Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Thursday, February 12, 2009

Senario Politik Malaysia

Politik Malaysia mengalami satu lagi peristiwa besar. Kematangan politik rakyat dan pemimpin di Malaysia kali ini akan lebih teruji apabila dalam tempoh setahun, berlaku pelbagai peristiwa besar yang mengundang 1001 pertanyaan. Bermula dengan peristiwa tsunami politik semasa Pilihanraya Umum ke-12, kemenangan Anwar Ibrahim di Permatang Pauh, Kejayaan Mohd Abdul Wahed Endut di Kuala Terengganu, pemerkosaan BN terhadap kerajaan negeri Perak, bakal menyusul pertabalan Najib sebagai PM, dan saya yakin akan lebih banyak peristiwa yang penting dan signifikan bakal mewarnai arena politik tanah air.




Apa yang menarik di sini, bukan sahaja senario menang kalah yang dialami oleh BN mahupun PR, namun apa yang lebih menarik untuk disorot ialah berkenaan permainan politik yang berlaku antara kedua-dua belah pihak. Barisan Nasional yang tewas berturut-turut semenjak Mac 2008 dilihat semakin tertekan apabila semakin banyak pula keraguan yang ditimbulkan oleh rakyat terhadap dasar-dasar kerajaan seperti PPSMI, ISA, dan AUKU.
Tidak kurang timbulnya perpecahan dalaman antara pemimpin-pemimpin tertinggi dalam UMNO dan parti-parti komponen.




Terdahulu semasa di Permatang Pauh, mereka cuba membeli kepercayaan rakyat dengan isu perkauman, namun kematangan rakyat ternyata jauh lebih baik daripada yang disangka dan dimahukan oleh BN, natijahnya Anwar Ibrahim secara sah dilantik oleh rakyat menjadi ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang Dewan Rakyat. Strategi yang sama juga digunakan dalam politik di kerusi Parlimen Kuala Terengganu namun kekalahan ini memberi signal yang lebih jelas terutamanya apabila rakyat menyedari BN selepas ini bakal diterajui oleh Najib.(politik perkauman juga digunakan di UKM, tapi Mahasiswa UKM ternyata tidak sematang rakyat di luar, akhirnya kalah 21-12...)




Sehinggalah kepada awal februari ini, Kerajaan Perak di bawah teraju Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin, isu lompat parti pula menjadi modal BN untuk menipu dan menindas kepercayaan rakyat. Tidak cukup sekadar itu, maruah Sultan Perak yang terkenal dengan status hakimnya, turut diheret bersama-sama institusi istana untuk mengikut telunjuk politik Najib dan BN yang semakin terdesak mendapatkan kuasa dan pengaruh.




Sultan dipergunakan untuk meluluskan segala perancangan politik sempit dan penakut BN. Runtuh kepercayaan rakyat terhadap kepemimpinan BN dan juga kedaulatan intitusi Raja Berpelembagaan di Malaysia, sehingga ribuan rakyat bertindak menunjukkan protes mereka terhadap perlantikan Dr Zambry sebagai Menteri Besar yang baru. Tidak dinafikan hak yang dimiliki oleh Sultan, namun sebenarnya status 3 ADUN BEBAS ini sebenarnya perlu ditentukan oleh Mahkamah dan rakyat jugalah yang selayaknya menghakimi kerajaan perak dalam pilihanraya kecil.




Dato' Seri Najib, yang terkenal dengan skandal C4 altantuya, berdepan cabaran getir sebelum menaiki takhta UMNO-BN dan Malaysia kerana terpaksa mengembalikan kepercayaan pimpinan dan rakyat terhadap UMNO-BN. Dato' Seri Najib perlu membuktikan bahawa BN masih lagi relevan disebalik keruntuhan dan perpecahan yang timbul di dalam UMNO. Menyedari kebangkitan rakyat yang mahukan perubahan, pilihanraya kecil sudah tentu bukan medan terbaik untuk mengembalikan kehebatan BN. Maka peralihan secara kasar inilah jawapan terbaik yang mampu difikirkan oleh Dato' Seri Najib.




Saya yakin, krisis Perak ini pasti akan ada penamatnya. Walau apa dan siapapun yang menang, pastinya peristiwa ini akan mengajar dan mematangkan rakyat dalam mendepani cabaran masa depan khususnya situasi politik di Malaysia. Disebalik kejadian yang berlaku di Perak, rakyat Malaysia khususnya Mahasiswa perlu memandang dan menganalisa dari sudut pandang yang lebih luas. Dengan mengambil kira faktor sejarah dan juga perlembagaan negeri mahupun persekutuan. Sebagai Mahasiswa perlu berani menyatakan pandangan sekalipun terpaksa berhadapan dengan pihak-pihak yang berkepentingan.




Politik dan demokrasi di Malaysia selamanya tidak akan mencapai tahap matang selagi ruang untuk ketelusan dan kebebasan bersuara tidak dibuka untuk rakyat terutamanya media yang menjadi medium maklumat. Maklumat sebenar dan sorotan sudut pandang yang lebih luas sepatutnya dimulakan oleh media arus perdana yang pada ketika ini dilihat terlalu berat sebelah dengan terlalu mengampu dan menjulang BN.




oleh : Farid Albariti

Jurucakap GMUKM.

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !