2 Jan - Polis berdolak-dalih dan menafikan dakwaan anggotanya menggunakan kekerasan ketika menyuraikan perhimpunan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) pada malam sambutan tahun baru kelmarin.
Dalam sidang akhbar di IPD Tanjung Malim semalam Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, dakwaan beberapa laman blog kononnya penuntut berkenaan dipukul dan ditendang polis sehingga patah tulang dan gigi adalah tidak benar sama sekali.
"Malah semasa menyuraikan perhimpunan haram itu, anggota kami tidak menggunakan sebarang kekerasan malah bertindak dengan sangat berhemah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata kecederaan anggota kumpulan mahasiswa itu adalah disebabkan rempuhan yang mereka lakukan sendiri, dan bukan dipukul polis seperti didakwa.
Rakaman video bukti sebaliknya
Walaubagaimanapun, daripada rakaman video AntaraPos yang dapat dicapai di laman YouTube (rujuk di atas) mendapati pada minit ke-4 , pihak polis didapati telah mencetuskan terlebih dahulu provokasi sehingga memaksa mahasiswa berasak-asak melindungi satu sama lain.
Seterusnya kelibat polis yang mengejar sebilangan mahasiswa yang cedera luka dan cuba mendapatkan rawatan di klinik berhampiran tempat perhimpunan nyata amat-amat dikesali sehingga merosakkan premis klinik terbabit.
Hal ini menyebabkan sebilangan mahasiswa 'naik angin' dan bertindak melawan tindakan biadab pihak polis terbabit.
Respon Dr. Juanda, Dr Mohd Asri isu himpunan UPSI
Mufti Perlis Dr Juanda Jaya menegaskan anggota polis perlu mengambil tindakan dengan bijak dan bukan bertindak di luar batasan sehingga menyebabkan kepada kecederaan orang awam.
Menurut beliau, insiden tindakan kasar polis semasa menghuraikan demonstrasi aman mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi tadi amat membingungkan.
“Pembantaian mahasiswa di UPSI amat membingungkan. Kenapa sampai perlu menumpahkan darah sesama sendiri yang diharamkan oleh agama? Apakah pintu musyawarah (berunding) sudah tertutup?
“Kemarahan tidak akan selesai dengan memarakkan kemarahan. Masing-masing ada hak untuk bertindak, maka jagalah batasan hak masing-masing,” katanya dalam tulisannya di laman Facebook.
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula dalam kenyataannya menyarankan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, yang sebelum ini menjadi fokus isu-isu generasi muda dan penuntut universiti, agar mengadakan satu pertemuan antara polis dan mahasisawa yang terbabit dalam perhimpunan bagi mencari jalan penyelesaian.
"Saya juga telah beri pendapat tadi (kelmarin) kepada Datuk Saifuddin agar berjumpa dengan ketua operasi polis dan pihak pelajar secara tertutup.
"Siasat. Bawa peguam yang baik untuk bersoal jawab. Mungkin hakikat sebenar dapat ditemui," kata bekas Mufti Perlis ini dalam satu kenyataannya awal pagi semalam.
'Siasat, tahan ikut prosedur'
Dr Asri yang kini juga merupakan Felo Pusat Pengajian Islam Oxford berkata, bukan semestinya pihak berkuasa bersetuju dengan tuntutan kumpulan mahasiswa yang mengadakan perhimpunan, tetapi mereka tidak wajar diperlakukan sedemikian.
"Jika mahu tahan, tahan dengan prosedur yang betul, bukan pukul. Menindas mereka hanya membangkitkan sentimen kebencian kepada pihak kerajaan yang nanti tidak dapat diubati lagi.
"Mungkin ada yang boleh diambil manfaat. Saya sedar polis juga ada tanggungjawab mereka, tapi kena cermat dan teliti," katanya lagi.
Sambil berkata beliau terkejut melihat beberapa mahasiswa yang menyertai demonstrasi tercedera, Asri berkata, jika terbukti pihak polis yang memukul mereka, ia sesuatu yang malang bagi negara.
"Apa pun kena siasat siapa yang salah, saya berpendapat golongan terpelajar mesti diberi ruang bersuara dengan syarat aman daripada (kejadian) rusuhan.
"Jika mereka diganggu atau dicederakan, ia petanda kezaliman sesuatu pemerintahan," katanya lagi.
0 comments:
Post a Comment