Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Friday, October 28, 2011

Ironisme Ahli Akademik


Walaupun banyak pihak menyambut baik keputusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menarik balik keputusan menggantung tugas pensyarah undang-undangnya Prof Dr Abdul Aziz Bari dan sedang menantikan keputusan pihak polis berhubung dengan Akta Hasutan, kes ini memperlihatkan suatu ironisme kedudukan intelektual dan ahli akademik di negara ini.

Persoalannya siapakah sebenarnya golongan intelektual di negara ini? Adakah mereka ini sebagai “the glorius selected few” yang dapat membawa suluhan dan sinar kebenaran kepada masyarakat di negara ini?

Kedudukan golongan intelektual menjadi salah satu perdebatan penting dalam wacana perkembangan dunia akademik, keilmuan dan sosial di negara ini.

Intelektual adalah golongan yang menggunakan seluruh potensi yang terdapat di dalam dirinya untuk kepentingan dan kemanfaatan masyarakat.

Seseorang intelektual memiliki tanggung jawab sosial dengan memberikan keprihatinan kepada permasalahan rakyat, menyelami dan melihat sendiri penderitaan rakyat dan merasai bagaimana masyarakat menderita dan kemudian berupaya merumuskan bagaimana penyelesaian konkret dalam mengatasi permasalahan sosial tersebut.

Menarik juga untuk diperhatikan pandangan seorang sosiologi Iran, Dr Ali Syariati mengenai konsepsi intelektual, Dr Ali Syariati menyebutnya dengan istilah raushanfikr iaitu orang-orang yang resah akan penderitaan umat serta melakukan kerja-kerja dan sumbangan bermakna untuk perbaikan ummat.

Beliau menjelaskan lebih dalam, raushanfikr sebenarnya adalah seseorang yang mengikuti ideologi yang dipilihnya secara sedar.

Ideologi dan kesedaran kelasnyalah yang membantunya mencapai kesedaran hidup tertentu, menuju suatu arah hidup, suatu tindakan dan pemikiran khusus yang membentuk pandangan dunia dan filsafat hidupnya.

Ini semua akan merupakan kumpulan dari kesedarannya, yang mengabdikan dirinya secara tulus. Dengan membaktikan diri pada tujuan-tujuan ideologis atau pegangan hidupnya, mereka akan menjadi seorang pecinta mujahid.

Ini akan merupakan perwujudan kesedaran dan keyakinan itu, akan memimpin gerakan progresif dalam sejarah dan menyedarkan umat manusia terhadap kenyataan kehidupan mereka.

Oleh itu golongan intelektual merupakan kelompok minoriti dalam masyarakat yang memiliki tradisi mulia yang mencerminkan kematangan keilmuan sebagai hasil dari proses pendidikannya.

Golongan intelektual memiliki budaya literasi (baca-tulis) tinggi yang tercermin di dalam kegiatan aktif membaca dan produktif untuk menulis.

Budaya literasi ini adalah budaya yang mencerminkan puncak peradaban manusia dan mencerminkan kematangan suatu masyarakat secara kolektif.

Oleh itu 
tingginya tingkat budaya literasi adalah penanda kemerdekaan jiwa (freedom of mind). Dalam kemerdekaan jiwa inilah termaktub kemerdekaan berpikir, yang merupakan hak asasi yang diberikan Tuhan kepada setiap manusia.

Bahkan hegemoni kekuasaan negara pun tidak memiliki hak untuk merampas kemerdekaan berfikir tersebut. Secara tersiratnya, kemerdekaan berfikir menandakan kemerdekaan berpendapat. Ekspresi
 dari kebebasan berpendapat adalah gagasan pemikiran yang sejatinya dapat dicurahkan melalui lisan atau tulisan.

Oleh itu identiti kaum intelektual ialah untuk melakukan transformasi pemikiran kepada negara dan masyarakat.



Pakar `Cultural Studies’ Indonesia, Yasraf Amir Piliang mengatakan terdapat tiga perkara yang jika halangi akan membatas kebebasan intelektual ini iaitu (1) daya kritis, (2) daya kreatif, dan (3) daya spiritual.

Jika ini berlaku ia akan membawa kepada tidak berkembangnya daya kritis diikuti dengan kematian daya kreatif masyarakat.

Terdapat kebimbangan kepada masyarakat untuk menyatakan pandangan mereka kerana tindakan seperti itu akan dihukumi sebagai tindakan yang melanggar hukum kekuasaan.

Jean Baudrillard dalam In The Shadow of The Silent Majorities (1981) mengilustrasikan mesin-mesin fikiran kekuasaan dalam menciptakan sebuah masyarakat yang majoritinya diam (silent majority), yang bagaikan sebuah sarang laba-laba, memamah apapun yang disuguhkan kepada mereka oleh sesiapapun, termasuk penguasa.


Oleh itu masyarakat akan menjadi dalam apa yang disebut oleh Guy Debord sebagai `Spectacle Society atau masyarakat tontonan. Masyarakat hanya menjadi penonton sahaja seperti perlawanan bola sepak.

Apa yang kita bimbangkan ialah golongan intelektual yang pada dasarnya memancarkan lampu pencerahan, ternyata lebih menikmati kenyamanan menjadi sebagai pengesah kekuasaan sahaja.

Tidak hanya di kalangan ahli akadamik atau intelektual muda, ironisme ini menjadi wabak di kalangan mereka yang kanan dalam jawatannya. Oleh itu golongan intelektual yang menjadi pensyarah adalah aparat pemerintah yang juga terseret dalam arus komoditifikasi gagasan, pemikiran ilmu dan pendidikan.

Mereka akan tenggelam dalam trend komododifikasi atau sekadar menjadi boncengan kepada ilmu. Jika mereka terkenal ia sekadar selebriti yang diburu skrin media massa, panelis, pembentang kertas kerja seminar dan ahli forum perdana dan dikusi sahaja itupun sebagai sokongan atau pengesahan kepada hegemoni dan kekuasaan pemerintah.

Mereka yang memberikan petunjuk jalan akan diambil tindakan pergantungan atau tata terbit dari instituisi pendidikan.



Maka oleh kerana urusan birokrasi, sekatan dan halangan lain, mereka akan kurang menyuguhkan wacana intelektual melalui tulisan-tulisan media massa kepada awam, apa lagi menulis buku kerana ini semua tidak termuat dalam KPI dan pengejaran menjadi unievrsiti ternama.

Padahal, kesejatian gerakan golongan intelektual terletak pada upaya memberikan penyedaran dan membangun kesedaran masyarakat.

Dengan mengkomersialkan dalil-dalil ilmiah yang dikuasainya, mereka meletakkan diri sebagai alat pihak tertentu.

Jika diteliti pada

hakikatnya, kerja intelektual adalah karya seni. Intelektualiti tidak selalu identik dengan tingkat pendidikan, melainkan lebih kepada sikap dan komitmen terhadap terhadap perkembangan kebudayaan bangsanya sendiri.

Mungkin juga terdapat kesalahan pemaknaan dalam penggunaan istilah intelektualisme dalam sejarah kebudayaan negara yang seakan-akan hanya merujuk pada kaum terpelajar atau berpendidikan tinggi.

Mungkin juga hal ini dipengaruhi oleh konsep intelektual dalam khazanah bahasa Melayu yang diterapkan semasa era penjajahan. Mungkin permaknaan cendiakiawan lebih tepat lagi.

Pada masa itu, kesempatan pendidikan sangatlah terbatas, sehingga setiap individu yang mampu mencapai pendidikan tinggi disebut intelektual atau golongan terpelajar.


Istilah tersebut seharus dikaitkan juga individu yang telah mengalami perkembangan kecerdasan dan kehalusan budi melalui pendidikan budaya (beradab).

Mereka yang memiliki tingkat pendidikan yang tinggi dan pakar dalam bidang kepakarannya, tetapi apabila individu tersebut tidak berminat dan peka terhadap kebudayaan, maka mereka tidak berhak dan layak menyandang predikat ‘kaum intelektual’.



Individu yang layak dan berhak menyandang predikat “intelektual” adalah individu yang peduli dan peka terhadap keniscayaan kebudayaan negara misalnya.



Bagaimana dengan budaya dunia akademik Malaysia hari ini? Sudahkah memberi ruang nyaman bagi rangsangan intelektual? Secara umum, pendidikan di Malaysia tidaklah mencerdaskan.

Fenomena golongan intelektual-profesional yang hanya berfikir untuk keuntungan pribadi atau perkiraan KPI misalnya, fenomena sarjana yang tidak mampu ‘memberdayakan’ ilmu yang diperolehi tetapi sekadar mengajar di kelas, tidak mampu menciptakan teori atau kajian kes sudut pandangan tempatan dan seumpamanya.

Deretan fakta tesebut menjadi ‘penanda’ bahawa dunia akademik kita belum mampu menjadi habitat tumbuh-kembangnya intelektualiti.

Sayangnya majoriti dunia akademik kita hanya mampu menghasilkan output yang memiliki karakter “tukang” atau pak turut atai membonceng (orang yang berkerja terbatas kepada teknikal-teoritis, bukan kreativiti dan inovasi) dan “birokrat” bukan pembawa pembaharuan.


Kebebasan budaya akademik yang menghargai kebebasan akademik adalah habitat nyaman bagi perkembangan intelektualiti.

Dalam perspektif cara kerja, ada tiga jenis budaya akademik di Malaysia. Pertama, jenis penguasa. Budaya akademik jenis ini memainkankan peranan diri sebagai terpusat dan semua yang ada di dalamnya menjadi objek (subordinate) sesebuah instituisi pendidikan.

Segala sesuatu haruslah ‘sejalan’ dengan pertimbangan instituisi pendidikan dan tidak memberi ruang yang cukup bagi pergerakan kreativiti.

Bahkan, kreativitinya cenderung
 dicantas kerana dipandang membahayakan penguasa instituisi pendidikan.

Kedua, jenis apati. Budaya akademik ini hanya prihatin kepada satu fokus semata, iaitu pengajaran, bukan pendidikan. Mahasiswa hanya diteliti kemampuan teknikal atau untuk lulus peperiksaan mereka.

Dalam hubungan ini instituisi pendidikan swasta tidak seharus mengehadkan matlamat pendidikan kepada untung rugi sahaja), tetapi miskin aspek-aspek nilai.

Ketiga, jenis demokrasi. Budaya akademik jenis ini membuka diri terhadap segala bentuk kreativiti. Lembaga pendidikan menjadi ”fasilitator” bagi tersemainya benih-benih pemikiran kreatif, kerja yang sangat menghargai kemampuan individual, namun pada sisi yang lain sangat menghormati peraturan bersama.



Sudah pasti, jenis ketiga ini yang mampu melahirkan sistem pengurusan kebudayaan yang sangat menghargai estetika pluraliti. Kerja seni mereka adalah kerja kreatif sekaligus sensitif terhadap perkembangan kebudayaan.

Kesimpulannya, budaya akademik harus mampu menumbuhkan dan menghargai estetika kepelbagaian yang mampu menjadi habitat tumbuh-kembangnya intelektualiti.

* Ismail Hashim Yahaya merupakan pensyarah di Fakulti Komunikasi dan Media, Universiti Industri Selangor (Unisel), kampus Shah Alam.

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !