Oleh Fazy Sahir
KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) julung-julung kalinya akan menganjurkan himpunan terbesar mahasiswa dari pelbagai institusi pengajian tinggi seluruh Malaysia pada 1 Januari depan bertempat di Padang Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Simboliknya, himpunan yang bertemakan "Mahasiswa Untuk Malaysia" akan menghimpunkan 1,111 mahasiswa sebagai simbolik kepada tarikh himpunan serta ketibaan tahun baru aiaitu 1 Januari 2011.
Menurut pengarah program terbabit, Mohd Ezuan Saad, himpunan yang disertai lebih 50 institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta itu diharap dapat dapat membawa mahasiswa turun ke lapangan masyarakat serta memainkan peranan penting dalam pemerintahan negara.
"Himpunan ini diharapkan dapat berperanan sebagai medan kapada setiap mahasiswa di seluruh negara untuk tampil dengan wajah dan nafas baru yang lebih dinamik pada tahun baru 2011.
"Maka kami mahu para mahasiswa terus memainkan peranan yang dominan di dalam masyarakat serta politik dalam negara kita," katanya ketika sidang media di Gazebo berdekatan Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya.
Katanya, program yang dijalankan lebih santai malah dana untuk himpunan ini ditanggung sepenuhnya oleh GAMIS sendiri.
Jurucakap GAMIS, Ahmad Shukri Kamaruddin pula berkata setakat ini permit untuk himpunan tersebut masih belum diperolehi dan perbincangan sedang giat dijalankan dengan pihak polis.
Malah katanya, GAMIS masih menunggu respon daripada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah untuk merasmikan program itu nanti.
"Petang ini kami akan bertemu pihak berkuasa untuk membincangkan mengenai permit ini. Kami juga turut menjemput Datuk Saifuddin dan masih menunggu maklum balas daripada beliau," jelasnya.
0 comments:
Post a Comment