Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Friday, November 26, 2010

Cara-cara menukar pembiayaan 'service charge' PTPTN

Sumber : Blog MPP GMUKM




Kami selaku ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Gabungan Mahasiswa UKM ingin mengajak rakan-rakan mahasiswa khususnya di UKM yang mengambil pinjaman PTPTN agar segera menukarkan pembiayaan pendidikan PTPTN dari 3% kepada 1%.

Berikut merupakan langkah-langkah untuk melakukan pindaan pembiayaan tersebut:

1.) Pergi ke laman web PTPTN.

2.) Isikan nombor Kad Pengenalan dan emel.

3.) Selepas itu, pihak PTPTN akan menghantar mesej ke emel anda.

4.) Satu pautan khas akan dihantar melalui alamat emel yang didaftarkan supaya anda dapat mengisi maklumat-maklumat wajib untuk penukaran pinjaman kepada pembiayaan pendidikan PTPTN.

5.) Anda mestilah memastikan maklumat yang diisi adalah tepat dan betul sebelum menekan butang "Teruskan" bagi tujuan pendaftaran. Setiap pendaftaran yang telah dihantar TIDAK boleh dibuat pindaan lagi.

6.) Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi PTPTN HOTLINE di talian 03-2080 4455.

7.) Semakan Jadual Kemaskini Maklumat bagi proses penawaran Ujrah, SILA RUJUK DI SINI.


Sekian. Diharapkan hal ini disebarkan kepada rakan-rakan mahasiswa lain.

Selamat bercuti.


Ber-GM Lebih Baik!

Wednesday, November 24, 2010

KENYATAAN MEDIA : Tahniah kepada PTPTN & 2,162 mahasiswa terpilih

KENYATAAN RASMI MEDIA MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR (MPP)
GABUNGAN MAHASISWA UKM (GMUKM)

23 November 2010

MPP Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) mengalu-alukan keputusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang melupuskan pinjaman bernilai RM59 juta kepada 2,162 mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang mendapat keputusan Kelas Pertama bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Langkah terbaru PTPTN ini mendapat pujian dan respon positif daripada kami di barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang mewakili seluruh mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kampus utama di Bangi; kampus perubatan di Kuala Lumpur Cheras dan Pusat Perubatan UKM di Cheras.

Langkah ini selari dengan dasar kerajaan Malaysia yang mengumumkan pada awal tahun ini akan menukar status pinjaman PTPTN kepada biasiswa bagi pelajar yang berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama atau setaraf dengannya bermula tahun 2010.

Di peringkat kami MPP GMUKM, langkah ini adalah sangat bererti untuk memberi motivasi dan menggalakkan mahasiswa IPTA/IPTS dalam mencapai cita-cita dalam bidang yang diminati masing-masing. Justeru langkah kerajaan melalaui PTPTN ini yang menyediakan pelbagai kemudahan ini diharapkan akan meningkatkan lagi tahap keintelektualan dan keilmuan rakyat Malaysia.

Kepada rakan-rakan mahasiswa, harus diingatkan ilmu adalah hakikat paling utama. Justeru itu, pelajari ilmu dengan segala kesanggupan dan fahamilah pengertian dan kebenaran dalam kehidupan. Sebagai seorang mahasiswa, kita harus sentiasa menanamkan semangat ingin belajar dalam diri. Ingatlah, ilmu itu hanya dapat dicapai dengan kesungguhan; yang dimulai dengan tekad yang bulat diusahakan terus menerus hingga mencapai kejayaan.


Dikeluarkan Oleh :

Unit Media & Penerangan
MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR
Gabungan Mahasiswa UKM

http://pm-ukm.blogspot.com

Tuesday, November 23, 2010

Mengenali AUKU - part 2

Kelahiran Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada tahun 1971 dan diperketatkan lagi dengan pindaan pada tahun 1975 dikatakan berpunca dari sifat paranoid pihak berkuasa terhadap kegiatan mahasiswa terkeluar dari garis-garis dan landasan yang dikehendaki  kerajaan.

Perkembangan-perkembangan yang berlaku sebelum akta tersebut diadakan pada tahun 1971 jelas menunjukkan pemerintah cemas dan dikatakan mulai merasa bimbang terhadap perhatian sesetengah pihak yang ingin menjadikan kampus universiti dan penghuninya melunaskan cita-cita mereka samada berbaur politik atau bukan. Ironinya setelah akta drakonian ini dilaksanakan pada tahun 1971 pun, kegiatan mahasiswa masih seperti biasa dan kadangkalanya semakin hebat.

Namun harus diakui AUKU menjadi igauan ngeri kepada mahasiswa apabila mereka tidak lagi gah menggugat yang setara potensi ilmu yang dimiliki. Mahasiswa hanya mampu berlegar di dalam kepungan empat penjuru tembok besar pagar universiti. Angkara AUKU juga, suara mahasiswa tidak lagi bergema dalam rintihan rakyat tertindas untuk membela nasib mereka. Malah mahasiswa juga turut tertindas dengan pelbagai konspirasi kerajaan dan kuasa universiti. Ilmu, daya fikir, semangat dan keperibadian yang kita bina di puncak menara gading tidak lagi mewakili masyarakat untuk diperjuang hak dan dipertahankan maruah mereka.

Perihal AUKU ini akhirnya menyaksikan lahirnya mahasiswa yang lemah segala saraf kepekaan mereka terhadap isu yang menimpa rakyat dan negara. Mahasiswa semakin bisu dan kelu terhadap kerakusan golongan atasan menindas golongan bawahan dan rakyat marhaen. Majoriti sekadar mengangguk dan mengiyakan segala penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan amanah sang penguasa. Tidak hairan apabila negara didakwa semakin ketandusan pemimpin bertaraf nasional dan berwibawa pada hari ini untuk diketengah dan digunakan untuk menerajui kepimpinan negara.

Isu ini juga dipersetujui Ketua Jabatan Sains Politik, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan UKM, PM Dr Mohd Agus Yusoff, yang telah berada di lapangan ilmiah ini selama 26 tahun, yang membandingkan suasana mahasiswa hari ini dan 1980-an adalah sangat berbeza seperti bezanya siang dan malam.

"Para pelajar hari ini begitu lesu. Mereka bukan (tidak mampu menjadi) pemikir yang kritis," ujar beliau sambil menyifatkan AUKU dan jabatan hal ehwal pelajar universiti bertanggungjawab di atas kelesuan suasana kehidupan mahasiswa hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengatakan walaupun AUKU, mahasiswa pada tahun 1980 masih mempunyai ruang untuk bertindak melalui peraturan-peraturan yang ditetapkan. Beliau juga memberi contoh Datuk Ahmad Shabery Cheek, Datuk Husam Musa dan Datuk Puad Zakarshi sebagai contoh pemimpin hari ini yang  muncul memimpin gerakan pelajar di universiti tempatan dan hari ini turut berjaya dalam politik.

"Saya mendapati mereka (Datuk Shabery, Datuk Husan & Datuk Puad) aktif berpersatuan dan (mereka juga) benar-benar mencapai kejayaan dalam akademik. Mereka adalah mahasiswa yang bijak. Mereka banyak terlibat (dalam persatuan), (bertindak di) dalam pasukan dan sangat teratur; jauh lebih baik daripada mahasiswa yang senyap dan menyendiri. "

要继续

Monday, November 22, 2010

Menanti 'Parlimen Mahasiswa' sebenar

Sekadar Hiasan : Parlimen Mahasiswa di UK


Parlimen merupakan institusi agung bagi meluluskan rang undang-undang di negara yang mengamalkan demokrasi. Ahli parlimen mempunyai tugas penting untuk berbahas bagi menyelesaikan isu semasa demi kesejahteraan rakyat.

Pada awal tahun ini pihak Kementerian Pengajian Tinggi menyarankan institusi pengajian tinggi tempatan untuk menubuhkan Parlimen Mahasiswa sebagai platform untuk golongan itu mengutarakan pandangan berhubung isu-isu semasa dan yang berkaitan.

Menurut Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, parlimen mahasiswa tersebut adalah sebagai landasan terbaik untuk mahasiswa bersuara justeru setiap universiti perlu mempunyai model Parlimen Mahasiswa sendiri

Sebelum ini, proses menyalurkan pendapat dilakukan melalui Majlis Perwakilan Pelajar atau persatuan, tetapi kedapatan ia kurang berkesan dalam mewakili suara mahasiswa.

Persidangan Parlimen Mahasiswa pertama telah diadakan buat kali pertama di kampus Universiti Sains Malaysia (USM) 23 Oktober lepas. Sebelum itu Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar (BHEPP) USM dan MPP telah mengadakan bengkel penggubalan Parlimen Mahasiswa. Hal ini untuk memastikan kelangsungan kaedah, peraturan dan undang-undang parlimen tersebut.

Namun cakap-cakap dengan para peserta bengkel tersebut mendakwa terdapat kekeliruan dan kekaburan dengan pelaksanaan dan fungsi parlimen mahasiswa tersebut. Hal ini sudah terang lagi bersuluh kerana persidangan Parlimen Mahasiswa adalah dibatasi oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan juga bakal terikat dengan sebuah lagi akta yang dalam proses penggubalannya.

Perkara ini sekaligus mengundang suasana 'tidak kena' kerana melalui takrifan parlimen itu sendiri merujuk kepada sebuah majlis yang mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang.Justeru akan ada perbahasan yang sedia maklum akan menjangkaui 'isu-isu sensitif' dan bersifat dalaman.

Isu ini telah dibangkitkan oleh YB Nasir Zakaria, Ahli Parlimen Padang Terap yang mendakwa Parlimen Mahasiswa di negara ini masih dibayangi Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), berbeza dengan Parlimen Mahasiswa yang diwujudkan di United Kingdom.

Di UK seperti mana yang kita ketahui, Parlimen Mahasiswa ditubuhkan,mereka mempunyai akta khusus menyebabkan mahasiswa yang memberikan pandangan dalam forum tersebut mempunyai kebebasan untuk menyatakan pandangan-pandangan mereka.

"Di Malaysia kita masih lagi mempunyai sekatan-sekatan seperti Auku yang menghalang kebebasan mahasiswa daripada menyuarakan pandangan.

"Sejauh mana inisiatif yang dibuat oleh menteri boleh memberikan mahasiswa suara yang ketiga dalam pembangunan negara kita?" soal beliau.

YB Nasir dalam soalan asalnya meminta Menteri Pengajian Tinggi (KPT) menyatakan adakah kerajaan berhasrat untuk menubuhkan Parlimen Mahasiswa (Student Parliament/Youth Parliament) seperti mana yang dilaksanakan di UK sebagai bukti keterbukaan kerajaan mengiktiraf suara mahasiswa sebagai suara ketiga dalam menjadi rakan pembangunan negara dan juga menggalakkan mahasiswa terlibat secara progresif dan positif dalam politik negara.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Hou Kok Chung dalam jawapannya memberitahu bahawa KPT sememangnya menyokong dan menggalakkan pelaksanaan program-program pembangunan sahsiah pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk melalui pembentukan Parlimen Mahasiswa.

"Sesuai dengan kuasa autonomi yang ada pada IPT, Naib-Naib Canselor telah diberi kuasa dalam menguruskan hal-hal berkaitan perkara ini di IPT masing-masing," kata beliau.

Menurutnya, setakat ini USM telah melaksanakan model Parlimen Mahasiswanya yang tersendiri secara rasmi pada 23 Oktober lalu dengan dikenali sebagai Dewan Perundingan Pelajar (DPP).

Beliau bagaimanapun tidak menjawab persoalan sebenar mengenai kekangan mahasiswa di bawah Auku.

Isu Parlimen Mahasiswa ini juga turut disokong Datuk Bung Mokhtar Raden, Ahli Parlimen Kinabatangan yang mahu kerajaan melaksanakan Parlimen Mahasiswa secara keseluruhan (total).

"Persoalannya sekarang dengan keyakinan jitu daripada kementerian,apa halangannya untuk pihak kerajaan mewujudkan secara total Parlimen Mahasiswa kerana mahasiswa ini adalah aset negara.

"Daripada awal kita latih mereka, didik mereka bagaimana menjadi wakil rakyat, bagaimana nak bincang isu-isu yang relevan," katanya.


Sunday, November 21, 2010

Mesti muat-turun : Ketahui Hak Anda & Polis

 
" Apakah saya perlu buat jika ditahan ? "

" Saya sedang disiasat atau sedang ditahan nie?? "

" Benarkah yang tahan saya tadi, polis ? "

Mungkin ini antara persoalan yang sering bermain di minda kita apabila berbicara tentang pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Akibat provokasi dan takut kelihatan melawan pihak berkuasa, akhirnya kita mendiamkan diri sahaja. Walaupun kita sedar apa yang sedang berlaku menyalahi etika seorang anggota polis.

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan pihak berkuasa yang berperanan menjaga keselamatan rakyat khususnya dalam lingkungan setempat. Sistem polis di Malaysia unik berbanding dengan negara-negara dunia lain, di mana di Malaysia sistem polis bersifat berpusat, iaitu segala bentuk kepolisan dari polis tugas am (General Duties) ke perisikan adalah di bawah bidang kuasanya. (Contoh mudah, USA memiliki unit seperti CIA, FBI, NYPD, LAPD, LVPD dll)

Dalam menjaga keamanan awam, PDRM turut dibantu oleh kumpulan sokongan yang terdiri dari Polis Tambahan, Sukarelawan Polis, Polis Bantuan, Kadet Polis dan kakitangan awam seperti program komuniti seperti Rakan Cop.

Bagi urusan pentadbiran pihak PDRM, terdapat dua jabatan yang ditubuhkan iaitu Jabatan Pengurusan dan Jabatan Logistik. Selain itu, PDRM mempunyai lima jabatan yang terlibat secara langsung dalam pencegahan jenayah iaitu Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA), Cawangan Khas dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.(sumber : Wikipedia)

Sistem polis boleh dilihat pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Ketika ini, peranan, tugas dan tanggungjawab polis digabungkan dengan tugas-tugas ketenteraan. Sultan menjadi pusat kuasa yang mengawal sistem ini, mempunyai kuasa mutlak. Kuasa polis kini diimbangi dengan kuasa Angkatan Tentera Malaysia. Namun begitu, pihak polis masih mempunyai akses dan rangkaian yang luas. Pihak polis sangat penting dalam sesebuah negara; anggota yang baik boleh membantu membangunkan negara tetapi jika sebaliknya maka ia akan menyebabkan negara yg kita sayangi ini bakal menuju kehancuran. Misalan mudah, pelbagai kesalahan jenayah, dadah, rasuah dan sebagainya akan terlepas atau tidak ; semuanya di tangan pihak Polis Diraja Malaysia.

Kami di Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) tidak bercadang mencetuskan sebarang polemik di sini tetapi sekadar berkongsi beberapa pengetahuan am berkenaan hak Polis & warganegara di dalam Akta Polis  yang mana telah dijelaskan oleh The Malaysia Bar Council (Badan Peguam Malaysia) melalui RED BOOK - KNOW YOUR RIGHTS (BM Version) yang boleh dimuat-turun di sini secara percuma.

Isi kandungan Buku Merah ini adalah maklumat dan pengetahuan umum berkenaan hak-hak yang dimiliki seseorang warganegara semasa di dalam siasatan polis. Harus diingatkan maklumat ini bukan sekadar untuk segelintir golongan sahaja, tetapi adalah maklumat yang sangat berguna buat semua warganegara dalam memastikan tiada sebarang penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa.

Diharapkan maklumat ini akan disebarkan kepada semua selagi bergelar warganegara Malaysia.


Ber-GM Lebih Baik!

Saturday, November 20, 2010

Mengenali AUKU - part 1


Di celah kehangatan suasana Aidil Adha yang memasuki hari ke-4, kami di Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) berkesempatan melihat komen-komen, pandangan dan wacana daripada segenap peringkat usia berkenaan Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) 1971 atau lebih dikenali Akta 30 ini  terutama selepas isu ini hangat dibincangkan di kalangan Ahli Parlimen dan ditambah pula isu  UKM4 & 2UKM baru-baru ini.

Mahasiswa merujuk pada satu kelompok pelajar yang berada di peringkat yang tinggi dalam sistem pendidikan formal sesebuah negara. Pengemblengan tenaga kelompok mahasiswa ini berteraskan daya keintelektualan yang bersifat idealis untuk mencapai matlamat yang digagaskan bersama, selaras dengan kedudukan mereka di puncak menara ilmu. Natijahnya, lahir satu arus gerakan yang sentiasa bersama dengan kebenaran (al-haq) dan sama sekali tidak bersekongkol dengan kebatilan hatta kelompok mereka ini dikenali sebagai 'independent group'. (Zuhdi b. Marzuki, 2002:th).

Mahasiswa terdiri oleh dua suku kata iaitu 'maha' yang melambangkan besar atau berkuasa; dan 'siswa' iaitu merujuk kepada kelompok penuntut atau pelajar di instiusi pengajian tinggi (IPT). Hasil sistesis kedua-dua suku kata ini memberi makna tersendiri – iaitu suatu ‘bangsa’ yang bukan sahaja mulia disebabkan kesempatan menuntut ilmu di peringkat tinggi (Universiti), tetapi turut mempunyai kuasa mobilisasi massa berteraskan kapasiti intelektual yang dimiliki oleh mereka. (Zainulfaqar b. Yaacob, 2006:20)

Profesor Feaur dari Universiti Toronto dalam bukunya 'The Conflict of Generation – The Charactor and Significance of Student Movement' bahawa aktivisme mahasiswa lebih suatu pemberontakan dan kecenderungan ini lebih dilihat sebagai persoalan konflik antara generasi (generational conflict). Kondisi ini berlaku berpunca oleh kebencian kepada generasi lama yang sudah 'establish'. Maka, mahasiswa dilihat sebagai 'pressure group' yang 'anti-establisment'. (Mohammad Abu Bakar, 1972:13).

Ironinya, mahasiswa mempunyai nilai-nilai tersendiri yang perlu diperhatikan; (1) mahasiswa adalah ‘bangsa’ terpelajar. (2) mahasiswa ini mempunyai gagasan pemikiran dan tindakan yang tersendiri – disebut sebagai idealisme. (3) pergerakan mereka adalah bersifat tersendiri.

Bersangkutan nilai-nilai di atas ini, lahirlah rupa dan gaya aktivitisme mahasiswa Malaysia yang gemar berwacana, berdiskusi, berdebat, berpidato, mengeluarkan kenyataan akhbar, menghantar memorandum hatta berdemontrasi di universiti dan turun dalam lapangan ummat.

Sesungguhnya rakyat kepingin melihat bentuk dan wajah aktivitisme mahasiswa yang bersifat non-partisan. Begitu juga dengan parti-parti politik, kesatuan buruh/pekerja, badan bukan kerajaan (NGO) hatta pihak Kerajaan sendiri. Masing-masing mempunyai persepsi tersendiri berhubung satu-satu atau majmuk aksi mahasiswa Malaysia.

Bagi kaum rakyat marhaen, mahasiswa dahulu lebih dekat dan terkenal dengan istilah  'independent group','pressure group', 'cataliyst', 'check and balance' dan sebagainya.

Ini kerana rakyat suatu masa dahulu pernah melihat partisipasi yang benar-benar menggugat daripada gerakan mahasiswa dalam isu kemiskinan rakyat di Teluk Gong (1967), Baling (1974) dan sebagainya.

Rakyat juga telah melihat betapa lantangnya mahasiswa dalam isu anti-kolonialisme oleh Kerajan (1946-1950an); isu anti-Tunku (1966); isu pencerobohan AS ke atas Hanoi-Haiphong (1966); isu bahasa dan kependidikan nasional (1967); isu sosio-ekonomi negara (1969); isu tuntutan Sabah oleh Filipina (1969); isu pencerobohan Rusia ke atas Szekoslovakia (1969); dan banyak lagi.

Aksi-aksi di atas ini turut diperhati kerajaan dan parti-parti komponen kerajaan. Mereka lebih prejudis dan menganggap bahawa mahasiswa cuba bersikap anti-establishment hatta berhasrat untuk mengambil alih kerajaan Malaysia. Bertitik tolak pada sangkaan ini, AUKU mula diperkenalkan pada 27 April 1971 dan kemudiannya dipinda pada tahun 1974, 1995 dan 1999 (peringkat Universiti Malaya sahaja).

Adakah patut mahasiswa ditohmah sebagai 'anti-establishment' disebabkan sikap lantang mereka itu kebetulan sama dengan sikap lantang pihak-pihak tertentu (Contoh: Labour Party of Malaya, 1954)?

Menurut Prof. Emeritus Dr. Khoo Kay Kim (2005), kelantangan mahasiswa era 1940an berpunca oleh tempuhan pengalaman mahasiswa dengan suasana Perang Dunia II yang turut ditempuhi oleh Malaya. Kelantangan mahasiswa era 1950an pula berpunca oleh tempuhan pengalaman mereka dalam era kemerdekaan Malaya. Maka, sikap anti-kolonialisme mereka sudah tentu masih menebal dan mereka ini tentu peka dengan tindak-tanduk kerajaan baru pada waktu tersebut (Abdul Razaq Ahmad, 2005:9-11)

Kelantangan mahasiswa era 1960an/1970an pula disebabkan oleh tempuhan pengalaman bekerja sebagai guru pendidik di luar bandar/desa oleh kebanyakkan calon mahasiswa sebelum mereka melanjutkan pengajian di Universiti. Mereka melihat tahap pendidikan anak bangsa mereka. Mereka melihat generasi muda mereka. Natijahnya, lahir/timbul kesedaran nasional dalam diri mahasiswa-mahasiswa pada waktu tersebut. (Muhammad Abu Bakar, 1972:23-24)

Apa yang cuba dirumuskan di sini adalah aksi-aksi mahasiswa dalam satu-satu zaman tersebut berpunca oleh kesedaran dan tempuhan pengalaman. Dan partisipasi mereka dalam lapangan ummat adalah suatu perjuangan nilai atau lebih tepat disebut ‘politik nilai’.

要继续

Wednesday, November 17, 2010

Raikan Semangat Eidul-Adha Demi Penjanaan Motivasi Ummah

Insyallah pada hari Eidul-Adha yang mulia ini, kita akan bersama-sama melaungkan kalam kebesaran Allah SWT dengan kita sama-sama melafazkan kalimah takbir dan tahmid sebagai tanda kesyukuran serta keinsafan kepada Pencipta kita.

Eidul-Adha ini acapkali dikenali dengan Hari Raya Korban, kerana umat Islam dituntut supaya melakukan ibadah korban demi mendekatkan diri kepada Allah SWT, sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim a.s di mana, Allah SWT memerintahkan baginda menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail a.s ; suatu perintah yang amat sukar dilaksanakan mengikut adat dan fitrah semulajadi manusia yang mempunyai sifat penyayang ; ditambah pula dengan darah daging sendiri.

Namun sejarah membuktikan, Nabi Ibrahim a.s melaksanakan perintah Allah SWT ini dengan penuh keyakinan dan ketabahan hati serta keikhlasan semata-mata kerana Allah SWT. Hal ini seharusnya dicontohi umat hari ini khususnya di kalangan belia dan mahasiswa kita hari ini.

Allah SWT juga merekodkan bahawa perintah kepada Nabi Ibrahim a.s. supaya menyembelih anaknya itu adalah sebagai salah satu ujian yang amat-amat sukar, menguji kekuatan mental, fizikal, emosi serta keimanan Nabi Ibrahim a.s berdasarkan Firman Allah SWT dalam surah As-Saffat ayat 106-107:

Maksudnya: "sesungguhnya perintah ini ialah satu ujian yang nyata. Dan kami telah tebuskan anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar (kibas)”.

Sewajarnya kisah kepatuhan yang telah ditunjukkan oleh kedua-dua nabi ini menjadi ikutan dan tauladan kepada kita umat Islam hari ini dalam melaksanakan tuntutan dan perintah Allah SWT. Malangnya apakah yang sedang berlaku hari ini?. Manusia semakin hari kelihatannya semakin jauh daripada petunjuk Allah. Manusia semakin hari semakin meragui kekuasaan dan kebesaran Allah. Apakah manusia lupa, suatu hari nanti mereka akan menemui allah dalam keadaan sendiri-sendiri dan dibangkitkan semula dari kuburnya. Kerana kealpaan inilah, manusia lalai dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang hamba terhadap Tuhannya.

Kami di peringkat MPP Mahasiswa menyedari kelemahan umat kita pada hari ini akibat kurangnya KETEKUNAN dan KESUNGGUHAN dalam menangani isu-isu kepentingan umat islam. Kenyataan yang ada di hadapan kita hari ini, umat Islam di kebanyakan negara di dunia hari ini, dalam keadaan begitu lemah, sehingga tidak mampu mengambil langkah pembaikan yang sewajarnya. Ia akibat hilangnya sifat itqan (kesungguhan) dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan, dari peringkat atasan hinggalah peringkat bawahan. Hasilnya, timbullah masalah-masalah seperti berikut:

Pertama: Umat Islam lemah dari segi perancangan jangka panjang. Hakikat hari ini membuktikan, umat Islam tidak mempunyai persediaan sempurna untuk mempertahankan kedaulatan mereka. Kita lebih berserah kepada Allah SWT serta berdoa agar Allah memberikan pertolongan, sedangkan kita tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib kita sendiri.

Kedua: Hilangnya tumpuan dalam menjalankan tugas yang diamanahkan, kerana umat Islam lebih mementingkan masalah diri sendiri. Inilah fenomena yang amat membimbangkan dunia Islam hari ini. Sekiranya pangkat dan kedudukan menjadi tujuan dan matlamat, maka percayalah bahawa kebajikan masyarakat dan kepentingan umat akan terabai. Natijahnya, masyarakat hilang kepercayaan terhadap kepimpinan, mereka berpecah di antara satu sama lain, masing-masing mempunyai cara dan agenda tersendiri. Akhirnya tidak ada penyatuan fikrah di kalangan masyarakat, apatah lagi penyatuan umat dalam menghadapi cabaran-cabaran besar masakini.

Kita akan terus menerus ditimpa kehinaan, selagi kita tidak berpegang dengan prinsip-prinsip ajaran islam yang sebenar. Kita perlu menanamkan kesungguhan untuk melaksanakan Islam yang sebenar secara menyeluruh dalam diri dan kehidupan seharian, serta mengamalkan fahaman Islam yang tulin yang dapat meyakinkan kepada manusia dan dunia bahawa asas ajaran agama Islam yang suci ini adalah berteraskan wahyu Ilahi yang mengutamakan keamanan, kedamaian serta kesejahteraan manusia sejagat. Dengan ini dapat dibuktikan bahawa islam adalah satu-satunya agama yang bersifat sederhana, betul dan tepat.

Dalam pada itu,dengan tibanya hari raya Eidul-Adha ini, kita dituntut untuk melakukan ibadah korban yang mana ibadah ini penuh dengan muatan hikmah dan nilai utama. Dapat disimpulkan jika ditinjau dari sudut tarbiyyah (pendidikan) , ibadah korban itu dapat melatih dan membentuk watak umat Islam supaya sentiasa bersedia untuk berkorban, dengan mengorbankan sebahagian dari nikmat-nikmat yang dikurniakan untuk kepentingan umat manusia lain yang lebih memerlukannya. Justeru dengan semangat ini umat Islam akan dapat meningkatkan kebaktian kepada Pencipta manakala orang-orang yang beriman pula akan sentiasa siap siaga dan waspada untuk mengatasi pelbagai kesulitan di dalam kehidupan mahupun perjuangan.

Akhir kalam marilah pada hari ini, kita memperbanyakkan sembah salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran.

Selamat Hari Eidul-Adha 1431 H.


Ber-GM Lebih Baik!

Saturday, November 13, 2010

Al-Fatihah


Salam takziah buat keluarga Siti Esah binti Mohamed, mahasiswi Tahun 3, Jabatan Syariah daripada Fakulti Pengajian Islam yang kembali ke rahmatullah pagi tadi disebabkan kecederaan parah akibat kemalangan jalan raya yang berlaku petang semalam.

Allahyarhamah bersama rakannya sekuliah, Maisarah binti Ghazalli yang cedera parah akibat kemalangan tersebut dilaporkan dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di  Kelantan setelah tamat peperiksaan akhir di UKM. Mereka dilaporkan menaiki kereta Kancil ketika kejadian dikatakan merempuh sebuah lori treler di jalanraya Gua Musang semalam dan telah dikejarkan ke Hospital Kuala Krai. Siti Esah menghembuskan nafas terakhir di hospital tersebut kira-kira pukul 11.30 pagi tadi. 

Rakan allahyarhamah, Maisarah yang cedera parah akibat kemalangan tersebut diberitakan kini stabil  setelah dilakukan pembedahan. Beliau dilaporkan mengalami patah kaki akibat kemalangan tersebut dan masih dirawat tetapi kini telah dipindahkan ke Hospital Besar Kota Bharu

Untuk makluman, allahyarhamah Siti Esah meninggalkan 8 orang adik-beradik dan ibunya yang bekerja kampung. 

Dalam pada itu, pada hari yang sama semalam satu kemalangan maut turut meragut nyawa seorang mahasiswi UKM dari Kolej Ibrahim Yaakob. Saudari Hidayu Yaakob, 21 merupakan mahasiswi Tahun 2 daripada Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan (FSSK). Allahyarhamah yang menunggang motosikal seorang diri dikatakan dilanggar sebuah lori treler di Tanjung Karang semasa dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di Sekinchan semalam. Jenazah diberitakan telah dikebumikan pada malam semalam.

Gabungan Mahasiswa mendoakan semoga roh allayarhamah Siti Esah dan Hidayu Yaakob dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-hambaNya yang bertaqwa. Kita juga mendoakan juga saudari Maisarah akan segera sembuh dan kembali ke pangkuan keluarga.

Gabungan Mahasiswa dalam pada itu turut menyeru rakan-rakan mahasiswa agar menjaga keselamatan diri semasa pulang bercuti ini. Elakkan daripada memandu dan menunggang motosikal sekiranya tidak perlu. Pastikan juga rakan-rakan mendapat rehat yang cukup sebelum melakukan perjalanan jauh.

Al-Fatihah.

Manfaatkan Masa Cuti Anda

Dengan berakhirnya hari peperiksaan semalam, maka bermula cuti semester bagi rakan mahasiswa UKM bermula hari ini sehingga 19 Disember 2010 nanti. Kami di Gabungan Mahasiswa UKM mengucapkan selamat menjalani cuti semester kepada semua rakan mahasiswa dan mendoakan semoga melalui cuti yang kali ini akan memberikan motivasi kembali kepada rakan-rakan mahasiswa sekiranya perjalanan semester ini agak kurang memberangsangkan.

Di peringkat GMUKM, kami ingin mengajak rakan-rakan mahasiswa untuk merenung kembali, sejauh mana kita bersedia untuk memanfaatkan cuti kita pada kali ini? Jika kita masih gagal merancang apa-apa, ingatlah pepatah bahawa, " we plan to fail if we fail to plan! " Pepatah ini menerangkan seolah-olah akibat buruk akan menimpa seseorang yang tidak tahu menggunakan masanya. Isikanlah masa lapang dengan perkara yang bermanfaat untuk anda pada masa akan datang. Jangan disia-siakan baki cuti yang masih ada.
Masa yang telah berlalu telah menjadi sejarah hidup, masa yang mendatang akan merencanakan hala tuju hidup anda. Sama ada kegembiraan atau tangisan yang akan menemui anda kelak, semuanya bergantung kepada bagaimana anda manfaatkan masa anda.

Gabungan Mahasiswa UKM juga ingin mengajak rakan-rakan mahasiswa untuk sama-sama merencana aktiviti-aktiviti bermanfaat untuk diri dan masyarakat sekeliling. Sebagai contoh, sebenarnya banyak perkara mahasiswa boleh lakukan umpamanya turun kepada lapangan masyarakat. Dan lebih menarik lagi sekiranya dapat menyertai program operasi khidmat masyarakat, atau membantu masyarakat yang kesusahan akibat banjir seperti di negeri Kedah ketika ini.


Di akhir kalam , ingin dibawakan sabda Rasulullah SAW yang bertepatan dengan pengurusan masa ini iaitu ;

"Dua nikmat yang dipersia-siakan oleh kebanyakan manusia iaitu kesihatan dan MASA YANG TERLUANG."( Riwayat Imam al-Bukhari )

Ingat ! Masa adalah masa depan anda. MANFAATKAN MASA ANDA!


Selamat Bercuti.



Ber-GM Lebih Baik!

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !