Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Thursday, October 18, 2012

Rombak silibus untuk ijazah yang lebih 'Marketable' ?

Oleh ROZAID A. RAHMAN (rozaid@thestar.com.my)

PADA malam Selasa (16 Okt), penulis telah berpeluang untuk mendengar Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menggulung Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Bajet 2013) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat.

Terdapat beberapa fakta dan isu yang menarik yang telah disentuh olehnya sepanjang ucapannya itu.

Antara lain, beliau telah ditanya mengenai sama ada perlu program pengajian di universiti dirombak semula bagi memansuhkan program-program yang tidak marketable - misalnya seperti pengajian sastera, sejarah dan geografi.

Jawapan yang diberikan oleh Khaled adalah sangat menarik.

Katanya; "Suka saya nyatakan, isu mengenai cadangan untuk memansuhkan program yang tidak marketable sering dibangkitkan.

"Pendidikan sebenarnya merupakan proses membina manusia secara keseluruhan dari segi emosi, rohani, jasmani dan intelek agar ia menjadi manusia yang seimbang.

"Hal ini jelas disebutkan dalam Falsafah Pendidikan Negara. Modal Insan yang seimbang adalah amat penting kepada negara di mana mereka bukan sahaja mencari wang untuk menyara hidup tetapi juga akan memastikan wang yang dicari itu daripada sumber yang sah dan halal.

"Langkah untuk memansuhkan program yang tidak marketable memberi ketidakadilan kepada program-program sains sosial dan kemanusian seperti sejarah, antropologi, sosiologi dan sains politik sedangkan program-program ini juga penting dalam pembangunan strategik negara yang komprehensif."

TIDAK ADA DALAM DUNIA

Dan menurut Khaled lagi, tidak ada institusi pengajian tinggi di dunia yang akan menghapuskan dan menggadaikan matlamat pendidikan semata-mata untuk memperolehi “material gain”.

Semua negara tanpa terkecuali memberi keutamaan dalam melahirkan manusia yang seimbang dan berhemah tinggi agar memberi sumbangan kepada kesejahteraan negara, bukan sahaja dari segi kebendaan tetapi yang lebih penting dari segi moral.

Namun begitu katanya, ini tidaklah juga bermakna pihak universiti tidak melakukan apa-apa untuk memberi tambah nilai kepada ijazah seseorang graduan.

Misalnya, buat masa ini terdapat hampir 17 buah Kajian Hala Tuju Bidang Pendidikan yang sedang dijalankan sama ada menunggu untuk penerbitan, penambahbaikan dan yang dikenalpasti untuk dilaksanakan.

Kajian-kajian tersebut dijalankan dengan penglibatan dan input oleh ahli akademik daripada universiti tempatan dan juga pihak industri bagi memastikan keperluan sebenar program, permasalahan yang dihadapi serta penambahbaikan yang boleh dicadangkan dimasukkan ke dalam kajian berkenaan.

Ia juga akan dijadikan sumber rujukan utama oleh kementerian dan juga pihak berkepentingan yang berkaitan dengan program berkenaan.

PROGRAM KEBOLEHPASARAN GRADUAN

Maka atas sebab itu jugalah, Program Kebolehpasaran Graduan kini telah menjadi satu fokus utama Kementerian Pengajian Tinggi.

Selain memantapkan pelaksanaan Program Kebolehpasaran ini, Kerajaan juga akan menubuhkan Graduate Employability Taskforce seperti yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2013 yang akan dipengerusi secara bersama antara KPT dan EPU.

Dengan wujudnya Taskforce ini, adalah diharapkan pemantauan yang lebih berkesan khususnya dari segi pelaksanaan program-program yang berkaitan dengan kebolehpasaran pelajar/kebolehdapatan kerja graduan dapat dilaksanakan.

Penyelarasan secara berstruktur dan terancang juga akan memastikan sumber yang terhad digunakan dengan cara yang akan memberi manfaat yang paling tinggi (high return on investment).

Menurut Khaled, untuk memadankan kemahiran graduan dengan permintaan di dalam pasaran kerja negara dan global, Taskforce ini akan memberi tumpuan kepada keperluan tenaga kerja mengikut 12 bidang yang diperlukan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang seterusnya akan dijadikan asas dan panduan dalam merangka program-program kebolehdapatan kerja graduan.

PEMANTAUAN KE ATAS INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI SWASTA (IPTS)

Dalam perbahasan itu, terdapat juga ahli-ahli yang berhormat yang membangkitkan tentang penubuhan dan kualiti Institusi Pengajian Tinggi Swasta.

Dalam konteks ini, Khaled menjelaskan, sehingga 31 Ogos yang lalu, terdapat sebanyak 506 buah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang berdaftar dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 34 buah IPTS bertaraf Universiti, 21 buah bertaraf Kolej Universiti, 6 buah bertaraf Kampus Cawangan Universiti Luar Negara, 413 buah bertaraf Kolej yang masih aktif dan 32 buah bertaraf Kolej yang tidak aktif.

Setiap IPTS yang diluluskan penubuhan dan didaftarkan di bawah KPT, katanya, adalah tertakluk di bawah peruntukan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Beliau menjelaskan, penubuhan sesebuah IPTS tidak dibuat sewenang-wenangnya tetapi perlu melalui tapisan yang ketat.

"Hanya IPTS yang benar-benar layak sahaja akan diluluskan penubuhannya. Pada tahun 2011, sebanyak 20 daripada 46 permohonan penubuhan IPTS bertaraf kolej telah ditolak disebabkan tidak melepasi syarat-syarat yang ditetapkan.
"Bagi memastikan pengawalan kualiti IPTS sedia ada pula, pihak KPT sentiasa melaksanakan penyeliaan dan pemantauan secara berkala ke atas IPTS melalui operasi-operasi tertentu seperti OPS Matang, OPS Antarabangsa, OPS kejururawatan, OPS klinikal dan OPS kelayakan masuk," ujar Khaled.

Kementeriannya juga, jelas Khaled, dari semasa ke semasa mengadakan program engagement dengan IPTS sebagai salah satu pendekatan preventive enforcement.

TIDAK BERDAYA MAJU
KPT juga turut melaksanakan Ops Weeding Out ke atas IPTS yang tidak berdaya maju.

Pada tahun 2010, sebanyak 64 buah IPTS terlibat dalam operasi ini dan 27 buah daripadanya telah dibatalkan kelulusan penubuhan dan 15 buah lagi dibatalkan pendaftaran.

Manakala pada 2011, sebuah IPTS telah dibatalkan kelulusan penubuhan dan dua buah lagi IPTS telah dibatalkan pendaftaran.

ISU PEMBEKUAN PELAJAR PERUBATAN DI IPTS

Seorang ahli yang berhormat dari Gopeng telah bertanya satu soalan yang agak menarik iaitu kenapakah Quest International University Perak (QIUP) boleh mengambil pelajar perubatan sedangkan pengambilan pelajar perubatan telah dibekukan di IPTS.

Dalam konteks ini, Khaled menjawab, memang benar Kerajaan telah mengenakan moratorium terhadap penawaran program perubatan di institusi pengajian tinggi (IPT) Awam dan Swasta bermula pada 1 Mei 2011.

Moratorium tersebut bertujuan menjaga kualiti graduan perubatan berikutan berlakunya kekurangan tenaga akademik serta hospital pengajar.

Mengenai QIUP, Kementerian Pengajian Tinggi telah memberi kelulusan penawaran program pengajian perubatan kepada QIUP pada 28 Februari 2011 hingga 27 Februari 2016 iaitu sebelum moratorium dikuatkuasakan bermula dari 1 Mei 2011 sehingga 30 April 2016.

Kesemua jawapan yang diberikan oleh Khaled bagi pihak kementeriannya itu adalah jelas dan penuh terperinci.

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !