Tatkala saya menulis ini, saya dapat tahu bahawa baru-baru ini TNC HEP Upsi telah menyampaikan watikah perlantikan ke atas saf kepimpinan MPP yang baru.
Pada mulanya, saya menerima sms begini daripada Hamzah; "..Malam ini watikah perlantikan MPP Upsi diadakan. Kami dah usaha sedaya upaya untuk dapatkan jawatan
Pada hari yang sama, pesanan ringkas ini pula yang tiba ke telefon bimbit, "Salam. Watikah dah selesai.. percaturan HEP sangat licik. NC telah menyalahkan Pro Mahasiswa kerana demand dan tak memandang big picture. Jadi, watikah MPP diberikan dalam keadaan paksa rela.
"Pro Mahasiswa sudah tidak mampu nak melawan sebab rata-rata mereka junior. Ana tak bersama mereka. Jadi, kami dapat tolong apa yang dapat. Yang bertanggungjawab dalam hal ini ialah Timb Pendaftar dan Pen. Pendaftar.."
"Kami pro mahasiswa mendapat kemenangan hasil sokongan pelajar. Sekali lagi HEP menafikan hak kami. Kecewa amat kecewa. Tapi, mulai esok, jalan menuju kemenangan PRK akan datang sudah kami pahatkan."
"Kami akan pastikan 21 kerusi sapu bersih. Wakil kami yang diberikan jawatan ialah.. Exco Kebajikan dan Kemsyarakatan (2 orang), Latihan dan Pembangunan, Sahsiah (2), Akademik dan Kerjaya (2), Kesenian dan Kebudayaan (2)." Saya sunting sedikit sms ini untuk kesesuaian."
Masih berlaku penyelewengan yang sama
Awal-awal dulu Hamzah yakin benar, MPP Upsi akan ditawan Pro M. Saya diam sahaja apabila Hamzah beritahu bahawa wakil mereka menghantar cuma 11 atau 12 wakil untuk merebut sekitar 21 buah kerusi yang dipertandingkan itu.
Mereka sukar menang walaupun calon pro pelajar berhasil membolot semua 5 buah kerusi yang dipertandingkan. Cara inilah yang akan digunakan TNC HEP, iaitu menghimpunkan semua wakil yang menang tanpa mengira UMUM atau FAKULTI dan berasaskan undian nanti, semua wakil Pro Pelajar akan terpinggir dengan sendirinya.
Kaedah yang sama dibuat di USM pada tahun 2004. Kini, pada tahun 2008, kaedah yang sama terus dilakukan. Sudah empat tahun berlalu, mereka ini masih dipermainkan dengan cara yang sama. Cerita saya yang lalu belum tamat..
Setelah malam itu, TNC dan Aspirasi USM berhimpun, bergelak ketawa dan menyanyi-nyanyi di tepi bangunan tempat undian dikira, saya rasa mungkin inilah cara yang akan digunakan HEP untuk memastikan kemenangan Aspirasi.
Tetapi, oleh kerana Pro Mahasiswa mendapat lebihan satu kerusi, 16 kerusi berbanding Aspirasi (15), maka semua calon yang menang itu dibawa ke sebuah kem latihan BTN untuk dijalankan perang saraf. Aspirasi sukar menang kerana mereka kurang 1 undi.
Maka, dalam kem BTN itulah saya difahamkan bahawa di dalam satu sesi LDK (Latihan Dalam Kumpulan), wakil-wakil Aspirasi dan Pro Mahasiswa akan disatukan. Mereka ini telah diberikan sekeping kertas di mana dalam kertas itu sedia tercetak nama-nama wakil Aspirasi untuk mengisi jawatan tertentu.
Akhirnya, berlaku juga penentangan itu apabila seorang wakil Aspirasi dicetak namanya untuk mengisi jawatan Presiden. Namun, diringkas cerita, dengan sebab perang saraf itu, akhirnya ada kalangan calon Pro Mahasiswa yang bersetuju dengan syor BTN itu.
Jalan cerita saya ini mungkin sedikit tidak tersusun dan jelas sebab saya bukan terlibat di dalam keadaan itu. Saya harap mereka yang mengalaminya sendiri akan dapat bercerita.
Tapi, itulah masalahnya. Senior-senior anda yang telah berijazah, akan fikir soal kahwin, kerja dan hilang entah ke mana, meninggalkan anda terkapa-kapa, meraba-raba di dalam kegelapan, mencari arah sejarah perjuangan kaum terdahulu yang tak pasti.
Moralnya di sini, bermula saat ini, jadikan ruangan Politik Kampus ini sebagai ruangan untuk anda bercerita mengenai apa yang telah anda lalui. Gunakan nama samaran. Boleh juga saudara mel-e cerita saudara itu kepada saya.
Selepas ini, bersediakan saudara menerima satu bentuk cara berfikir yang baharu? Kita berhenti seketika untuk marahkan HEP. Ini tidak bermaksud, kita akan berhenti serang HEP buat selama-lamanya. Tetapi, kita cuba buka ruang baru untuk muhasabah di mana kelemahan kita. Musuh bukan kuat sangat. Kita yang lemah.
Kegelapan tak dapat diusir lewat bicara, melainkan dengan tindakan
HEP dan Auku adalah kegelapan yang maha pekat, ia akan menyuramkan cahaya api dari obor intelektual di kampus. Tapi, kegelapan itu tak boleh kita usir melalui bicara.
"Nyahlah kau wahai kegelapan, pergi kau dari sini!". Hanya Tuhan yang mengubah alam ini lewat kata-kata. Lewat bicaranya, kun (jadi) maka terciptalah segala alam ini.
Raungan dan lolongan HEP curang, segala maki hamun itu tidak akan mengubahnya. Jadi sebagai makhluk, kita tidak boleh mengubah semua ini lewat kata-kata, tetapi amal. Amal inilah yang mengubah dunia. Amalanlah yang membancuh warna alam selama ini.
W. S Rendra melihat perjuangan sebagai pelaksanaan (amalan) ke atas kata-kata.
Jadi, jika kita bicara dan kutuk saja, itu bukan perjuangan. Itu hanya kekal sebagai bicara saja. Dan, yang paling penting, perjuangan ini mesti berterusan. Istiqamah. Secara umum, perjuangan itu terbahagi kepada tiga peringkat.
Peringkat sebelum PRK, ketika PRK dan pasca PRK. Selepas PRK, siswa tidak akan buat apa-apa. Pada pasca PRK, bekas aktivis pelajar itu enggan teruskan perjuangan, membuat bantahan ke atas sikap kecurangan HEP. Wajar anda bertanya, di mana senior anda?
Adakah saudara berani berdepan?
Kelemahan siswa hari ini ialah mereka berani menyumpah HEP di belakang sahaja. Tapi, untuk berdepan dan bersemuka dengan media untuk mengutuk HEP secara beradab, hal itu saya tak fikir anda berani. Jangan marah, saya cakap hasil pengalaman peribadi.
Pernah saya pujuk agar dia berani mengeluarkan kenyataan. Kalau orang yang saya pujuk itu punya daya kepimpinan yang tinggi dan luarbiasa, tak perlu dipujuk. Dia sendiri maki hamun kita, kenapa kita lambat sangat nak siarkan kutukannya ke atas HEP.
Kami pun, para wartawan rasa tertekan dengan keadaan mahasiswa yang makin takut hari demi hari. Pernah mereka mengadu, nak menulis berita dan laporan mengenai mahasiswa pun terasa malas. Tapi, mereka pun kata di belakang juga. Nak buat macam mana?? Depa pun takut juga. Takut saudara marahkan mereka. Nanti, langsung tak dapat berita.
Kita kekurangan mahasiswa wartawan, mahasiswa berjiwa penulis. Hampir semua, kaki demo. Rasanya, saya tahu kenapa jadi begitu. Pertama, di sini kita boleh tunjukkan lagak dengan cepat. Kedua, inilah saja termampu dilakukan, kerana kita tak mahu menulis.
Kita sedang menuju zaman baru, tidak lagi semata-mata budaya demo, budaya membaca, malah kita sedang menuju ke arah budaya menulis dan mengarang. Jadikan penulisan ini sebagai budaya anda.
Saudara boleh mengguna ruangan Politik Kampus jika saudara mahu. Memang lebih baik saudara menceritakan pengalaman sendiri di kampus sekarang. Wartawan pun tak boleh bercerita tentang apa yang terjadi secara tepatnya di kampus anda kini dengan baik.
Saya pun hanya boleh bercerita mengenai peristiwa lalu dengan jujur. Hal yang saya tak pasti, mendengar dari orang kedua, saya tak akan tulis. Sebelum menlanjutkan berceloteh hingga naik suhu haba dan membahang kemarahan anda, izinkan saya syor begini.
Kerap digoda Iblis
Iblis dan syaitan kerap menghasut. Saya menepis segala hasutan mereka ini. Kata mereka ini, "Untuk apa kau menulis? Mahasiswa itu ego. Mereka tidak mahu mendengar nasihat orang. Mereka cuma suka mengeluh kesal kepada HEP.. Rugi saja kau menulis!"
Banyak lagilah godaan, hasutan Iblis dan syaitan ke atas diri ini. Tapi saya kerap menolak dakwaan mereka itu. Saya katakan kepada mereka.
"Jika demikian, Tuhan yang lebih layak berasa bosan. Dia tahu manusia itu ingkar arahan daripadaNya. Tapi, tetap juga dikirimkan kitab-kitab, suhuf-suhuf dan para nabi dan rasul untuk menjernihkan warna alam yang telah suram, dipekatkan oleh kegelapan dosa."
Saya bukan nabi, rasul yang diutuskan kitab-kitab sebagai petunjuk. Saya bukan cendekia yang telah mengarang, menulis buku tebal. Jadi, kalau bukan tiada kitab perjuangan yang dapat diberikan kepada pelajar, maka inilah lembaran 'suhuf-suhuf' perjuangan yang kecil lagi kerdil supaya saudara menatapnya.
Saya cuma bekas aktivis siswa yang kecewa serta merana seperti Abul Ala Maududi yang melihat pelajar menjadi korban sembelihan di mana universiti menjadi rumah sembelihan sejak zaman-berzaman.
Sekeping ijazah, seperti lesen sembelihan yang diberikan setelah penyembelih NC, HEP berpuas hati dengan cara mereka menyembelih sembelihan mereka itu.
Dan, dalam analogi Dr Siddiq Fadhil di dalam ucaputamanya di acara Skima di Kelantan tahun lalu, sikap HEP memperlakukan mahasiswanya kini adalah bagaikan seorang ayah yang sanggup mencacatkan anaknya sendiri.
Iblis, syaitan berterusan mengejek, "Kau binatang jalang, dari kumpulan terbuang. Kau ni diperlakukan sebagai tidak berguna. Mereka tak kan hargai segala titik peluhmu itu."
Satu hari, saya membuka al-Qur'an bagi mencari jawapan. Tuhan selalu berbicara dengan kita melalui cara begini. Kadangkala langsung sahaja ditemukan kita dengan ayat tertentu hanya dengan sekali selakan.
Sampai pada cerita Yunus a.s, saya dapat ilham mengejeknya kembali. Saya kata kepada Iblis, "Yunus a.s lari dari perintah Allah untuk menyeru umatnya lalu dia dihukum ditelan ikan besar. Dikau wahai Iblis, lari daripada perintah Allah untuk sujud kepada Adam, kau dihukum laknat sampai kiamat!"
Lalu, saya teringat tulisan yang memutarkan kisah tentang sikap S.M.N al-Attas terhadap dunia dakwah dan akademik. Al-Attas berkata, dia enggan berganjak seperti Nabi Yunus a.s yang lari daripada kaumnya.
Saya rasa kerdil diri kerana amalan masih belum banyak. Orang yang lebih lama, masih bersemangat bekerja, apakah saya yang masih rebung usia ini akan cepat mengalah?
Syukur saya menang! Semoga Allah menawarkan lebih banyak kemenangan berkat sabar ini. Saya optimis jika saudara menamatkan kekecewaan yang masih berbekas di dada dan meneruskan tindakan sambil melazimi bualan-bualan untuk merangka strategi baru, maka kita akan berjaya, insya Allah. Allah membela kebenaran. Dia bersama si penyabar!
Syor-syor pengukuhan
Sebagai tabib, doktor yang merawat penyakit, kami boleh turun kampus untuk mengesan dan menyiasat di mana kelemahan kita. Tetapi, kita tak cukup masa sebenarnya.
Ada waktu-waktunya, doktor kena turun padang, menziarahi pesakit. Ada masa-masanya, pesakit kena datang bertemu tabib sendiri. Ini kaedah rawatan seperti biasa.
Untuk keperluan ini, kita perlu membuka Klinik Auku yang menyediakan rawatan guna merawat penyakit-penyakit yang dihadapi oleh mahasiswa dan pensyarah sekarang.
Bolehkah kita adakan perjumpaan setiap minggu pada hari Selasa, Rabu untuk berbual di Jalan Pahang Barat. Boleh juga membahaskan semula apakah isu yang dibangkitkan oleh Hamzah baru-baru ini ketika dia berkata, kekalahan siswa itu bermuara daripada Perkara 52.5 dan 52.2 (b) Auku.
Banyak perkara yang ingin saya tanya juga. Adakah perkara itu termasuk dalam pindaan yang dimajukan oleh PKPIM terdahulu. Saya tak arif sangat hal ini, kerana kegiatan saya terhalang berasaskan perkara lain iaitu fasal yang mewajibkan siswa itu meminta izin NC dan TNC untuk menulis di akhbar-akhbar. Itu saja yang saya lawan.
Menurut Hamzah, berdasarkan 52.2 (b) dan 52.5 itulah yang menyebabkan mereka kalah. Nama pun undi rahsia, dan dijalankan oleh pegawai universiti pula yang jelas dan terang-terang memihak kepada Aspirasi.
Syor seterusnya.. apa kata anda meletak jawatan exco itu? Mereka pun tahu saudara akan terima hatta jawatan exco. Inilah yang Aspirasi dan HEP mahukan iaitu mereka mahu saudara menjadi hamba dan budak suruhan mereka nanti.
Mereka nanti mungkin akan terkapa-kapa sendirian kerana berasa susah akibat sudah kehilangan tenaga kerja selama ini.
Setelah terbentuk MPP USM pada tahun akhir pengajian saya, ramai ahli PMI mengeluh darihal penatnya mereka buat kerja di MPP.
"Tengoklah bang.. sapa yang buat kerja? Kami saja yang buat kerja. Aspirasi tak buat pun kerja-kerja ni. Dia orang tak ada pengalaman buat kerja sebelum ni," kata mereka.
Saya hanya mampu berkata dalam hati, "Dah tu..Nak buat macam mana? Kamu yang nak sangat pikul amanah yang diuruskan dengan cara yang korup ni." Nak cakap di mulut tak sampai hati. Mereka masih muda berhati suci, mudah tersentuh, cepat pula patah hati.
Setiap tahun selepas PRK, memang akan ada kalangan saudara yang akan dijadikan abdi dan budak suruhan mereka secara tak langsung, secara tersirat. Sama ada anda sedar atau tidak, tidaklah saya ketahui. Mereka akan goyang kaki saja. Mereka pun tahu pro pelajar akan pikul amanah sebagai hamba abdi dan budak suruhan mereka.
Empat tahun lebih, pro pelajar akan diperhambakan, diperbudakkan dan semua ini terus-menerus menjadi budaya yang berterusan.
Tiada masalahnya untuk boikot PRK. Dan, tiada salahnya saudara terus melawan dengan meletakkan calon untuk kembali berentap di dalam PRK. Tiada hukum taklif wajib, sunat dan mubah harus dalam hal ini. Jangan takut dan bimbang.
Jangan bekerjasama, jangan ikut peraturan Auku
Berlawanlah, tapi jika anda lihat perselingkuhan dan anda dicurangi, segera ambil sikap Gandhi dan Sivaji. Gandhi pilih sikap enggan bekerjasama, menenun baju buatan sendiri dan boikot pakaian dari British. Garam pun dikisar sendiri dari laut dan rakyat India pun boikot garam-garam yang diproses daripada kilang garam British.
Sivaji kemudiannya sedar bahawa dia dicurangi banyak kali akibat mengikut arus rasuah di negaranya. Akhirnya, bagaikan seekor singa, dia enggan mengikut undang-undang dan peraturan lagi. Dia mengikut peraturan rimba ketika berdepan penguasa yang gila.
Kita menjadi lemah disebabkan dua perkara. Pertama, anda mengikut telunjuk, mengikut arus Auku. Ini 'rule' dan 'game' HEP. Kemudiannya, setelah sedar bahawa anda dicurangi, tapi anda masih mengambil sikap bekerjasama dengan Aspirasi dan HEP untuk mendapat jawatan itu, walhal jawatan itu sekadar melengkapkan kitaran perhambaan sahaja.
Saya pernah ikut sekali saja 'rule' dan 'game' HEP ini dan selepas itu saya menyesal tidak pernah sudah-sudah. Iaitu, saya minta izin TNC untuk menulis. Aduh! Tak apalah, cerita itu mungkin saya lanjutkan dalam keluaran depan insya Allah Ta'ala.
Banyak betul yang nak dimuhasabahkan sebenarnya. Saya pun tidak tahu bagaimanakah dan sampai bilakah derita ini akan berakhir. Paling penting, sentiasa beri tekanan ke atas HEP, KPT, jangan ambil sikap bekerjasama dan jangan ikut peraturan!
Demikian antara ramuan resipi dan formula perjuangan jikalau mahu melawan kebatilan. Akhirul kalam.. maaf andainya ada keterlanjuran bicara. Bukannya marah, cuma nasihat. Sekian.. segala yang baik itu dari Allah, yang buruk datangnya dari HEP dan KPT
1 comments:
baguslah penulisan saudara ni..mungkin bagi ana, ana menerima dan faham ape maksud saudara..tapi percayalah tak sumer mahasiswa even berfikrah pun mempunyai keyakinan dan kefahaman sebegini..memang kadang-kadang mengecewakan dan sedikit menggoyahkan semangat kita..tapi itulah PERJUANGAN ISLAM...
Post a Comment