Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Sunday, October 24, 2010

MPP GMUKM : Selamat menghadapi peperiksaan akhir!


Salam peperiksaan akhir. Betulkan niat, kentalkan semangat dan jangan berputus-asa. Teruskan usaha mengejar KEJAYAAN.
Semoga berjaya! :)



Melahirkan Mahasiswa Bervisi dan Berinisiatif!

Ber-GM Lebih Baik!

Saturday, October 23, 2010

GMUKM persoal kredibiliti pentadbiran UKM

BANGI, 22 Okt: Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) berpandangan isu penglibatan dua orang siswa UKM dalam Perhimpunan Agung Umno di PWTC sebagai suatu perkara yang harus dipandang serius oleh semua pihak khususnya pentadbiran universiti.

Pengerusinya, Mohd Hafiz Abdul Razak berkata, siswa tersebut dipercayai daripada Fakulti Pengajian Islam serta Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina UKM didapati telah mengambil bahagian dalam perbarisan perasmian Perhimpunan Agung Umno yang kini sedang berlangsung.

Kami di peringkat Gabungan Mahasiswa UKM berpendirian bahawa pihak pentadbiran UKM harus menjalankan siasatan secepat mungkin demi menjawab segala persoalan yang timbul tentang isu ini,” ujarnya.

Tambahnya, pihak pentadbiran UKM perlu membuat penjelasan bagaimana sebuah universiti yang sepatutnya bersifat non-partisan tetapi bertindak pihak tertentu mempergunakan siswa dalam program parti politik mereka.

Selain itu, ujarnya, pihak pentadbiran universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi perlu memberi penjelasan sama ada mahasiswa tersebut akan diambil tindakan sama seperti kes UKM4 yang didakwa di bawah Auku.

GMUKM juga, katanya menggesa pihak Kementerian Pengajian Tinggi khususnya Datuk Seri Khaled Nordin mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dengan kes itu.

Pihak Kementerian Pengajian Tinggi perlu menubuhkan suruhanjaya siasatan khas untuk menyiasat dakwaan bahawa ada kakitangan pentadbiran UKM terang-terangan pernah menyatakan sokongan terhadap sebuah parti politik dalam sebuah majlis rasmi di UKM,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, GMUKM turut bersimpati dengan nasib kedua orang siswa itu yang jelas dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu atas kepentingan agenda politik mereka.

Tambahnya, kedua orang siswa tersebut tidak harus diarahkan ke program tersebut atas kapasiti badan beruniform yang dianggotai mereka kerana ia dilihat mencabuli etika disiplin badan beruniform tersebut yang seharusnya bersifat non-partisan.

Justeru di sini GMUKM berpendirian tegas bahawa mahasiswa tidak wajar dijadikan alat parti politik kerana mahasiswa itu ada idealismenya tersendiri dan seharusnya bebas daripada cengkaman mana-mana parti politik,” katanya lagi.

GMUKM juga, ujarnya amat berharap kampus UKM akan sentiasa mengekalkan identiti universiti itu sendiri sebagai pusat ilmu yang unggul.

Thursday, October 21, 2010

SMM : Bebaskan Juga UKM4 Buktikan Keterbukaan UKM


Kehadiran 2 orang Mahasiswa UKM di Perhimpunan Agung UMNO menunjukkan Keterbukaan dan Kebebasan telah diberikan kepada Mahasiswa untuk menghadiri mana-mana majlis parti politik di negera ini.


SMM dan seluruh mahasiswa menyokong kebebasan berpolitik sepertimana termaktub di dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan setiap warganegara untuk berpartisipasi kepada sesiapa sahaja. Saya merasakan sudah tiba masanya Kebebasan ini diberikan kepada seluruh mahasiswa di dalam Negara ini.

Atas dasar  Hak  dan Kebebasan inilah, saya meminta agar pihak Pentadbiran UKM perlu berlaku adil terhadap kes 4 orang mahasiswa yang disabitkan kesalahan berkempen di Hulu Selangor.

Sewajarnya, pihak Pentadbiran UKM menunjukkan sikap yang adil dan bijaksana di dalam kedua-dua kes ini, jika ‘bebas’ itu yang dilontarkan maka pihak UKM juga perlu membebaskan 4 Mahasiswa UKM daripada sebarang tuduhan.

Jika pihak UKM masih dengan sikap double standard terhadap mahasiswa sendiri, maka ini adalah suatu sikap yang jelas memalukan pihak UKM sendiri sebagai pentadbir Universiti di Malaysia ini. Dan ini juga menunjukkan pihak Pentadbiran UKM itu sendiri sebagai alat tidak rasmi UMNO untuk memenuhi keperluan dan kepentingan politik sempit sesetengah pihak.

Dengan ini, saya menegaskan bahawa, pihak UKM perlu membebaskan juga 4 Mahasiswa UKM daripada segala tuduhan yang dikenakan ke atas mereka jika 2 Mahasiswa UKM yang menyertai Perhimpunan Agung UMNO juga tidak dikenakan apa-apa tindakan di bawah AUKU.

MOHD RIDZUAN BIN OTHMAN
SETIAUSAHA GERAKAN SOLIDARITI MAHASISWA MALAYSIA (SMM)

BEBASKAN MAHASISWA DARIPADA PARTI POLITIK

Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) sentiasa menyokong penuh kebebasan mahasiswa berpolitik. Ini berasaskan Perkara 10 Perlembagaan Malaysia yang jelas menyatakan kebebasan warganegara bersuara dan berhimpun. 

Namun seperti yang sedia maklum, isu penglibatan mahasiswa UKM daripada Skuad Palapes UKM dalam sebuah program anjuran parti politik baru-baru ini jelas bertentangan dengan Akta Univeriti & Kolej Universiti (AUKU) Seksyen 15 (5a) ; yang menyatakan bahawa ‘tiada seorang pun pelajar universiti dan tiada pertubuhan , badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, di bawah atau mengikut Perlembagaan, boleh menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabah ditafisirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan atau bangkangan terhadap –
(a) Mana-mana parti politik, sama ada di dalam atau di luar Malaysia
(b) Mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang menyalahi undang-undang sama ada di dalam atau di luar Malaysia; atau
(c) Mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang ditetapkan oleh Menteri di bawah perenggan (1)(c) dan (2)(c) sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau Universiti itu.’

Justeru itu, jika disandarkan kepada akta tersebut, tindakan yang dilakukan oleh kedua-dua siswa UKM tersebut memang telah melanggar akta ini. Ini kerana kedua-dua siswa ini memang secara jelas terbabit secara langsung dalam program tersebut. 

Namun pada itu Gabungan Mahasiswa UKM mendapat maklumat awal kedua siswa ini telah mendapat arahan untuk berpartisipasi dalam program tersebut daripada pihak Palapes. Justeru itu, kita ingin mempersoalkan kepada pihak pentadbiran dan pengurusan PALAPES UKM;
> Siapakah yang mengarahkan kedua orang mahasiswa ini turun ?
> Bagaimanakah parti tersebut mudah berhubung dengan pihak UKM?
> Apakah wujud wakil parti politik tersebut dalam UKM?
> Apakah kaitan UKM dengan parti politik tersebut ?
> Dan lebih penting sekali, SIAPAKAH ORANG di belakang parti politik tersebut di kampus UKM?

Gabungan Mahasiswa UKM dalam pada itu bersimpati dengan nasib kedua siswa ini yang dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu atas kepentingan parti tersebut semata-mata. Kedua orang siswa tersebut tidak harus diarahkan ke program parti politik tersebut atas nama PALAPES kerana ia dilihat mencabuli disiplin ketenteraan itu sendiri yang bersifat non-partisan.

Justeru di sini GMUKM berpendirian tegas bahawa mahasiswa tidak wajar dijadikan alat parti politik kerana mahasiswa itu ada idealismenya tersendiri dan seharusnya bebas daripada cengkaman mana-mana parti politik. GMUKM juga amat berharap kampus UKM akan bebas daripada cengkaman parti politik dan sentiasa mengekalkan identiti universiti itu sendiri sebagai pusat ilmu yang unggul.

BEBASKAN UKM DARIPADA PARTI POLITIK!


Ber-GM Lebih Baik!

Kronologi isu jadual peperiksaan Sem 1, Sesi 2010/2011


Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kini kembali dihangatkan dengan isu  akademik dengan permasalahan mahasiswa -mahasiswi yang membantah jadual peperiksaan akhir yang dikatakan padat berikutan pekeliling yang dikeluarkan daripada Bahagian Pengurusan Akademik. Ini kerana penyusunan jadual yang begitu padat sehingga dimaklumkan bahawa terdapat sebahagian kecil mahasiswa yang terpaksa mengambil subjek sehingga 3 kertas sehari mendapat bantahan daripada mahasiswa UKM.

Sebelum ini, UKM turut dipanaskan apabila mahasiswa-mahasiswa UKM membantah ketiadaan Minggu Mengulangkaji (Study Week) yang digugurkan akibat kekangan cuti pada tahun ini. Pejabat TNC (Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa) pula dalam pekeliling yang dikeluarkannya pula beralasan jadual untuk tarikh-tarikh ini telah dikeluarkan kepada semua mahasiswa seawal 6 November 2009 dan pihak universiti ketika itu tidak menerima sebarang permohonan untuk diubah.

Berikut adalah kronologi permasalahan berlaku : 

06 November 2009 - Kalendar Akademik bagi untuk sesi akademik 2010/2011 dikeluarkan.
06 Oktober 2010 - Pengedaran Kad Masuk Peperiksaan & Jadual Waktu Peperiksaan (KMJP) Semester 1, Sesi Akademik 2010/2011.
14 Oktober 2010 - Mesyuarat Majlis Perwakilan Pelajar UKM bersama Majlis Pengurusan Pelajar (MPU) UKM. Isu cuti Deepavali dibangkitkan. Majlis bersetuju akan merombak jadual peperiksaan dengan jaminan tiada bebanan jadual peperiksaan terhadap mahasiswa.
19 Oktober 2010 - Pengedaran Kad Masuk Peperiksaan & Jadual Waktu Peperiksaan (KMJP)  yang baru dengan pindaan setelah berlaku perubahan tarikh peperiksaan berikutan UKM bercuti sempena Hari Deepavali pada 3-8hb November. Pertukaran jadual peperiksaan pada tarikh 3 dan 8hb adalah seperti berikut:

1. Peperiksaan 8/11/2010 pagi ditukarkan ke 30/10/2010 petang
2. Peperiksaan 8/11/2010 tengahari ditukarkan ke 26/10/2010 malam
3. Peperiksaan 8/11/2010 petang ditukarkan ke 27/10/2010 malam
4. Peperiksaan 3/11/2010 (pagi,tengahari,petang) ditukarkan ke 31/10/2010

Serentak dengan pengedaran KMJP yang baru, para mahasiswa UKM telah membantah secara beramai-ramai. Pertemuan semula MPP dengan TNC (Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa) juga gagal memberikan maklum balas yang positif. Cakap-cakap di fakulti juga memungkinkan ada perubahan-perubahan kecil terutama melibatkan mahasiswa yang terpaksa menghadapi tiga buah peperiksaan dalam satu hari.

Gabungan Mahasiswa UKM selaku 'front' yang mewakili mahasiswa UKM nyata terkesan dengan permasalahan yang berlaku di dalam kampus. Kita di peringkat Gabungan Mahasiswa dalam pada itu menasihatkan rakan-rakan mahasiswa akan menggunakan masa yang tinggal ini semaksium mungkin untuk mengulangkaji pelajaran.



Ber-GM Lebih Baik!

Soroti Sejarah Gerakan Mahasiswa 2000-2010


Penyingkiran Anwar Ibrahim pada September 1998 telah memulakan episod baru dunia gerakan mahasiswa ketika itu yang lesu berserta dengan menuanya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) .

Tentangan terhadap akta drakonian ini yang mulanya sengit pada awal-awal pengenalannya telah membibit lemah sehinggalah mati sekitar akhir tahun 1980-an akibat tiada daya di kalangan kelompok progresif mahasiswa untuk mengerakkan kempen anti Auku.

Pada ketika yang sama kealpaan wujud di kalangan mahasiswa juga pensyarah, seiring memecut pantasnya pembangunan ekonomi negara sehingga zaman emas ekonomi negara 1995-1997.

Bermula dengan kebangkitan kelompok mahasiswa Islam pada tahun 96/97 dan dilonjakkan pula dengan krisis 98 sehingga tahun 2001 semua kampus kecuali Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah dimenangi oleh kelompok pro-mahasiswa dan pro-pembangkang yang bersatu.

Serentak dengan itu juga bangkit pertubuhan-pertubuhan bebas pelajar seperti Universiti Bangsar Utama (UBU), Dema, Gerakan Mahasiswa Lantang (GMLN) bersama kukuhnya kembali beberapa persatuan peringkat kebangsaan seperti Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis), Persatuan kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Kelab Rakan Islah Malaysia (Karisma).

Persatuan-persatuan terbabit bukan hanya aktif di kampus tetapi mula menyatakan sokongan dan pendirian dalam isu-isu semasa, termasuk bantahan terhadap penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA) masalah kemiskinan dan polisi negara yang pincang.

Perkembangan tersebut menimbulkan rasa gelisah pentadbiran BN-Umno di bawah Dr Mahathir. Sehingga lawatan Mahathir dan pimpinan negara ke universiti-universiti sering mendapat sambutan dingin dan kadangkala disambut dengan demonstrasi.

Lebih-lebih lagi dengan sikap penakut dan lembik pentadbiran universiti yang menapis soalan-soalan kepada pemimpin kerajaan yang hadir ke universiti.

Gertakan AUKU dan peraturan universiti

Semenjak tahun 1999 hingga 2000 kerajaan telah mula mengertak mahasiswa dengan mengenakan tindakan kepada beberapa pelajar yang terlibat dalam gerakan mahasiswa yang diistilahkan mereka sebagai 'persatuan haram'

Beberapa aktivis mahasiswa ketika itu seperti Yong Kai Peng, pengerusi Democracy Youth for Malaysia (DEMA) telah dikenakan tindakan denda RM 200, oleh mahkamah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) atas dakwaan menghantar memorandum bantahan terhadap keganasan polis kepada Ketua Hakim Negara.

Perkara malang turut menimpa Ahmad Zaki Yamani, Setiausaha Agung PKPIM ketika itu yang telah dibuang oleh Institut Teknologi Mara (sekarang UiTM) atas kesalahan yang tidak bersebab. Namun dipercayai kesalahan yang dilakukan termasuklah menyertai demonstrasi dan menyebarkan risalah secara haram di kampus.

Namun begitu ketakutan yang cuba diwujudkan telah tenggelam dengan gelombang reformasi. Buktinya pada pilihan raya umum ke-10 pihak mahasiswa telah bergerak secara bebas ke seluruh negara untuk menyatakan manifesto mahasiswa mirip apa yang telah dibuat oleh gerakan mahasiswa tahun 1970-an.

Selepas daripada itu kelompok mahasiswa terus aktif menyertai demonstrasi-demonstrasi aman dalam pelbagai isu selain memperkukuh bantahan mereka kepada AUKU.

Polis dan ISA

Pada tahun 2001, berlaku penangkapan terhadap 10 aktivis reformasi dan pemimpin parti KeADILan. Persatuan-persatuan mahasiswa sekali telah bangkit dan bersatu untuk mencapai deklarasi masjid negara di perhimpunan bantahan mahasiswa pada Julai 2001 dan menubuhkan Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI).

Seramai 7 orang telah ditahan dalam perhimpunan itu. Mereka terus digantung oleh universiti masing-masing sehingga sekarang walaupun telah dibebaskan mahkamah pada tahun 2005.

Tidak lama selepas itu berlaku pula kebakaran Dewan Tunku Canselor (DTC) Universiti Malaya (UM) yang menjadikan alasan kepada kerajaan untuk menahan Khairul Anuar Ahmad Zainudin (Jonah) dan Ahmad Fuad Ikhwan di bawah ISA.

Dalam tempoh penahan Jonah dan Fuad, lebih kurang dua minggu bertali arus disiarkan oleh media rus perdana yang mengkritik dan menuduh beberapa persatuan sebagai persatuan subversif dan haram.

Penahanan tersebut di samping mainan media arus perdana yang mengaitkan mereka sebagai pertubuhan haram telah memberikan impak yang kuat untuk menakutkan mahasiswa yang terlibat dalam persatuan mahasiswa sekali gus ibu-bapa mereka di kampung.

Pengenalan Akujanji dan pengawalan pilihan raya kampus

Bermula dari tahun 2002 juga Dr Mahathir meminta mahasiswa dan kakitangan unversiti menandatangai akujanji agar tidak menentang dan vokal terhadap kerajaan. Ada ugutan verbal yang dilepaskan di kampus-kampus yang menyebutkan mereka yang enggan menandatangi akujanji ini akan tidak layak untuk bergraduat.

Dengan akujanji ini kerajaan sebenarnya menujukan kepada pihak mahasiswa yang simpati kepada gerakan mahasiswa dan ibu-bapa yang bimbangkan pengajian anak mereka tersekat.

Apatah lagi sebaik menerima surat tawaran universiti dan pinjaman terdapat baris-baris ingatan kepada pelajar dan ibu-bapa yang mengugut pemberhentian pelajar - pelajar yang didapati terlibat dalam aktiviti 'menentang kerajaan.'

Pada tahun itu juga pihak universiti secara terang-terangan mulai menyempitkan proses pilihan raya di kampus melalui undang-undang 'sekolah tadika'.

Contohnya di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada ketika itu mereka mensyaratkan pelajar lelaki Islam hanya diboleh bergambar dengan songkok hitam dan tidak boleh berkopiah putih yang sering menjadi imej gerakan Islam di kampus.

Pada tahun yang sama ada universiti yang mensyaratkan itu poster calon dicetak dan sediakan oleh pihak universiti. Pernah pada tahun 2003 seorang mahasiswa di UPM yang telah menang nyaris digugurkan kemenangan kerana menggunakan gambar yang diambilnya sendiri di kedai dan tidak menggunakan gambar yang diambil oleh jurugambar universiti.

Dan pada tahun 2004 kesalahan yang sama telah menyebabkan seorang wakil pelajar yang menang pilihanraya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) digugurkan kemenanganya.

Di Universiti Kebangsaan Malaysia pula , ceramah dan pidato umum pelajar hanya boleh disampaikan melalui rakaman video, di samping kekangan masa berkempen yang disingkatkan kepada 3 hari berbanding 7 hari sebelum itu untuk semua universiti.

Manakala secara perlahan-lahan tahun demi tahun mula ditambah peraturan seperti kekangan CGPA, temuramah kepada calon, ujian ucapan awam dan bahasa Inggeris kepada calon yang ingin menyertai pilihan raya kampus.

Selain itu ugutan kepada penyokong dan mereka yang aktif seperti disingkirkan untuk dapat tinggal di kolej kediaman dan kesukaran berurusan dengan pentadbiran juga mula dijalankan oleh pihak universiti.

Undi dan kerja mereka yang dilihat tidak selari dengan aspirasi BN-Umno 'dihadiahkan' risiko yang memeritkan kehidupan mereka sebagai mahasiswa.

Aturan dan kekangan peraturan pelik ini telah merudumkan aktiviti dan minat mahasiswa untuk terlibat dalam persatuan mahasiswa. Dan hasilnya pada pemilihan 2003/2004 pihak kerajaan telah mula menguasai hampir kesemua universiti kecuali UM dan UIA

TNC menjadi ketua memenangkan budak-budak Umno

Pada sesi 2004/2005 bersama juga perpindahan tampuk kekuasaan negara kepada Abdullah Ahmad Badawi bermulalah serangan secara brutal kepada kelompok pro mahasiswa dan pembangkang di kampus.

Banyak kejadian seperti pencerobohan, kekangan fizikal, kekacauan dan pengharaman persatuan dilakukan universiti-universiti awam, mengikut dari laporan yang dibuat oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) seramai lebih daripada 50 orang telah dikenakan tuduhan menyalahi Auku selepas dari pilihan raya kampus sesi 2004/2005.

Antara kesalahan yang dikenakan termasuklah membuat sidang akhbar, menulis di akhbar arus perdana dan menyertai perhimpunan menemui menteri di Parlimen untuk menuntut pilihan raya kampus yang bebas dan adil, menganjurkan pertemuan dengan pelajar tahun 1 dan membuat kajian tanpa kebenaran. Sebahagian kes-kes terbabit masih dalam perbicaraan.

Akhbar Siasah dan Suara Keadilan juga mendedahkan bagaimana penglibatan Kementerian Pengajian Tinggi, anggota exco pendidikan Pemuda dan Puteri Umno telah mengadakan mesyuarat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bersama Timbalan-Timbalan Naib Canselor (TNC) untuk memenangkan kelompok-kelompok penyokong Umno.

Pendedahan juga menyebutkan wang rakyat melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dipercayai digunakan untuk misi tersebut.

Terdapat juga kes mahasiswa pukul sebagaimana yang terkena kepada Zainulfakar di UM dan beberapa pencerobohan kepada bilik pelajar di UPM.

Ternyata dengan penglibatan secara terus TNC arahan kepada pegawai-pegawai Bahagian Hal Ehwal Mahasiswa dan pengetua-pengetua kolej khasnya tidak dapat dibantah lagi.

Bermakna seluruh pentadbiran kolej, dan Hal Ehwal Mahasiswa (HEM) digunakan untuk memenangkan kelompok aspirasi Umno.

Menurut rungutan dari pihak dalam kampus menyebutkan antara tindakan dan arahan lain yang diberikan termasuklah mengarahkan fellow-fellow kolej kediaman agar mengetuk dan membuat semakan sikap pelajar di kolej kediaman terhadap pilihan mereka.

Lanjutan itu pihak pengetua akan membuat pertemuan khusus dengan alasan program ramah mesra untuk mempengaruhi pelajar agar mengundi calon pilihan pentadbir yang juga membawakan aspirasi kerajaan BN-Umno.

Pembunuhan idealisme dan semangat universiti

Tindakan secara berperingkat ini sebenarnya telah membunuh secara perlahan-lahan sikap sensitif mahasiswa kepada masyarakat malahan dalam isu mereka sendiri.

Langkah pertama kerajaan yang menanggalkan isu luar dari perbualan dan perbincangan mahasiswa, telah menyebabkan mereka tidak peka dan tertinggal dengan perkembangan isu semasa.

Kemudianya, perlahan-lahan kekangan mula diwujudkan dalam isu mereka seperti Auku dan peraturan pilahanraya telah melengkapkan usaha merosakkan perkembangan sihat mahasiswa.

Langkah tersebut bukan sahaja menyenangkan kerajaan untuk bertindak sesuka hati seperti menaikan harga minyak dan gas, penswastaan ambulan dan polisi lain. Malahan ia menyebabkan kampus telah mati dan hilangnya budaya debat dan memberi pendapat di ladang ilmu yang subur seperti universiti.

Budaya mengampu dan samseng seperti kes pembulian di UPM  pada tahun 2006, pelajar dipukul oleh pentadbir pada tahun 2005 dan ugutan penutupan persatuan pelajar yang berdaftar menunjukkan universiti sudah semakin hampir menjadi sekolah tadika.

Tuesday, October 19, 2010

Respon mahasiswa isu jadual peperiksaan akhir

Kewujudan pages Facebook Kami Bantah Jadual Exam Sem 1 20102011 adalah manifestasi kemarahan rakan-rakan mahasiswa UKM lanjutan pindaan jadual peperiksaan akhir sem 1, sesi akademik 2010/2011. 

Wartawan GMUKM yang turut berkesempatan melayari laman sosial Facebook rakan-rakan mahasiswa mendapati ramai yang benar-benar marah dan tidak kurang yang menyuarakannya dalam bentuk sindiran terhadap pentadbiran UKM yang dikatakan sibuk menjaga isu UKM4 berbanding peranan sebenar pentadbiran UKM yang sewajarnya perlu memastikan isu jadual peperiksaan akhir yang padat ini tidak berlaku.

" Kenapa dengan (pentadbiran) UKM nie? Jangan salahkan kami kalau keputusan 'exam' kali ni merudum. "

" Jom demo depan Canselori! "

" 27/10: 8.30 PAGI: Subjek A - 27/10: 08.30 MALAM : Subjek B - 28/10: 8.30 PAGI : Subjek C - 3 paper within 24 hour!!!! S**xx " antara komen-komen status di laman Facebook mereka.

Dalam pada itu Gabungan Mahasiswa melihat isu ini kelihatan gagal ditangani dengan baik dan profesional. Bagaimana dalam beberapa hari, keputusan yang dikeluarkan oleh pentadbiran UKM boleh berubah-ubah ? Seharusnya daripada mana-mana pihak; sama ada daripada Majlis Pengurusan Akademik, TNC (Hal Ehwal Akademik) mahupun Bahagian Pengurusan Akademik UKM sekalipun seharusnya duduk bersama dan membincangkan perkara ini secara serius dan profesional. Jangan pandang enteng tentang isu ini dengan alasan 'para pelajar seharusnya bersedia pada bila-bila masa dan tidak harus menuding jari kepada UKM '

Kita ingin memulangkan persoalan ini kepada pentadbiran UKM yang melihat isu ini dari pandang sisi pengurusan untuk dijawab. Persoalan dari kami, bagaimana pihak pengurusan menguruskan hal-hal seperti ini secara profesionalisme?Adakah pihak pentadbiran universiti tegar menguruskan isu-isu politik sahaja? Kita melihat isu ini sebagai satu isu yang bukan satu pengkisahan yang baik mahasiswa tetapi bakal menjadi liabiliti kepada UKM sahaja sekiranya isu ini diketahui pihak luar dan menjadi bahan ketawa mereka.

Dalam pada itu, kita di peringkat Gabungan Mahasiswa UKM juga ingin mengingatkan kepada semua mahasiswa untuk bersama-sama menggunakan masa, ruang dan peluang yang berbaki ini untuk mengulangkaji pelajaran dengan sebaiknya dan menghayati hakikat mahasiswa itu dengan sebenarnya. Mahasiswa yang sejati adalah mahasiswa yang boleh dan bersedia dengan segala ilmu yang mungkin.


Ber-GM Lebih Baik!

Saturday, October 16, 2010

Mahasiswa UKM benci hedonisme



Biarpun konsert Adam Lambert sudah selesai, tetapi Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) melihat isu ini masih kurang difahami rakan mahasiswa sekalian. Barangkali ada yang sinis akan isu ini dan memandang rendah usaha Gabungan Mahasiswa UKM dan rakan-rakan Pro-Mahasiswa seluruh negara menjalankan himpunan membantah konsert dan menganggapnya sebagai sia-sia.

Umum amat mengenali dan mengetahui bagaimana aksi dan sikap Adam Lambert di pentas.Jelas dia seorang yang gemar mempamerkan aksi liar, lucah dan melampau. Bahkan dia turut ditolak oleh rancangan televisyen, 'Good Morning America' yang bertindak membatalkan rancangan Adam Lambert kerana membantah persembahan beliau yang dianggap sangat keterlaluan. Adam Lambert bukan sahaja mengaku sebagai gay dan pengamal homoseks tetapi turut mempamerkan aksi gaynya dengan seringkali mencium dan mengucup penari lelaki serta menggayakan tarian serta aksi lucah bersama ahli kumpulannya.

Gejala hedonisme yang melampau-lampau semakin hari semakin menghakis daya intelektual dan keilmuan khususnya bagi mahasiswa di IPT. Walaupun Adam Lambert berjaya mematuhi peraturan yang ditetapkan pada persembahan konset baru-baru ini tetapi penganjuran konsert ini melambangkan seolah-olah negara kita menerima dan membenarkan seorang individu yang tidak bermoral ke dalam masyarakat. Dan lebih malang lagi apabila ada mahasiswa walaupun tidak menyokong terang-terangan, tetapi masih berpandangan konsert tersebut ‘just hiburan' dan 'Adam Lambert just nak cari rezeki..'


Gabungan Mahasiswa meluahkan kebimbangan di atas fahaman yang membimbangkan yang kian merebak di kalangan mahasiswa sebegini. Mahasiswa IPT seharusnya bijak menggunakan akal dan pemikiran keintelektualan untuk mencegah diri daripada unsur-unsur hedonisme. Apa gunanya segulung ijazah, dan pekerjaan yang memberi gaji bulanan sekadar RM 3,000 - RM 5,000 tetapi memiliki pemikiran yang gagal membezakan antara yang halal, harus, makruh, haram dan sunat. Hal ini seterusnya dikhuatiri akan bertambah parah apabila mahasiswa tersebut  menjadi ketua di sesebuah organisasi. Adakah dapat dibayangkan sekiranya hal tersebut benar-benar terjadi ?

Satu persoalan untuk semua rakan mahasiswa.
P/s : GMUKM memohon maaf di atas posting sebelum ini yang telah membuat suatu konklusi tanpa justifikasi yang jelas. Namun begitu, GMUKM tegas berpandangan isu ini perlu dipandang serius dan diambil langkah pencegahan dengan segera. Semua pihak termasuk mahasiswa UKM perlu memainkan peranan. Jauhi hedonisme.

SMM : Bajet 2011 Mesra Rakyat

Y.A.B Dato' Seri Najib telah membentangkan Bajet Belanjawan 2011hari ini dengan melakukan beberapa transformasi yang besar di dalam pengagihan wang negara dan kesemua Belanjawan yang dibentangkan untuk 2011 adalah suatu bajet "Mesra Rakyat" dengan mengambilkira beberapa faktor, pengagihan dan kenaikan beberapa elaun kepada golongan yang berpendapatan rendah.

Saya melihat keprihatinan Kerajaan Malaysia bagi menangani beberapa masalah dan bebanan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia dan ini boleh dilihat apabila Perdana Menteri memberikan membuat Gaji Pokok minimum kepada Pengawal Keselamatan dinaikkan kepada RM500 hingga RM700 sebulan mengikut kawasan mulai Januari 2011.

Ini merupakan langkah yang bijak dalam menolong golongan berpendapatan rendah dan saya mengharapkan Kerajaan perlu melakukan transformasi kepada seluruh pekerja-pekerja yang sekarang ini masih dibayar gaji RM500 ke bawah. Dan sudah sampai masanya Kerajaan memikirkan persoalan gaji minimum yang perlu diselaraskan untuk kebaikan dan kebajikan golongan yang berpendapatan rendah.

Mahasiswa juga melihat Kerajaan sudah mula mengiktiraf peranan wanita di dalam negara ini dengan memberikan cuti bersalin bagi penjawat awam wanita diberi pilihan tentukan sendiri tempoh cuti bersalin bergaji penuh tidak melebihi 90 hari.Ini sedikit sebanyak telah diamalkan oleh Kerajaan Kelantan dan saya melihat ini perlu bagi melahirkan "Keluarga Penyanyang" dan sewajarnya Lelaki (suami) diberikan cuti 3 minggu untuk menjaga isteri sewaktu di dalam 'pantang' dan kita ingin lahirkan suami yang sanggup menjaga isteri sewaktu isteri sakit dan berpantang.

Saya juga tertarik untuk meningkatkan daya saing dan juga 'rangking' universiti tempatan, Kerajaan telah melipatgandakan penyelidikan dan inovasi dengan penubuhan Unit Inovasi Khas (UNIK) di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan peruntukan RM71 juta bagi tahun depan untuk mengkomersilkan hasil penemuan R&D oleh universiti dan institusi penyelidikan.

Tetapi, apa yang paling penting bagi mahasiswa, kita ingin Kerajaan umumkan peruntukan khas bagi mahasiswa yang meminjam PTPTN terutamanya agar diberikan paling kurang separuh pemotongan pinjaman dan perlu juga Kerajaan kearah memberikan pendidikan percuma buat pelajar dan mahasiswa.
Bajet : Jangan Ada Ketirisan

Saya ingin melihat Kerajaan komited dan tegas dalam menyalurkan bantuan dan dana perbelanjaan negara ini dan mengena kepada sasarannya. Kami, golongan mahasiswa tidak mahukan angka-angka yang besar sahaja tetapi praktikalnya iaitu pemberiaanya hanyalah mengena orang-orang tertentu sahaja.

Kerajaan perlu menjaga dan membahagikan nilai harta negara dan jangan sesekali ada ketirisan dan penyelewengan yang menyebabkan perlunya kepada perbelanjaan tambahan kemudian harinya. Jika angka-angka ini dapat diatur dengan baik tanpa ketirisan, saya yakin dan percaya kerajaan akan mampu menggunakan hasil negara yang lain untuk manfaat golongan miskin yang lain.

Mohd Ridzuan B Othman
Setiausaha Gerakan 
Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)

Friday, October 15, 2010

Pelajar dizalimi: Anugerah dekan UKM4 digantung



Sumber : MalaysiaKini

Anugerah Dekan yang diperolehi oleh seorang daripada empat mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dikatakan terbabit dalam kempen Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor pada April lalu didakwa telah digantung sehingga perbicaraan mereka ke atas universiti berkenaan selesai.

Menurut mahasiswa tahun kedua, jurusan sains politik, Woon King Chai (bawah, pertama dari kiri), 22, beliau hanya dimaklumkan keputusan berkenaan petang semalam.

ukm students failed to challenge uuca auku 280910"Saya berjumpa dengan penolong pendaftar fakulti saya dan berjumpa dengan seseorang yang dikenali sebagai Puan Norashikin dan katanya, pihak perundangan UKM menasihatkan mereka supaya menahan anugerah berkenaan sehingga perbicaraan selesai,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Woon, keputusan itu dibuat oleh fakulti berkenaan pada Ogos lalu, 'jadi adalah pelik bagi mereka untuk memberitahu saya sekarang. Saya juga tidak diberitahu secara rasmi.”

"Saya kecewa pihak fakulti dikuasai oleh keputusan pentadbiran yang tidak bersandarkan kepada prosedur yang betul...saya juga tidak diberitahu di bawah seksyen mana tindakan disiplin akan diambil,” katanya.

Untuk tindakan susulan, Woon berkata beliau akan berunding dengan peguamnya.

ukm 4 challenge auku uuca 280910 bannersWoon bersama tiga rakannya lagi iaitu - Muhamad Hilman Idham, 21, Muhammad Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina Mohamad Adzha, kedua-dua mereka 22 - sekarang menghadapi tindakan digantung kerana didakwa terbabit dengan kempen di Hulu Selangor.

Keempat-empat mereka mencabar tindakan universiti itu yang mendakwa mereka di bawah Akta Universiti dan Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dengan menghalang mereka daripada terlibat dalam aktiviti politik.

Bagaimanapun pada Rabu lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan injunksi erinford (status quo dikekalkan sehingga rayuan didengar di Mahkamah Rayuan) mereka bagi menghalang universiti itu berbuat demikian.

Wong King Chai digugur terima anugerah dekan

KUALA LUMPUR, 15 Okt — Salah seorang daripada empat penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang gagal dalam permohonan injunksi erinford kelmarin, digugurkan daripada menerima anugerah dekan hari ini, dipercayai tindakan disiplin dikenakan ke atas mereka.

Pelajar tahun ketiga jurusan sains politik, Woon King Chai berkata, namanya telah dilarang daripada anugerah yang dijadual untuk disampaikan pada satu majlis Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, petang ini.

Semalam saya menerima panggilan telefon memaklumkan bahawa saya tidak boleh menghadiri majlis hari ini untuk menerima anugerah dekan,” katanya.

Apabila saya mengesahkan dengan Penolong Pendaftar fakulti, mereka mengesahkan nama saya telah dikeluarkan daripada senarai penerima hari ini atas alasan nasihat bahagian undang-undang,” kata Wong kepada The Malaysian Insider pagi ini.

Kini saya dilarang dan status saya ialah ‘KIV’,” katanya.

Wong sebahagian daripada, dipercayai kira-kira 40 pelajar, yang layak menerima anugerah dekan hari ini.

Anugerah dekan diberikan kepada penuntut-penuntut yang memperoleh prestasi akademik CGPA 3.6 ke atas.

Wong, penuntut semester kelima memberitahu dia sudah tiga kali menerima sebelum dan anugerah terbaru ini membabitkan semester pengajian keempat yang lepas.

Sepatutnya sebagai sebuah universiti, mereka seharusnya memisahkan antara isu akademik dan kes mahkamah. Malangnya mereka tidak berbuat demikian,” kata Wong sambil menambah, permohonan injunksi masih di peringkat rayuan.

Saya merasakan tindakan UKM tidak adil... saya tidak tahu apa yang patut yang lakukan,” kata Wong yang juga Pengerusi Kelab Mahasiswa Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategik UKM.

Katanya, lazimnya pengerusi kelab-kelab mahasiswa juga dijemput, tetapi mereka tidak “mengundang saya selaku ketua kelab.”

Ekoran keputusan kelmarin Wong dan tiga pelajar jurusan sains politik bakal berhadapan dengan tindakan tatatertib yang akan didengar oleh Mahkamah UKM.

Mereka mengemukakan permohonan injunksi erinford mereka bagi menghalang universiti itu berbuat demikian.

Keempat-empat penuntut itu didakwa terbabit dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor pada April lepas.

Injuksi erinford bermaksud status quo dikekalkan sehingga rayuan didengar di Mahkamah Rayuan.

Pada 1 Jun lepas, Muhammad Hilman Idham, 21, Woon, 22, Muhammad Ismail Aminuddin, 22, dan Azlin Shafina Mohamad Adzha memfailkan saman pemula terhadap kerajaan, Kementerian Pengajian Tinggi dan UKM, untuk mencabar tindakan universiti itu terhadap mereka.

Dalam saman berkenaan, semua penuntut itu mendakwa UKM, melalui surat bertarikh 13 Mei, meminta mereka hadir di universiti berkenaan untuk menjawab pertuduhan terhadap mereka, dan sekiranya mereka gagal berbuat demikian atau tidak menghantar representasi secara bertulis dalam tempoh 14 hari, maka pengajian mereka akan digantung serta-merta.

Mereka yang merupakan penuntut tahun kedua jurusan sains politik, mendakwa tindakan tatatertib yang dikenakan oleh universiti itu bagi kesalahan mengikut Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti, adalah tidak berasas dan tidak sah di sisi undang-undang.

sumber : The Malaysia Insider

Thursday, October 14, 2010

OPKIM UKM-UMNO ?


Apa sudah jadi dengan UKM ? Cakap 'tak serupa bikin. Di saat mahasiswa kampus dimomokkan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) atau lebih terperinci lagi di dalam Perkara 15(a) telah melarang mana-mana penuntut universiti dan kolej universiti daripada menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik, namun di dalam perihal ini jelas menunjukkan program mahasiswa UKM Fakulti Pendidikan ini terang-terang sengaja diadakan dengan parti politik luar. Aik, 'tak kena AUKU pula ??

Gabungan Mahasiswa nyata kesal dengan pihak pentadbiran UKM sendiri yang membawa mahasiswa ke dalam politik dengan meluluskan program sebegini dianjurkan. GMUKM juga telah menjangkakan pihak terbabit akan 'menggelupur kepanasan' dan  akan cuba melepaskan diri dan beralasan perkara ini di luar pengetahuan mereka. Dan ada juga pihak yang cuba menegakkan benang yang basah dengan mengatakan program ini adalah program seorang menteri, justeru tiada salahnya.

Gabungan Mahasiswa amat kecewa dengan sikap berat sebelah dan langsung tidak profesional pada pihak UKM. Sedangkan dalam AUKU jelas mengatakan mahasiswa langsung tidak boleh terbabit dalam politik apatah lagi menzahirkan penglibatan di dalam parti politik. Adakah selepas ini UKM pula perlu di-AUKU ? 

Di saat UKM masih perlu menangani permasalahan undang-undang yang dicabar UKM4, pihak pentadbiran masih boleh membenarkan program-program yang jelas berkaitan parti politik luar diadakan. Gabungan Mahasiswa juga menyimpan bukti program Anak Angkat di RISDA Pahang juga diadakan dengan konsep yang sama; menjemput ADUN parti pemerintah sebagai perasmi. Malah menjengkelkan apabila 'rostrum' pengacara majlis turut dilapik dengan lambang parti pemerintah.
Persoalan di sini; kenapa cakap 'tak serupa bikin ? Kenapa 'bias' dengan isu UKM4 pulaa ?? Jika mahasiswa menurut kata pentadbiran UKM, senang-senang dilepaskan, ditutup mata begitu sahaja. Jika mahasiswa enggan akur arahan pentadbiran, dicarinya salah sehingga ke lubang cacing. Di mana sikap profesional anda ?

KITA TOLAK DOKTRIN HEP!


Ber-GM Lebih Baik!



p/s : Nantikan pembongkaran selanjutnya bakal menyusul..

Wednesday, October 13, 2010

Isu Konsert Adam Lambert - Pertahan Nilai Sebenar Hiburan

"Kecewa !" Hanya itu yang mampu disuarakan saudari Nasiha Omar, yang juga merupakan MPP Mahasiswa bagi kerusi Fakulti Perubatan Tahun 1 & 2 ketika dihubungi AKSIS lewat petang tadi berkenaan isu penganjuran konsert Adam Lambert yang bakal dianjurkan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Artis Luar Negara (Puspal).


" Sedangkan rancangan televisyen (Good Morning America terbitan ABC) di Amerika Syarikat pun (telah) membatalkan (jemputan untuk penyanyi tersebut) muncul di udara, (tetapi) kita boleh pula menjemput dan bayar untuk dia 'merosakkan' anak bangsa kita ?

"Mereka (di Amerika Syarikat) jelas-jelas menolak budaya liar penyanyi gay itu. Nampaknya warga Amerika lebih sensitif dalam soal budaya dan sosial sedangkan mereka bukannya sebuah negara Islam seperti Malaysia," keluh MPP Nasiha lagi.


Ironinya biarpun gejala sosial semakin menjadi-jadi, usaha-usaha penyuburannya seakan-akan digiatkan lebih lagi.Seperti umum sedia maklum, Adam Lambert merupakan penyanyi yang tidak bermoral dengan kontroversi dia mencium lelaki di atas pentas, di samping budaya liar yang diamalkannya, agak malang pihak di Malaysia seakan masih bersetuju atau tidak sedar perihal tersebut.

AKSIS turut mendapatkan pandangan beberapa orang mahasiswi berkenaan isu penganjuran konsert Adam Lambert ini. Saudari Sakinah Ropien, siswi Tahun 3 dari Fakulti Sains & Teknologi ketika diminta mengulas isu ini turut menyentuh perihal sirah kaum Nabi Luth yang mengamalkan budaya seks songsang dan akhirnya ditimpakan bala bencana oleh Tuhan.

" Allah jelas (menyeru kepada kita) mengingatkan kita di dalam Al-Quran, surah Al-An’am,ayat 16  : berjalanlah diatas muka bumi ini maka perhatikan dan saksikan bagaimana kesan kesudahan orang-orang yang berdusta. Surah ini jelas mengingatkan kita untuk merenung kembali apa yang menyebabkan perkara ini (kesan bencana mala petaka) berlaku.

" Kesan daripada konsert ini, ia akan menjadi candu kepada remaja-remaja dan para belia untuk selepas ini mengikut jejak langkah penyanyi Adam ini. Jangan pelik kalau selepas ini akan timbul pula penyanyi Malaysia pun terang-terang mengisytiharkan dirinya seorang homoseksual. Kesannya, adalah apabila sekarang ini penyanyi gay dari luar negara kita bawa masuk, tanpa ada sebarang halangan.

"Saya takut gejala ini akan tidak terkawal dan melarat jika kita gagal menghalangnya sekarang." sambung saudari Sakinah lagi.

Kami Angkatan Siswi Dinamis juga dengan ini kesal dengan apa yang sedang berlaku di dalam negara masa kini. Dalam pada kita berusaha keras mencegah gejala sosial daripada menyusup masuk ke negara ini, dan kita wujudkan Sekolah Harapan untuk remaja yang hamil di luar nikah, serta para pemimpin negara ke beberapa buah negara untuk mendalami kaedah menangani gejala sosial, tetapi kini kita sendiri menjemput golongan-golongan perosak sebegini, masuk ke negara tercinta ini atas alasan seni. AKSIS berpendirian tegas untuk mengatakan TIDAK kepada budaya-budaya hedonisme yang jelas tidak mempunyai apa-apa agenda bermanfaat untuk rakyat Malaysia. 

Justeru AKSIS sepakat bersama-sama 'front' di bawah Gabungan Mahasiswa UKM menolak dan memboikot terang-terangan penganjuran Konsert Adam Lambert pada esok hari. AKSIS dan rakan-rakan Gabungan Mahasiswa juga menyeru kepada rakan-rakan mahasiswa UKM serta masyarakat kampus untuk bersama-sama menolak sebarang cubaan merosakkan pemikiran keintelektualan varsiti kita. 

Bersatu Berubah!

Monday, October 11, 2010

AKSIS - saluran siswi UKM


“Siapa AKSIS ?” 

Itu antara pertanyaan yang lazim didengari kini, lebih tepat lagi setelah muncul akaun Facebook  Aksis Ukm

AKSIS adalah singkatan kepada Angkatan Siswi Dinamis yang ditubuhkan demi menjaga kebajikan dan kesejahteraan siswi terutamanya di UKM. AKSIS juga ditubuhkan demi memperjuangkan hak, keperluan dan kehendak siswi-siswi UKM yang saban hari semakin tidak dipedulikan.

Ramai pihak seolah-olah memandang sepi isu-isu siswi khususnya di dalam UKM walhal kita merupakan kaum yang mendominasi 3/4 masyarakat kampus bukan sekadar di UKM, malah di kebanyakan IPT seluruh negara. Justeru amat malang dan mengecewakan jika hal ini dibiarkan terus berlaku. 

Antara isu yang pernah menggemparkan UKM adalah peristiwa siswi UKM ditemui mati pada pertengahan tahun lalu, juga kejadian siswi mengalami gangguan seksual oleh pemandu bas Kiffah. Juga jika diselak sejarah pada tahun 2002-2004, terdapat siswi-siswi yang pulang lewat telah dicabul kehormatan mereka dipercayai oleh pihak keselamatan, tetapi disenyapkan atas alasan tidak cukup bukti.

Semua ini menuntut kepada suatu badan atau ‘front’ yang khusus memperjuangkan isu-isu siswi. Justeru, kami menyeru kepada semua siswi UKM untuk bersama-sama kita di Angkatan Siswi Dinamis (AKSIS) agar suara kita menjadi lebih berpadu dan mampu menggegarkan kampus UKM. Tiada pihak lagi yang akan mendengar suara kita jika kita sendiri tidak bersuara.

Sebarang aduan berkaitan gangguan, kehilangan, keselamatan,kebajikan dan sebagainya, diharap dapat disalurkan kepada kami. AKSIS boleh dihubungi Facebook : Aksis Ukm atau emel : aksis.ukm@gmail.com

~Mawar indah itu dilindungi,kerana terlalu banyak tangan-tangan yang ingin merosakkannya~

Kenali GMUKM - SIRI 1


APAKAH DASAR PERJUANGAN GABUNGAN MAHASISWA UKM (GMUKM) ?

Secara ringkas GMUKM menggariskan tiga (3) dasar utama iaitu;

1.Falsafah UKM : yakni paduan antara iman kepada Allah dengan ilmu yang bermanfaat serta gabungan antara teori dengan amal adalah dasar utama bagi perkembangan ilmu, proses pembinaan masyarakat terpelajar dan pembangunan Universiti.

2.Kebajikan semua mahasiswa serta masyarakat kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tanpa mengira batasan agama dan kaum.

3.Nilai keintelektualan dan keilmuan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)


APAKAH PRINSIP GABUNGAN MAHASISWA UKM (GMUKM) ?

GMUKM melalui ‘front’ di bawahnya telah bersepakat menetapkan enam (6) prinsip perjuangan iaitu;

i. Demokrasi
ii. Keadilan Sosial
iii. Non-partisan
iv. Keintelektualan
v. Kesepaduan kaum


APAKAH MATLAMAT SEBENAR PERJUANGAN GABUNGAN MAHASISWA UKM (GMUKM) ?

Secara umumnya, GMUKM memperjuangkan :

1. pembinaan minda mahasiswa ke arah pemikiran kelas pertama.
2. hak kebebasan bersuara seluruh mahasiswa-mahasiswi UKM.
3. membebaskan mahasiswa daripada belenggu karenah birokrasi pentadbiran universiti yang menyulitkan.
4. Melahirkan sifat kepimpinan dalam diri setiap mahasiswa yang mempunyai idealisme perjuangan.


Bersambung...

Friday, October 8, 2010

HX-Pengenalan Perkembangan Pelajar tidak seragam ?

Suara-suara rungutan berkenaan subjek HX-Pengenalan Perkembangan Pelajar semakin kuat kedengaran di kalangan mahasiswa-mahasiswi Tahun 1. Terbaru Wartawan GMUKM mendapat maklumat isu ini hangat diperbincangkan secara tidak langsung di dalam kelas-kelas di dewan kuliah yang biasanya melibatkan gabungan beberapa kursus mahasiswa Tahun 1.

" Kita bukan budak-budak ! Kenapa kita perlu dipaksa untuk hadir ke kelas yang kami 'tak minat? Sudahlah subjek-subjek kursus pun sudah berat, ingat masuk ko-k ni, dapatlah kita enjoy,join kelab,sukan yang kita minat. (Malangnya)Itupun kita dikawal,dipaksa juga. Felo-felo pula jadinya ada authority hendak panggil kami turun bila-bila dia suka, hatta tengah malam atas alasan ko-k.Disuruhnya siap itu,ini untuk kolej. Tak hadir, diugutnya markah ko-k kurang..Adakah ini cara budak U ? Dicucuk hidung, ke sana,ke sini ??? " bentak seorang mahasiswa Tahun 1 sambil disokong rakan-rakan di dalam sebuah kelas Hubungan Etnik di Dewan Kuliah FSSK tengah minggu lalu.

Dalam pada itu, Wartawan GMUKM juga mendapat maklumat sistem pemarkahan Ko-Kurikulum bagi subjek HX dan HE juga tidak sama di kalangan felo-felo kolej. Contohnya ada kolej-kolej menggunakan kuasa yang ada untuk memaksa mahasiswa-mahasiswi Tahun 1 dan 2 dengan mengambil kedatangan untuk turun memberi sokongan dalam Sukan UKM '10 (SUKEM) yang berlangsung baru-baru ini. Dan kedapatan kolej yang memberi kelonggaran kepada mahasiswa-mahasiswi Tahun 1 dan 2 untuk turun atau tidak, khususnya di Kolej Pendeta Za'ba. 

Lain pula di Kolej Burhanuddin Helmi pula di mana Pengarah PPP sendiri, PM Dr Kadderi sendiri menjadi Pengetua apabila Felo-Felo yang menjaga subjek HX / HE ini memberitahu, kursus HX / HE ini sudah tamat silibus dan tiada perjumpaan selepas ini. Bagaimanapun hal ini tidak dibesarkan kerana dikatakan bakal mengundang polemik bagi penghuni kolej-kolej kediaman yang lain.

Dan ironinya Wartawan GMUKM juga mendapat maklumat, Felo Kolej Ibu Zain tidak pernah mengambil kedatangan ke Ko-Kurikulum. Justeru apabila maklumat kedatangan Ko-Kurikulum itu hendak diserahkan untuk permarkahan Bahagian Pengurusan Akademik, Felo tersebut terpaksa mengadakan 'sesi menandatangani kehadiran kokurikulum' beramai-ramai dengan memanggil mahasiswa-mahasiswi Tahun 1 dan 2 turun atau berjumpa dengan beliau secara peribadi. Hal ini disahkan sendiri oleh rakan-rakan GMUKM yang menghuni Kolej Ibu Zain.

Justeru, di sini GMUKM menegaskan, bahawa kita yang mewakili semua mahasiswa UKM samada dari Tahun 1,2,3 dan 4  memohon penjelasan yang sejelas-jelasnya berkenaan apa yang sebenarnya berlaku bagi subjek HX/HE. Dengan berbaki kurang daripada dua minggu menjelang minggu peperiksaan akhir, kita sekali lagi memohon penjelasan, bagaimanakah sistem pemarkahan subjek HX/HE ini berlaku, dan apa signifikannya mahasiswa-mahasiswi dipaksa ke hulu,ke hilir atas alasan 'markah ko-kurikulum' ? 



Ber-GM Lebih Baik!

Thursday, October 7, 2010

Isu Mahasiswi : Jangan sampai sudah terhantuk, baru nak terngadah

Mutakhir ini, wartawan GMUKM menerima banyak aduan daripada masyarakat kampus berhubung isu keselamatan dan kebajikan. Di antara isu kebajikan yang amat popular dalam jangka waktu ini adalah isu ketiadaan air. Keadaan ini yang juga dianggap paling kerap berlaku, dan ironinya ia gagal mendapat sebarang penjelasan daripada pihak bertanggungjawab.

Isu ini bukan sahaja menjadikan pelajar tidak selesa, malah berlakunya insiden yang menyentuh keselamatan siswi. Wartawan GMUKM telah mendapat beberapa buah aduan khususnya dari siswi-siswi UKM berkenaan kelibat lelaki yang mencurigakan berhampiran blok siswi semasa masalah ketiadaan air ini berlaku.

Dalam pukul 8 malam, kami berdua terpaksa ke blok lain untuk membersihkan diri memandangkan blok kami (Kolej Keris Mas) tiada air. Kami amat terperanjat (apabila) ditegur (seorang) lelaki (yang) bertanyakan, dimana letaknya blok kami. (Kerana terkejut dan sedang tergesa-gesa) soalan itu kami jawab dengan (menunjukkan) blok lain secara rambang, dan segera pergi (dari situ). Namun setelah (selesai dan ingin) pulang semula ke blok kami, sekali lagi (kami) ditegur, kali ini,lelaki itu bukan (sahaja) bertanyakan blok,malah nombor bilik kami. Kerana ketakutan dan rasa tidak selamat,kami berdua terus lari (meninggalkan lelaki tersebut),” cerita siswi tersebut yang tidak mahu namanya diketahui umum.

Manakala di Kolej Ungku Omar, seorang siswi tahun dua menyampaikan rasa dukacitanya terhadap kebebasan lelaki untuk masuk ke dalam kawasan siswi. 

Saya agak kecewa apabila tugas-tugas penyelenggaraan ingin dilakukan, kami langsung tidak diberitahu terlebih dahulu. Paling kurang, ada notis awal yang ditampal. Kawasan kediaman kami adalah kawasan peribadi kami, jadi apabila tiba-tiba ada lelaki yang menghampiri, malah memasuki kawasan kediaman kami, ia telah pun mengganggu hak peribadi dan maruah kami,terutamanya yang beragama Islam perlu menjaga aurat.

Keadaan ini juga pernah disuarakan seorang siswi dari kolej Pendeta Za’ba yang mendakwa blok kediamannya dimasuki staf lelaki daripada pihak pentadbiran kolej , pada hari Jumaat di saat muslimin pergi menunaikan solat Jumaat.

Ketika kejadian,saya didalam bilik, dan ingin keluar ke tandas. Apabila membuka pintu bilik, alangkah terkejutnya saya, lelaki tersebut dengan 2 orang lagi pekerja pentadbiran kolej, melintasi bilik saya. Bayangkan keadaan saya di saat itu. Kejadian tersebut jelas mencalar maruah saya. “ ujar beliau yang kini juga berada di tahun dua.

Wartawan GMUKM sempat menemuramah beberapa orang pelajar siswi kolej tersebut untuk mendapat gambaran sebenar kejadian seperti itu.Secara umumnya GMUKM difahamkan bahawa kejadian seperti itu memang kerap berlaku.

Dalam pada itu terbaru, pihak GMUKM juga mendapat laporan bahawa sebuah motorsikal milik siswi telah hilang petang kelmarin, 5 Oktober juga di Kolej Ungku Omar milik siswi Tahun 3, kursus Biokimia.

Ketiadaan pengawal keselamatan yang bertindak mengawal keadaan kolej menjadikan keselamatan mahasiswa,khususnya keselamatan siswi bagai dipertaruhkan. Papan tanda larangan memasuki ke kawasan berlainan jantina tidak lagi diendahkan,malah papan tanda itu sendiri berfungsi sebagai hiasan demi memenuhi syarat sahaja. Kami dipihak AKSIS memandang serius kejadian-kejadian ini. Kejadian ini bukan sekadar menjadi isu keselamatan,malah ia telah menjadi persoalan maruah siswi itu sendiri.” ujar saudari Muslimah Marsi (gambar) selaku jurucakap Aktivis Siswi Dinamis (AKSIS).

Mengenai kejadian kecurian motor,saya merasa terpanggil untuk menyuarakan berkenaan tempat parking kenderaan di bahagian siswi di kolej saya sendiri iaitu di Kolej Ungku Omar. 

Kedudukan kawasan tersebut yang berada dibawah bukit, dikelilingi kawasan yang amat gelap, tidak disediakan lampu. Keadaan disitu amatlah gelap dan ini adalah amat merbahayakan keselamatan kenderaan disitu selain keselamatan siswi itu sendiri. Saya sendiri hairan, lampu memang ada dipasang di kawasan parking tersebut,namun 'tak pernah berfungsi.Takkan bila dah berlaku kes pencabulan atau apa-apa, baru pihak UKM hendak buka mata ?

"Malah,keadaan ini menjadikan ia sebagai satu tempat paling strategik untuk melakukan kegiatan mencuri motor dan lain-lain lagi. Jangan sampai sudah terhantuk, baru nak terngadah. Saya pohon pihak berkenaan segera memainkan peranan,"  tambah beliau ketika merespon kejadian kecurian motor yang berlaku di Kolej Ungku Omar .

Pihak AKSIS akan cuba mendapatkan penjelasan di atas segala kejadian yang berlaku (isu air, lelaki masuk ke kawasan siswi dan kecurian motor di kolej).  Dan kepada semua mahasiswi, jika terdapat sebarang perkara yang ingin diutarakan, jangan berasa takut untuk menyuarakan kepada kami (AKSIS). Kami sentiasa mengalu-alukan suara mahasiswai-mahasiswi UKM” ujarnya lagi.

Saturday, October 2, 2010

DS Khaled Nordin masih ketinggalan zaman


Sumber : GM-FKAB


Salam pencerahan,

Semalam, Menteri Pengajian Tinggi telah mengeluarkan kenyataan tentang amaran terhadap keterlibatan mahasiswa dalam mana-mana politik kepartian dalam Pilihan Raya Kecil Galas yang akan berlangsung setelah kematian Adun seminggu yang lepas. Menurut DS Khaled, tindakan undang-undang melalui Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 akan dikenakan kepada mana-mana mahasiswa yang didapati terlibat sama dalam PRK Galas itu nanti. Tambahnya,kes UKM4 yang gagal mendakwa AUKU terbabit membuktikan bahawa Akta tidak bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia dan masih releven untuk diguna pakai.


DS Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia

Kami di peringkat kelab penyokong GMUKM ingin menyatakan kekesalan akibat kenyataan daripada seorang Menteri yang jelas amat ketinggalan zaman seolah-olah tidak memahami situasi dan kondisi keperluan negara dan politik dalam jangka masa yang panjang dalam usaha melahirkan sebuah entiti masyarakat yang matang dalam pengamalan demokrasinya.

Jelasnya,kenyataan DS Khaled itu kami sifatkan sebagai terpengaruh dengan agenda politik kepartian yang dianuti oleh DS Khaled sehinggakan menafikan hak dan peluang mahasiswa untuk turut terlibat sama belajar dan mencari pengalaman berdepan dengan masyarakat sesuai dengan tahap keintelektualan yang dimiliki oleh para mahasiswa.

Walaupun pada dasarnya Seksyen 15(a) sepertimana yang dinyatakan oleh AUKU melarang mana-mana mahasiswa terlibat dengan parti politik,namun tidak pernah akta tersebut menafikan hak mahasiswa untuk terlibat dalam sistem politik Malaysia.Satu perkara yang perlu Khaled faham sebelum mengeluarkan kenyataan yang nyata bias ialah memahami hak dan keadilan yang sepatutnya seorang mahasiswa itu terima sesusai dengan taraf dan persepsi masyarakat terhadap mereka.

Kami menganggap kenyataan seperti itu adalah bertujuan menakut-nakutkan mahasiswa dan secara tidak langsung telah melahirkan sebuah entiti mahasiswa yang bacul dan pengecut untuk berdepan dengan tekanan dan permasalahan masyarakat.

Oleh itu,kami di peringkat Kelab Penyokong Gabungan Mahasiswa FKAB menyeru kepada seluruh mahasiswa yang layak mengundi bagi Dun Galas untuk turun menunaikan tanggungjawab mereka dan menyemai semangat demokrasi yang matang dalam kalangan mahasiswa.

Sekian.


Admin,
Mahasiswa FKAB

Friday, October 1, 2010

Jangan lupa, mahasiswa kini adalah pengundi PRU-13 !

 
 
Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) yang merupakan komponen Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mengingatkan pihak pemerintah kerajaan Malaysia hari ini agar berhati-hati dalam menetapkan sesuatu dasar atau polisi khususnya yang membabitkan mahasiswa. Ini kerana sebarang tindakan yang dilihat bercanggah dan tidak rasional pada pandangan mahasiswa sekarang akan mengakibatkan kesan yang buruk terus kepada parti pemerintah yang ada sekarang menjelang Pilihanraya Umum ke-13.

Gabungan Mahasiswa UKM telah mendapatkan pandangan Dr Samarudin Md Rejab yang merupakan bekas Presiden Kesatuan Pelajar Institut Teknologi Mara di tahun 1970-an. Beliau yang kini merupakan seorang peguam kanan dan pakar yang mengkaji Perlembagaan Persekutuan berkata, mahasiswa kini yang ditekan dan ditindas dengan Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) akan bangkit menentang sebagaimana sebelum AUKU diperkenalkan oleh Menteri Pelajaran pada masa itu, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mengekang kekuatan mahasiswa.

AUKU, ujarnya telah digunapakai oleh kerajaan pemerintah bagi memastikan pergerakan pelajar dapat dikekang dalam usaha membantutkan pemikiran intelektual golongan itu daripada menyampaikan buah fikiran yang kritikal. Contoh terkini dalam kes 'UKM4' yang membabitkan empat mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia jurusan sains politik, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak rayuan mereka terhadap penggunaan AUKU dalam pendakwaan ke atas mereka.

Dr Samarudin berkata, walaupun Barisan Nasional  (BN) kini adalah pemerintah kerajaan pusat masa kini , tetapi harus diingatkan pada pilihan raya umum seterusnya, BN akan berdepan dengan mahasiswa yang kini berada di IPTA dan IPTS.Golongan ini yang sekiranya merasakan mereka telah ditindas oleh dasar dan peraturan kerajaan semasa, bakal 'membalas dendam dengan mengadakan 'undi protes' terhadap kerajaan pusat yang sedia ada. 
 
"Walaupun ditekan begitu rupa oleh Auku sejak hampir 40 tahun, pergerakan pelajar di peringkat universiti tidak lemah, masih dinamik dan ada kekuatan kerana jumlahnya yang besar. Misalnya, jika sebuah universiti mempunyai 5,000 pelajar, jika 10 buah universiti, di situ sudah ada 50,000 pelajar.

"Sekarang ini, di Malaysia kita ada kira-kira 20 hingga 30 buah institut pengajian tinggi awam termasuk swasta. Ini adalah jumlah yang sangat besar, bermakna lebih kurang 100,000 hingga 200,000 pelajar dan mereka ini adalah satu kekuatan yang tidak boleh diketepikan.

"Dalam konteks demokrasi dan pilihan raya, mereka inilah bakal pengundi yang signifikan tetapi dari segi kepimpinan, mereka ini tersekat oleh kerana adanya AUKU yang menyekat pergerakan mereka," ulas beliau lanjut.

Justeru menurut pandangan Dr Samrudin lagi, rakyat Malaysia yang telah mencapai syarat umur untuk mengundi dalam proses demokrasi tidak kira sama ada pelajar, pekerja atau pun masyarakat umum berhak mengambil bahagian secara aktif dalam proses demokrasi kerana hak tersebut telah diberikan oleh Perlembagaan Negara.
 
Justeru BN harus berhati-hati dengan jumlah mahasiswa yang kini sedang memerhatikan sebarang polisi dan dasar kerajaan. Golongan ini juga seperti sedia maklum akan mengisi senarai Daftar Pemilih Terkini SPR setelah mendaftar sebagai pengundi setelah cukup umur. Suara mahasiswa kini perlu dilihat sebagai suara anak kecil yang bakal kedengaran besar apabila cukup umurnya. Justeru, ingatan daripada komponen SMM bahawa, jangan dicabar jiwa anak muda ini.
 
Kita di peringkat Gabungan Mahasiswa UKM yang sejak awal-awal lagi mengingatkan kepada pihak-pihak yang sering memperkotak-katikkan mahasiswa agar berhati-hati kerana gendang pilihan raya umum mula kedengaran setelah Parlimen yang dibentuk selepas 8 Mac 2008 bakal cukup tempoh matangnya tiga tahun menjelang pertengahan tahun hadapan; 2011. Justeru, kita mengingatkan sekali lagi, sebarang keputusan, dasar atau polisi terutamanya yang sengaja diadakan dengan tujuan mengekang gerakan mahasiswa akan memburukkan lagi keadaan. Gabungan Mahasiswa UKM optimis tiada pihak yang akan mampu mengekang kemaraan gerakan mahasiswa apabila kesabaran kita mahasiswa sampai pada peringkat maksimumnya.

Jangan lupa, mahasiswa kini adalah pengundi PRU-13 !
 
Salam tranformasi,


Gabungan Mahasiswa
Universiti Kebangsaan Malaysia
Bangi, Selangor Darul Ehsan.
01 Oktober 2010

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !