Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Saturday, November 1, 2008

GMUKM kesal sikap pentadbiran HEP yang menyembunyikan tarikh pembubaran MPP


Pemakluman pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (MPPUKM) secara senyap merupakan satu lagi pencabulan serius demokrasi oleh pihak Hal Ehwal Pelajar yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni sendiri, Prof. Dato’ Dr Mohd Wahid Shamsuddin.

Surat pemakluman tentang pembubaran MPP pada 1 Oktober lalu itu telah dihantar kepada setiap fakulti-fakulti dan ditandatangani sendiri oleh TNC HEPA itu dengan arahan agar surat tersebut tidak ditampal di notis-notis fakulti. Walaupun tarikh pembubaran adalah pada 1 Oktober, tetapi surat itu hanya ditandatangi pada 20 Oktober dan diedarkan kepada setiap fakulti pada keesokan harinya.

Menurut Setiausaha Kerja Pengerusi Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM), Hishamuddin Abdullah tindakan tersebut menunjukkan kezaliman terhadap mahasiswa terus berlaku dan pihak pentadbiran tidak menghormati hak mahasiswa untuk berdemokrasi yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

" Perbuatan menyembunyikan tarikh pembubaran jelas menunjukkan mereka tidak lagi insaf dan sedar bahawa Pilihanraya Kampus adalah hak milik mahasiswa, bukannya pihak pentadbiran yang bukan berstatus mahasiswa”

Mengulas mengenai kelewatan surat yang lewat diedarkan dan ditandatangi iaitu kira-kira 20 hari selepas tarikh pembubaran pada 1 Oktober lalu beliau berkata, ini adalah merupakan siri-siri penyelewengan yang tidak bijak kerana ia mendedahkan bahawa ia satu tindakan pembohongan yang tidak berjaya (the lies have not succeed).

" GMUKM yakin dan percaya keputusan tersebut dibuat secara tergesa-gesa selepas peristiwa demontrasi aman hampir 300 mahasiswa menyerahkan memorandum secara tangan kepada Menteri Pengajian Tinggi di UKM pada 17 Oktober lalu dan ini menunjukan keangkuhan pihak TNC HEPA yang tidak langsung menghormati undang-undang dan juga konsep keintelektualan," katanya yang juga merupakan pelajar Undang-Undang.

“ Peraturan 8 (1) Peraturan-Peraturan Pemilihan (Penjalanan Pemilihan) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2007 telah memperuntukkan bahawa notis pembubaran perlu disiarkan di Fakulti, Kolej atau mana-mana tempat di kawasan UKM dan notis tersebut hendaklah menyatakan tarikh bila berlangsung hari penamaan calon dan peruntukkan ini perlu dibaca dengan dengan Peraturan 10 (1) Peraturan-Peraturan Pemilihan (Panduan Calon) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2007 yang menyatakan perkara yang sama”, ujarnya.

Tambahnya, ketiadaan notis pembubaran di kawasan capaian umum mahasiswa yang munasabah (reasonable public access) adalah satu penyelewengan undang-undang yang dilakukan oleh pentadbiran Hal Ehwal Pelajar ini.

Pembubaran atau pemakluman undang-undang ini haruslah diuar-uarkan kepada masyarakat kampus UKM kerana ini adalah hak asasi mereka dan juga selari dengan Seksyen 30 (2) Jadual Pertama Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Pindaan 1975) yang menyatakan bahawa :

The Statutes, Rules and Regulations of the University as notification from time to time shall be published in book form at such intervals as the Board may direct: and copies shall be made available for purchase at a reasonable price by members of the public.”

‘‘ Jelas bahawa pihak pentadbiran cuba mempermainkan mahasiswa dengan menyembunyikan tarikh pembubaran MPP dan faktor inilah yang menyebabkan mahasiswa bangkit untuk melawan penipuan ini dan berdemontrasi walaupun dikatakan oleh pihak pentadbiran sebagai anti establishment”, ujarnya.

Menurut Hishamuddin lagi, pihak pentadbiran jangan terkejut dan jangan salahkan mahasiswa sekiranya golongan ini melakukan himpunan aman dan membawa kes ini ke mahkamah sekiranya mahasiswa terus diperlekeh dan ditipu hidup-hidup oleh segelintir pentadbiran yang belum kenal erti mahasiswa itu sendiri.

Beliau juga menegaskan bahawa tarikh penamaan calon harus diadakan tetap pada 30 Diesember ini dan hari pengundian selang tiga hari atau kurang daripada tarikh tersebut sepertimana diperuntukkan dalam Peraturan 8 (1) Peraturan-Peraturan Pemilihan (Penjalanan Pemilihan) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2007 iaitu :

“..dan tarikh pengundian akan dijalankan jika sekiranya Pemilihan itu dipertandingkan, yang dalam peraturan-peraturan ini disebut “ Hari Mengundi”, yang tidak kurang daripada tiga hari selepas hari penamaan”

Jelasnya, peruntukkan Peraturan 8 (1) Peraturan-Peraturan Pemilihan (Penjalanan Pemilihan) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2007 juga memperuntukkan bahawa hari penamaan hendaklah diadakan tidak lebih daripada 60 hari selepas tarikh pembubaran MPP dan ini selari dengan Peraturan 10 (2) Peraturan-Peraturan Pemilihan (Panduan Calon) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2007 berkaitan tarikh penamaan ini.

“ Tuntutan GMUKM bukan berdasarkan emosi kerana ketakutan pihak HEP mengadakan PRK pada tahun ini, tetapi lebih kepada tuntutan dari segi undang-undang Universiti, tarikh kemasukan pelajar Semester 2 pada 29 Disember dan juga bagi mengelakkan pihak HEP terus berdolak-dalik dalam penentuan tarikh pembuangan undi ini, tegasnya kepada satu kenyataan kepada akhbar.

Tegasnya lagi, sikap pihak tertentu yang melanggari undang-undang jelas satu tindakan yang wajar dibawa ke muka pengadilan dan GMUKM sedang berkira-kira untuk memberi surat tunjuk sebab yang ditulis sendiri oleh peguam untuk meminta jawapan bertulis daripada pihak TNC terbabit.

Katanya, GMUKM turut meminta agar pihak Menteri yang bertanggungjawab terhadap hak asasi manusia, Dato’ Seri Nazri Aziz untuk campur tangan terhadap isu penggunaan undang-undang rimba ini di samping peranan yang wajib dimainkan oleh SUHAKAM untuk membawa pihak terbabit ke muka pengadilan.

“ Kami bukannya melawan Universiti sekiranya kami bertindak sedimikian tetapi lebih kepada untuk mengembalikan keintegritian kampus di mata masyarakat di samping menyahut seruan Perdana Menteri yang inginkan reformasi terhadap sistem kehakiman di negara ini sebelum beliau bersara dan reformasi yang sama perlu juga dilakukan oleh Perdana Menteri kita itu terhadap sistem keadilan di Universiti”, katanya .

“ Pilihanraya Kampus hanyalah satu perkara yang kecil bagi GMUKM dan apa yang paling besar dalam tuntutan kami ialah pengembalian semula sifat semulajadi (common sense) mahasiswa untuk berdemokrasi dan berpolitik secara sihat tanpa campurtangan politik luar yang kotor itu”, ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Menangani Isu Kezaliman Terhadap Mahasiswa.

Sehubungan itu katanya, kesungguhan pihak UKM untuk menterjemahkan prinsip demokrasi tulen kepada mahasiswa boleh dilaksanakan dengan membawa mereka yang melanggari undang-undang ini ke Tribunal Universiti dan pihak Naib Canselor haruslah mengumumkan dengan segera tarikh penamaan calon dan hari pengundian yang mengikut undang-undangnya, akan berlaku pada 30 Disember ini dan hari pengundian selang 3 hari selepas hari penamaan tersebut.

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !