Zalim. Itulah ayat yang sesuai digambarkan kepada pihak-pihak Kolej yang mengusir mahasiswa daripada kolej masing-masing untuk semester akan datang. Ini satu kezaliman kerana tiada alasan yang kukuh, mahasiswa itu dibuang daripada kolej kediaman masing-masing. Sedangkan mengikut maklumat yang GMUKM dapat, mereka yang dibuang ini adalah individu yang aktif dalam persatuan, bahkan ada yang menjadi presiden Persatuan Mahasiswa Fakulti dan juga kelab-kelab. Malahan, pelajar yang dianugerahkan sebagai pelajar cemerlang semasa majlis makan malam kolej juga turut dinafikan haknya untuk menduduki kolej pada semester hadapan.
GM melihat isu ini adalah isu yang besar kerana ia melibatkan kezaliman oleh pihak kolej ke atas pelajar. Mengikut Statistik, kolej yang paling ramai membuang pelajar ialah kolej Ungku Omar (KUO) dan Kolej Ibrahim Yaakob (KIY). Mereka sembrono membuang mahasiswa dan bersikap pilih kasih dalam pemilihan warga kolej ini. Mengikut maklumat sulit, di Kolej Ungku Omar sendiri, pengetuanya, Dr Shamsu sendiri yang menapis pelajar yang akan mendiami kolej pada masa hadapan. Para JAKSA dan Felo hanya menjadi “yes man” sahaja. Mengangguk-angguk tanpa ada kuasa untuk memperbetulkan apa yang tidak betul. Ini adalah satu bentuk kezaliman terang-terangan daripada pihak pengetua itu sendiri. Yang bukannya makhluk suci untuk kita terus patuh pada arahan pengetua ini.
GM mendesak agar satu pemurnian terhadap isu ini dijalankan. Sekiranya tidak, GM tidak akan teragak-agak untuk membawa isu ini ke pengetahuan pihak luar. GM minta agar pihak kolej mengeluarkan senarai rangking pelajar mengikut merit yang mereka dapat. Seterusnya mengisi mereka yang teratas ke dalam bilik yang kosong di kediaman kolej. Masih belum terlambat lagi untuk berbuat demikian. Ini dapat memberikan keadilan kepada semua orang. Diberitakan juga ramai mahasiswa India dan Cina juga mengamuk tentang isu buang kolej ini kerana mereka turut dipindahkan ke KPZ, sebuah kolej swasta yang amat mahal sekali.
Jadi GM berharap agar isu ini dapat diselesaikan secara baik. Amaran bagi pengetua yang bersikap berat sebelah, kami sebagai mahasiswa merdeka akan memperjuangkan hak kami sebagai mahasiswa tanpa dapat dihalang oleh sesiapa lagi. Ingatkah kita semua bahawa kejatuhan dictator Suharto adalah kerana mahasiswa itu sendiri. Jadi jangan cabar mahasiswa yang bermaruah. Kepada JAKSA kolej sekalian, inilah masanya untuk anda buktikan kepada masyarakat kolej bahawa kamu perjuangkan kebajikan siswa siswi. Jika tidak, duit RM 100 yang kamu ambil daripada yuran penghuni kolej, akan mereka tidak redhai sehingga akhir hayat kamu sekiranya kamu memejamkan mata untuk menyelesaikan masalah ini. Jika tidak sanggup dan tidak berani, mansuhkan sahaja JAKSA ini. Kerana sekiranya kamu tidak ingin berkhidmat dengan penghuni kolej, kamu adalah tidak layak digelar JAKSA. Tukarkan kepada nama JAKPEK (Jawatankuasa Kebajikan Pengetua Kolej )..Kerana kamu lebih menjadi pak turut kepada pengetua yang menzalimi mahasiswa. Bukannya pak turut kepada mahasiswa, yang membayar kamu setiap semester sebanyak RM 100 itu.
0 comments:
Post a Comment