Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Friday, November 7, 2008

GMUKM Gesa AUKU Dipinda



Rang Undang-Undang Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2008 (AUKU) telah dibacakan buat pertama kalinya pada 16 Julai lalu. Sebelum itu, rang undang-undang kontroversi ini telah diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Julai lalu.



Mengikut Aturan Urusan Mesyuarat Dan Usul-Usul bertarikh 6 November, jelas bahawa Rang Undang-Undang AUKU (Pindaan) 2008 (Selepas ini ditulis Rang Undang-Undang ini) akan dibacakan kali kedua selepas perbahasan ke atas Rang Undang-undang Perbekalan 2009 (D.R.16/2008) serta Usul Anggaran PerbelanjaanPembangunan 2009 dan juga Rang Undang-undang Indentifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008.



Bagi Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM), kami amat menanti-nantikan Rang Undang-Undang AUKU (Pindaan) 2008 ini dibacakan kali kedua di dalam Parlimen sebelum berlangsungnya Pilihanraya Kampus pada tahun hadapan. Hal ini kerana terdapat nilai demokrasi yang dapat memberi manfaat kepada mahasiswa dalam Rang Undang-Undang tersebut di samping inginkan wujudnya pindaan dibuat terhadap Rang bernombor 12/2008 itu



GMUKM berharap agar Rang Undang-Undang ini tidak dipintas oleh Rang Undang-Undang lain yang mengikut aturan, terdapat sebanyak 5 rang undang-undang di belakang rang AUKU untuk dibacakan kali kedua.



Walaubagaimanapun, kerisauan GMUKM terhadap kegagalan Parlimen membahaskan Rang Undang-Undang AUKU ini berteraskan kepada peristiwa langkauan Rang Undang-Undang Indentifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) yang telah dibawa ke Parlimen pada 18 Ogos 2008 lalu dan dibaca kali kedua pada 26 Ogos lalu sedangkan sepatutnya akta AUKU yang dibahaskan selepas perbahasan pindaan Akta Pendidikan. Hal ini satu langkauan yang jelas mengecewakan mahasiswa walaupun dikatakan bahawa Akta DNA itu amat penting bagi menanangi isu jenayah melibatkan hubungan intim yang perlu diselesaikan segera.



Justeru, GMUKM berharap agar Rang Undang-Undang ini dibacakan kali kedua pada tahun ini juga sebelum diluluskan oleh Dewan Negara pada bacaan kali ketiga dan diwartakan sebagai Undang-Undang sebelum PRK ini. Diharap agar perutusan Yang Dipertua bahawa Mesyuarat Dewan Rakyat yang sedang bersidang sekarang ditambah selama empat hari lagi iaitu dari 15 hingga 18 Disember 2008 bagi membolehkan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain dapat diselesaikan, jelas melegakan mahasiswa yang mahupun pindaan dibuat terhadap Akta beusia 37 tahun ini. Selain peranan check and balance yang perlu dimainkan oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bagi memastikan agar Rang Undang ini dibacakan kali kedua dan diwartakan



Berdasarkan fasal rang undang AUKU, terdapat beberapa kelebihan yang diberikan kepada mahasiswa seperti pemimpin parti politik, termasuk pembangkang boleh memberi ceramah kepada mahasiswa di kampus manakala mereka yang melakukan kesalahan mengikut AUKU, tidak lagi akan dihadapkan ke mahkamah dan akan hanya dihadapkan di Tribunal Universiti.



Juga pindaan Fasal 15 D(7) Rang Undang-Undang ini yang menyatakan bahawa seseorang mahasiswa yang dituduh atas satu kesalahan jenayah, mereka tidak akan digantung pengajiannya dan jika disabitkan, boleh menyambung semula pengajiannya di Universiti itu. Jika sebelum pindaan, mahasiswa yang menunggu keputusan prosiding jenayah itu diselesaikan, akan digantung daripada pengajian dan tidak diteima semula masuk ke kampus sepertimana yang berlaku kepada tujuh mangsa yang telah ditangkap dibawah Internal Security Act (ISA) kira-kira 7 tahun lalu.



Mahasiswa turut diberikan peluang yang munasabah untuk didengar (right to be heard) atas sesuatu tuduhan sekiranya ia dibawa ke hadapan tribunal dan juga boleh melantik seorang pekerja Universiti atau mahasiswa sendiri untuk menjadi wakil bagi berhujah di dalam Tribunal tersebut. Paling menarik, pindaan ini juga akan membolehkan mahasiswa untuk menjadi ahli parti politik tetapi dengan kebenaran Naib Canselor mengikut fasal 15 (4) Rang Undang-Undang ini dan juga boleh menganggotai mana-mana persatuan di dalam dan luar negara mengikut peruntukkan Fasal 15 (1) Rang Undang-Undang ini tetapi tertakluk kepada larangan parti politik, pertubuhan yang salah di sisi undang-undang dan pertubuhan yang disenarai hitamkan oleh Menteri.



Walaubagaimanapun, sekiranya kita menelti pindaan sebanyak 61 fasal daripada 109 fasal AUKU asal iaitu lebih kurang 60 peratus pindaan, jelas bahawa ia lebih bersikap kosmetik dan hanya dilitupi dengan hiasan yang boleh mengaburi mata mahasiswa. Hujah yang GMUKM boleh lampirkan ialah berkaitan dengan isu hak asasi mahasiswa itu sendiri. Mahasiswa secara jelas dan nyata masih dilarang untuk terlibat dalam politik secara mutlak, sedangkan mereka boleh mengundi di dalam Pilihanraya Umum sekiranya berumur lebih 21 tahun.



Inilah yang dikatakan bahawa AUKU banyak bercanggah dengan Undang-Undang Parlimen dan juga Perlembagaan Persekutuan sendiri. Walaupun dibolehkan terlibat dalam politik, tetapi ia perlu mendapat kelulusan daripada Naib Canselor dan tiada akta dalam Rang Undang-Undang AUKU yang menyatakan bahawa mahasiswa yang terlibat dengan parti bukan kerajaan, tidak dikenakan tatatertib oleh Universiti.



Sepertimana juga dalam perkhidmatan awam, dalam peraturan Penjawat awam telah memberikan kebenaran pegawai kelas A untuk terlibat dalam politik. Tetapi persoalan di sini ialah berapa ramai yang terlibat dengan politik pembangkang. Seperti juga mahasiswa, tiada jaminan yang mahasiswa dibenarkan terlibat dengan politik pembangkang akan tidak dibiarkan bebas tanpa dikenakan tatatertib mahupun tindakan diskriminasi melibatkan akademik. Inilah pindaan yang dilakukan untuk memuaskan hati sesetengah pihak tetapi pada masa yang sama, akan memberikan ketakutan kepada mahasiswa untuk terlibat dengan politik.



Bagi kebebasan mengeluarkan pendapat pula, mahasiswa jelas dikunci mulut dan diikat tangan untuk mengeluarkan idea dalam bentuk lisan mahupun bertulis. Larangan bersuara ini melibatkan sesuatu yang menyentuh sokongan dan bangkangan terhadap kerajaan mahupun pembangkang walaupun ia perkara kebenaran. Mahasiswa hanya dibenarkan bercakap soal akademik yang berhubungan dengan perkara yang pelajar itu terlibat dalam pengajian atau penyelidikannya. Juga hanya boleh bersuara bagi menyatakan pandangan berkaitan seminar, simposium

atau majlis seumpamanya yang hanya dibenarkan oleh Menteri sahaja mengikut Fasal 15 (6) (b) Rang Undang-Undang ini.



Ini jelas satu kezaliman kepada mahasiswa yang telah diberikan kebebasan untuk bercakap dalam Perkara 10 Perlembagaan kita. Alasan bahawa dibimbangi mahasiswa yang dianggap tidak matang, boleh mencetuskan hasutan dan huru hara di dalam negara sekiranya diberikan kebebasan bercakap. Ia adalah alasan yang dangkal kerana sepertimana kita maklum, Akta Hasutan dan Akta Fitnah sudah cukup untuk menjadi pagar sempadan kepada kebebasan bercakap bagi mahasiswa.



Satu lagi persoalan besar yang perlu kita perhalusi bersama ialah kuasa menteri yang terlalu besar dalam pindaan ini. Menteri boleh melantik ketua kampus cawangan, hak menteri meminda, mengubah, atau membetulkan sesuatu perintah kampus sepertimana fasal 12 Rang Undang-Undang ini, juga hak untuk melantik jawatan Naib Canselor mengikut budi bicara jelas melambangkan bahawa terdapatnya kuasa menteri yang mutlak dalam pindaan terbaru ini. GMUKM bimbang sekiranya kuasa menteri terlalu besar, maka ia akan menimbulkan satu situasi yang pernah dinyatakan oleh Abraham Lincon iaitu " Power corrupts, absolute power, corrupts absolutely”.



Kuasa menteri perlu mempunyai batasan dan boleh disemak (review) oleh mana-mana mahkamah. GMUKM harap ia bukanlah satu klausa muktamad (finat outclause) yang memberikan kekebalan kepada menteri daripada didakwa sekiranya berlaku penyalahgunaan kuasa.



Begitu juga dengan kuasa menteri menghalang pertubuhan yang boleh dimasuki mahasiswa atas alasan tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau Universiti itu. Ia ibarat mengulangi situasi sama terhadap alasan keselamatan negara yang selalu digunapakai oleh ISA. Klausa ini adalah kabur dan perlu ada satu kod etika yang mengariskan keputusan Menteri berdasarkan alasan kepentingan dan kesentosaan pelajar dan universiti yang terdapat dalam Rang Undang-Undang itu.



Berdasarkan hujah di atas, jelas bahawa GMUKM hanya akan tunduk pada AUKU sekiranya hak asasi mahsiswa dikembalikan ke tempat sepatutnya. Mengapa perlu Akta khas untuk mahasiswa sedangkan tiada akta khas untuk ahli politik, yang selalu melanggari kesalahan jenayah di negera kita seperti isu politik wang. GMUKM berharap agar ahli perundangan memikirkan kembali pindaan tersebut dan biarlah pandangan mahasiswa di ambil kira dalam menggubal akta melibatkan mahasiswa itu sendiri.



Pendirian GMUKM seiring dengan pendapat tokoh akademik yang mahukan AUKU ini dipinda sepertimana kenyataan Tan Sri Prof Dr. Khoo Kay Kim berkata bahawa pindaan (AUKU) itu wajar dilaksanakan kerana ia sebagai tanda kepercayaan kerajaan terhadap pihak berkenaan (mahasiswa) untuk lebih bersedia berdepan dunia global. Juga GMUKM turut mengakui kebenaran kata Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang yang mendakwa Indonesia jauh terkehadapan berbanding Malaysia dari segi kualiti pendidikan tinggi kerana mahasiswa di tanah seberang itu dianggap sebagai jurucakap masyarakat dan dari segi akademiknya, mahasiswa Indonesia lebih bebas berakademik hinggakan berjaya mendapat anugerah Nobel dalam bidang akademik itu sendiri.



Konklusinya, aktivis mahasiswa hari ini amat tertunggu-tunggu proses bacaan kali kedua dan ketiga di Dewan Rakyat sebelum PRK ini agar suasana demokrasi walaupun tidak sepenuhnya, dapat dihirup oleh mahasiswa di IPTA tempatan. GMUKM optimis sekiranya ahli Parlimen yang digelar ' Members of Upper House' ingin melihat mahasiswa Malaysia hari ini lahir sebagai pemimpin pembina budaya (culture builder leader) negara akan datang, maka pindaan perlu dilakukan terhadap akta ini untuk memberikan suntikan ajaib kepada mahasiswa dalam menghadapi arus cabaran negara pada masa hadapan.

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !