Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
Biarpun siri
perhimpunan dan perarakan tunjuk perasaan menuntut pilihan raya bersih sudah
diatur sejak lebih lima tahun lalu dan dihadiri ratusan ribu orang menghantar
mesej jelas, namun sistem yang pincang-tempang itu tetap diteruskan.
Sekurang-kurangnya kita
dapat memahami apa yang berlaku. Ya, begitu dahsyatnya tarikan kuasa sehingga
penyandang bermati-matian mengeksploitasi dan memanipulasi apa jua kemudahan
kerajaan, media dan wang.
Peralihan tampuk
pemerintahan, terutama di peringkat persekutuan, bukan saja membuka laluan
untuk perubahan dan reformasi lebih menyeluruh, malah mungkin akan mengheret bekas
pemimpin yang ditolak rakyat ke muka pengadilan, selain hilang segala
keistimewaan dan kekebalan.
Tetapi saya agak
kebingungan dengan situasi di IPTA, yang bakal melangsungkan pilihan raya
kampus (PRK). Perkembangan demokrasi di universiti tempatan, khususnya dalam
proses pemilihan majlis perwakilan pelajar, rupanya lebih tragis dan buruk
berbanding suasana pilihan raya umum. Tiada istilah "padang permainan sama
rata".
Pertama, tarikh PRK
semacam menjadi misteri dan teka-teki. Begitu payah sekali pihak universiti
(Hal Ehwal Pelajar) untuk membuat pengumuman awal. Dan apabila diisytiharkan,
selalunya tarikh yang dipilih itu cuba memerangkap mahasiswa yang tidak
cenderung kepada Umno-BN (Pro-Mahasiswa).
Manakala tempoh
berkempen singkat sekali, mengambil kira helah cuti hujung minggu (terbaru di
UKM, cuti Aidiladha) dan kesukaran calon memasuki kolej-kolej kediaman untuk
bertemu pelajar. Tegasnya, Pro-M mahu diasak bertanding dalam keadaan tidak
bersedia; ibarat kaki dan tangan diikat, seterusnya diajak bertinju!
(Di UKM, pengumuman tarikh PRK dibuat pada 11 Oktober
ketika pelajar sudah mula pulang ke kampung untuk bercuti sehingga 16 Oktober
sempena Aidiladha. Malah setiap calon bertanding mesti mempunyai sijil Bengkel
Kepimpinan Pelajar HEP sedangkan bengkel tersebut hanya diadakan sebaik habis
cuti iaitu 17 Oktober manakala keesokannya sudah penamaan calon).
Kedua -- sebenarnya
inilah yang lebih utama -- pihak HEP yang sepatutnya bertindak bebas dan
adil sebagai pengendali PRK, bukan
sahaja mengambil sikap memihak atau pilih kasih, iaitu untuk memberi kemenangan
mudah kepada kumpulan Aspirasi pro-Umno, malah berkomplot menyekat peluang
Pro-M.
Lapan tahun dulu, saya
pernah mendedahkan konspirasi HEP dengan Aspirasi, yang mengadakan mesyuarat
mingguan di Ibu Pejabat Umno, di PWTC,
melibatkan Timbalan-timbalan Naib Canselor HEP IPTA seluruh negara,
termasuk dari Sabah dan Sarawak, yang turut dihadiri sayap parti komponen BN,
misalnya Puteri Umno dan Pemuda MCA. Ada kalanya pertemuan sulit itu
dipengerusikan wakil Pemuda Umno!
Bayangkan, mesyuarat
yang sering diketuai Menteri Pengajian Tinggi, dengan kehadiran TNC HEP dan
wakil Aspirasi setiap universiti, membincangkan bagaimana kaedah terbaik untuk
mengalahkan kumpulan pelajar yang lain, termasuk meminda peraturan PRK, bagi
menutup potensi mahasiswa yang dilihat propembangkang.
Tahun lalu, terdedah
Ops 2020, yang juga melibatkan HEP, Umno, Biro Tata Negara, Jabatan Perdana
Menteri dan agensi kerajaan yang lain, bagi memastikan semua 20 IPTA dikuasai
pelajar Aspirasi. Pelbagai taktik licik dibincangkan untuk mencapai target yang
disasarkan.
Dan baru-baru ini,
terbongkar satu lagi komplot jahat yang sama, turut membabitkan TNC HEP,
khususnya di Universiti Malaya, melalui kursus pemantapan jentera dan calon
PRK, di Melaka (cadangan awalnya di Negeri Sembilan) pada 18-20 September,
membincangkan kaedah untuk mempertahankan penguasaan Aspirasi di universiti
tertua itu.
Beberapa makalah
diedarkan dalam kursus tersebut, antaranya bertajuk "Kenapa belia perlu
tolak Pakatan Rakyat", "Akujanji Barisan Nasional adalah
Islamik", dan "50 Dalil kenapa DAP mesti ditolak umat Islam".
Sekiranya kursus itu
dianjurkan Umno, malah dirasmikan Presidennya, Najib Razak sekalipun, kita
dapat menerimanya dengan senang hati. Ya, apa salahnya kalau Umno-BN, ataupun
PAS, KeADILan dan DAP mahu menyediakan kursus buat kader-kader mereka di
universiti; silakan ....
Isu besar di sini ialah
pembabitan proaktif HEP dan Kementerian Pendidikan -- yang seharusnya bertindak
bebas-adil sebagai pengendali PRK -- berkomplot bersama satu kumpulan pelajar
(Aspirasi) bagi mengalahkan saingan mereka (Pro-M), dengan perbelanjaan dana
awam, yang juga disokong dekan fakulti masing-masing.
Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR) yang hebat dikritik Bersih itu pun tidak seburuk HEP dalam
mengendalikan pilihan raya umum, 'kan? Lebih pelik, saban tahun Umno mendakwa
hampir semua IPTA dikuasai Aspirasi kecuali beberapa kampus di Lembah Klang,
misalnya UIAM, UKM dan UM. Biarkanlah pelajar bebas bereksperimen menentukan
pemimpin yang dipilih. Lagi pun, apalah kuasa-pengaruh Pro-M jika mereka menang
pun?
Saya amat menyokong
gesaan rakan-rakan Pro-M, khususnya Presiden Gamis, Azan Safar, supaya HEP yang
terjejas teruk kewibawaannya itu tidak lagi mengendalikan PRK. Sudah banyak bukti
HEP mengkhianati amanah sebagai badan bebas, malah menggalakkan perpecahan di
kampus.
"Saya cadang agar
mahasiswa yang uruskan pilihan raya mereka sendiri. Tak susah, buka borang
permohonan, adakan kursus pengurusan pilihan raya, pilih sukarelawan di
kalangan mahasiswa dan HEP boleh menjadi pengurus kepada bahagian-bahagian
teknikal dan logistik, selain sekadar pemantau daripada luar," kata Azan,
sambil mengalu-alukan pemantauan badan luar.
Sumber : Detikdaily
-- lutfi_detik@yahoo.com
Moving Forward! Ber-GM Lebih Baik!
0 comments:
Post a Comment