Safwan Anang.. 'Saya sendiri telah mempertimbangkan untuk bertanding pada PRU13'. |
KEBANGKITAN suara anak muda semakin jelas terserlah sejak pilihan raya
umum 2008 dengan menyaksikan ramai pemimpin muda diberi mandat oleh
rakyat dalam membuat perubahan kepada landskap politik negara yang perlu
menerima pakai pendapat dan memahami kemahuan mereka dalam menentukan
hala tuju negara.
Penerimaan rakyat terhadap pemimpin muda tidak dapat disangkal lagi. Ini terbukti apabila golongan mahasiswa kini menjadi pemimpin kecil dalam masyarakat dan akar umbi dalam memberi penerangan kepada rakyat akan politik baru kini mula diperkatakan.
Mahasiswa juga tidak terlepas dalam memikul tanggungjawab ini dalam memastikan rakyat mendapat pilihan terbaik dalam pentadbiran negara menerusi dasar dan polisi yang lebih baik untuk kepentingan rakyat.
Ikuti temu bual Sinar Harian Online bersama Muhammad Safwan Anang, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) dalam membicarakan calon wakil rakyat yang ditekankan anak muda dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.
SINAR HARIAN ONLINE: Apakah ciri-ciri seorang calon wakil rakyat PRU13 yang ditekankan oleh golongan muda dan apakah kaitannya dengan faktor 'winnable candidate' yang disyaratkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini?
SAFWAN ANANG: Faktor atau ciri-ciri golongan seperti kami, mahasiswa dan anak muda tekankan dalam memenangi pilihan raya akan datang ialah pertamanya mereka mestilah sesuai dengan kehendak semasa. Bagi saya, pemimpin masa ini mereka perlu menyelami dan bersama-sama dengan golongan muda terutamanya, mereka perlu menitikberatkan soal pembangunan golongan muda, sebagai contoh dalam isu pembiayaan pendidikan itu sendiri.
Mereka juga mestilah rapat dengan anak muda dan mendekatkan diri golongan ini menerusi media sosial dan sebagainya. Dalam keadaan sekarang ini, media sosial itu begitu luas seperti Facebook, Twitter dan YouTube. Pemimpin perlu mendalami ataupun bersama-sama dengan anak muda dengan cara berinteraksi menggunakan media sosial. Mereka perlu beri maklum balas terhadap isu-isu anak muda sekarang.
Bagi saya kenapa penting bagi mereka kerana keadaan negara kita tidak sebelumnya, pemimpin sifatnya kadang kala lebih banyak turun padang dan menghadiri majlis-majlis kenduri ataupun sebarang aktiviti yang dianjurkan oleh penduduk setempat.Tetapi bagi saya, anak muda juga mereka perlukan maklum balas dalam media sosial dan itu yang menjadikan pemimpin hari ini mereka perlu cekap menguasai media semasa, dan menjawab segala persoalan dalam konteks mereka memahami hasrat orang muda.
Saya tekankan sehingga sekarang dalam isu pembiayaan pengajian tinggi, saya masih berpendirian bahawa mana-mana pemimpin dari parti mana sekalipun, mereka mesti menitikberatkan soal pembiayaan pendidikan tinggi iaitu isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang pernah saya bangkitkan sebelum ini. Kita lihat hal itu sebagai isu yang besar. Baru-baru ini ada sekumpulan mahasiswa yang membuat sidang media mengenai isu pengangguran di kalangan mahasiswa Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Kita rasa, hari ini, universiti swasta ini tidak disediakan ruang kerja yang tepat apabila mereka tamat pengajian. Pemimpin sekarang perlu tangani masalah ini segera dan mereka perlu menyediakan peluang pekerjaan yang baru. Dalam keadaan konteks ekonomi semasa, sudah tentulah anak muda melihat pemimpin hari ini bahawa mereka perlu cekap menguruskan soal kehidupan anak muda termasuklah pembiayaan pengajian tinggi.
SINAR HARIAN ONLINE: Pada masa ini, golongan muda banyak menggunakan media sosial sebagai media alternatif sama ada untuk berhubung dengan orang ataupun mendapatkan maklumat perkembangan semasa. Adakah saudara melihat pemimpin sekarang banyak menggunakan media sosial atau menggunakan pihak ketiga untuk menjawab bagi pihaknya dalam permasalahan rakyat dan sebagainya?
SAFWAN ANANG: Saya melihat keadaan itu tidaklah sebegitu. Kita nampak hari ini, masih ramai pemimpin yang tidak menjiwai hasrat orang muda, terutama melalui media sosial. Perkara itu saya fikir perlu ditambah baik oleh pemimpin hari ini, mereka perlu jadikan medium itu sebagai satu sumber maklumat untuk memimpin rakyat secara keseluruhan, bukan setakat orang muda sahaja bahkan golongan veteran juga perlu berinteraksi secara terus.
Secara sepintas lalu, saya melihat masih tidak ramai pemimpin yang mesra dengan media sosial ataupun boleh mendekati anak muda. Kita tidak dinafikan ada juga berkebolehan seperti Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah di mana beliau berinterkasi dengan rakyat menerusi media sosial seperti Twitter dan saya puji sikap beliau yang mesra dan boleh mendalami hasrat anak muda.
Bagi saya pemimpin lain juga perlu mencontohi apa yang beliau sendiri lakukan dan dalam keadaan itu juga tidak dinafikan dalam kepimpinan Pakatan Rakyat (PR), ramai pemimpin yang mengambil peluang gunakan media sosial itu sebaik mungkin, saya rasa kesannya lebih bagus berbanding dengan cara dan corak pemimpin sebelum ini.
Ciri ‘winnable candidate’
SINAR HARIAN ONLINE: Adakah faktor parti memainkan peranan ‘winnable candidate’ ataupun kombinasi calon dan parti itu penting dalam menentukan kemenangan seseorang calon itu pada PRU13 nanti?
SAFWAN ANANG: Secara realistiknya, pada masa ini, parti itu sendiri tidak banyak memberikan kesan atau imej simpati untuk memberi kemenangan kepada mana-mana calon, saya fikir prestasi calon itu sendiri yang akan memberikan ukuran sebenar calon bagaimana yang akan menjadi pilihan anak muda.
Bagi saya, isu parti terlalu subjektif dan pada pandangan saya, anak muda secara terus akan tengok calon itu siapa, adakah dia calon itu berlatar belakang salah laku seperti pernah terlibat dalam rasuah, atau pernah terlibat dalam pecah amanah atau khianat.
Sudah tentu calon itu akan ditolak anak muda, meskipun beliau mewakili parti yang kuat. Saya tetap berkeyakinan bahawa anak muda memang akan melihat kredibiliti calon itu berdasarkan individu itu sendiri berbanding kelebihan yang dia mungkin ada berlatarbelakangkan parti yang kuat tapi belum tentu menjamin kemenangan.
Saya sendiri dari Kuala Terengganu, saya belum pernah mengundi sejak 2008 lagi, apa yang berlaku di sana di mana Parlimen Kuala Terengganu kuatnya PR, namun apabila bertanding dalam kawasan itu, calon PR kalah kepada calon Barisan Nasional (BN) disebabkan kredibiliti calon dari Umno mempunyai kelebihan dari aspek pendidikan. Itu sememangnya mempengaruhi undi anak muda itu, tidak semestinya latar belakang parti itu melambangkan kekuatan calon tersebut semata-mata.
SINAR HARIAN ONLINE: Adakah golongan muda akan menolak calon selain calon orang Melayu jika dalam BN ataupun PR?
SAFWAN ANANG: Bagi saya, hal itu tidak menjadi masalah dalam isu perkauman ataupun calon ini dari kaum lain daripada anak muda itu sendiri. Sekarang ini, saya fikir anak muda sudah matang, soal perkauman ini tidak lagi menjadi persoalan, adakah dia patut mengundi calon yang datang dari kaum selain dirinya sendiri.
Kalau kita tengok agenda PM pun dia sendiri menggagaskan agenda 1Malaysia yang menggabungkan semua kaum dalam satu bangsa iaitu bangsa Malaysia. Saya rasa isu bangsa atau kaum ini tidak perlu lagi jadi titik mula bagi mana-mana parti politik dalam menjaja manifesto.
Saya kira itu tidak lagi dan tidak harus jadi agenda mana-mana perjuangan parti sekalipun, yang penting adalah khidmat yang terbaik itu lebih mempengaruhi apa yang akan diundi oleh anak-anak muda.
SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana pula faktor agama Islam dan hak keistimewaan Melayu jika calon wakil rakyat tidak mewakili agama yang mereka anuti dan kaumnya?
SAFWAN ANANG: Saya akui orang Melayu punyai hak keistimewaannya dan agama Islam itu agama persekutuan. Namun dalam keadaan tersebut, kita tidak pernah menafikan hak kaum dan agama lain untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah kerana kita sentiasa menjaga asas dan nilai persaudaraan antara kaum.
Sudah tentu kaum lain juga akan menghormati kita seperti mana kita menghormati kaum dan agama mereka, bahkan itu juga nilai-nilai dalam Islam. Seperti Piagam Madinah, Rasulullah SAW sendiri membina sebuah negara yang dalamnya ada bangsa Yahudi, Kristian, Nasrani; mereka boleh hidup dalam keadaan tidak bermusuh-musuhan secara berperang ataupun perkara yang boleh menimbulkan konflik yang besar.
Bagi saya, itu perkara biasa dan tidak lagi perlu dibimbangi pada hari ini, kononnya ada kaum lain sedang berusaha untuk mengambil alih Malaysia dan menjadikannya sebuah negara yang lain daripada sedia ada sekarang. Bagi saya perkara tersebut tidak benar sama sekali dan saya tetap berkeyakinan walaupun kita memberi ruang kepada bangsa dan kaum lain, itu tidak menjadi masalah besar.
Bagi anak muda hari ini, mereka sudah sedar dan jelas, malah sudah matang tentang isu agama dan kaum ini.
SINAR HARIAN ONLINE: Bolehkan saya mengandaikan bahawa golongan muda hari ini mempunyai pendirian atas pagar dan enggan menyatakan pendirian politik mereka kepada secara terbuka?
SAFWAN ANANG: Ya, bagi saya memang ada kelompok anak muda sebegitu. Mereka adalah sebahagian besar kepada penentu bagi mana-mana parti atau calon menjadi pilihan mereka.
Kita tidak perlulah mengatakan bahawa sikap itu tidak matang, dalam keadaan sekarang mereka berhak berdiri di antara dua parti dan mereka berhak memilih.
Kebanyakan anak muda hari ini bersikap atas pagar, tidak tahu mana satu parti pilihan mereka sekarang, namun jangan pula kita cuba untuk mempersoalkan sekiranya mereka terlibat secara langsung dengan mana-mana parti politik.
Itu juga melambangkan kematangan anak muda yang mengambil bahagian dalam politik dan saya rasa tidak jadi masalah pun kalau kita katakan bahawa anak muda hari ini memilih calon tersebut bukan lagi berdasarkan parti tetapi melihat kepada kredibiliti mana-mana calon dan itu sudah tentu menjadi pertimbangan paling utama hari ini, tidak lagi menjadikan lambang parti mana yang menentukan kemenangan ataupun tidak.
Itulah hasrat orang muda hari ini, mereka ingin melihat bahawa calon yang mereka undi nanti akan memberi khidmat yang terbaik kepada mereka. Penentuan sikap sebenar anak muda kita akan lihat sewaktu hampirnya pilihan raya. Kita tidak boleh kata bahawa hari ini anak muda sepenuhnya menyokong sekian parti, kita tidak tahu.
Kebanyakan anak muda juga mereka adalah ‘pengundi senyap’, pengundi yang kita tidak tahu kepada siapa mereka hendak undi, kalau pun mereka itu berlatarbelakangkan politik kepartian, itu sudah jelas, namun ramai di kalangan anak muda hari ini tidak mahu menonjolkan diri mereka dari mana-mana parti.
Sudah tentu mereka akan jadi penentu sebenar bagi keputusan PRU13 kali ini.
SINAR HARIAN ONLINE: Nampaknya anak muda khususnya mahasiswa hari ini belum bersedia untuk mengumumkan pendirian politik mereka secara terbuka, adakah benar keadaan berlaku sekarang?
SAFWAN ANANG: Kebanyakan anak muda hari ini bersikap demikian. Mereka mengambil jalan untuk melihat sendiri calon mana yang mereka akan undi, namun kita tidak pernah menafikan mana-mana anak muda hendak menyatakan pendirian politik mereka terhadap calon mana, itu pun kita tiada masalah.
Saya ingin katakan kebanyakan mereka masih lagi berpendirian untuk tidak mengumumkan manakah parti pilihan mereka. Sehingga ke hari ini, kebanyakan anak muda merupakan pengundi pertama kali dan hal ini sangat penting dan perlu dititikberatkan oleh mana-mana calon yang bertanding.
Pengundi baru dan SMM
SINAR HARIAN ONLINE: Memandang pilihan raya umum kali ini akan melibatkan ramai pengundi baru yang kebanyakannya adalah golongan muda, jadi apakah usaha Safwan sendiri dalam menggalakkan mereka keluar mengundi dan adakah sebarang garis panduan pengundian bagi mereka nanti?
SAFWAN ANANG: Kita sebagai mahasiswa bersama-sama dengan badan bukan kerajaan (NGO) Bersih, pernah terlibat dalam kempen menggalakkan orang ramai supaya mengundi. Walaupun kita sering dicap dengan logo-logo yang semacam pembangkang, yang hendak menggulingkan kerajaan, namun usaha anak muda hari ini melibatkan diri dalam kempen ‘Jom Turun Mengundi Lawan Penipuan’, itu bermaksud kami mahasiswa berusaha untuk memaksimumkan jumlah pengundi yang akan turun dalam pilihan raya umum kali ini.
Memandangkan kita juga, baru saja melepasi pilihan raya kampus pada September lalu, dan kita rasa anak muda perlu juga matang dalam melunaskan tanggungjawab mereka dalam PRU13 dan itulah kempen yang kita sedang buat sekarang, kita minta supaya anak muda mesti turun mengundi.
Terdapat juga usaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri yang menyediakan ruang pendaftaran bagi mereka yang mungkin jauh dari tempat mengundi dan mereka akan diberikan tiket untuk pulang sewaktu mengundi. Itu juga merupakan kempen yang bagus dibuat oleh SPR dan kita tidak ada masalah dengan kempen-kempen seperti ini, bahkan kita merasakan univerisiti juga sepatutnya menyediakan ruang yang serancak mungkin bagi menentukan bahawa anak muda mesti turun mengundi.
Sebelum ini, Universiti Malaya (UM) dan saya sendiri belajar di situ pernah diadakan kempen ‘Jom Daftar Mengundi’ dan itu saya lihat hanya sekali diadakan, sekarang kita tidak tahu sama ada kempen itu masih diteruskan lagi ataupun tidak.
Saya rasa itu adalah usaha yang baik dan perlu dirancakkan lagi, saya rasa lagi bagus kalau Kementerian Pengajian Tinggi Yang menguar-uarkan sendiri supaya anak muda atau mahasiswa boleh turun mengundi, boleh dikecualikan daripada kuliah sewaktu hari mengundi, pengumuman itu patut dibuat oleh kerajaan sekarang supaya mereka boleh bersiap sedia dari sekarang untuk pastikan mereka turun mengundi sebab satu undi itu sangat berharga bagi saya.
SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana pula jika tarikh pilihan raya jatuh pada hari peperiksaan dan ini mungkin akan menghalang mahasiswa untuk turun untuk mengundi pada hari tersebut?
SAFWAN ANANG: Kami berpendirian bahawa sekiranya kerajaan berhasrat untuk meletakkan tarikh pilihan raya sewaktu tarikh peperiksaan, itu merupakan satu tindakan yang tidak wajar sebab mengetepikan pandangan mahasiswa sendiri.
Bagi saya sekiranya hari pengundian itu dibuat sewaktu peperiksaan, mahasiswa perlu membuat satu inisiatif, mungkin kita boleh hantar memorandum untuk menunda peperiksaan ke tarikh yang lain. Mengundi itu lima tahun sekali, jika keadaan yang sama berulang, hal itu perlulah dicegah seawal mungkin dan yang paling kita hendak adalah Perdana Menteri perlu mengumumkan tarikh itu lebih awal, kalau pun tidak boleh beritahu tarikh yang tepat, mungkin boleh beritahu anggaran suku tahun sekian dan sebagainya.
Kita rasa itu satu persediaan awal Perdana Menteri kerajaan sedia ada untuk menyiapkan kondisi rakyat untuk mengundi. Begitu juga dengan kakitangan awam yang lain, guru yang sibuk dengan persekolahan, mereka juga perlu melaksanakan tanggungjawab mengundi.
Kerajaan perlulah mengadakan satu inisiatif penting sepertimana pengumuman Perdana Menteri bahawa PRU13 adalah sangat sengit dan pilihan raya kali ini akan menentukan masa depan negara.
Hal itu sangat penting dan kerajaan perlu berganding bahu bersama dengan NGO lain untuk kita teruskan kempen turun mengundi itu.
Setakat ini, saya belum melihat kempen yang serius daripada Kementerian Pengajian Tinggi dan saya rasa itu yang patut dibuat.
SINAR HARIAN ONLINE: Setakat ini, ada mana-mana parti politik datang ke mana-mana Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) khususnya UM untuk menawarkan perkhidmatan bas membawa mahasiswa ke tempat pengundian masing-masing menjelang PRU13 nanti?
SAFWAN ANANG: Setakat ini belum ada lagi kami terima mana-mana tawaran dari mana-mana parti politik, namun kita rasa perkara itu menggambarkan kepada kita politik Malaysia menuju kepada politik yang lebih matang, kalau ikut istilah yang digunakan Datuk Saifuddin dengan memperkenalkan agenda ‘politik baru’.
Saya rasa tidak jadi masalah contohnya parti-parti politik menyediakan kemudahan pengangkutan untuk pulang sewaktu mengundi, itu adalah satu usaha yang baik, tidak kira mana-mana parti sekalipun dan kita anggap perkara usaha yang baik dan wajar diteruskan sebab satu undi sangat berharga.
Cakna politik bukannya membenci politik
SINAR HARIAN ONLINE: Baru-baru ini kita dikejutkan lagi dengan serangan keempat ke atas bas Jelajah Merdeka Rakyat (JMR). Tindakan ganas itu dilihat sebagai satu bentuk politik samseng yang semakin menular di negara ini, adakah saudara melihat budaya ini menjadi penghalang kepada pelaksanaan politik baru nanti.
SAFWAN ANANG: Saya akui politik samseng ini mula menular sejak akhir-akhir ini, suka saya sebutkan bahawa sebelum ini kita pernah berkampung di Dataran Merdeka selama 14 hari pada 14 April lalu menuju ke perhimpunan Bersih 3.0, keadaan yang sama berlaku kepada mahasiswa di situ di mana kami diserang oleh samseng-samseng jalanan, mereka cuba halang kami daripada menyatakan pendirian.
Bagi saya, rakyat juga sudah sedar hari ini bahawa rakyat Malaysia menolak sekeras-kerasnya jenis politik samseng dan kita tidak nampak kesan yang baik daripada budaya ini melainkan ia memusnahkan tanggapan umum terhadap politik itu sehingga orang membenci politik termasuk anak muda.
Kita tolak sekeras-kerasnya budaya politik samseng itu dan kita puji Sinar Harian baru-baru ini anjurkan satu wacana mengenai politik samseng dan keseluruhan panel menolak sepenuhnya jenis politik samseng dan perkara itu akan menyebabkan negara kita mundur ke belakang dalam konteks politik.
Kita hendakkan politik idea, politik matang itu yang seharusnya anak muda lihat dan ketengahkan apa idea anak muda sekarang, apa idea kerajaan sedia ada, apa idea parti-parti lain untuk ditawarkan pada PRU13. Perkara ini sepatutnya dibincang, dibahas dan diperdebatkan.
Contohnya debat yang kita masih tunggu-tunggu sehingga hari ini iaitu debat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebab politik sebegini yang kita mahukan iaitu politik baru, kita berdebat secara berhadapan, biar rakyat tengok dan nilai, biar anak muda tentukan mana pilihan mereka. Kita tiada masalah dengan politik kepartian di Malaysia, bahkan kita tengok ini adalah satu persaingan yang baik dan sihat. Kita menyeru supaya anak muda hari ini terlibat dalam politik, mereka perlu cakna politik, mereka perlu tahu apa itu isu politik seterusnya mereka perlu buat pendirian masing-masing.
Mungkin sekarang mereka sebagai pengundi senyap, tetapi apa yang mereka buat ialah cakna politik bukannya membenci politik, contohnya disebabkan politik samseng tadi. Sebelum ini juga ada politik fitnah yang membuat cerita seks, itu pun kita tolak termasuk politik lucah.
Kita sebelum ini pun pernah buat kempen tolak politik wang, tolak politik samseng, itu yang kita tidak mahu sekarang ini kerana anak muda sudah matang dalam menentukan masa depan politik dalam negara.
Dalam menangani politik samseng, tugas mahasiswa ialah memberi penerangan tentang apa itu politik kepada rakyat. Saya seru kepada semua mahasiswa, bila kita balik ke kampung masing-masing, kita jelaskan kepada keluarga, ibu bapa kita dan adik beradik tentang apa itu politik, jangan sampai mereka membencinya.
Itulah tugas mahasiswa untuk mencorakkan politik semasa ini, mungkin politik baru tapi saya ingin tekankan kepada politik matang sebenarnya, politik idea, apa idea mahasiswa dan itulah yang seharusnya menjadi agenda mahasiswa.
Baru-baru ini, terdapat beberapa mahasiswa yang berjumpa dengan Perdana Menteri, berbincang mengenai isu mahasiswa, namun apa yang mengecewakan saya ialah mereka berbincang isu wifi di IPT. Sepatutnya perkara itu diselesaikan oleh pentadbiran universiti, dan mahasiswa perlu berbincang mengenai idea yang lebih besar lagi, mungkin boleh berbincang mengenai polisi negara dan isu nasional seperti isu pendidikan tinggi.
Kita harapkan politik di Malaysia berubah wajah daripada politik samseng, politik jalanan, politik fitnah dan politik wang kepada politik yang lebih matang.
SINAR HARIAN ONLINE: Berhubung dengan tindakan kerajaan baru-baru ini yang membenarkan mahasiswa bertanding pada pilihan raya, adakah saudara menerima tawaran daripada mana-mana parti politik untuk menjadi calon dan bertanding pada PRU13 nanti?
SAFWAN ANANG: Setakat ini kita belum terima apa-apa tawaran, namun idea untuk bertanding pada PRU13 ini memang kita sudah bincang semasa kongres mahasiswa ketiga yang kita buat pada Mei lalu.
Namun perkara itu kita tidak putuskan lagi sama ada mahasiswa mahu bertanding ataupun tidak. Kalau pun ada parti politik menawarkan kerusi bagi mahasiswa, itu sesuatu yang wajar dan tidak ada masalah untuk mahasiswa terlibat sama dalam politik berbentuk dasar-dasar dan polisi yang mereka mahukan.
Itulah sebenarnya wajah politik matang, politik baru yang mahu dibentuk oleh anak muda hari ini.
SINAR HARIAN ONLINE: Oleh kerana kerajaan telah membenarkan mahasiswa bertanding pada pilihan raya, bagaimana reaksi pelajar IPTA tentang hal ini? Adakah tindakan ini menggambarkan kerajaan sudah bersedia untuk menerima mahasiswa berpolitik dalam kampus secara lebih serius?
SAFWAN ANANG: Ini juga yang membingungkan saya sebenarnya apabila kerajaan telah umumkan bahawa mahasiswa boleh terlibat, bukan setakat dalam parti politik, malah hingga boleh menjadi calon dan bertanding pada PRU13.
Ini satu keterbukaan, kita juga sudah lama menentang AUKU supaya tidak mengekang mahasiswa daripada berpolitik, namun kerajaan sekarang mengisytiharkan bahawa mahasiswa boleh terlibat dalam pilihan raya, dan perkara ini sepatutnya memang kita sambut baik.
Namun, sebahagian mahasiswa yang menang dalam pilihan raya kampus baru-baru ini, mereka mengatakan bahawa mereka belum bersedia untuk terlibat dalam PRU13. Alasan yang diberi adalah ‘takut-takut’ pelajarannya terganggu.
Terlibat dalam pilihan raya kampus juga sama atau lebih kurang memikul tanggungjawab sebagai seorang pemimpin dalam kampus banyak juga memberi cabaran, bukannya mengganggu pelajaran secara keseluruhan.
Bagi saya, bagaimana pemimpin itu boleh membentuk sikap mereka dan menguruskan masa dalam menjadi seorang pemimpin kerana mahasiswa adalah pemimpin akan datang.
Bakat dan kepimpinan itu kena mula dari kampus mencorak bagaimana bentuk kepimpinan akan datang, sepatutnya perkara ini disambut dengan baik dan terbuka bagi saya, bukannya diberikan alasan ‘takut-takut’ terganggunya pelajaran.
Walaupun kita tengok sebelum ini satu lagi isu lain ialah penubuhan kelab-kelab parti politik yang melibatkan mahasiswa. Itu juga salah satu cara untuk mematang dan melibatkan mahasiswa dalam bidang politik dan itu sepatutnya disambut dengan baik.
Walaupun sebelum ini ada juga bantahan-bantahan ‘takut-takut’ juga mengganggu pelajaran, namun bagi saya mahasiswa, orang cerdik pandai yang pergi ke universiti, mereka sepatutnya menguruskan perkara itu dengan baik.
SINAR HARIAN ONLINE: Budaya debat dan wawancara membincangkan hal ehwal semasa secara terbuka di universiti semakin pupus susulan kekangan yang dikenakan terhadap mahasiswa kerana khuatir akan berlaku unsur hasutan yang boleh menimbulkan suasana tegang. Sekiranya budaya sihat terus dikekang, adakah mahasiswa dapat dipersiapkan dalam menghadapi politik baru dan matang?
SAFWAN ANANG: Betul, saya ingin tegaskan jenis wacana, debat dan forum, inilah usaha yang sepatutnya melibatkan anak muda dan terlibat dalam agenda mematangkan di Malaysia. Inilah yang berlaku sekarang seperti debat politik, wacana politik, forum politik dan perbincangan dasar-dasar dalam negara.
Inilah yang kita rasakan satu keperluan untuk mahasiswa melibatkan diri seperti persidangan meja bulat, konvensyennya, kongresnya, itulah bentuk politik yang akhirnya mematangkan mahasiswa dan rakyat Malaysia dan itu yang sepatutnya menggantikan jenis-jenis politik samseng, politik wang dan politik fitnah tadi.
Saya merasakan Kementerian Pengajian Tinggi juga seharusnya memberikan ruang yang lebih dalam menganjurkan wacana-wacana yang berkait dengan politik matang ini bagi saya ialah kadang-kadang mahasiswa ini masih takut-takut untuk terlibat secara langasung dalam aktiviti sebegitu kerana khuatir dikenakan tindakan.
Walhal kita katakan ini adalah pendidikan bagi politik bukannya kita menyatakan pendirian secara jelas di pihak mana, dan itu juga universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi perlu menganjurkan program sebegitu dengan lebih banyak, bukan menyerahkan kepada media semata-mata.
Tanding PRU13
SINAR HARIAN ONLINE: Oleh kerana kerajaan sudah membenarkan mahasiswa terlibat dalam politik, adakah saudara sudah bersedia untuk bertanding pada PRU13 jika diberikan tawaran dan peluang?
SAFWAN ANANG: Saya sendiri telah mempertimbangkan untuk bertanding pada PRU13. Bagi saya kalau pun perkara itu berlaku, saya akan umumkan nanti, sekarang ini hanya di peringkat perbincangan sahaja. Setakat ini belum ada mana-mana parti politik yang menawarkannya, kita masih mempertimbangkan perkara tersebut untuk meletakkan keputusan yang terbaik.
Setahu saya ada dua atau tiga mahasiswa yang disediakan bertanding, itu pun di peringkat saya dan rakan-rakan berbincang siapa akan diletakkan jika hendak bertanding nanti, tapi kita muktamadkan perkara tersebut dalam masa terdekat dalam keadaan kita tidak tahu bila tarikh pilihan raya umum sebenarnya.
SINAR HARIAN ONLINE: Sejak pilihan raya 2008, kita dapati ramai anak muda diangkat menjadi pemimpin sama di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) mahupun Parlimen. Kini masuk tahun kelima mereka menjadi wakil rakyat dan kita dapati keupayaan mereka tidak kurang hebat berbanding mereka yang berpengalaman. Adakah melihat keadaan ini, rakyat mula menerima pemimpin muda dalam mentadbir urus kawasan setempat?
SAFWAN ANANG: Ya, saya melihat trend tersebut sudah mula masuk kepada parti-parti politik hari ini termasuk BN dan PR. Baru-baru ini, saya ikuti Perhimpunan Agung Umno 2012, saudara Khairy Jamaluddin pun sebut bahawa perlu buka ruang yang lebih kepada golongan muda untuk jadi calon.
Dalam hal ini, kita melihat bahawa ada juga perkara yang kita bantah agenda kerajaan seperti melanjutkan umur persaraan, itu sebenarnya bagi isu mahasiswa, ia menjadi pelik apabila kerajaan buka ruang untuk anak muda, kemudian kerajaan melanjutkan pula usia persaraan.
Perkara itu agak mengecewakan bagi anak muda, lepas universiti sukar mendapat kerja, terpaksa mengganggur, itu yang persoalan hari ini. Kerajaan seharusnya lebih telus dan mendengar hasrat anak muda dalam konteks hendak berhadapan dengan PRU13, mereka perlu tangkas untuk mendengar hasrat dan kemahuan anak muda.
SINAR HARIAN ONLINE: Selepas mahasiswa tamat pengajian, apakah masalah yang sering membebankan graduan pada hari ini?
SAFWAN ANANG: Pertama yang menjadi masalah ialah bebanan pinjaman PTPTN. Kita masih berpendirian bahawa kerajaan perlu memikirkan inisiatif yang lebih baik daripada sedia ada. Pada pandangan saya, PTPTN perlu dimansuhkan. Kalau kita kata mansuhkan PTPTN orang jadi tidak faham, kalau kita sebut kembalikan biasiswa kepada mahasiswa, baru orang akan faham.
Pada waktu ayah PM sendiri, Tun Razak dan Tunku Abdul Rahman, mereka yang masuk ke universiti semuanya diberikan biasiswa. Kita buat unjuran, kerajaan hari ini mampu untuk menampung pendidikan tinggi secara keseluruhan atau kalau tidak secara berperingkat-peringkat, itu kita kata inisiatif kerajaan.
Apabila Perdana Menteri mengumumkan pemberian diskaun sehingga 20 peratus kepada peminjam PTPTN yang bayar sekali gus dan 10 peratus yang bayar secara berjadual, hal itu bagi saya ada sedikit kelegaan kepada anak muda.
Kerajaan harus lebih efektif lagi dalam menangani isu PTPTN. Persoalannya selepas tamat pengajian, mereka belum tentu dapat kerja, apa yang mereka dapat ialah surat hutang PTPTN. Itulah saya rasa beban hutang yang ditanggung oleh mahasiswa sedikit memberikan kesan yang tidak baik kepada anak muda hari ini.
Peluang pekerajaan yang terhad menyebabkan mereka terpaksa mengganggur, kalau ada kerja pun belum tentu dapat sara hidup mereka untuk berkeluarga pula, jadi perkara itu harus ditangani oleh kerajaan sedia ada dan kerajaan akan datang, itulah kemahuan anak muda hari ini.
Anak muda hari ini perlu buat keputusan yang tepat dan jelas mengapa mereka perlukan pemimpin yang bagaimana, yang coraknya bagaimana, yang tawarannya apa, dan anak muda harus memikirkan ke arah politik yang lebih matang dan jangan pula mereka menolak politik disebabkan oleh unsur-unsur yang negatif dalam konteks politik hari ini.
Anak muda harus terlibat dalam politik matang, kerana satu undi itu sangat berharga dalam menentukan masa depan negara.
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/wawancara/safwan-anang-smm-bukan-pembangkang-1.114908
-MediaGM
Lead The Changes! Ber-GM Lebih Baik!
1 comments:
UMNO dan BN sudah memerintah Terengganu hampir 50 tahun..... Tapi Kenapa Pemuda UMNO, Puteri UMNO, Wanita UMNO dan Pemimpin2 UMNO Terengganu tetap memilih jadi bodoh?
2013 - Tahun Paling Malang Rakyat Terengganu........ Lihat sendiri bukti kalau tak percaya...
~ BUKTI 1 ~
~ BUKTI 2 ~
~ BUKTI 3 ~
~ BUKTI 4 ~
Saya mohon sangat2 agar semua anak2 muda mengundi PR pada PRU ke-13. Mesti undi PAS, PKR dan DAP. Kita mesti ambil serius soal ekonomi dan perpaduan kaum. BN telah meninggalkan banyak hutang di setiap negeri. Ini akan membebankan kita.. Percayalah. Lihat sendiri selangor, bila PR memerintah kurang 5 tahun, hutang berkurang. Bandingkan dengan Terengganu yang diperintah BN sejak 50 tahun dulu... Kat mana hebatnya Pemimpin UMNO yang menafikan kewibawaan Pemimpin Pakatan Rakyat? Mereka pun tahu tapi tetap mahu menafikannya.. sememangnya betul.. ( Buktikan kalau saya bercakap bohong)
Terang2 tak wujud perpaduan dalam BN. MCA dan MIC terang2 menolak BN.
Pastikan anda memberitahu rakan2, emak ayah dan saudara yang kurang tahu soal ekonomi dan perpaduan kaum.... Walaupun terpaksa berada dlm kem BN dan UMNO, pastikan undi anda tetap kpd PR....
~ (( Budaya Samseng )) - Ahli2 Mahu Lari Dari UMNO ~
Biarkan UMNO bersendirian... Mereka tidak mahu bersatu, kita boleh bersatu sesama kita... Mereka pentingkan perpecahan... Biarkan mereka... Mereka lebih mengutamakan keganasan untuk mengekalkan kuasa... Biarkan mereka..... Mereka hanya mahu jadi samseng... Biarkan mereka samseng selamanya....
Biarkan pemimpin2 UMNO memperbodohkan ahli2 mereka selamanya...
Post a Comment