Sambutan Hari Belia Kebangsaan menyaksikan Malaysia
terus dibajai dengan unsur ‘wasatiyyah’ yang menjadi agenda pembangunan diri
belia Malaysia. Perhimpunan Belia yang dianjurkan pihak pemerintah sangat
menduka citakan.
Hari ini kebanyakan orang gigih
berusaha demi menutup lubang kemaksiatan daripada terbuka, namun tindakan pihak
pemerintah pada hari ini seakan-akan bersiul memecahkan penutup lubang tersebut.
Belia adalah nadi pembangunan
negara, menjadi pasak pendokong inspirasi negara. Seharusnya, golongan belia
perlu diberi didikan yang sewajarnya. Mengenal erti kehidupan yang sebenar
berlandaskan syariat Allah. Mereka yang kita lihat menghadiri perhimpunan ini
kebanyakannya adalah kaum melayu yakni beragama Islam.
Belia, anak muda Malaysia
seharusnya berjiwa kental. Usah terus terlena dibuai dengan ‘keselesaan’ yang diterapkan
oleh sang kapitalis. Jiwa kekenyangan
dek hidangan hiburan yang melampau,
tiada keterbatasan sepenuhnya terhadap pemeliharaan akidah. Akibat agenda
politik, dengan hiburan yang melampau menjadi modal sang pemerintah dalam
menguasai undi belia Malaysia.
Bangkitlah wahai pemuda pemudi,
usah dijadikan “tidak peduli!” sebagai budaya. Saksikanlah saudara seakidah di
negara-negara Islam bangkit mempertahankan akidah mereka. Bangkitlah Belia
Malaysia!
Anak muda perlu kehadapan,
memenuhi barisan hadapan, kerana anak muda selayaknya berperanan dalam
menentukan masa depan mereka. Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia
menyeru agar anak muda khususnya mahasiswa, bangkit daripada tidak menghiraukan
nasib generasi muda akan datang.
GMUKM menyelar kenyataan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak, "Apa yang kita buat tak lain tak bukan
kita amalkan demokrasi berparlimen. Demokrasi bukan demonstrasi jalanan,
tendang anggota polis. Itu bukan demokrasi, itu 'demo-crazy',"
Beliau selayaknya menilai semula
kenyataan “Demontrasi bukan demonstrasi jalanan....”. Demokrasi yang beliau
amalkan di Malaysia merupakan agenda demokrasi yang paling ‘terbaik!’. Mereka
mengamalkan budaya rasuah, penyelewengan, ketirisan kewangan dan sebagainya. Perkara
ini tidak pula diberikan perhatian yang lebih, walhal skop demokrasi tersangat
luas.
Perhimpunan Belia kali ini
menampilkan slogan “Jadikan Hari Esok Lebih Baik Dari Hari Ini” sangat tidak
relevan dengan pendekatan yang digunakan. Hiburan yang melampau, memberi lesen
kepada belia untuk menjadikan hiburan pada hari esok lebih melampau dari hari
ini.
Begitu pun, beliau menambah “Belia
yang beradab, berhemah mulia, belia yang menghormati undang-undang. Inilah
belia yang menjamin masa depan negara kita”. Persoalannya disini, adakah dengan
bermodalkan pelbagai konsert hiburan, generasi muda akan bercambah
pemikirannya? Berbudi bahasa senada dengan rentak irama muzik yang
didendangkan?
Lancang berbicara namun berbeza
pula tindakan yang dilakukan. Hampir setiap hari dihidangkan konsert serta
hiburan yang melekakan. Bukan model yang terbaik dalam proses penerapan jati
diri anak muda, tetapi model penghancuran akhlak yang terhebat bagi anak muda Malaysia.
Justeru, GMUKM berpendirian
menolak segala unsur yang melalaikan dalam progam yang dianjurkan oleh
Kementerian Belia dan Sukan. Malah,
berharap sekiranya program ini dijadikan sebagai program tahunan, pihak penganjur
perlu mendapatkan khidmat nasihat daripada Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia.
Majlis Fatwa Kebangsaan berhak menilai semula serta bersuara terhadap segala
unsur hiburan yang melampau ini.
Ber-GM Lebih Baik!
0 comments:
Post a Comment