Kebebasan bersuara adalah di antara isu penting dan seringkali menjadi perdebatan di Malaysia.
Ini kerana walaupun perlembagaan persekutuan menjamin hak ini bagi setiap warganegara, terdapat pelbagai undang-undang dan akta yang menyekat rakyat daripada menikmatinya.
Perlembagaan persekutuan Malaysia dalam Perkara 10 (1) (a) dengan jelas menyatakan bahawa setiap warganegara berhak untuk bersuara dan menyatakan pandangan secara terbuka.
Akan tetapi, terdapat undang-undang dan akta secara langsung menafikan hak yang telah dijamin oleh perlembagaan persekutuan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan Akta Media dan Mesin Cetak.
Malaysia mempunyai sejarah yang unik dalam isu kebebasan bersuara. Jika kita bandingkan kebebasan bersuara semenjak dari merdeka sehingga hari ini, kita akan dapati grafnya semakin lama semakin menurun.
Dari masa ke semasa pemerintah mengekang kebebasan bersuara. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk terus mengekalkan kuasa. Kongkongan demi kongkongan terpaksa dihadapi oleh rakyat Malaysia walaupun negara sudah 54 tahun merdeka.
Tidak hairanlah mengapa Malaysia masih lagi belum pernah menukar parti pemerintah semenjak pilihanraya pertama dijalankan di negara ini.
Di negara-negara maju seperti United Kingdom, bertukar pemerintahan adalah perkara biasa dan tidak pula berlaku huru-hara. Malahan ianya menyebabkan negara tersebut terus maju oleh kerana parti-parti politik yang ada sentiasa berusaha keras untuk memastikan program mereka dapat diterima oleh rakyat.
Revolusi Internet
Kehadiran Internet merubah keadaan semasa. Jika pada satu masa dahulu, rakyat Malaysia hanya menerima maklumat dari sebelah pihak kerana terdapat kongkongan yang ketat terhadap media.
Internet telah memecahkan dominasi maklumat yang selama ini dikawal oleh pemerintah. Internet turut menjadi ancaman kepada negara-negara kuku besi.
Dominasi maklumat oleh pemerintahan kuku besi seperti di negara-negara Timur Tengah dapat dipecahkan.
Revolusi Mesir adalah contoh bagaimana Internet menjadi senjata untuk melawan regim kuku besi Hosni Mubarrak.
Facebook, Twitter dan blog menggantikan senjata-senjata tradisional seperti AK-47 dan “Molotov cocktail” bagi memenangkan revolusi di Dataran Tahrir.
Di Malaysia, kita dapat menyaksikan bagaimana Internet telah merubah lanskap politik negara.
Tun Abdullah Ahmad Badawi terpaksa disingkirkan lebih awal daripada pemerintahannya oleh kerana serangan dari Internet terutamanya blog.
Dalam pilihanraya umum (PRU) ke 12, kebanyakkan kawasan-kawasan bandar yang mempunyai akses kepada Internet dimenangi oleh parti pembangkang.
Di Wilayah Persekutuan kita dapat menyaksikan Barisan Nasional (BN) hanya mampu mempertahankan kerusi parlimen Setiawangsa dan Putrajaya. Selebihnya disapu bersih oleh Pakatan Rakyat (PR).
Sebelum PRU 12, hanya ahli politik pembangkang dan penyokong meraka menggunakan Internet secara agresif, dalam bahasa mudahnya, pada ketika itu majoriti blog-blog dikuasai oleh pihak yang menentang kerajaan.
Pasca PRU 12 telah merubah dunia Internet di Malaysia. Hari ini, kebanyakkan ahli-ahli politik BN juga telah mempunyai blog, Facebook dan Twitter masing-masing. Kini terdapat banyak juga blog-blog dari golongan menyokong pemerintah.
Ini adalah satu perkembangan yang baik. Ertinya, perdebatan di ruang Internet di Malaysia tidak lagi didominasi oleh satu pihak.
Rakyat Malaysia terutamanya golongan muda dapat menilai maklumat-maklumat yang mereka perolehi dengan seimbang.
Tidak lama lagi, media-media tradisional yang berat sebelah seperti Utusan Malaysia akan ditinggalkan oleh kerana tidak mengikut perkembangan zaman. Akhbar sebegini masih boleh terus hidup hari ini kerana masih terdapat golongan tua yang membaca.
Jika tidak melakukan perubahan drastik dalam corak penulisan berita, tidak mustahil akhbar seperti Utusan Malaysia akan pupus bersama-sama golongan tua di Malaysia.
Fitnah dan tohmahan menjadi budaya
Dalam keghairahan berjuang di alam siber, terdapat juga segelintir kecil yang menyalahgunakan Internet. Internet dijadikan medan untuk menyebarkan fitnah untuk menjatuhkan pihak-pihak tertentu.
Terdapat juga blog-blog yang menggunakan kata-kata kesat dan lucah untuk memaki hamun pihak lawan mereka. Fitnah direka untuk mensensasikan penulisan mereka.
Lebih aneh lagi, mereka-mereka ini berbangga dengan penulisan yang menggunakan kata-kata kesat dan lucah. Jika dikaji penulis-penulis sebegini kebiasaannya tidak berani mendedahkan identiti mereka.
Mereka berlindung disebalik nama-nama samaran yang pelik-pelik dan kadangkala lucu juga. Untuk membela tuan-tuan politik mereka, fitnah dan tohmah digunakan untuk mematahkan hujah lawan.
Yang lebih pelik lagi apabila aktiviti sebegini dihalalkan oleh pemimpin-pemimpin politik yang tidak sedar satu hari nanti mereka juga bakal menjadi mangsa kepada penulis-penulis sebegini.
Kita seharusnya mengambil iktibar tentang apa yang berlaku kepada bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan.
Jika di zaman beliau menjadi KPN tindakan diambil keatas laporan-laporan polis yang dibuat terhadap penulis-penulis lucah dan fitnah tanpa memilih bulu, sudah tentu fitnah seperti yang berlaku kepada beliau baru-baru ini tidak terjadi.
Baru-baru ini, bekas KPN difitnah di Internet — menggunakan gambar “super impose” yang mengatakan kononnya beliau berkahwin dengan seorang artis.
Penulis-penulis fitnah dan lucah terus berleluasa. Aktiviti sebegini mungkin sudah tidak dapat dihentikan oleh kerana ianya telah menjadi budaya sesetengah pihak.
Akan tetapi, sepandai-pandai tupai melompat, pasti akan jatuh ke tanah jua. Kita tidak akan dapat bersembunyi selama-lamanya. Nama samaran yang digunakan tidak dapat melindungi diri selama-lamanya.
Kekuasaan tidak akan memayungi diri selama-lamanya.
Percayalah, langit tidak selalunya cerah.
*Pertama kali disiarkan oleh The Malaysian Insider disini.
0 comments:
Post a Comment