Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Saturday, October 13, 2012

Karya : Mengiktiraf Pusat Pengajian Pondok


DR MASHITAH IBRAHIM
12 Oktober 2012

Pondok adalah institusi pengajian tertua di negara ini. Kedatangan Islam di Nusantara menyemarakkan penubuhan banyak pondok yang mengamalkan pengajaran dan pembelajaran pelbagai ilmu agama Islam.

Secara tradisionalnya, ia tempat belajar di mana tok mudir atau tok guru tinggal bersama pelajar dalam rumah kecil atau pondok di kawasan sama, biasanya berhampiran madrasah atau masjid. Dalam bahasa Arab, perkataan ‘funduq’ bererti rumah penginapan atau tumpangan pengembara.

Ada pengkaji berpendapat sistem pendidikan ini berasal dari Patani, ada pula yang kata ia dari Indonesia. Apa pun, sistem ini telah berkembang sejak ratusan tahun di negara ini, dipelopori oleh ulama dan tok guru yang gigih. Pertumbuhannya tidak dirancang, namun berkembang kerana sokongan dan sambutan masyarakat Melayu-Islam setempat.

Tetapi pada zaman British dan Jepun, banyak pondok ditutup. Di bawah penjajah, institusi pondok dianggap mundur terutama dengan kemunculan sekolah agama Arab dan Inggeris yang menawarkan pembelajaran moden. Selain persaingan sistem pendidikan moden, perubahan sosiobudaya masyarakat, kekurangan bantuan dana serta ketiadaan pelapis kepada pengasas atau tok mudir yang meninggal dunia  menyebabkan kemerosotannya dari segi bilangan pondok dan pelajar.

Namun selepas Merdeka, bilangan pondok dan pelajar bertambah, dan kini lebih 100 yang berdaftar dengan pihak jabatan agama negeri. Bagaimanapun, bilangan pondok yang tidak berdaftar juga banyak. Hanya di Perlis, Sabah dan Sarawak tidak mempunyai pondok.

Saya sendiri belajar di Pondok Taufiqiyah Alhalimiyah atau Pondok Pak Ya Batu 16, antara puluhan pondok yang terdapat di Kedah. Tok guru saya ialah Ustaz Yahya Joneid. Ramai yang panggilnya Pak Ya saja. Pada saya ketika umur 11 tahun, beliau seorang yang garang. Beliau selalu buat spot check untuk memastikan pelajar masuk kelas mengaji.

Seperti di pondok-pondok lain, saya dan rakan pelajar mengaji secara tradisional. Kami tinggal di pondok, mencedok air dari bendang dan masak sendiri. Kami belajar hafalan dan luah kitab moden dan kitab kuning. Antaranya Matan Ujrumiyah, Ibn Aqil, Matlaul Badrain, Sairus Sadikin dan banyak lagi. Kami juga bergiat dalam nasyid dan diberi latihan kepimpinan.

Di kebanyakan pondok, pelajar diajar feqah, usul-al-fiqh, tauhid, tasauf, usuluddin, tafsir (al-Quran dan Hadis), akhlak, tajwid, sirah nahu bahasa Arab, kesusasteraan Arab dan tulisan jawi. Sistem pendidikan tidak formal ini dilakukan dalam bentuk halaqah, iaitu pelajar duduk dalam lingkungan separa bulat, mengelilingi tok guru mereka. Selain itu, kaedah pembelajaran ialah syarahan, perbincangan, perdebatan dan penceritaan. Pelajar juga didedahkan kepada marhaban, berzanji dan qasidah.

Sistem sanad yang diamalkan di pondok tidak mengehadkan umur atau jantina. Sesiapa saja boleh ikuti pelajaran dan menimba ilmu, asalkan berminat. Tempoh belajar dan tinggal di pondok mungkin dua tahun, atau lima tahun, ada sehingga 10 tahun. Biasanya tiada yuran dikenakan. Namun, soal akhlak dan disiplin sangat ditekankan.

Tok mudir dan tok guru selalu memantau, justeru hubungan rapat antara mereka dengan pelajar menerapkan tutorship by example. Maknanya pelajar belajar teori dan mempraktikkan amalan seharian tok mudir dan tok guru mereka.

Keupayaan institusi pondok melahirkan generasi celik al-Quran dan pelajar yang hebat, sehingga ada yang menyambung pelajaran ke Timur Tengah, atau berkhidmat sebagai guru agama atau pensyarah, imam, bilal, kadi atau penghulu. Ada yang membuka pondok sendiri. Malah, ada yang menjadi wakil rakyat, ahli parlimen, senator, menteri Kabinet, menteri besar hatta perdana menteri !

Hari ini, institusi pengajian pondok sudah banyak berubah. Walaupun masih banyak pondok yang kekal dengan cara tradisi halaqah, sanad dan talaqqinya, sudah ada yang moden sehingga bertaraf universiti. Ada yang sudah bertukar status menjadi sekolah agama rakyat atau sekolah agama Arab. Yang jelas, sumbangan institusi pondok kepada pendidikan Islam di negara ini dan kelahiran modal insan berkualiti cukup besar dan perlu diberi pengiktirafan.

- Sinar Harian

Lead The Changes! Ber-GM Lebih Baik!

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !