Isu WWW1 kecoh seketika. Rata-rata yang kecoh adalah rakyat marhean.
Mereka terkejut sebenarnya. RM500000 untuk sekeping plat kereta adalah
hal begitu melampau buat golongan yang gaji cukup-cukup makan.
Untuk elitis, mungkin itu hal yang biasa. Tiada yang pelik. Ohhh, biasa
lah RM500000 untuk plat kereta. Pak arab sekali bida mahu telan RM2-3
juta. Mungkin itu yang terdetik dalam hati mereka.
Mungkin. Telah hati saya juga.
Maka luahan-luahan "murka" rakyat marhean mula kedengaran. Maklumlah,
sekarang nak jumpa sultan tidak perlu lagi pergi ke istana. Boleh
"jumpa" direct dalam Twitter. Dunia iPhone kan?
Jadi, jalan cerita itu terus wujud. Mereka di paras elitis mula panas
punggung mendengar "kemurkaan" para hamba rakyat. Biasa lah, orang yang
terkejut pasti akan marah-marah. Itu lazim sebagai manusia. Lantaran
mereka marah itu ada rasionalnya.
Rakyat marhean persoalkan, kenapa begitu boros?
Ramai yang di bawah masih tidak cukup makan. Berlambak hamba rakyat
masih tidur berlampirkan lantai basah. Ratusan lagi ibu tunggal dan anak
yatim masih kekeringan tidak cukup vitamin. Ribuan penuntut universiti
terpaksa bergolok gadai keluarga mereka demi sebuah ijazah.
Sekalian mereka terkejut dengan pelaburan RM500000 semata untuk sekeping plat.
"Mind your own business!" titah para elitis.
Ya, kami faham jika itu bukan dari dana awam. Saya tak menuduh sesiapa
di sini. Cuma sebagai rakyat marhean titah seperti di atas amat
mengguriskan hati saya. Itu belum lagi bagaimana hati mak dan ayah saya
yang membanting tulang pagi petang cari duit dan bayar cukai setiap
tahun kemudian dengan cukai-cukai itu dibayar gaji-gaji para raja. Sudah
tentu mereka lagi terguris.
Penat mereka memberi, tapi bila mempersoalkan dana itu mereka dimarahi?
Kemudian sekalian hamba rakyat mula ketakutan dengan perkhabaran raja
murka. Alamak itu sudah boleh terkena tulah. Raja murka, elitis naik
minyak sama. Golongan marhean feudal terus menyalakan api. Mereka seolah
benteng sang raja.
"Hei penderhaka, kau jangan sampai aku kerah sekalian pewaris Panglima
Kiyai Salleh Selempang Merah pancung seluruh keturunan kau sampai mati!"
demikian marahnya si marhean berfikiran feudal ini.
Kawan, zaman sekarang sudah ada iPad la =)
Kamu masih lagi boleh hidup dengan istilah derhaka, murka?
Tolong, janganlah di tangan ada iPad tapi akal masih di zaman batu.
Lantaran itu ingin sekali aku luahkan isi hati. Jika sang raja boleh
murka pada sekalian hamba rakyat maka untuk kami adakah tiada hak untuk
"murka" pada keborosan para elitis?
Hak Rakyat Untuk Murka
Kenapa perlu ada lagi istilah feudal sebegitu?
Cita-cita Malaysia mahu lahirkan masyarakat progresif tidak memerlukan
ugutan bersifat monarki. Biarkan mereka berfikir. Lepaskan lidah-lidah
mereka untuk berbicara tentang hak mereka. Persoal gaya hidup sultan
tidak bermaksud mereka persoal kedudukan sultan.
Itu jelas. Muktamad.
Kami hormati kedudukan institusi beraja. Apa yang kami persoalkan ialah
kenapa nampak begitu boros sedangkan ramai lagi anak watan belajar di
kolej-kolej yang menumpang di rumah-rumah kedai!
Bukan cuma sultan saya tujukan komentar ini, malah buat mereka di paras
elitis. Mereka yang memegang tampuk kuasa tidak kira di peringkat mana
institusi mereka.
Saya sudahi luahan ini, dengan untaian kata hikmah dari Umar Al-Khattab,
"Jika rakyatku kenyang biar aku terakhir rasainya, jika rakyatku lapar
biar aku pertama yang rasai".
Kami ini tidak lagi lahir di zaman monarki mutlak. Itu apa yang kami faham.
Ampun Tuanku!
ATA, 1:35 AM
ATA, 1:35 AM
Ahmad Tajuddin Abdullah. Penulis merupakan blogger bebas. Tulisan ini tidak semestinya menggambarkan pendirian GMUKM.
Ber-GM Lebih Baik!
0 comments:
Post a Comment