Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Wednesday, September 29, 2010

AKSIS bersama-sama Azlin & rakan-rakan


Aktivis Siswi Dinamis (AKSIS) UKM tetap bersama Azlin Shafina Adzha dan rakan-rakan dari Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) biarpun keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak saman pemula dikemukakan empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi mencabar tindakan tatatertib UKM ke atas mereka yang didakwa terbabit dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor, April lalu.

Jurucakap AKSIS, saudari Hazirah Mustafa ketika dihubungi Wartawan GMUKM menyatakan, kes UKM4 ini adalah contoh jelas kecacatan dan kecelaruan AUKU ketika mana kerajaan ingin melahirkan para graduan universiti yang bukan sekadar pintar di dalam kelas, tetapi turut memiliki soft-skills dalam menjana pemikiran mahasiswa yang kritis selari dengan kehendak dan aspirasi bangsa; di samping menjadi alat dan mekanisme kawalan yang menafikan hak mahasiswa untuk belajar secara hands-on kerana ketakutan awal yang melahirkan provisi yang melanggar aspirasi akademik serta hak asasi pelajar secara berdepan.

"AKSIS sentiasa mendoakan keputusan yang terbaik. Jangan khuatir,jangan risau kerana kami di pihak AKSIS akan sentiasa bersama-sama Azlin dan rakan-rakan. Apa yang penting, Azlin dan rakan-rakan  perlu sentiasa kuat semangat. Jangan mudah patah semangat, (kerana kita percaya) harapan itu masih ada. " ujar Hazirah.


Untuk rekod, keempat-empat pelajar Sains Politik tersebut, Saudara Wong King Chai, Saudara Ismail Aminuddin, Saudara Hilman Idham dan Saudari Azlin Shafina Adzha telah dikenakan tindakan tatatertib oleh UKM kerana terbabit dalam kempen sempena pilihan raya kecil Hulu Selangor pada 22 April 2010. Namun tindakan terhadap mereka di tangguhkan kerana perintah injuksi yang telah diterima pada Jun lepas. Mereka bakal didakwa di mahkamah UKM kerana melakukan kesalahan menyalahi undang-undang Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Bagaimanapun, keempat-empat mereka menafikan tuduhan itu dan mendakwa berada di Hulu Selangor bagi tujuan kajian penyelidikan akademik.

Keempat-empat mereka mencabar tindakan universiti itu yang mendakwa mereka bawah Akta Universiti dan Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dengan menghalang mereka daripada terlibat dalam aktiviti politik.

Tuesday, September 28, 2010

MalaysiaKini : Saman pemula empat pelajar UKM cabar AUKU ditolak


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak saman pemula dikemukakan empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi mencabar tindakan tatatertib UKM ke atas mereka yang didakwa terbabit dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor, April lalu.

Keempat-empat mereka mencabar tindakan universiti itu yang mendakwa mereka bawah Akta Universiti dan Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dengan menghalang mereka daripada terlibat dalam aktiviti politik.

Hakim Aziah Ali yang menyampaikan keputusan itu di kamar berkata Seksyen 15 akta itu - yang mana tindakan dikenakan berdasarkannya - tidak melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga membatalkan perintah injuksi sebelum itu yang menghalang UKM daripada mengambil tindakan terhadap mahasiswa terbabit.

Bagaimanapun, hakim membenarkan peguam Haris Ibrahim dan Ashok Kandiah - yang bertindak bagi keempat-empat mahasiswa itu - membenarkan injuksi Erinford bagi menangguhkan keputusan itu supaya dikemukakan rayuan.

Ashok kemudian memberitahu pemberita, pendengaran penuh injuksi itu akan dilakukan pada 7 Oktober.

Semua siswa - Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha, dan Wong King Chai - ditahan polis pada 22 April lalu di pekan Rasa dan Ampang Pecah dan didakwa menyokong parti politik semasa pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

Mereka didakwa di mahkamah UKM kerana melakukan kesalahan menyalahi undang-undang Seksyen 15(5)(a) AUKU.

Bagaimanapun, keempat-empat mereka menafikan tuduhan itu dan mendakwa berada di Hulu Selangor bagi tujuan kajian penyelidikan akademik.

Sumber : MalaysiaKini

Monday, September 27, 2010

Persediaan keputusan kes UKM4

Salam hormat,

Buat semua teman-teman, sempena Hari Keputusan Kes 'UKM4' pada hari esok, saya terbitkan kembali tulisan saya yang telah diterbitkan oleh LoyarBurok.com.

Harap bacaan ini membantu memperhebatkan lagi semangat juang kita.

http://www.loyarburok.com/human-rights/stupid-me/zaman-gelap-universiti-%E2%80%93-dihukum-kerana-menuntut-ilmu/

Terima kasih atas sokongan!

Hilman Idham.


---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Hilman Idham of the UKM 4 writes on the eve of their court hearing about their battle thus far in challenging the constitutionality of AUKU, as the possibility of a decision being reached tomorrow looms ahead.

UKM 4 in court 

Tulisan ini saya buat mereka yang akan hadir perbicaraan dan keputusan kes UKM 4 pada Isnin ini.
Selesai sertai Pertandingan Pidato anjuran Sekretariat Belia Negeri Selangor di Auditorium MPAJ. Saya bawakan tema “Pencerahan” (Enlightenment) idea tokoh falsafah Jerman, Immanuel Kant. Tajuknya Pembodohan dan Pencerahan.

Dalam orasi kali ini saya bawakan pengalaman sepanjang tiga tahun di kampus – dari Julai 2008 hingga hari ini.

Isnin ini, tanggal 2 haribulan Ogos, saya dan tiga orang teman sekuliah ? Woon King Chai, Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina akan hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendengar sebutan kes dan kemungkinan besar keputusan akan di umumkan terus oleh Yang Arif hakim.

Memo Group Clear
in Parliament with Deputy Minister of Higher Education, Saifuddin Abdullah


Juga saya bawakan situasi dan keadaan zaman gelap kampus universiti di negara kita. Bagi saya ini suatu petanda buruk yang bakal meranapkan masa depan negara.

Ketika saya tahun satu, dengan harapan dan kesungguhan mendaftar ke kampus. Apa yang saya cita-citakan adalah ke kampus untuk hadir kuliah, untuk turut aktif berpersatuan, untuk sertai diskusi-diskusi mingguan, dan untuk belajar dikritik dan mengkritik.

Namun, saya tidak pernah puas dan selesa dengan keadaan kampus yang kuliahnya kosong dan retorik, anak mahasiswa yang aktif itu digelar pengganas, diskusi-diskusi mingguan itu hampir tiada, segala kehidupan direncanakan dan pensyarah itu alah sekali bila dikritik.

Bagi saya, inilah zaman gelap universiti.

Dalam orasi itu saya sebutkan bahawa jawapan kepada kegelapan dan pembodohan itu adalah pencerahan.

Pencerahan yang mana asasnya harus membebaskan. Bermula dengan pembebasan akal fikiran – yang mana dikatakan oleh Immanuel Kant sebagai perkara yang paling tidak memudaratkan.

Maka pencerahan di kampus itu harus bermula dengan membebaskan pemikiran mahasiswa daripada proses pembodohan. Undang-undang dan peraturan zalim yang membentuk budaya selesa dalam ketidakmatangan – pembodohan itu harus terus dimansuh.

Isnin ini bakal jadi sejarah. Sama ada pertuduhan terhadap saya itu gugur atau akan balik semula untuk dibicarakan di Mahkamah Universiti.

Sebulan yang lalu, saya digantung daripada jawatan Yang Di Pertua kelab Sains Politik. Minggu lepas, sudah timbul isu bahawa Kelab Sains Politik yang saya asaskan itu dibubarkan.

Apa yang berlaku adalah seakan suatu bentuk hukuman ke atas saya.

Saya dihukum oleh universiti kerana saya aktif berpersatuan dan memegang jawatan Yang Di Pertua. Saya di hukum kerana mencari ilmu politik yang praktik di lapangan pilihan raya. Kelab Sains Politik dihukum dan dibubarkan kerana saya adalah Yang Di Pertua dan saya adalah pengasasnya.

Namun, jawapan yang mereka berikan adalah; saya dihukum kerana saya terlibat dengan kempen politik, dan melanggar Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Tidak pula salah bagi segolongan pensyarah di kampus saya yang turut menyertai parti politik dan berpolitik secara terang-terangan walaupun golongan pensyarah ini turut termasuk dalam AUKU.

Saya tidak katakan salah untuk pensyarah atau pentadbir ini juga turut menyertai parti politik. Malah saya turut menyokong penyertaan mereka.

group4-1

 Lihat saja baru-baru ini, timbul suara pembaharu daripada beberapa pimpinan dalam parti pemerintah yang mahukan penyertaan guru, mahasiswa, dan pensyarah dalam politik kepartian itu dibenarkan.

Idea ini harus dilaksana segera supaya ia membebaskan anak muda, mahasiswa, guru dan pensyarah daripada belenggu pembodohan hegemoni sesetengah pihak.

Terdapat juga anak mahasiswa yang lantang memperjuangkan agar jangan dibenarkan penyertaan politik ini berlaku seperti perjuangan sebuah kumpulan yang dinamakan “Kaukus Siswa Melayu UKM” – kumpulan yang dilihat pro-pentadbiran universiti. Mereka yang seakan sudah selesa dengan keadaan kampus sekarang.

Maka merekalah seperti yang dikatakan oleh Immanuel Kant sebagai golongan yang selesa dengan ketidakmatangan – pembodohan yang berlaku. Oleh kerana itulah mereka tidak mahu bebas dan berjuang mempertahankannya.

Untuk saya, tidak ada yang lebih penting bagi menyelesaikan zaman gelap universiti ini melainkan percerahan yang bermula dengan pembebasan akal fikiran yang rasional.

Masyarakat kampus ini harus dibiarkan bebas menggunakan akal fikiran sendiri. Mereka harus dibiarkan bebas merencana masa depan sendiri. Mereka juga perlu bebas untuk membuat pilihan.

Kebebasan inilah yang akan membuatkan mereka berani menggunakan kefahaman sendiri dan inilah tindakan yang bakal membawa pencerahan.

Maka beranilah anak muda, masharakat kampus dan mahasiswa untuk menggunakan kefahaman sendiri – Sapere Aude!

See Also:
hilman memo
Hilman with Deputy Minister of Higher Education, Saifuddin Abdullah
Press Conference with Deputy Youth and Sports Minister, Gan Ping Sieu
Press Conference with Deputy Youth and Sports Minister, Gan Ping Sieu
UKM 4 UUCA


Saturday, September 25, 2010

Kebebasan Membawa Pencerahan - Hilman

Selasa ini, tanggal 28 Sept, saya dan tiga orang teman sekuliah – King Chai, Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina akan hadir ke Mahkamah untuk mendengar sebutan kes dan kemungkinan besar keputusan akan di umumkan terus oleh Yang Arif hakim. Juga saya bawakan situasi dan keadaan zaman gelap kampus universiti di negara kita. Bagi saya ini suatu petanda buruk yang bakal meranapkan masa depan negara.
Ketika saya tahun satu, dengan harapan dan kesungguhan mendaftar ke kampus. apa yang saya cita-citakan adalah ke kampus untuk hadir kuliah, untuk turut aktif berpersatuan, untuk sertai diskusi-diskusi mingguan, dan untuk belajar dikritik dan mengkritik. Namun, saya tidak pernah puas dan selesa dengan keadaan kampus yang kuliahnya kosong dan retorik, anak mahasiswa yang aktif itu digelar pengganas, diskusi-diskusi mingguan itu hampir tiada, segala kehidupan direncanakan dan pensyarah itu alah sekali bila dikritik.

Bagi saya, inilah zaman gelap universiti. Dalam orasi itu saya sebutkan bahawa jawapan kepada kegelapan dan pembodohan itu adalah pencerahan. Pencerahan yang mana asasnya harus membebaskan. Bermula dengan pembebasan akal fikiran – yang mana dikatakan oleh Immanuel Kant sebagai perkara yang paling tidak memudaratkan. Maka pencerahan di kampus itu harus bermula dengan membebaskan pemikiran mahasiswa daripada proses pembodohan. Undang-undang dan peraturan zalim yang membentuk budaya selesa dalam ketidakmatangan – pembodohan itu harus terus dimansuh.

Selasa ini bakal jadi sejarah. Beberapa bulan yang lalu, saya digantung daripada jawatan Yang Di Pertua kelab Sains Politik. Selepas itu, sudah timbul isu bahawa Kelab Sains Politik yang saya asaskan itu dibubarkan. Apa yang berlaku adalah seakan suatu bentuk hukuman ke atas saya. Saya di hukum oleh universiti kerana saya aktif berpersatuan dan memegang jawatan Yang Di Pertua. Saya di hukum kerana mencari ilmu politik yang praktik di lapangan pilihan raya. Kelab Sains Politik dihukum dan dibubarkan kerana saya adalah Yang Di Pertua dan saya adalah pengasasnya.

Namun, jawapan yang mereka berikan adalah  saya dihukum kerana saya terlibat dengan kempen politik, dan melanggar Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971. Tidak pula salah bagi segolongan pensyarah di kampus saya yang turut menyertai parti politik dan berpolitik secara terang-terangan walaupun golongan pensyarah ini turut termasuk dalam AUKU. Saya tidak katakan salah untuk pensyarah atau pentadbir ini juga turut menyertai parti politik. Malah saya turut menyokong penyertaan mereka. Lihat saja baru-baru ini, timbul suara pembaharu daripada beberapa pimpinan dalam partai pemerintah yang mahukan penyertaan guru, mahasiswa, dan pensyarah dalam politik kepartian itu dibenarkan.

Idea ini harus dilaksana segera supaya ia membebaskan anak muda, mahasiswa, guru dan pensyarah daripada belenggu pembodohan hegemoni sesetengah pihak. Terdapat juga anak mahasiswa yang lantang memperjuangkan agar jangan dibenarkan penyertaan politik ini berlaku seperti perjuangan sebuah kumpulan yang dinamakan ‘Kaukus Siswa Melayu UKM’ – kumpulan yang dilihat pro pentadbiran universiti. Mereka yang seakan sudah selesa dengan keadaan kampus sekarang.

Maka merekalah seperti yang dikatakan oleh Immanuel Kant sebagai golongan yang selesa dengan ketidakmatangan – pembodohan yang berlaku. Oleh kerana itulah mereka tidak mahu bebas dan berjuang mempertahankannya. Untuk saya, tidak ada yang lebih penting bagi menyelesaikan zaman gelap universiti ini melainkan percerahan yang bermula dengan pembebasan akal fikiran yang rasional. Masyarakat kampus ini harus dibiarkan bebas menggunakan akal fikiran sendiri. Mereka harus dibiarkan bebas merencana masa depan sendiri. Mereka juga perlu bebas untuk membuat pilihan.

Kebebasan inilah yang akan membuatkan mereka berani menggunakan kefahaman sendiri dan inilah tindakan yang bakal membawa pencerahan. Maka beranilah anak muda, masharakat kampus dan mahasiswa untuk menggunakan kefahaman sendiri – Sapare Aude!

Blog beliau boleh dilawati melalui : hilmanidham.org

Kekal BerGM - Pengerusi GMUKM


Ber-GM Lebih Baik! - Hanya itu yang boleh disimpulkan oleh para pengunjung Jamuan Raya GMUKM yang diadakan pada petang tadi. Biarpun lokasi asal di Sudut Pidato terpaksa diubah ke Fakulti Ekonomi & Pengurusan (FEP), tetapi ia seolah-olah tiada kesan apabila ramai penyokong setia GMUKM terus menghadiri jamuan tersebut petang tadi.
Majlis yang diadakan dengan MAMPU menjadi penganjur utama yang turut dihadiri penyokong-penyokong dari 'front' KAMI dan GMLN. Aturcara majlis bermula pukul 4.00 petang dengan ucapan alu-aluan oleh Duta GMUKM Tahun Dua, saudara Fariq Fitri seterusnya ucapan oleh Pengerusi MAMPU, saudara Ahmad Firdaus dan ucapan perasmian majlis oleh Pengerusi GMUKM, saudara Hafiz bin Abdul Razak. 

Di dalam ucapan beliau, saudara Hafiz turut menggesa mahasiswa-mahasiswi untuk terus bersama-sama Gabungan Mahasiswa yang optimis bakal memegang tampuk pemerintahan PMUKM pada pilihanraya kampus yang akan datang. Gesaan ini berlandaskan 'trend' pengundi yang semakin cenderung kepada Gabungan Mahasiswa pada sesi ini, sejak GMUKM dan MPP Mahasiswa giat menjalankan usaha-usaha mendekati mahasiswa seantero di samping terus menjaga kebajikan mahasiswa sepertimana yang dijanjikan di dalam manifesto pilihanraya kampus dahulu.

Di antara intisari ucapan beliau juga turut menyelitkan kata-kata motivasi buat penyokong dan pendokong terdahulu yang kini berada di tahun-tahun akhir agar tetap kekal bersama perjuangan mahasiswa di UKM tercinta ini. " Tanpa yang dahulu, tiadalah yang sekarang " menjadi pedoman buat saudara Hafiz untuk terus memimpin Gabungan Mahasiswa menuju pilihanraya kampus yang dijangka diadakan seawal semester dua nanti.




Seusai ucapan Pengerusi GMUKM tersebut, para hadirin dijemput ke jamuan juadah hari raya yang tidak kurang enaknya. 

Kami di peringkat GMUKM juga mengharapkan sokongan yang padu dari kalian mahasiswa sebagai mata dan telinga kami di peringkat bawahan, di fakulti dan kolej kediaman. Dengan gendang pilihanraya kampus yang semakin kedengaran dari kejauhan, GMUKM turut menyeru mahasiswa-mahasiswi UKM untuk tidak alpa terus bersama-sama Gabungan Mahasiswa UKM dan terus berjuang menegakkan kebajikan, keintelektualan dan Falsafah UKM sebagai teras utama perjuangan GMUKM; di samping kita semua bakal menghadapi peperiksaan yang berlangsung dari 25 Oktober sehingga 14 November 2010 nanti.

Terapkan di dalam diri dengan kata-kata 'Ber-GM Lebih Baik!' kerana tiada sebab lain yang lebih utama dan kukuh alasannya berbanding 'Ber-GM Lebih Baik!'

Salam transformasi,


Ber-GM Lebih Baik!

Friday, September 24, 2010

GMUKM sambut kemenangan mahasiswa UM

Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) menyambut baik keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini yang memutuskan tiada prima facie dalam kes Rosmah 'bini puaka' terhadap lima mahasiswa Universiti Malaya (UM). 

Di peringkat Gabungan Mahasiswa, kita melihat keputusan ini bakal mengubah pandang sisi mahasiswa terhadap perjuangan yang digagaskan. Hal ini juga jelas membuktikan bahawa kelima-lima mahasiswa yang menjadi tertuduh bagi kes ini tidak pernah melakukan jenayah seperti yang cuba dituduh dan diada-adakan.

Untuk makluman siang tadi Hakim Rozana Ali Yusoff telah membuat keputusan membebaskan lima mahasiswa UM – Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan, Muhammad Saufi Jelani, Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini dan Mohd Syahriuldeen Ahmad Rosli – yang dituduh melakukan jenayah dibawah Seksyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan. di Mahkamah Sesyen 2, di Kompleks Jalan Duta, Kuala Lumpur. 

Di sebalik keputusan yang diumumkan itu, Gabungan Mahasiswa UKM juga mengharapkan tidak akan ada suara-suara atau 'tangan ghaib' yang berkehendak mengubah keputusan mahkamah hari ini dengan 'cara belakang'. Hentikan politik kotor dan dan pendoktrinan yang bukan-bukan terhadap kami, mahasiswa yang sedang belajar mencabar diri ini.  

Buat yang selama ini menyokong dan mendokong perjuangan menegakkan keadilan buat semua mahasiswa di segenap peringkat, teruskan bersama perjuangan mahasiswa yang tidak pernah kenal erti henti ini. Raikan hari ini sebagai satu titik sejarah di dalam gerakan mahasiswa kini. Ini merupakan kejayaan semua mahasiswa yang mendokong dan menyokong perjuangan menegakkan keadilan buat seluruh mahasiswa. Kita yakin dan percaya, keputusan mahkamah ini jelas membuktikan bahawa tanggapan pihak-pihak tertentu yang mengatakan gerakan mahasiswa ekstremis dan kebudak-budakan tidak benar dan tepat sama sekali.

Sudah tiba masa mahasiswa dipandang sebagai jurubicara masyarakat. Tidak perlu dikekang dan ditohmah dan fitnah yang bukan-bukan. Kembalikan varsiti kami sebagai tempat kami belajar dan mengaplikasikan apa yang belajar. Hentikan pendoktinan seolah-olah kami adalah lembu yang dicucuk hidung.

Salam perubahan, salam tranformasi.
Ber-GM Lebih Baik!

Kes Rosmah 'bini puaka': Semua tertuduh dibebaskan

Kredit : MAMPU UKM
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini memutuskan tiada prima facie dalam kes Rosmah 'bini puaka' terhadap lima mahasiswa Universiti Malaya (UM).

Sehubungan itu, Hakim Rozana Ali Yusoff mengarahkan mereka - yang berdepan dengan tuduhan cubaan melakukan khianat dengan menggunakan api dan melakukan pencerobohan jenayah - dibebaskan.

Rozana membuat keputusan tersebut di Mahkamah Sesyen 2, di Kompleks Jalan Duta Kuala Lumpur.

Lima mahasiswa berkenaan - Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan, Muhammad Saufi Jelani,Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini dan Mohd Syahriuldeen Ahmad Rosli dari Universiti Malaya - dituduh melakukan jenayah dibawah Seksyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani - yang bakal dilalui isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor - dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu kira-kira jam 4 pagi.

Manakala bagi Seksyen 436, kelima-lima mahasiswa itu dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.

C4, bini puaka, pembunuh Altantuya
Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.

Semua itu, gara-gara mahasiswa berkenaan dikaitkan dengan contengan perkataan- perkataan "C4", "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" di dinding dewan sebelum kedatangan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Rozana dalam penghakimannya pagi ini berkata dalam pertuduhan seksyen 436 pihak pendakwaraya gagal membuktikan elemen-elemen penting dalam pertuduhan bahawa semua tertuduh telah melakukan khianat atau cubaan melakukan khianat serta mempunyai niat bersama antara mereka.

"Tiada keterangan mengenal pasti bahan api yang digunakan untuk melakukan khianat serta kerosakan dan kemusnahan daripada bahan api tersebut," kata Rozana.

Manakala bagi seksyen 447 pula, pendakwaraya gagal membuktikan elemen niat bersama tertuduh untuk melakukan kesalahan pencerobohan.

"Tiada keterangan bahawa mereka berada di kawasan tersebut dan melakukan pencerobohan di tempat perbuatan khianat yang didakwa berlaku," katanya lagi

Sementara bagi seksyen 427 pula, Rozana berkata pihak pendakwaraya turut gagal membuktikan bahan yang digunakan adalah bahan petrol dan perbuatan contengan di dinding dilakukan oleh semua tertuduh.

"Untuk semua pertuduhan tiada keterangan langsung dibuktikan oleh pendakwaraya. Cuma mereka hanya bergantung kepada keterangan mengikut keadaan tanpa bukti sokongan.

"Setelah meneliti dan menimbang semua keterangan daripada saksi pendakwaraya, exibit dan hujah, mahkamah mendapati, di atas penilaian mahkamah, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

"Dengan ini melepaskan tertuduh dan membebaskan (mereka) terhadap tiga pertuduhan itu tanpa memanggil untuk pembelaan," kata Rozana.

Sumber : Malaysiakini

Thursday, September 23, 2010

Jamuan Raya GMUKM


Bersempena bulan Syawal yang mulia ini, Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) meneruskan agenda mendekati mahasiswa UKM dengan mengadakan Jamuan Raya GMUKM pada ;
Tarikh : 24 September 2010 (Jumaat)
Masa : 3.00 petang
Tempat : Sudut Pidato, Teres Ekoniaga 

Semua mahasiswa-mahasiswi UKM dijemput hadir tanpa mengira bangsa dan agama! Lebih baik lagi jika semua hadirin berpakaian hari raya..

Ber-GM Lebih Baik!

MPP Mahasiswa tolak cadangan bayar PTPTN secara potongan gaji

MPP Mahasiswa UKM melihat cadangan Perbadangan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) melaksanakan pemotongan gaji secara wajib ke atas peminjam wajar dikaji semula dan dijadikan alternatif terakhir.

MPP Nasiha binti Omar ketika dihubungi Wartawan PM-UKM berkata, " Kita (mahasiswa) sememangnya perlukan (banyak) duit. Dan PTPTN tawarkannya sejak 13 tahun lalu. Isu di sini kenapa sudah 13 tahun, PTPTN sampai sekarang masih gagal sediakan mekanisme yang efektif dan efisen (untuk mengutip kembali pinjaman) ? Kenapa tidak fikirkan mekanisme yang lebih fleksibel, (seperti) bentuk pinjaman boleh ubah atau pinjaman tersebut boleh ditukar-tanggung kepada majikan tempat peminjam bekerja ?

MPP Nasiha dalam pada itu mengakui pihak kerajaan telah menyediakan pelbagai prasarana termasuk dalam bidang pendidikan hari ini tetapi pada pandangan beliau, pihak kerajaan sepatutnya menyempurnakan tanggungjawab mereka dengan menyediakan sumber kewangan pendidikan seperti biasiswa-biasiswa atau sekurang-kurangnya pinjaman-boleh-ubah yang luas ditawarkan agensi-agensi kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) kepada rakyat memandangkan kerajaan saban tahun mengutip bermacam-macam cukai daripada rakyat.

Isu ini turut mendapat respon saudari Farih Najihah yang juga MPP Fakulti Perubatan 3-5," Isu peminjam liat membayar balik pinjaman PTPTN memang sudah lama (berlaku). Ia bukan isu baru, (malah) isu basi yang sepatutnya telah selesai. Sejak ditubuhkan lama dahulu, saban tahun tidak habis-habis isu ini."
" Kita akui apa yang kerajaan sediakan hari ini, (tetapi) kerajaan tolong fikirkan idea baru . (Atau) sekurang-kurangnya dengar dulu pandangan kami mahasiswa (berkenaan isu PTPTN ini) sebelum putuskan apa-apa. Kami (mahasiswa ) hari ini belum bekerja lagi awal-awal lagi sudah dipaksa berhutang. Sekarang, hendak dipotong pula duit gaji yang diterima," ujar MPP Farih lagi.

Untuk makluman, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan melaksanakan pemotongan gaji secara wajib bagi mendapatkan semula pinjaman daripada peminjam yang gagal berbuat demikian mulai Jun tahun depan. 
 
Pengerusinya, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, mulai Jun tahun depan, semua peminjam terutama lebih 46,000 peminjam yang liat membayarnya, diwajibkan membayar balik pinjaman itu secara potongan gaji melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ismail yang mula memegang jawatan sebagai Pengerusi PTPTN bermula 1 September lepas berkata, pelaksanaan itu akan membabitkan pindaan Akta PTPTN 1997.

Katanya cadangan bagi meminda undang-undang itu akan dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya awal tahun depan.

Wednesday, September 22, 2010

SMM Gesa Mahkamah Buat Keputusan Bebas Pengaruh Politik

KUALA LUMPUR 22 Sept - Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berharap mahkamah bersikap rasional serta bebas daripada sebarang unsur campurtangan dan tekanan politik dalam membuat keputusan berhubung perbicaraan kes "bini puaka" melibatkan lima pelajar Universiti Malaya (UM).

Justeru itu Setiausaha SMM, Mohd Ridzuan Othman menyeru seluruh mahasiswa turun ke Mahkamah Tinggi di Jalan Duta, 24 September ini bagi mendengar keputusan kes tersebut. Himpunan itu katanya, adalah bagi menyatakan harapan keadilan di peringkat seluruh mahasiswa kepada institusi kehakiman di Malaysia.

Menurut beliau, badan kehakiman perlulah menjadi perunding yang baik kepada mahasiswa atau rakyat.

"Kita yakin akan kreadibiliti mahkamah di Malaysia sebagai telus, adil dan bijaksana dalam menilai setiap fakta kes.

"Saya mengharapkan seluruh mahasiswa, aktivis dan masyarakat untuk sama-sama berdoa bagi kemenangan kes ini", ujar beliau dalam satu kenyataan semalam.

Pada masa yang sama, SMM juga meminta seluruh mahasiswa Islam agar mengadakan solat hajat untuk kemenangan mahasiswa yang ditindas di dalam kes tersebut.

Lima mahasiswa terbabit - Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan, Muhammad Saufi Jelani, Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini dan Mohd Syahriuldeen Ahmad Rosli didakwa di bawah Seksyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan kes kelima-lima tertuduh berlangsung sejak bermula 16 Jun lalu. Mereka dituduh menconteng "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" yang ditujukan kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Kesalahan itu didakwa berlaku pada 4 pagi, 24 Jun 2009 di dewan kuliah utama API, beberapa jam sebelum Rosmah hadir untuk melancarkan kempen mengutip derma bagi kanak-kanak Palestin.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani yang bakal dilalui Rosmah dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu.

Manakala bagi Seksyen 436, ketiga-tiga dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.

Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.

Tuesday, September 21, 2010

Takziah, banyak-banyak bersabar - Hafiz

 Kelihatan saudara Hafiz di sebelah bapa mertua Allahyarham Noorhisham

TIDAK MASUK DEK AKAL - hanya itulah ungkapan yang paling sesuai dilontarkan oleh rakyat Malaysia berkenaan tragedi pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama-sama tiga rakan beliau yang lain baru-baru ini. Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan harap mereka tabah menerima ketentuan ini.

Gabungan Mahasiswa melihat isu ini bukan sekadar dilihat dari pandang sisi permasalahan perniagaan, tetapi lebih melihat ia dari sudut keselamatan, kekukuhan kawalan, kestabilan politik dan lebih penting Gabungan Mahasiswa melihat ia dari sudut urus tadbir atau siasah kenegaraan. Gabungan Mahasiswa tidak berniat ingin mencetuskan sebarang polemik atau provokasi terhadap mana-mana pihak dan menghormati prosedur siasatan jenayah tersebut yang dijalankan pihak berkuasa yang masih belum selesai ketika ini.

"Kes pembunuhan ini nyata 'tak dapat diterima dek akal," kata Pengerusi GMUKM, saudara Mohd Hafiz bin Abdul Razak yang berkata demikian sebagai mengulas pengesahan pihak polis bahawa Sosilawati, 47, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, telah dibunuh. Saudara Hafiz ketika dihubungi baru pulang daripada menziarai rumah keluarga pegawai bank CIMB, yang menjadi salah seorang mangsa pembunuhan.

Tambah Hafiz, kes tersebut juga menggemparkan negara dan menunjukkan peningkatan kadar jenayah dalam negara.

"Kita mahu pendakwaan segera dibuat terhadap mereka yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan ini." tegas Hafiz selaku Pengerusi Gabungan Mahasiswa UKM.

Untuk rekod mangsa ketika disahkan telah dibakar, manakala abunya dibuang ke dalam sebuah sungai dekat Ladang Gadong, di Tanjung Sepat, Banting.

Kesemua mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sejak 30 Ogos semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.Seminggu selepas itu, polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berhadapan sebuah hotel di Subang Jaya.

Sehingga kini pihak polis sekurang-kurangnya telah menahan empat lelaki membantu siasatan.

Sunday, September 19, 2010

18 September – Memperingati peristiwa penyembelihan di Sabra & Shatila

Posted on Haluan Palestin on September 17, 2010 
Peristiwa pembunuhan dan penyembelihan beramai-ramai rakyat Palestin di kem pelarian Sabra dan Shatila dari 16 hingga 18 September 1982 tidak mungkin terpadam daripada sejarah kemanusiaan, walaupun media arus perdana seakan-akan tidak pernah tahu tentang hakikat peristiwa tragis itu.

 

Serangan dan pembunuhan di Sabra dan Shatila itu merupakan salah satu daripada rentetan sikap keji yang dilakukan oleh rejim pengganas Zionis Israel atas arahan secara langsung oleh Menteri Pertahanan ketika itu, Ariel Sharon. Sharon menggunakan taktik jahat dan hina dengan mengambil kesempatan daripada krisis militia Palangist Kristian di Lubnan bagi menghancurkan rakyat Palestin yang terpaksa menumpang hidup di kem-kem pelarian berkenaan. Batalion Palangist ini menyerang, menyiksa dan membunuh secara kejam wanita, anak-anak dan warga tua sementara tentera Zionis yang mengawal perimiter kem-kem tersebut membiarkan sahaja keganasan itu berlaku dan menghalang pihak luar daripada memasuki kawasan.

Serangan brutal dan tragis selama 3 hari itu telah mengorbankan seramai 3,500 pelarian Palestin. Ramai lagi dilaporkan hilang dan terkubur di bawah runtuhan bangunan. Ratusan mangsa serangan yang masih hidup telah dibawa menaiki trak menuju ke tempat misteri, yang sehingga ke hari ini tidak diketahui nasib mereka.

Bukan sahaja tentera Zionis tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghalang serangan dan pembunuhan, malahan mereka membantu puak militia Palangist dengan tembakan-tembakan cahaya ke udara supaya pembunuhan dapat diteruskan pada waktu malam.

Siasatan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Kahan di bawah arahan pemerintah rejim Zionis pada bulan Februari 1983 memutuskan bahawa Sharon telah bersalah secara langsung kerana membenarkan puak Palangist masuk ke kem-kem tersebut dan seterusnya gagal menghalang pembunuhan ribuan orang awam. Tentera Sharon juga membekalkan senjata dan peralatan kepada Palangist dan menyediakan pengangkutan untuk membawa masuk militia.

Walaupun sikap keji Zionis ini mendapat kutukan dunia, termasuk negara-negara Barat sendiri, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan juga Majlis Keselamatan PBB terus menunjukkan sikap dingin terhadap desakan supaya menghukum mereka yang ternyata bersalah. PBB mengutuk tindakan zalim Zionis ini melalui Resolusi 521 (19 September 1982,) namun tidak pernah ada sebarang hukuman dikenakan terhadap Sharon, pemerintah mahupun tentera Zionis. Malahan ramai daripada keluarga mangsa-mangsa pembunuhan itu terpaksa membuat dakwaan secara sendirian ke atas Sharon.

Pada bulan Februari 2003, Mahkamah Tinggi Belgium memutuskan untuk membicara kes jenayah perang ke atas Sharon, tetapi Israel menuduh tindakan tersebut sebagai berbau politik. Pada bulan September 2003, memandangkan tidak seorangpun daripada mereka yang membuat dakwaan ke atas Sharon berbangsa Belgium, Mahkamah Tinggi Belgium terpaksa menggugurkan kes ini.

Mereka yang bersalah terus bebas dan merencana kezaliman demi kezaliman ke atas kemanusiaan, khususnya ke atas rakyat Palestin. (mn/Maan)





NOTA :
Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) ingin menzahirkan perasaan simpati dan salam takziah kepada mangsa-mangsa jenayah peperangan Sabra & Shatila ini. GMUKM juga mengambil kesempatan untuk mengajak rakan-rakan mahasiswa kembali melihat permasalahan ini berlaku apabila kekuasaan berada di pihak yang salah, akhirnya akan memakan diri. Biarpun jelas kesalahan yang dilakukan tetapi apabila kuasa berada di tangan mereka, maka kesalahan itu dilihat kebenaran. 

Moga bumi UKM ini jauh dari golongan sebegini.

Ber-GM Lebih Baik!

















Wednesday, September 15, 2010

Selamat Hari Malaysia


Selamat menyambut Hari Malaysia. 

Hari ini adalah hari yang istimewa buat kita semua. Gagasan Malaysia menjadi harapan untuk membawa warganegara Malaysia dari utara, selatan, timur dan barat Malaysia seterusnya merentasi Laut China Selatan ke negeri Sabah dan Sarawak demi menuju perpaduan yang lebih erat dengan perkongsian yang lebih adil hendaknya. 16hb September 1963, Persekutuan Tanah Melayu bersama Sabah dan Sarawak serta Singapura ketika itu secara rasminya digabung dan membentuk negara berdaulat Malaysia. 

Hari Malaysia memberikan satu makna yang besar kepada seluruh rakyat Malaysia kerana ia adalah satu hari untuk mengenang detik kebebasan rakyat daripada penjajahan British di samping merupakan titik permulaan kepada pentadbiran dan pembangunan Malaysia yang diketuai oleh pentadbir dari tanah air kita sendiri.

Menyelusuri sejarah penubuhan Malaysia, dengan penggabungan Sabah dan Sarawak dengan Malaya, rakyat di ketiga-tiga negeri dapat bersama-sama membina dan memajukan lagi negara Malaysia untuk kemajuan dan kebaikan bersama. Di samping itu, ia juga dapat menyeragamkan pembangunan di negeri Sabah dan Sarawak dari segi sosial, ekonomi, politik dan pendidikan rakyat kedua-dua buah negeri.

Suka atau tidak untuk diakui, kemasukan Sabah dan Sarawak ternyata membawa kesan yang bukan sedikit kepada kita. Hasil bumi serta alam semulajadi yang kaya-raya itu menjadi bonus kepada rakyat di Malaysia barat sini.Ironinya kini negeri-negeri tersebut kelihatan seolah-olah dinafikan hak mereka. Di satu sudut, ada pihak di Semenanjung yang berjuang mempertahankan kedudukan istimewa Bumiputera yang mereka anggap sebagai hak asasi dan dianggap tidak boleh dibincangkan sama sekali. Tetapi di satu sudut yang lain pula, para pejuang ini tidak mempedulikan kedudukan istimewa yang sama untuk Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Ketidakadilan yang dialami oleh rakyat dari negeri-negeri yang ditindas inilah membuatkan mereka bersikap acuh dan pesimis terhadap hasrat memperkukuh sebuah negara Persekutuan ini. Jelasnya kita tidak boleh menyalahkan mereka dan seharusnya berusaha menjana tenaga, fikiran serta terus beriltizam membasmi penindasan tersebut.
Jika ada di kalangan kita yang mahu Sabah dan Sarawak mengikis sikap 'parochial' dan kenegerian, kita di Semenanjung juga tidak boleh bersikap 'parochial' dan tidak lagi memandang rendah kepada kedua-dua negeri itu. Apabila semua pihak bersetuju untuk membuang sikap memperjuangkan satu kaum atau satu negeri dan akhirnya bersikap terbuka menerima pandangan orang lain, hanya pada saat itu kita akan benar-benar merdeka sebagai satu entiti yang bernama Malaysia.

Justeru di peringkat Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) menyeru semua mahasiswa khususnya mahasiswa UKM yang berasal dari serata negeri di Malaysia supaya berganding bahu membentuk silaturahim yang hakiki dan tidak berkepentingan sama sekali. Pemimpin kita terdahulu mengagaskan penubuhan Malaysia bukan bertujuan mengisi tembolok masing-masing, justeru kita sebagai pewaris negara berdaulat ini seharusnya menjayakan lagi visi dan misi tersebut demi menggapai kejayaan yang lebih bermakna. 

Selamat Hari Malaysia. 



Dengan ingatan tulus ikhlas dari ;


Gabungan Mahasiswa 
Universiti Kebangsaan Malaysia

Bangi. 16 September 2010.

Wednesday, September 8, 2010

Takbir Raya - In Making..


Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) meneruskan agenda merakyatkan GM dengan menganjurkan rakaman takbir raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada hari Jumaat ini. Rakaman tersebut telah dihadiri pimpinan 'front' GMUKM dan MPP Mahasiswa serta pimpinan ISIUKM.

Rakaman yang mengambil masa sejam itu turut mengandungi rakaman ucapan hari raya daripada pimpinan dan MPP GMUKM di akhir video. Rakaman video ini boleh dilihat di GMUKM@Youtube. Berikut gambar yang sempat dirakam oleh Wartawan GMUKM.

Saudara Firdaus mengetuai takbir raya


MPP Anuar turut hadir


MPP Faiz turut tidak ketinggalan




Sempat bergurau sebelum rakaman ucapan raya





 


 Sememangnya 'Ber-GM Lebih Baik!'

PERUTUSAN BERSAMA AIDILFITRI 1430H

PERUTUSAN BERSAMA AIDILFITRI 1430H
MPP MAHASISWA & MT GABUNGAN MAHASISWA UKM

بسم الله الرحمن الرحيم

لله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر ولله الحمد

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه

Pertama dan selamanya, marilah kita panjatkan rasa syukur kepada Allah S.W.T yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi nikmat kembali kepada fitrah setelah melalui fasa tarbiyyah di bulan Ramadhan. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Penyelamat Ummah, Rasulullah S.A.W yang telah menyempurnakan misi da’wah ke atas manusia agar kembali kepada fitrah mereka.

Rakan-rakan mahasiswa sekalian,

Sesungguhnya kita telah melalui fasa tarbiyyah tahunan di bulan Ramadhan yang disebut-sebut sebagai penghulu segala bulan. Selama tiga puluh (30) hari hidup ini menyaksikan pertarungan sengit antara diri yang menuntut fitrah suci dan nafsu yang menuntut agar hidup seolah tidak bertuhan. Kita percaya ramai di kalangan kita bersungguh untuk menjayakan tarbiyyah ini, namun seharusnya rasa kehambaan ini tidak bermusim. Sesuai dengan sabda Rasulullah S.A.W;
"اتق الله حيث ما كنت"
Maksudnya: Bertaqwalah kamu di mana sahaja kamu berada.


Rakan-rakan mahasiswa sekalian,

Ingin dipesani, bukti kejayaan tarbiyyah Ramadhaniyyah yang telah dilalui, kita tidak akan menjadi golongan Ramadhaniy yang hanya merasa dirinya hamba ketika di bulan Ramadhan sahaja. Namun malangnya selepas berlalu bulan itu, rasa hamba tersebut hilang dan kembali menjadi manusia yang lupa Penciptanya. Jadilah kita antara golongan yang komited terhadap cara hidup Islam, disebut sebagai golongan Rabbaniy. Dengan semangat berkhidmat untuk agama tidak bermusim, bahkan hidup sebagai hamba perlu diatur persembahannya untuk Allah S.W.T agar hari ini lebih baik dari hari semalam.

Jika dahulu Allah menurunkan wahyu kepada para nabi dan rasul demi peringatan untuk manusia terhadap dosa noda yang telah mereka lakukan, namun setelah ketiadaan para utusan Allah, adakah mesej peringatan tersebut terus terhenti? Umum mengetahui kini ummat manusia menghadapi pelbagai bala bencana. Sebagai tanda soal buat kita, adakah itu bukan mesej peringatan dari Allah? Pelbagai penyakit diturunkan sebagai contoh mudah, bukankah itu ‘bahasa’ Allah untuk mengingatkan kita betapa jauh kedudukan manusia umumnya dan orang-orang Islam khususnya dari kehidupan Rabbaniy acuan Nabi? Kita percaya semua di kalangan kita tahu erti bala di dalam Islam. Ia bukan sekadar bencana alam atau rencatan sistem kehidupan , sebaliknya ia adalah peringatan dari Allah atas perilaku manusia. Semakin jauh manusia dari cara hidup ajaran agama, semakin berat misi perjuangan yang perlu dipikul.

Sahabat seperjuangan GMUKM sekalian,

Apabila disebut tanggungjawab perjuangan, ia merupakan topik serius yang memerlukan perhatian yang serius kita bersama. Imam Hasan al-Banna menyebutkan di dalam karangan-karangan beliau, sesungguhnya hidup ini sifatnya berkorban bukan hanya menadah tangan dan berserah nasib. Itulah sifat pejuang dan penda’wah yang menjulang panji ketuanan agama. Mereka mempunyai daya tahan dan jati diri yang tinggi, bersedia untuk berdikari dan memberi.

Dalam pada itu golongan penda’wah juga disebut sebagai ejen penyatu ummat berdasarkan firman Allah;
“واعتصموا بحبل الله جميعا ولا تفرقوا واذكروا نعمة الله عليكم إذ كنتم أعدآء فألف بين قلوبكم”
(Surah Ali Imran 103)

Maksudnya : Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah, dan jangan berpecah belah. Dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (di zaman jahiliyyah) berpecah belah, kemudian Allah satukan hati-hati kamu.

Sesungguhnya penyatuan hati hanya dapat dicapai dengan kesungguhan kita berpegang sepenuhnya dengan ajaran agama yang sebenar. Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) dari awal penubuhannya, sehingga kini dan dengan izin-Nya akan selamanya berusaha membawa arus gelombang mahasiswa-mahasiswi dengan acuan Islam.

Namun diingatkan bukanlah apabila dikatakan kita inginkan membawa acuan Islam, maka semua mahasiswa akan terus dipaksa menerima Islam sepenuhnya. Ingin ditekankan di sini Islam menganjurkan manusia saling bertolak ansur dan bekerjasama di samping tidak tergesa-gesa melakukan perubahan. Setiap isu di kampus atau peringkat nasional boleh kita perhalusi untuk dibincangkan. Justeru Gabungan Mahasiswa UKM mengambil sikap terbuka dalam menerima sebarang komen dan cadangan penambahbaikan daripada mana-mana pihak.

GMUKM bukanlah seperti yang digembar-gembur oleh sesetengah pihak bahawa hanya dimonopoli mahasiswa Melayu Islam, tetapi kita turut mempunyai ‘front’ bagi bukan Islam yang menuntut mahasiswa-mahasiswa bukan Islam untuk sama-sama kita memperjuangkan isu kebajikan mahasiswa kampus UKM seperti DEMA dan JKMI yang pernah suatu masa dahulu turut menggemilangkan Gabungan Mahasiswa.

Sungguhpun pelbagai tribulasi yang telah dilalui, kini kita tetap masih mampu melangkah ke hadapan membawa agenda kebajikan sejagat dengan gemblengan tenaga baru seperti daripada Gerakan Mahasiswa Lantang Negara (GMLN), Membina Mahasiswa Penggerak Ummah (MAMPU), Kumpulan Aktivis Independen (KAMI) dan Angkatan Siswi Dinamis (AKSIS). Ini membuktikan kesatuan hati kita guna untuk menyahut seruan Allah melalui ayat berikutnya;

"ولتكن منكم أمة يدعون إلى الخير و يأمرون بالمعروف وينهون عن المنكر"
(Ali Imran 104)

Maksudnya : Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan menegah dari yang mungkar.
Rakan-rakan mahasiswa UKM sekalian,

Samada mahu ataupun tidak mahu, kita perlu menyedari harapan ummat terhadap golongan terpelajar seperti kita amat tinggi. Masyarakat tidak mengharap agar kita membawa balik karung emas lambang kemegahan ataupun pakaian ilmu yang si pemakainya buruk akhlak. Sebaliknya apa yang diharapkan semata-mata agar kita mampu menjadi ejen perubah masyarakat supaya kembali kepada fitrah asal kejadian manusia yang bertuhan dan sedar diri bahawa dirinya hamba.

Teman-teman mahasiswa yang dikasihi sekalian,

Di musim ini, kita ditarbiyyah oleh Allah dalam keadaan senang. Ramadhan dihampar ketenangan beribadah, juadah berbuka yang mudah diperolehi dan pelbagai. Menyambut Syawal dengan debaran gembira dapat menyucikan diri kembali kepada fitrah.

Bandingkanlah antara nasib kita dan nasib saudara-saudara kita yang ditindas. Tanah air mereka diceroboh dan hidup mereka hancur disebabkan keghairahan penguasa dunia yang lagaknya seperti tuhan. Bumi tertindas Palestin, Chechnya, Afghanistan serta Gaza dan banyak lagi bumi umat Islam tertindas yang belum diperhati dunia. Jadikanlah memori hidup mereka sebagai memori hidup kita.

Tarbiyah Ramadhan mengajar kita untuk mengingati saudara-saudara kita di sana. Janganlah kita hanya sekadar ditarbiyah tetapi kesedaran itu masih belum timbul. Lakukanlah tindakan yang membuktiukan bahawa kita menyedari akan keadaan tersebut. Sebagai membuktikan kesungguhan, GMUKM dengan tanggungjawab kebajikan atas nama Islam sehingga kini meneruskan usaha membantu mereka semampu mungkin. tulah kekuatan yang ada hasil daripada kesatuan hati yang kita pupuk selama ini.

Ber-GM Lebih Baik! Semoga slogan ini akan terus kita jayakan di setiap peringkat kerana kita adalah GMUKM. Tiada yang mustahil untuk kita capai sekiranya kita bersatu mengembleng tenaga. Sempena hari lebaran ini sama-samalah kita mengenang nasib ummat Islam yang tertindas, moga-moga dengan kesedaran tersebut meledakkan semangat kita agar terus istiqamah dalam jalan da’wah ini demi melihat kalimah LAILAHAILLAH tertegak dan dijulang tinggi.

Salam Syawal 1431H,

Siru ala barakatillah…



Perutusan Bersama MT & MPP Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM)
Pengerusi GMUKM : Mohd Hafiz Bin Abd. Razak
Presiden MAMPU : Ahmad Firdaus Bin Ahmad Azam
Presiden KAMI : Muhammad Hilman Bin Idham
Presiden GMLN : Mohd Fadhlan Bin Sugiman
Presiden AKSIS : Nabilah Binti Mohd Maiyidin

MPP Umum -
Muhamad Faiz b Ismail
Muhammad Syafiq b Abdul Aziz
Nabilah bt Mohamad Maiyidin
Alia Suzana bt Asri

MPP Fakulti -
FUU : Ou Yong Koh Beng
FFar : Mariah bt Zakaria
FPer ½ : Nasiha bt Omar
FPer 3/4/5 : Farih Najihah bt Hashim
FPI ½ : Mohd Zaim Juwaidi b Jamaluddin
FPI 3 : Nik Ahmad Syafie b Raja Daud
FPend ½ : Wan Ahmad Fahmi b Wan Abdul Hamid
FPend ¾ : Khairul Anuar b Mat Lazim
FKAB ¾ : Sarzliana bt Soaidin
FSKB ¾ : Nur Ili bt Mohamad Tarmizi

Monday, September 6, 2010

Utamakan Keselamatan

 

Dengan Ramadhan yang berbaki kurang daripada lima hari ini, dan Syawal bakal berkunjung tiba, maka di kesempatan ini seluruh pimpinan Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) melalui MAMPU, KAMI, GMLN dan AKSIS dengan ini mengambil peluang untuk mengingatkan kepada rakan-rakan mahasiswa sekalian supaya menjaga keselamatan diri semasa di jalan raya dan kampung halaman sewaktu musim perayaan ini.

Harus diingatkan, menjelang tibanya musim perayaan ini ramai yang tinggal, belajar dan bekerja di perantauan akan mula pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut hari raya bersama keluarga. Maka jalan raya akan dipenuhi dengan banyak kenderaan yang berpusu-pusu untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Apa yang menyedihkan apabila tibanya musim perayaan akan terjadinya banyak kemalangan jalan raya yang meragut banyak nyawa. Statistik setiap tahun menunjukkan setiap kali tiba musim menyambut hari raya banyak kes kemalangan jalan raya telah berlaku. Hari raya yang sepatutnya menjadi hari untuk bergembira bersama keluarga tersayang telah bertukar menjadi hari yang menyedihkan.

Ada banyak faktor yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya. Kemalangan jalan raya hendaklah dielakkan sama sekali dari berlaku.Kepada mereka yang merancang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing berhati-hatilah di jalan raya.  Walaupun hendak cepat sampai, tetapi seharusnya jangan memandu laju dan berkeadaan merbahaya. Jangan memandu mengikut perasaan tapi ikutlah peraturan jalan raya.

Di dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 4 September lalu ada memetik bahawa Timbalan Perdana Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati, kerugian sosioekonomi akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2009 lalu mencecah RM9 bilion.Jumlah tersebut tidak termasuk kerugian emosi akibat kesedihan dan trauma yang dialami oleh ahli keluarga mangsa kemalangan.Berita ini amat mengejutkan di banyak pihak. 

Justeru di peringkat Gabungan Mahasiswa UKM, kita ingin berpesan kepada teman-teman supaya sama-sama menjaga keselamatan diri dan orang lain. Ingatlah orang yang tersayang. Semoga hari raya aidilfitri pada tahun ini akan dapat dapat disambut dengan meriah bersama sanak saudara di kampung. Selamat hari raya aidilfitri. Maaf zahir dan batin.

Saturday, September 4, 2010

Budayakan Budaya Membaca

Di celah-celah kesibukan kita menyambut Syawal sebagai Hari Kemenangan pada hujung minggu ini, Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) ingin mengajak rakan-rakan mahasiswa untuk berfikir sejenak berkenaan budaya membaca di kalangan mahasiswa hari ini.

Melalui pemerhatian GMUKM, budaya membaca bukan lagi budaya mahasiswa tetapi hanya budaya siswazah post graduates, budaya pensyarah dan budaya 'mat skema'. Menyentuh buku-buku yang bukan alirannya, bukan kursusnya dianggp pelik dan ganjil. Membeli buku bukan lagi budaya mulia, sehinggakan peruntukan pinjaman dan biasiswanya tidak diperuntukkan untuk membeli bahan-bahan ilmiah ini. Hasilannya adalah golongan berpemikiran eksklusif yang buta sosial dan buta ilmu kehidupan ini sendiri. Apalah erti 'mahasiswa' jika dipisahkan dengan buku? Harus diingatkan melalui pembudayaan membaca inilah tercetus revolusi-revolusi yang menggegarkan dunia. Malahan kemerdekaan negara kita tidak akan tercapai jika golongan cendikiawan tiada dan tiada satu pihak yang menghidupkan budaya membaca ini.

Justeru, di peringkat GMUKM ingin mengajak rakan-rakan mahasiswa untuk menghidupkan kembali budaya membaca ini dengan mulakan membaca sebarang buku mulai hari ini. Buat permulaan, GMUKM ingin mengajak sahabat membaca sebuah buku, bersempena Hari Kemerdekaan yang baru berlalu. 


Judul : Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan
Pengarang : Mohammed Salleh Lamry
Penerbit :Penerbit UKM
Genre : Sejarah
Mukasurat : 204  halaman
Cetakan Pertama : 2005
ISBN : 967942717x

GMUKM mencadangkan buku ini bukan untuk mencetuskan sebarang provokasi, tetapi pada pandangan GMUKM, penulis buku ini bijak menilai sesuatu isu (dalam konteks ini temanya kemerdekaan Tanah Melayu) dari sisi pandang yang lain. Buku ini mengandungi 11 bab yang antara lain kandungannya melingkari topik berkenaan gerakan politik, perjuangan kemerdekaan dan tanggapan umum terhadap perjuangan bersenjata nasionalis kiri pada zaman penjajah. Untuk buku ini, penulis melakukan penyelidikan dengan menggunakan tiga sumber termasuk sejarah lisan. Penulis juga menemubual secara langsung tokoh-tokoh Melayu berkenaan.  

Dalam perjuangan untuk mencapai kemerdekaan, gerakan nasionalisme Melayu terbahagi kepada aliran kiri dan aliran kanan. Aliran kiri dipelopori oleh Kesatuan Melayu Muda (KMM), diteruskan oleh Parti Kebangsaan Melayu Muda (PKMM) dan badan gabungannya seperti Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Se-Tanah Air (BATAS). Aliran kanan pula dipelopori oleh persatuan Melayu negeri-negeri dan diteruskan oleh United Malays National Organisation (UMNO) dan berjaya mencapai kemerdekaan. 

Perjuangan nasionalisme aliran kiri memang tidak berjaya mencapai matlamatnya. Gerakan nasionalis kiri terpinggir dan terkeluar dari arus perdana kerana tekanan penjajah dan hanya mendapat sokongan daripada golongan minoriti Melayu. Namun, satu kelompok kecil dari kalangan pemimpin gerakan nasionalis kiri Melayu ini telah memilih jalan lain untuk meneruskan perjuangan mereka. Mereka menyertai perjuangan bersenjata mulai 1948 bersama Parti Komunis Malaya (PKM) setelah mendapati perjuangan secara damai tidak dapat diteruskan lagi. Perjuangan mereka ini hanya berakhir dengan termeterainya Perjanjian Damai antara PKM dengan kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand pada 1989 di Haadyai. 

 -------------

*MOHAMED SALLEH LAMRY, Ph. D adalah mantan Profesor Madya dan Sarjana Tamu di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Mohamed Salleh Lamry adalah salah seorang daripada kumpulan guru Melayu terakhir yang dilantik daripada kalangan orang yang berpendidikan sekolah rendah. Beliau menjadi guru dan melepaskan peluang keemasan untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah atas kehendak keluarga. Menyedari bahawa status guru sekolah Melayu adalah rendah, usaha meninggikan status diri telah dilakukannya hampir sepanjang hayat. Salleh mengambil peperiksaan SRP dan SPM dengan cara belajar sendiri. Kemudian beliau mencari laluan lain menuju ke menara gading iaitu ke UKM dengna mengambil peperiksaan STPM. AKhirnya, beliau ditawarkan menjadi tutor sambil mengambil ijazah Sarjana setelah mendapat ijazah Sarjana Muda.

    Beliau meneruskan kerjayanya bermula sebagai pensyarah, kemudian Profesor Madya dan berakhir sebagai Sarjana Tamu. Usaha meninggikan status diri hanya berakhir dengan mengambil ijazah Doktor Falsafah. Walaupun tidak berjaya menjadi seorang penulis kreatif, tetapi aktiviti penulisan yang dilakukannya ketika bertugas sebagai guru dan tutor telah memberikannya kelebihan dan kemahiran untuk menulis karya ilmiah.

    Minatnya terhadap politik dapat dipenuhi setelah bekerja di universiti dengan membuat pelbagai kajian tentang politik. Beliau berpengalaman menemuramah beberapa orang tokoh Komunis Melayu seperti Rashid Maidin dan Abdullah C.D. iaitu ketika menjalankan kajian tentang politik kiri yang membawa kepada kelahiran salah satu bukunya yang penting iaitu "Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan".

Thursday, September 2, 2010

'Jom Masak-Masak Bubur Lambuk' Berjaya!


Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) dengan tagline terbaru, "Ber-GM Lebih Baik!" terus menjalankan agenda merakyatkan GM dengan mengadakan kerjasama bersama-sama Persatuan-Persatuan Mahasiswa Fakulti serta badan-badan mahasiswa yang lain dalam menganjurkan aktiviti memasak bubur lambuk pada petang tadi dengan Persatuan Mahasiswa Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina (PEMATRA) menjadi tuan rumah.

Aktiviti yang pada mulanya dirancang diadakan di Tasik FKAB terpaksa diubah ke hadapan kafe FKAB bermula pada pukul 3.30 petang. Walaupun agak lewat daripada jangkaan awal, tetapi aktiviti memasak dan mengacau bubur lambuk ini berjaya diselesaikan menjelang pukul 6.00 petang.

Menurut Fakri, mahasiswa tahun dua dari Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina berkata, beliau teruja dengan aktiviti hari ini kerana ia merupakan gabungan beberapa buah fakulti dan badan mahasiswa lain seperti ISIUKM dan PERKIM selain pembabitan Persatuan Anak Negeri Kelantan (PERDANA) dan Melaka (PESAMA).

" Aktiviti ini kelihatan seperti aktiviti mega antara fakulti-fakulti. (Seolah-olah) jadi 'event' rasmi UKM pula! Saya pun tumpang seronok kerana fakulti kami hari ini menjadi tuan rumah. " luah Fakri kepada Wartawan GMUKM.




Seusai aktiviti memasak bubur lambuk, aktiviti membungkus dan mengedarkan dijalankan. Berkat kehadiran hadirin yang ramai, aktiviti tersebut selesai dijalankan menjelang pukul 6.30 petang. Aktiviti mengedarkan bubur lambuk disasarkan kepada para mahasiswa penghuni kolej-kolej kediaman seperti Kolej Burhanuddin Helmi, Kolej Ungku Omar sehingga Kolej Keris Mas di samping perhentian-perhentian bas sekitar UKM.










Aktiviti pengedaran bubur lambuk ini selesai dijalankan menjelang pukul 7.00 petang. Apa yang diharapkan, melalui aktiviti-aktiviti ini dapat dijadikan salah satu lonjakan kepada para mahasiswa dalam kita bermasyarakat. Ditambah pula dengan keberkatan bulan Ramadhan yang mulia ini, diharapkan kita semua dapat saling memberi dan berkongsi sesama insan. Biarpun berlainan fahaman mahupun pandangan, tetapi pada asasnya kita semua warga kampus UKM yang bertanggungjawab membina varsiti tercinta ini menuju visi dan misi serta falsafah varsiti yang jelas.



Ber-GM Lebih Baik!

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !