Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Wednesday, October 10, 2012

Surat Terbuka Kepada NC Dan TNC Seluruh Malaysia

Antara hari yang paling bermakna dalam hidup seorang pelajar pengajian tinggi adalah hari mereka memakai jubah dan mortar sambil memegang skrol ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan ijazah doktorat mereka.

Dan selepas menerimanya daripada canselor yang biasanya adalah sultan-sultan Melayu, ini kerana ia menandakan mereka sudah berjaya melepasi satu fasa perjalanan ilmu dan akademik sementara menanti fasa-fasa seterusnya yang lebih mencabar.

Acara gilang-gemilang ini adalah acara terbesar sesebuah universiti kerana ia melambangkan kejayaan para graduan tamat belajar dan melibatkan bukan hanya pelajar, namun keluarga mereka, para pensyarah dan juga universiti itu sendiri.

Wajah riang, senyuman puas dan bangga adalah hadiah terindah pelajar kepada orang tua, isteri dan anak-anak mereka.

Ketertiban para sarjana ketika mana mengikuti majlis istiadat penganugerahan, satu persatu dengan jubah dan mortar yang seragam dan suasana bening yang sungguh ilmiah dan mendamaikan.

Ia benar-benar suatu pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh sesiapa pun yang bergelar graduan khususnya mereka yang mendapat ijazah tertinggi di peringkat doktor falsafah.

Kerancuan budaya

Begitu sekali tergambar ketertiban dan keilmuan selama ini berjaya membentuk mereka menjadi manusia beradab selain memiliki jiwa yang besar dan keintelektualan yang ampuh. Semua begitu cantik dan hanya boleh didapati dalam istiadat ini sahaja.

Namun ironinya suasana tersebut amat kontra dengan apa yang berlaku selepas itu atau di luar dewan yang menghimpunkan segala kemuliaan ilmu dan sarjana-sarjananya.

Biasanya seiring dengan majlis konvokesyen akan berlangsung juga festival-festival sempena dengan konvokesyen yang dikatakan penuh dengan istiadat dan adab keilmuan itu ternyata sangat berbeza.

Entah di mana silapnya, sama ada pihak penganjur dan berkuasa universiti menganggap ia bukan urusan mereka atau bagaimana, kita juga masih mencari jawapan.

Bagaikan dua dunia yang sangat berbeza, festival di luar sempena dengan majlis konvokesyen tidak lebih daripada pasar malam atau ‘uptown' atau semacam konsert Jom Heboh dan semisal dengannya sahaja.

Lebih teruk lagi di sesetengah universiti ternyata meraikan para ilmuwan mereka dengan konsert jemputan penyanyi popular tanah air yang mereka sendiri tidak pernah belajar di universiti dan semua ini seolah mendapat restu dan kebenaran daripada setiap lapisan pentadbiran universiti khususnya di peringkat yang tertinggi.

Lebih teruk apabila dewan yang mulia sendiri juga dicemari dengan persembahan atas nama kebudayaan namun jelas kerancuan budaya itu sendiri dalam persembahan dan ada kalanya menjolok mata, sedangkan yang sedang menonton adalah para sarjana yang diraikan ilmu mereka dan ibu bapa yang kebanyakannya adalah mereka yang sudah lanjut usia dan berkopiah serta berserban.

Entah apa lagi yang kita mahu banggakan daripada universiti kita kalau acara yang paling penting ini pun dinodai dengan rakus hedonisme dan para penguasanya tersenyum sakan melayan rentak irama bersama.

'Gangnam style'

Kita merayu kepada mereka yang punya kuasa dan jawatan yang berbasis kepada kesarjanaan dan bijaksana otak mereka, bahawa jangan lagi samakan pesta konvokesyen dengan apa-apa program hiburan dan jualan di luar sana, cukup dengan apa yang sudah ada di luar sana, jangan universiti yang dimuliakan dengan ilmu dan sarjananya juga mahu "digangnamstylekan"!

Akhirnya, saya tertarik untuk kongsikan satu cadangan daripada adik-adik siswa yang ada nurani iman dan ilmu, kritikal terhadap kerancuan di peringkat tertinggi di seluruh universiti ini.

Mereka mencadangkan. Pesta konvokesyen universiti. Sepatutnya seperti di bawah:

  1. Jualan mega buku-buku akademik atau bacaan ringan.
  2. Pameran hasil penyelidikan staf-staf akademik.
  3. Pameran hasil penyelidikan pelajar universiti.
  4. Menempatkan diskusi figura dalam pelbagai bidang.
  5. Memanggil GLC atau mana-mana syarikat untuk menawarkan pekerjaan atau temuduga terbuka.
  6. Taklimat untuk graduan ke peringkat pengajian pasca siswazah di dalam atau luar negara.
Cukuplah pesta meraikan graduan universiti yang hanya dipenuhi jualan tudung dan makanan/minuman semata-mata. Lagi-lagi, konsert yang entah apa-apa termasuk nasyid yang meraikan cinta, bukan kejayaan di universiti.

Semoga cadangan beliau ini diambil berat dan kami berharap pihak pentadbiran tertinggi universiti cakna akan isu ini dan memaknakan pesta konvokesyen saban tahun dengan suasana ilmu dan iman bukan sebaliknya.

Ini adalah rayuan daripada hati seorang anak didik yang mahu dididik oleh tuan puan semua.

ZAHIRUDDIN ZABIDI graduan luar kampus.
 
- malaysiakini

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !