Pelantikan pemimpin nombor dua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencetuskan pertikaman lidah seketika apabila pemimpin Sarfarizmal Md Saad dituduh sedang disiasat polis.
Ketika dihubungi Malaysiakini, pemimpin kumpulan pro-Aspirasi itu mengesahkan wujud anggota-anggota MPP yang menyuarakan rasa tidak berpuas hati dengan pelantikannya.
Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan identiti calon-calon tersebut.
Sarfarizmal, calon di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), menafikan disiasat polis berhubung laporan SMS dan panggilan telefon ugutan kepada calon-calon pro-Aspirasi, memaksa mereka tidak bertanding dalam pilihanraya kampus pertengahan bulan lepas.
Anggota MPP daripada kumpulan pro-Mahasiswa, Mohd Fikah Sanusi ketika dihubungi mengesahkan terdapat ketegangan sewaktu pelantikan Sarfarizmal.
Sewaktu nama Sarfarizmal dicadangkan, seorang wakil pro-Mahasiswa bangun dan terus mempertikaikan kedudukannya.
"Dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), jelas menunjukkan seseorang dalam siasatan polis tidak boleh dilantik untuk memegang sebarang jawatan dalam MPP," kata Mohd Fikah.
Tambahnya, keadaan semakin tegang dan beremosi apabila calon-calon dari kumpulan pro-Aspirasi menjerit-jerit dan meninggikan suara mempertikaikan balik hujah wakil pro-Mahasiswa tersebut.
Pertikaman lidah itu berlangsung selama hampir setengah jam sehingga Sarfarizmal dipilih mengisi jawatan tersebut berdasarkan undian yang diperolehinya, jelas Mohd Fikah lagi.
"Oleh kerana mereka tidak ada hujah, Speaker (Nor Intan Zanariah Abdul Aziz) menggunakan kuasanya untuk menyelesaikan masalah itu (dengan memihak kepada pro-Aspirasi)," katanya.
Sarfarizmal mendapat 20 undi daripada semua 33 ahli MPP yang hadir di bilik gerakan MPP pada mesyuarat tiga jam yang bermula 8 malam, Isnin lalu.
Menurutnya lagi, Speaker sepatutnya menangguhkan pemilihan Sarfarizmal, dengan melantik calon lain mengisi jawatan timbalan yang dipertua MPP.
Dalam pilihanraya kampus lalu, kumpulan pro-Aspirasi UKM mengekalkan penguasaannya apabila menang 21 daripada 34 kerusi yang dipertandingkan.
Majlis penyerahan watikah pelantikan barisan exco MPPUKM akan dilangsungkan pada 11 Februari.
Ia akan dihadiri oleh Naib Canselor, Prof Datuk Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.
0 comments:
Post a Comment