Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Tuesday, October 23, 2012

BUBAR PMUKM : AUTONOMI MAHASISWA DICABUL


Pilihanraya kampus (PRK) yang telah melabuhkan tirainya merupakan satu medan untuk memberikan pendidikan politik kepada seluruh mahasiswa khususnya dalam soal memilih pucuk pimpinan yang bakal menerajui kerajaan mahasiswa di kampus. PRK yang lepas menyaksikan kemenangan majoriti yang berpihak kepada kumpulan mahasiswa Pro M khususnya di kampus kawasan Lembah Klang terutama di UKM, UM dan UIA. Apa yang kita lihat daripada kemenangan ini adalah mahasiswa hari ini sudah mula sedar dan berani untuk membuat penilaian yang bijak dalam usaha menentukan siapa pemimpin mereka bagi mengisi kabinet kerajaan mahasiswa di kampus lantaran memilih calon Pro M sebagai pilihan mereka. Dari sudut pandang yang lain, kemenangan yang dicapai oleh Pro M di kampus Lembah Klang sememangnya membuatkan UMNO KAMPUS tidak senang duduk seperti cacing kepanasan lebih-lebih lagi apabila konspirasi terancang mereka iaitu Ops 2020 gagal dalam mencapai agenda yang telah ditetapkan sebagaimana pendedahan yang pernah dibuat oleh pihak GMUKM dalam entri sebelum ini.

Walaubagaimanapun, kita lihat sememangnya konspirasi Ops 2020 tersebut masih belum terkubur dan masih berlangsung dalam usaha mereka untuk menafikan kemenangan Pro M khususnya melihat kepada pelaksanaan agenda tersembunyi mereka dalam membubarkan PMUKM untuk sesi kali ini. Kita lihat pentadbiran universiti banyak belajar daripada kemenangan GMUKM dalam PRK yang lepas khususnya melihat kepada kecemerlangan kepimpinan PMUKM dalam menggalas tugas dan peranan mereka sehingga kita lihat kesannya sekarang terhadap pembubaran PMUKM sebagai usaha pihak pentadbiran untuk mencatur pergerakan mahasiswa dan menghadkan peranan mereka dalam kampus apatah lagi luar kampus. Secara tidak langsung kita lihat autonomi mahasiswa untuk mencorak kepimpinan mereka mengikut cara tersendiri dicabul dan tercabar.


Pendirian GMUKM

GMUKM menyelar tindakan pentadbiran universiti yang membubarkan istilah PMUKM dan menggantikannya dengan MPPUKM. Mungkin ada sesetengah pihak melihat ini hanya sebagai isu remeh sahaja apabila hanya membahaskan soal istilah sahaja, namun kami di peringkat GMUKM melihat isu ini sebagai usaha mereka untuk merampas kuasa mahasiswa atas beberapa faktor penyebab yang akan dikemukakan selepas daripada ini.

Perkara yang jelas kita boleh lihat adalah apabila pembubaran istilah PMUKM ini hanya diputuskan oleh pihak pentadbiran semata-mata tanpa melibatkan barisan MPP yang menang yang sememangnya telah menutup ruang demokrasi buat mahasiswa untuk menyuarakan pandangan mereka dalam membuat sesuatu keputusan lebih-lebih lagi keputusan yang melibatkan kepimpinan mahasiswa itu sendiri. Hal ini menunjukkan kepada kita masih wujud “campur tangan” pihak pentadbiran untuk mencatur keputusan mahasiswa. Dalam ayat yang mudah kita boleh katakan nak tukar nama kita tapi orang lain yang buat keputusan tanpa menghiraukan samada kita redha atau tidak dengan keputusan pertukaran nama tersebut. Sebab itu, kita katakan autonomi mahasiswa hari ini telah pun diCABUL.

Antara hal yang lebih penting adalah masyarakat kampus perlu jelas perbezaan antara PMUKM dengan MPPUKM iaitu kalau kita boleh ibaratkan dalam konteks luar sebagai beza antara ahli parlimen dengan kabinet kerajaan yang dianggotai oleh ahli parlimen. Justeru, kami di peringkat GMUKM melihat istilah PMUKM perlu dikekalkan sebagai menggambarkan kepada masyarakat sebuah kabinet atau kerajaan yang dianggotai oleh barisan MPP yang menang. Hal ini juga akan menggambarkan kepada masyarakat kesatuan yang wujud dalam kabinet PMUKM yang dibentuk khususnya dalam agenda asas mereka untuk menjaga kebajikan mahasiswa secara kolektif. Hal ini juga disokong oleh  Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang secara jelas menyebut badan yang dibentuk hendaklah dinamai sebagai “kesatuan” sebagaimana dibawah BAHAGIAN VI PERUNTUKAN AM  "Majlis Pewakilan Pelajar" 48. (1) Pelajar berdaftar Universiti, selain pelajar luar, hendaklah pada kesemuanya menjadi suatu badan yang DINAMAI KESATUAN Pelajar-Pelajar Universiti (kemudian daripada ini dalam Perlembagaan ini disebut“Kesatuan”).

Gesaan GMUKM

Istilah PMUKM mempunyai sejarahnya yang tersendiri sepanjang catatan sejarah UKM yang tidak seharusnya dipadamkan begitu sahaja oleh pentadbiran UKM. Kami di peringkat GMUKM melihat pembubaran istilah PMUKM ini sebagai usaha untuk mencatur pergerakan mahasiswa dan menghadkan kuasa mahasiswa untuk menentukan hala tuju kepimpinan mereka. Kami di peringkat GMUKM menggesa barisan MPP untuk berjumpa dengan pentadbiran universiti bagi mendesak supaya istilah Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) ini dikekalkan sebagaimana sebelum daripada ini sejajar dengan tema pembawakan sesi kepimpinan kali ini yang menyentuh tentang autonomi mahasiswa. Barisan MPP perlu untuk mempertahankan tema yang digagaskan ini khususnya apabila berlaku usaha-usaha untuk mencabar kuasa autonomi mahasiswa sebagaimana kes yang sedang berlaku sekarang.


Lead The Changes! Ber-GM Lebih Baik!

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !