“Kau lapar tak?” – A
“Mestilah! Kafe tutup ni, takkan
JAKSA tak concern?” – B
“Aduh, kes curi lagi. Apa nak
jadi UKM ni? Seminggu ni panas dengan kes curi je” – C
“UKM dah tak selamat, tanah
runtuh. Ada hikmah ni. Allah nak tunjuk sesuatu.” – D
“JAKSA ni buat apa? Takkan tak
fikir orang lain yang tak balik ni nak makan macam mana kalau kafe tutup.” – E
Seminggu ini sahaja, pelbagai isu
yang GMUKM lihat memerlukan perhatian di peringkat atasan, yakni pentadbiran
UKM. Isu keselamatan pelajar, isu kecurian yang semakin berleluasa, isu
perkhidmatan bas TransRengit yang Hangit!
Isu ini bukan sekali dua malah
kekerapannya hanya selang beberapa hari. Sungguh, perkara ini sedikit pun tidak
mengalih perhatian peringkat pentadbiran untuk melihat lebih dekat, jauh sekali
untuk menjiwai masalah pelajar.
Usah bermain dengan aktiviti pelajar
yang bersifat program sahaja, sibuk bermesyuarat sahaja, padan ada sahaja
perumpamaan diberikan oleh sebahagian orang UKM ini ‘Universiti Kuat Meeting’.
Kita mengimpikan UKM ini
merupakan universiti yang berdaya saing bukan sahaja dari skop melahirkan
graduan yang berkualiti tinggi di pasaran pekerjaan. UKM ini memerlukan lebih
daripada itu.
Kita bimbang nama baik UKM
tercemar, namun sejauh mana usaha kita untuk menjaga nama baik ini sehabis
baik? Atau sekadar banyak bermesyuarat, tetapi ‘hangit’ dari sudut tindakan!
JAKSA Perlu Kaji Semula Fungsi JAKSA
Kebanyakkan isu yang dibangkitkan
adalah bermula di kolej. Kolej kediaman ibarat rumah bagi mahasiswa UKM berlindung
baik dari cuaca yang hujan, panas mahupun daripada segala kebobrokan sesuatu jenayah.
Lumrah kehidupan setiap yang
bernyawa, pasti memerlukan tempat untuk berlindung. Sedangkan semut, makhluk
Tuhan yang sekecil itu mampu menyediakan ‘rumah’ sendiri untuk berlindung dari
segala bencana.
Tahniah kepada Persatuan Mahasiswa
UKM sesi 2012-2013 yang mula mengorak langkah dengan membuat kerjasama dengan
pihak keselamatan, Wisma Aman (artikel).
JAKSA selaku ‘abang’ dan ‘kakak’
kepada keluarga besar sesebuah kolej perlu memainkan peranan yang besar. Kita tidak
menolak bahawa wujudnya golongan mahasiswa yang pasif, hanya menanti sesuatu
perkara itu ‘siap’ buat mereka.
JAKSA perlu berjiwa besar, kerana
setiap cabaran itu memerlukan seseorang pemimpin untuk berjiwa besar. Elemen berjiwa
besar ini perlu ada pada setiap pemimpin pelajar.
GMUKM yakin semua JAKSA berjiwa besar, kerana
kalian sudah pun meneliti segala sesuatu perkara sebelum menerima jawatan
sebagai wakil pelajar di Kolej Kediaman.
Bukan kerana dapat tempat tinggal
yang percuma dan bukan juga kerana beberapa keistimewaan yang bakal kalian
kecapi sebaik menggalas jawatan ini.
Kita amat pasti bahawa agenda penubuhan
jawatankuasa rukun tetangga semata-mata PRK di sebahagian kolej ini berkait
rapat dengan agenda politik. Banyak orang mengimpikan budaya ‘politik baru’,
tetapi sejauh mana idea ini diraikan oleh semua pihak?
GMUKM ucap tahniah atas usaha sebahagian
JAKSA yang mengambil inisiatif mewujudkan rukun tetangga bagi memastikan
keselamatan pelajar di kolej terjaga, tetapi bukan hanya semasa PRK sahaja.
Di mana keseriusan kalian menjaga
keselamatan itu dalam memastikan momentum itu diteruskan sehingga kini?
Soal pendekatan mungkin berubah, pendekatan
rukun tetangga mungkin tidak sesuai dipraktikkan untuk menangani gejala negatif
ini. Soalnya disini di mana tindakan kalian selaku pimpinan wakil pelajar di
kolej kediaman yang sentiasa prihatin terhadap masalah pelajar di kolej
kediaman?
JAKSA perlu kaji semula fungsi
JAKSA, perkara ini memerlukan brainstorm
di peringkat semua JAKSA Kolej kediaman.
Persoalan:
- Adakah perlu wujudkan banyak program-program sehingga penuh & padat kalender tahunan mahasiswa?
- Adakah efektif wujudnya Jawatankuasa Biro Inter Kolej Kediaman yang dipengerusi oleh Majlis Pengetua dalam mendepani isu-isu pelajar?
- Sejauh mana jawatankuasa ini bertindak memenuhi tuntutan klausa yang diberikan berdasarkan bidang kuasa yang diwujudkan?
Kita sedar, peranan JAKSA sangat
besar, isu kebajikan ini sekadar picisan di mata barisan kepimpinan JAKSA
Kolej. Maka elok jika dikaji semula, penstrukturan semula diadakan apabila
melihat akan kelompangan yang ada pada situasi semasa.
Majlis Pengetua yang berperanan
besar dalam mencatur barisan kepimpinan JAKSA perlu memikirkan kembali aspek
pemilihan JAKSA ini. Demi perubahan dan penambahbaikan, GMUKM mencadangkan
perlu diwujudkan Mesyuarat Agong Tahunan, lebih dikenali AGM.
Pelbagai usul dan cadangan dapat
didengari, dan mahasiswa akan merasai dan menjiwai bahawa JAKSA adalah milik
bersama.
JAKSA hanya popular dalam
kalangan sebahagian besar mahasiswa tahun 1, kerana muka-muka ini mereka tatapi
pada hari pertama mendaftar di UKM.
Kepimpinan JAKSA juga perlu
menyerlah dan membumi di peringkat akar umbi, yakni seluruh warga kolej itu
sendiri. Bukan soal populariti, dan bukan juga soal “Aku buat Kerja”.
Majlis Pengetua seakan redha
dengan kejadian keselamatan mahasiswi yang tercabar baru-baru ini. Selaku
pemantau, Majlis Pengetua juga perlu proaktif dalam memantau pergerakan JAKSA
ini.
GMUKM menyeru kepada rakan-rakan
mahasiswa untuk ambil serius perkara berkaitan isu keselamatan ini. Pastikan anda
melaporkan kepada pihak keselamatan sepantas yang mungkin. Jangan mengharapkan “ada
orang lain yang akan bantu”, tiada salah untuk kita sendiri yang memulakan.
Sumber -
- http://anuar-ahmad.blogspot.com/2011/10/jaksa-kolej-kediaman-ukm-tahniah.html
- http://dek0ne.blogspot.com/2010/07/sekitar-minggu-pengurusan-pelajar-kolej.html
- http://gigitankerengga.blogspot.com/2010/02/penyelewengan-prk-ukmpengetua-kolej.html
Lead The Changes! Ber-GM Lebih Baik!