Jan 22, 2012 - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyambut baik langkah Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengadakan perundingan dengan wakil pelajar, pemegang kepentingan dan pihaknya berhubung rancangan untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974.
Pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam berkata beliau berharap perundingan dan dialog secara terbuka tentang isu itu akan diadakan untuk membolehkan pelajar menikmati lebih banyak hak dan kebebasan.
"Kesedaran tentang hak dalam bidang ekonomi, sivil dan politik dalam kalangan pelajar universiti dan penyertaan mereka dalam rundingan mengenai isu kepentingan negara perlu dilihat secara positif sebagai sesuatu yang boleh menjadi pelengkap dan penambahan terhadap pendidikan rasmi serta latihan yang mereka terima di universiti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasmy berkata tindakan mengenakan sebarang sekatan tidak wajar terhadap hak pelajar dan pengalaman ini akan menafikan mereka untuk menerima pendidikan serta pengalaman yang mereka perlukan sebagai bakal pemimpin negara.
Beliau juga menyatakan "kebimbangan besar" suruhanjaya itu tentang keputusan universiti tertentu baru-baru ini menggantung pengajian pelajar yang menyuarakan pandangan mereka kerana didakwa merosakkan nama baik institusi berkenaan serta menggugat ketenteraman awam.
Katanya tindakan itu bukan saja menyekat hak asasi pelajar, tetapi juga bercanggah dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan akan meminda Seksyen 15 AUKU untuk memberi ruang kepada pelajar universiti berusia 21 tahun ke atas menunaikan hak mereka. - Bernama
- - - - - - - - - - - - - - - - - - - -
Jan 21, 2012 - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memandang berat terhadap keputusan universiti menggantung pengajian pelajar yang menyuarakan pendapat dengan dakwaan mereka telah memburukkan nama universiti dan mengganggu ketenteraman awam.
Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam (gambar) berkata tindakan sedemikian bukan sahaja menyekat hak asasi pelajar malah bertentangan dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (1971)(AUKU).
Katanya, cadangan pindaan tersebut antara lain akan membenarkan pelajar universiti berumur 21 tahun ke atas menggunakan hak kebebasan mereka bersuara, berhimpun dan berpesatuan dijaminan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perisytiharaan Hak Asasi Manusia Sejagat.
"Kesedaran terhadap ekonomi, sivil dan politik di kalangan pelajar universiti perlu dilihat secara positif bagi melengkap dan menambah pendidikan dan latihan formal sedia ada di universiti.
"Sebarang sekatan tidak munasabah ke atas penggunaan hak dan pengalaman berkenaan akan menidakkan pendidikan serta pengalaman yang amat penting dalam perkembangan mereka sebagai pemimpin masa depan," kata Hasmy dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata pihaknya mengalu-alukan rundingan awal antara Kementerian Pengajian Tinggi dengan suruhanjaya itu, wakil pelajar dan pihak lain berkepentingan mengenai peruntukan kontroversi dalam AUKU.
"Pihak Suruhanjaya berharap rundingan awam dan dialog terbuka selanjutnya dapat diadakan yang akan membolehkan pelajar memperoleh lebih banyak hak dan kebebasan.
Pada 9 Januari lepas, penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli Abd Halim yang bertindak menurunkan bendera yang memaparkan wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah digantung pengajiannya tiga semester. - Bernama
0 comments:
Post a Comment