Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Friday, July 24, 2009

Perutusan Mahasiswa Lantang Negara

Tahniah Dan Selamat Datang!

Terlebih dahulu, GMLN ingin mengucapkan tahniah dan selamat dating kepada semua Mahasiswa Baru UKM, bagi sesi pengajian 2009/2010 ke bumi bertuah UKM ini. Anda merupakan generasi yang bakal menyambung perjuangan kami untuk memartabatkan kembali budaya keilmuan dan pembangunan Mahasiswa di menara gading ini.

Justeru, kita perlu menghayati setiap saat dan waktu yang berlalu sepanjang keberadaan kita di UKM ini, agar setidak-tidaknya kita tidak tergolong di kalangan mereka yang mensia-siakan peluang keemasan mencabar sambil belajar. Berawaslah supaya kita tidak terjebak ke kancah kemusnahan dan tergolong di dalam kelompok yang menghancurkan budaya keilmuan dan meranapkan impian murni falsafah penubuhan UKM.

Kesuraman Gerakan Mahasiswa

Suasana kampus pada ketika ini boleh dikatakan terlalu suram. Walaupun usaha menghidupkan keceriaan “Student Power” masih berlaku dan diteruskan, namun sambutan Mahasiswa secara keseluruhan terhadap aktiviti dan isu yang diperjuangkan masih hambar dan menakutkan. Keadaan ini melanda hampir kesemua universiti lebih-lebih lagi UKM.

Mahasiswa sepatutnya aktif berpencak di dalam dan di luar bilik kuliah. Sentiasa hidup dan subur dengan idea yang bernas, manifestasi kefahaman melalui tindakan yang bersepadu seterusnya bergerak menjadi agen perubahan dalam masyarakat. Mahasiswa sepatutnya bertindak sebagai mesin yang menggerakkan masyarakat.

Namun, Mahasiswa bukan sahaja gagal menyelesaikan masalah masyarakat, bahkan mereka sudah gagal untuk mempertahankan hak mereka sendiri. Bagaimana ingin disandarkan harapan untuk membaikpulih masyarakat sekiranya pemikiran mereka sendiri turut teruk terjejas dek kerakusan pemerintah mencipta dasar yang karut serta merugikan bangsa, agama dan Negara.

Masalah Kebajikan Yang Tidak Pernah Selesai

Isu kebajikan Mahasiswa sebenarnya sudah sekian lama dibiarkan tanpa penyelesaian. Tiada sebarang usaha yang bersungguh-sungguh untuk bangun menyelesaikan masalah kebajikan ini. Berpunca daripada sikap acuh tidak acuh Mahasiswa terhadap penindasan yang menimpa mereka, di tambah pula dengan sikap negatif sesetengah pentadbir kolej dan universiti juga kroni yang dilantik sebagai JAKSA dan PMUKM menyebabkan tiada Mahasiswa yang berani memperjuangkan hak masing-masing. Sebagai Mahasiswa, kita sebenarnya adalah pelanggan yang perlu ditunaikan haknya. Kita membayar duit yuran yang sangat mahal, maka sebagai balasan pihak bertanggungjawab perlu memberikan layanan yang sewajarnya dan cocok dengan nilai yang kita bayar.

Sebagai Mahasiswa, selepas memperolehi segulung ijazah, kita akan memasuki dunia yang penuh mencabar. Kitalah yang akan bertindak menggantikan kepimpinan Negara di pelbagai sektor dan peringkat pada masa depan. Justeru, keupayaan untuk memimpin perlu bermula dari sekarang. Langkah terawal ialah memimpin diri sendiri dan berjuang untuk mendapatkan apa yang sepatutnya kita punyai.

Keraguan Konkrit ke atas SPKG

Akibat daripada kelesuan Mahasiswa, pentadbir Universiti dilihat menggunakan peluang yang ada untuk mengenakan pelbagai dasar yang karut-marut. Sistem Penilaian Kompetensi Generik (SPKG) misalnya, sangat diragui tujuan dan keberkesanan perlaksanaannya di UKM. Daripada 100 orang pelajar tahun 2 yang ditemui, hanya 30% yang berjaya mendapatkan keputusan SPKG masing-masing. 40% gagal membuat semakan kerana penilai mereka tidak memasukkan markah. Bakinya langsung tidak tahu-menahu mengenai keputusan SPKG masing-masing.

Keraguan yang dicetuskan oleh majority Persatuan Mahasiswa yang ada di UKM pula mempertikaikan aspek pemarkahan sistem ini apabila ianya terlalu berat kepada kolej yang diketahui umum dikuasai oleh Aspirasi-TSB. Keraguan terhadap penilaian ini ada asasnya apabila semakin ramai Mahasiswa yang cenderung untuk terikat dengan aktiviti di Kolej berbanding memilih secara bebas persatuan yang mereka sukai.

Pentadbiran Universiti bukan sahaja gagal memberikan penerangan yang jelas dan tuntas mengenai SPKG ini, malah mereka juga gagal memastikan SPKG ini dilaksanakan dengan baik tanpa menjejaskan nilai-nilai keintelektualan Mahasiswa. Ramai meramalkan, SPKG ini hanya akan merobotkan Mahasiswa serta memperlekehkan budaya mencabar di universiti.

Pentadbir yang Bersikap Popularis dan komersialis

Walaupun Mahasiswa bersalah kerana kelesuan mereka, namun pentadbir juga sebenarnya adalah penyumbang saham terbesar dalam usaha menghancurkan masa depan Mahasiswa di UKM ini. Hal ini terjadi apabila sesetengah pentadbir hanya memikirkan mengenai soal nama, untuk meraih sebanyak mungkin populariti. Mereka terlalu berkejar-kejar untuk mendapatkan nama, dengan alasan kononya ingin menjaga status. Tidak kurang ada yang menganggap profesion sebagai pentadbir ini ibarat industry untuk mengaut keuntungan. Apabila sikap materialistik ini meracuni jiwa dan minda mereka, natijahnya lahirlah peraturan dan sistem yang menjerut Mahasiswa.

GMLN yakin, majoriti kakitangan akademik yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah di UKM sebenarnya merasai kelesuan yang terdapat pada Mahasiswa semasa di dalam kuliah. GMLN turut yakin bahawa Bumi UKM ini sudah lama menagih bakti dan budi Mahasiswa untuk berpencak menyuburkan suasana keilmuan di UKM ini.

Bersatu Berubah!!!

Tiada guna kita terus menyesal dan mengeluh menangisi hari-hari lalu yang tidak akan kembali. Yang lepas kita jadikan pengajaran untuk menghadapi hari muka dengan kesungguhan. Bulat tak datang bergolek, pipih tak terbang melayang. Kita tidak perlukan omongan kosong, apalagi jeritan kalau sekadar dilepaskan di hati. Mahasiswa perlu bangkit menjernihkan kembali keadaan. Kita bertanggungjawab memastikan sinar harapan terus menyinar di UKM.

Hindarkan dari segala prejudis, hapuskan segala hasad dengki, dan hindarkan dari sebarang hipokrasi. BERSATU UNTUK MENGUBAH DAN BERUBAH!!

3 comments:

Anonymous said...

merapu ar....cakap x menggunakan asas..

warga said...

belajar pun biasiswa kerajaan adan hati nk memburukan imej negara..

Farid Albariti said...

Dunia memerlukan bantuan anda. Kita sebagai manusia yang berakal, diberikan keistimewaan untuk berfikir. Kita mampu membuat pilihan sendiri dan juga bertindak mengikut pilihan yang kita buat. Bagi mereka yang yakin dengan balasan terhadap perbuatan masing-masing, sudah pasti mereka akan membuat pilihan secara lebih berhati-hati dan bertindak mengikut apa yang lebih baik untuk kehidupan di dunia dan di akhirat.

Manusia sebenarnya tidak layak menentukan yang mana betul dan yang mana salah. Tanggungjawab manusia yang sebenarnya adalah melaksanakan yang betul dan menghindarkan yang salah mengikut panduan yang diberikan oleh Tuhan.

Tuhan yang mencipta manusia, sudah pasti Dia yang lebih berhak menentukan jalan hidup manusia. Pilihan yang ada pada diri manusia hanyalah untuk menguji tahap keimanan mereka sebagai hamba.

Bukti yang jelas, ialah naluri manusia yang sentiasa ingin kepada kebaikan. Pencuri yang telah lama mencuri pun tidak mahu mengaku bahawa dia mencuri kerana naluri hatinya berkata bahawa mencuri ini satu dosa. Raja yang zalim yang telah lama menzalimi rakyatnya tidak akan mengaku bahawa dia adalah zalim kerana naluri hatinya berkata bahawa zalim ini satu dosa.

Tuhan memiliki segala kekuasaan dan Maha menentukan setiap perkara yang berlaku. Dia melindungi manusia dari segala bentuk kerosakan sama ada secara fizikal mahupun spiritual. Dia zahirkan segala bentuk kerosakan untuk manusia menginsafi perbuatan mereka. Banjir dan ribut juga dihantar olehNya untuk 'membersihkan' segala kekotoran dari tangan manusia.

Manusia lemah serta tidak akan terlepas dari melakukan dosa dan kesilapan. Manusia perlu bergantung kepada ketentuan Tuhan. Tanpa pergantungan kepada Tuhan, manusia akan hanyut dengan keindahan dunia yang sementara, leka dengan nikmat yang Tuhan berikan, serta lalai dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Muncullah ideologi mengagongkan manusia, bertuhankan akal dan nafsu. Sehingga gagal melihat antara yang benar dan yang salah, antara tulen dan palsu, antara kaca dan permata.

Segeralah berubah dan beralih dari jalan kesalahan, ke arah kebenaran dan panduan Tuhan. Hanya Dia yang mampu menyelamatkan dan hanya Dia yang berkuasa memulihkan.

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !