripada kepimpinan PMUKM yang lalu. Malah menurut beliau, mungkin terdapat beberapa jawatan Exco terpaksa dirombak sama ada ditambah atau dikurangkan mengikut kesesuaian dan keperluan mahasiswa.
" Jawatan-jawatan Exco yang diwujudkan sebenarnya atas keperluan mahasiswa. Sekiranya kita menumpukan usaha menjaga kebajikan mahasiswa di dalam kampus (semata-mata), (maka) kita boleh adakan 5,6 buah portfolio yang akhirnya akan bertindih (antara satu sama lain.) Itu realitinya.
" (Tetapi dalam masa sama) Ada keperluan juga beberapa jawatan lain diwujudkan seperti jawatan Timbalan Exco atau mungkin Setiausaha Kerja khusus bagi (portfolio) yang agak luas bidang tugasnya. Apa pun, sama-sama kita nantikan pengumuman (kabinet Exco MPMUKM) sedikit masa lagi. Dan buat rakan-rakan, teruskan menyokong kami (di kepimpinan MPMUKM) pada sesi kali ini, kerana tanpa anda, siapalah kami (di MPM)," ujar Muzzamil lagi.
Untuk rekod, GMUKM memenangi Pemilihan MPP Sesi 2010-2011 minggu lalu selepas memperoleh kerusi majoriti sebanyak 22 buah kerusi termasuk 3 buah kerusi daripada Pusat Pengajian Siswazah (PPS). Lantikan rasmi bagi semua ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa UKM akan diadakan selepas tiada bantahan dan proses rayuan serta mendapat pengesahan daripada Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP Sesi 2010-2011.
Kepada semua ahli MPM, selamat berjuang dan semoga maju jaya kami ucapkan dari krew blog PM-UKM !
1 comments:
salam...semoga apa yang diperkatakan akan ditunaikan...saya xtau pasal politik..tp sy akan menyokong apa yang dirasakan baik..semoga jangan menghampakan mahasiswa yang mengundi anda..tq
Post a Comment