Salam takziah daripada Angkatan Siswi Dinamis UKM (AKSIS) buat keluarga allahyarhamah Siti Nabilah binti Anuar yang telah kembali ke rahmatullah akibat satu nahas kemalangan kelmarin. AKSIS menerima laporan bahawa kemalangan tersebut dipercayai kes langgar-lari dan kes ini masih berada dalam siasatan pihak polis untuk menjejaki suspek yang disyaki terlibat. Nahas ini turut melibatkan seorang rakan allahyarhamah yang kini disahkan masih berada di wad ICU.
Allahyarhamah Siti Nabilah merupakan mahasiswi tahun satu dari Fakulti Sains & Teknologi dan mengambil kursus Oleokimia. Allahyarhamah yang berasal dari Banting, Selangor juga merupakan salah seorang anggota Sukarelawan Kor Siswa/Siswi (SUKSIS) dan menetap di Kolej Keris Mas. Beliau juga Rakan Exco Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Teknologi (PMFST).
Berita pemergian allahyarhamah nyata merupakan sesuatu kejadian yang mengejutkan dan AKSIS yakin ia menjadi tamparan yang hebat juga buat keluarga allahyarhamah Siti Nabilah memandangkan baru sahaja 4 hari sesi pengkuliahan semester baru bermula.
AKSIS cakna akan kes kemalangan ini dan menasihati seluruh warga UKM terutamanya rakan-rakan siswi agar berhati-hati di jalan raya dan di mana jua pada setiap masa. AKSIS amat menitikberatkan keselamatan para siswi UKM dan berharap agar masing-masing dapat menjaga diri khususnya buat mereka yang memiliki kenderaan dan lebih-lebih lagi bagi siswi yang menaiki motosikal memandangkan statistik menunjukkan penunggang motosikal merupakan golongan yang berisiko tinggi untuk terlibat dalam kemalangan dan mendapat kecederaan yang teruk.
Jurucakap AKSIS tahun satu dan dua saudari Noraini binti Jumahir menyatakan, beliau amat terkejut ketika dikhabarkan mengenai berita kemalangan yang melibatkan kematian allahyarhamah Siti Nabilah. Katanya ketika ditemui, “ Saya kira berita ini sangat memeranjatkan kerana kita baru sahaja memulakan sesi pengkuliahan setelah menghabiskan masa yang lama bersama keluarga. Saya terbayang akan keluarga allahyarhamah yang pasti terlalu sedih kerana baru beberapa hari yang lalu berpisah dengan anak mereka untuk meneruskan pembelajaran di UKM dan rupanya mereka berpisah buat selama-lamanya.”
Katakanlah: “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (QS. 62:8)
Sambung saudari Noraini, “saya yakin pasti ada hikmah arwah Siti Nabilah dijemput terlebih dahulu menemui Allah kerana sememangnya kita tidak dapat lari dari ajal maut yang telah ditetapkan untuk kita. Mungkin esok lusa giliran saya pula. Sebagai salah seorang siswi yang menaiki motosikal, saya menasihatkan raan-rakan siswi yang lain agar sentiasa berhati-hati dan bersikap cermat di jalan raya. Saya pernah melalui lokasi kejadian yang menimpa arwah Siti Nabilah. Kawasan tersebut memang terkenal dengan lalu lintasnya yang agak sesak pada waktu petang dan berbahaya di waktu malam memandangkan keadaan jalan raya yang sempit. Oleh itu, saya berharap agar rakan-rakan siswi tidak membawa kenderaan secara laju dan terburu-buru di lokasi tersebut dan jika boleh, kurangkan untuk pergi ke sana tanpa sebarang perkara yang penting lebih-lebih lagi pada waktu malam.”
Saudari Noraini turut mendoakan agar roh allahyarhamah pergi dengan tenang dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman manakala rakannya yang masih berada di wad ICU akan kembali sembuh seperti sedia kala.
AKSIS berharap agar kes kemalangan seperti ini dapat dihindari pada masa akan datang. Pandu cermat, jiwa selamat. Ingatlah keluarga tersayang. Marilah sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat allahyarhamah Siti Nabilah Binti Anuar. Al-Fatihah.
3 comments:
salam...
salam ukhuwah kpd keluarga GMUKM..
takziah dan hanya alfatihah dapat diiringkan kepada allahyarhamah...walaupun saya tak kenali beliau..tetapi hati ini sangat sebak ketika melihat FB beliau dan dengar apa yang telah terjadi..semoga keadilan bagi allahyarhamah dan rakannya itu akan terjawab...ana hanya mampu berharap arwah ditempatkan dalam kalangan para solehah...amin...:_(
boleh sy tahu, apa nama fb nabilah...
kalau xsilap saya...IR LELA...tu pun sy terjumpa dlm comment KOR SUKSIS...shukran.
Post a Comment