Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Friday, February 13, 2009

Analisis Jawatan PMUKM : Temubual Bersama Calon UMUM

Berkaitan isu perlantikan PMUKM yang baru, Wartawan GMUKM telah berkesempatan menemubual MPP Umum Tahun 3, Saudara Hisyamuddin Che Ali yang juga merupakan pelajar Undang-Undang.



Dalam penyusunan PMUKM yang baru ini, Saudara dan juga 11 rakan-rakan Saudara telah dinafikan hak oleh Aspirasi untuk dilantik sebagai ahli PMUKM. Apakah pandangan Saudara berkaitan isu hangat ini?

Pertama-tama kalinya, inilah satu bukti jelas sikap Aspirasi yang selama ini mengagungkan politik kepartian mereka, dan bukannya mengamalkan sikap idealisme mahasiswa. Mereka sememangnya gagal menterjemahkan apa itu PMUKM untuk kebajikan mahasiswa. Perkara ini sudah dijangka kerana sikap mereka selama ini, hanya memenangi Pilihanraya Kampus untuk kepentingan individu dan politik mereka.



Jadi, apakah peranan MPP Mahasiswa setelah tidak dilantik dalam PMUKM ?

Sebenarnya, peranana MPP Mahasiswa akan menjadi bertambah berat kerana terpaksa bergerak secara sendirian dan hanya menjadi wakil kepada Fakulti dan Umum. Saya sebenarnya terkilan dengan sikap Aspirasi yang melabelkan saya sebagai MPP Fakulti Undang-Undang, bukannya Umum. Saya adalah merupakan wakil kepada semua mahasiswa, bukannya FUU sahaja. Inilah sikap Aspirasi, yang gagal menerima realiti kekalahan mereka dalam kerusi Umum. Berkaitan peranan MPP Mahasiswa, kami bertekad untuk menjadi pembangkang yang kuat, dan menjadi suara check and balance kepada PMUKM itu sendiri. Kami akan meminta sekurang-kurang mesyuarat PMUKM diadakan 2 bulan sekali, dan bukannya 1 bulan sekali seperti sebelum ini. Kami juga akan berjuang, untuk mendapatkan segala minit mesyuarat dalam mesyuarat PMUKM itu. Ini hak kami yang telah digariskan oleh Perlembagaan UKM dan peraturan Mesyuarat. Kami takkan berkompromi sekiranya wujud penyelewengan dan salah tadbir urus oleh mereka yang dilantik dalam PMUKM.



Dikatakan bahawa Saudara akan mengusahakan untuk mewujudkan Mesyuarat Agung Tahunan PMUKM pada tahun ini. Adakah benar perkara itu?
Ya memang benar. Kami seramai 12 orang MPP Mahasiswa akan mendesak agar diwujudkan Mesyuarat Agung PMUKM. Semua mahasiswa wajib hadir. Dalam Perkara 52 (4) AUKU 1971 sendiri menyebut bahawa semua mahasiswa adalah ahli dalam Persatuan Mahasiswa. Di UKM dipanggil sebagai PMUKM. Kami juga sebenarnya bimbang sekiranya AGM itu tidak diadakan, ia akan mewujudkan suasana kesangsian terhadap perjalanan PMUKM pada tahun 2009 ini. Kerana di sana ada satu keistimewaan kepada PMUKM, PMUKM boleh mengutip wang daripada ahli iaitu mahasiswa itu sendiri. Ini dalam peruntukkan AUKU itu sendiri. Jadi di sini, yuran pelajar dikutip, tetapi mahasiswa gagal mendapatkan maklumat kemana duit mereka dibelanjakan. Jadi untuk menjaga nama baik MPP dan UKM, satu AGM khas wajar diadakan dan pembentangan laporan kewangan perlu diadakan untuk makluman semua mahasiswa yang ’dipaksa’ membayar yuran kepada PMUKM ini.



Adakah Saudara yakin bahawa tuntutan itu berjaya?

Saya optimis ia akan berjaya. Tuntutan kami akan didasari dengan suara mahasiswa. Berkaitan cara untuk merealisasikannya, kita sama-sama tunggu dan lihat.



Soalan terakhir untuk Saudara, apakah harapan saudara terhadap PMUKM yang baru ini?

Sebagai wakil mahasiswa yang diundi oleh mahasiswa sendiri, saya berharap agar PMUKM kali ini tidak mengulangi kegagalan PMUKM sejak 5 tahun lalu. Mereka jelas gagal membawa suara mahasiswa dan juga isu-isu kebajikan untuk mahasiswa. Jadikan sejarah lalu sebagai pedoman. Dan ingatlah, saya dan rakan MPP mahasiswa lain, akan turut terkesan sekiranya PMUKM pada tahun ini membuat kesilapan. Jadi, saya berharap agar perjalanan PMUKM akan dapat dipantau bersama-sama dengan wakil MPP Mahasiswa. Kami sedia menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan. Dan amaran kepada PMUKM, jangan jadikan PMUKM sebagai lubuk untuk mengaut keuntungan politik. Mahasiswa pada hari ini bukannya mudah untuk diperlekehkan. Jadi kita sebagai wakil pelajar, perlu jalankan amanah dengan jujur dan bertanggungjawab. Sekian

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !