Sumber : www.pm-ukm.blogpsot.com
Majlis Perwakilan Pelajar Gabungan Mahasiswa UKM (MPP-GMUKM) berpandangan yang jelas dan sama dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin bin Abdullah yang semalam menyarankan supaya pihak pentadbiran IPT tempatan supaya 'membuang amalan karenah birokrasi yang masih mengekang kebebasan para pelajar' dan segera menerapkan budaya 'Inovasi Demokrasi'. (Rujuk SINI)
Jelas beliau, budaya inovasi merujuk kesediaan berubah, mencuba perkara dan cara baru dalam kehidupan.
“Dari segi konsep, budaya inovasi merangkumi kreativiti dan inovasi yang menjadi penggerak kepada pertumbuhan dalam setiap bidang."
Menurut beliau, budaya inovasi adalah satu daripada nilai dalam gagasan 1 Malaysia. Akan tetapi malangnya walaupun banyak pelan transformasi telah dilancarkan, malangnya pelajar masih dikekang oleh karenah birokrasi walaupun nilai ini jelas dikehendaki kerajaan untuk dicapai.
Beliau memberi contoh karenah birokrasi yang sering mengekang inovasi pelajar IPT yang perlu dihapuskan segera antara lain para pelajar dikehendaki menyediakan kertas kerja tebal untuk menganjurkan aktiviti mudah seperti ceramah dan forum.
Malah kata beliau, para pelajar terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan kelulusan aktiviti semata-mata kerana pegawai yang mempunyai kuasa meluluskannya bercuti, menghadiri mesyuarat dan sebagainya.
“Sepatutnya kelulusan disegerakan kerana hayat keaktifan pelajar adalah mengikut sesuatu semester sahaja, justeru mereka tidak mempunyai tempoh masa yang panjang untuk sesuatu aktiviti,” ujar Datuk Saifuddin.
Tambah Ahli Parlimen Temerloh ini, kedapatan aktiviti pelajar yang dikekang oleh kekurangan atau ketiadaan peruntukan, tetapi apabila terdapat permohonan aktiviti lain, ada pula peruntukannya dan melampau peruntukannya.
“Sepatutnya seboleh-bolehnya dijimatkan peruntukan supaya pelajar dapat menganjurkan sebanyak mungkin aktiviti,” katanya.
“Apabila pelajar mencari dana sendiri, mereka disukarkan pula untuk mendapatkannya untuk menyelesaikan urusan pembayaran aktiviti. Sepatutnya semakin pelajar bijak mencari dana sendiri, semakin dipermudahkan urusan mereka,” tambah beliau lagi.
Di samping itu beliau juga menegur sesetengah pihak yang memarahi dan memberi amaran kepada pelajar kerana menghubungi menteri atau timbalan menteri, secara langsung atau secara terus melalui media sosial. “Sepatutnya pelajar digalakkan untuk merapati menteri atau timbalan menteri secara terus,” katanya lagi.
Di peringkat MPP GMUKM, kita juga mengharapkan juga segala saranan dan komen daripada Datuk Timbalan Menteri KPT ini akan diambil perhatian oleh pihak yang berkenaan. Tiada sebarang agenda tersembunyi (hidden agenda) di peringkat mahasiswa dengan pihak pentadbiran kerana jelas kami mahasiswa di UKM ini secara khususnya masih dalam proses pembelajaran. Sekiranya di peringkat pembelajaran ini pun sudah wujud amalan birokrasi, bagaimanakah kita hendak capai tahap keintelektualan serta paduan ilmu, iman dan amal sepertimana yang digariskan di dalam Falsafah UKM ?
Bak kata Prof Ungku A. Aziz, "Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin, biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar.."
Bak kata Prof Ungku A. Aziz, "Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin, biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar.."
0 comments:
Post a Comment