Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Monday, October 3, 2011

Harapan mahasiswa pada Bajet 2012

Terdapat satu harapan yang cukup besar dalam kalangan rakyat untuk mendengar khabar gembira daripada pembentangan Bajet 2012 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober ini oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Kakitangan awam, misalnya, ternanti-nanti ungkapan kenaikan gaji ataupun bonus diungkapkan sendiri daripada mulut Perdana Menteri dalam pembentangan bajet tersebut. Begitu juga dengan sektor-sektor lain yang mengharapkan khabar gembira yang mampu merangsang kembali pertumbuhan ekonomi secara mekar dalam usaha untuk mewujudkan sebuah Negara berpendapatan tinggi.


Secara fokusnya, mahasiswa juga dilihat sebagai salah satu sasaran yang harus diketengahkan dalam pembentangan bajet. Walaupun dalam pembentangan Bajet 2011, sebanyak RM 10.2 billion telah diperuntukkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi, namun dalam konteks realiti mahasiswa, peruntukan tersebut seolah-olah tidak dirasakan kewujudannya dalam bentuk nyata, apatah lagi masalah kenaikan kos sara hidup yang meningkat berpunca daripada keadaan global yang tidak stabil terus-menerus menyebabkan perbelanjaan harian terpaksa dikurangkan terutamanya berkaitan dengan soal makanan, pengangkutan, sewa rumah dan buku-buku pelajaran. Kesannya, terdapat pelajar yang terpaksa bekerja bagi menampung perbelanjaan semasa menyebabkan fokus kepada pelajaran semakin kurang.

Oleh hal yang demikian, suatu strategi yang bersifat jangka pendek dan panjang harus dirangka. Strategi jangka pendek yang bersifat untuk menyelesaikan masalah semasa ialah fokus bagi menstabilkan dan menyelesaikan masalah kenaikan kos sara hidup disebabkan faktor global, manakala strategi jangka panjang pula adalah untuk menstabilkan rantaian dalam konteks masyarakat secara makro.

Dari sudut strategi semasa, yang bersifat jangka pendek iaitu sepanjang tempoh pengajian mahasiswa, masalah yang terpaksa dihadapi oleh golongan ini adalah masalah peningkatan kos sara hidup yang bersifat semasa merangkumi keperluan asas seorang pelajar termasuklah makanan, pengangkutan serta buku teks. Suatu inisiatif perlu diikhtiarkan dalam usaha untuk mengatasi masalah ini. Antara perkara yang dicadangkan adalah berkaitan dengan rasionalisasi subsidi yang dituruti dengan distribusi kepada pihak-pihak yang sepatutnya. Peruntukan subsidi yang telah dirasionalisasikan seharusnya diagihkan kepada masyarakat khususnya kepada golongan pelajar mahupun mahasiswa dalam usaha untuk menyelesaikan masalah peningkatan kos sara hidup. Teknikalnya, peruntukan tersebut mungkin boleh diagihkan melalui pendaftaran di pejabat-pejabat pos atau pihak yang berkaitan sekurang-kurangnya mampu mengurangkan beban dalam konteks sara diri.

Begitu juga, penggunaan pas pelajar juga dicadangkan dapat digunakan secara meluas bagi mendapatkan diskaun untuk pengangkutan dan pembelian buku-buku teks. Walaupun dalam Bajet 2010, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan penggunaan kad diskaun tambang sebanyak 50 peratus bagi pelajar untuk perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), namun, penggunaan kad tersebut dicadangkan digunakan secara meluas termasuklah penggunaan bas awam dan ekspres serta lain-lain.

Selaras dengan hasrat kerajaan untuk membudayakan budaya membaca dalam kalangan masyarakat juga, spesifikasinya golongan mahasiswa, seharusnya galakan untuk membaca dilaksanakan melalui peruntukan khas bagi pembelian buku teks atau buku-buku akademik yang lain. Penggunaan pas pelajar bagi mendapatkan diskaun dalam pembelian buku juga merupakan salah satu usaha yang harus difikirkan dan dimasukkan dalam perancangan dan penelitian Bajet 2012.

Tidak sekadar strategi jangka pendek sahaja difikirkan, strategi jangka panjang juga perlu dirangka secara bersama sebagai pelengkap bagi pakej yang berkaitan dengan konteks pelaburan modal insan ini. Isu berkaitan dengan kenaikan umur persaraan sehingga 60 tahun serta gaji minimum sehingga RM1,500 perlu dilihat dalam konteks yang lebih terkehadapan. Kenaikan umur persaraan sehingga 60 tahun akan mengurangkan bilangan pekerjaan bagi golongan mahasiswa yang keluar daripada universiti. Kesannya, kepakaran pekerja baru melalui proses pelaksanaan kerja melalui pengalaman akan semakin menurun. Impaknya juga, akan berlaku pengangguran dalam tempoh masa yang lama, apatah lagi, antara syarat yang dikenakan oleh syarikat-syarikat kebanyakan menetapkan prioriti terhadap calon temuduga yang mempunyai pengalaman bekerja.

Selain itu, cadangan kenaikan gaji minimum juga harus diperhalusi serta diambil kira dari sudut status hidup bagi membendung kemiskinan Bandar yakni pendapatan yang tidak setara dengan perbelanjaan keperluan asas. Maka, bajet 2012 harus membentangkan strategi yang jelas dalam usaha untuk mengatasi pengangguran dalam kalangan siswazah. Peruntukan pelaksanaan Skim Latihan 1Malaysia yang bertujuan memberikan latihan kepada siswazah belum memberi sebarang jaminan kerja untuk golongan ini sedangkan seharusnya universitilah yang bertindak sebagai penyedia latihan bagi siswazah. Oleh itu, suntikan fiskal harus dilaksanakan oleh pihak berwajib dalam usaha untuk mencipta peluang pekerjaan, bukan sekadar memberikan latihan tanpa penciptaan peluang pekerjaan. Begitu juga, masalah ini makin meruncing apabila mereka terpaksa membayar hutang PTPTN yang harus dilangsaikan sedangkan mereka masih belum lagi mempunyai pekerjaan.

Justeru, bajet 2012 harus memberi penekanan kepada aspek strategi jangka masa pendek dan panjang dalam usaha untuk mengatasi masalah peningkatan sara hidup khususnya golongan mahasiswa serta mengurangkan masalah pengangguran dalam kalangan siswazah. Modal insan yang telah dicipta tetapi tidak dimanfaatkan kerana kekurangan penciptaan peluang kerja hanya akan menyebabkan berlakunya proses pembaziran tenaga manusia dalam negara.

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !