Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Friday, October 31, 2008

Abdul Razak Dibebaskan..Dunia Ketawakan Sistem Kehakiman Kita?



Abdul Razak Baginda Dibebaskan

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membebaskan penganalisa politik Abdul Razak Baginda daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Bagaimanapun, dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, yang dituduh membunuh Altantuya, diperintah membela diri.

Azilah dan Sirul Azhar dituduh membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara Lot 12843 dan 16735, Mukim Bukit Raja, di Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Abdul Razak, pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, pula dituduh bersubahat dengan mereka di Wilayah Persekutuan antara jam 9.54 pagi 18 Oktober dan 9.45 malam 19 Oktober tahun 2006.

Mahkamah menetapkan 10 November ini untuk Azilah dan Sirul Azhar membela diri. Kedua-duanya memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah.

Mayat Altantuya telah diletupkan dan cebisan daging dan tulangnya ditemui bertaburan di kawasan Puncak Alam.

Dalam keputusannya, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin berkata pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Razak, 48.

Pihak pendakwa dijangka memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah membebaskan Abdul Razak itu.

Razak diwakili oleh peguam Wong Kian Kheong. Azilah diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar manakala Sirul diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Merican dan Ahmad Zaidi Zainal.

Pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwaraya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Noorin Badaruddin, Manoj Kurup dan Hanim Rashid.

Peguam Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo dan Ram Karpal Singh pula bertindak peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya.

Pihak mendakwa selesai berhujah pada 23 Jun lalu selepas mahkamah mendengar keterangan daripada 84 saksi selam 151 hari.

Abdul Razak yang jelas kelihatan gembira dengan keputusan tersebut, meninggalkan mahkamah dengan ditemani isteri dan anak perempuannya pada kira-kira jam 10.10 pagi.

Beliau bagaimanapun enggan menjawab soalan wartawan yang menunggunya, dan hanya berkata: "Saya mahu pulang ke rumah".

Azilah dan Sirul Azhar Mungkin Dihukum Gantung??


Sementara Azilah dan Sirul Azhar mempunyai tiga pilihan untuk membela diri iaitu memberi keterangan bersumpah, memberi keterangan dalam kandang tertuduh atau berdiam diri.Kedua-duanya memilih untuk memberi keterangan bersumpah.

Pertimbangan sewajarnya akan diberikan kepada tertuduh yang memilih untuk memberikan keterangan bersumpah, di mana tertuduh boleh diperiksa balas oleh pendakwaan. Keterangan yang diberikan dalam kandang tertuduh pula tidak akan diperiksa balas oleh pendakwaan.

Jika tertuduh memilih berdiam diri, tertuduh akan disabitkan dan dihukum mengikut penalti yang ditetapkan dalam seksyen yang tertuduh didakwa. Dalam kes ini, hukumannya ialah mati mandatori.

Dalam penghakimannya, Zaki menerima kenyataan yang diberikan oleh Azilah dan Sirul Azhar kepada polis sebagai sebahagian keterangan.

Azilah memberikan kenyataan yang mendedahkan lokasi tempat Altantuya ditembak dan mayatnya diletupkan manakala Sirul Azhar mendedahkan kepada polis tempat barangan kemas milik Altantuya disembunyikan.

"Saya berpuas hati bahawa wujud kes prima facie terhadap tertuduh pertama (Azilah) dan tertuduh kedua (Sirul Azhar) untuk menjawab pertuduhan terhadap mereka. Saya dengan ini memutuskan tertuduh pertama dan kedua untuk membela diri," katanya.

Altantuya, ibu kepada dua anak lelaki masing-masing berusia 4 tahun dan 10 tahun, mendapat latihan sebagai guru dan penterjemah dalam Bahasa Inggeris danBahasa Rusia di National University of Mongolia.

Pembunuhannya digambarkan sebagai amat kejam kerana mayatnya diletupkan dengan bahan letupan. Pakar forensik menemui cebisan dagingnya bertaburan di kawasan di Puncak Alam di Shah Alam.

Kes itu mendapat liputan meluas kerana Altantuya dilaporkan datang ke Malaysia untuk mencari Abdul Razak yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengannya.

Mahkamah Akan Panggil Raja Petra dan Balasubramaniam

Mahkamah mungkin akan memanggil penulis blog Raja Petra Kamarudin dan memanggil semula penyiasat persendirian P Balasubramaniam untuk memberikan keterangan.

Raja Petra sedang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Beliau telah membuat akuan bersumpah mengaitkan seorang ahli politik kanan dan isterinya dalam pembunuhan itu.

Balasubramaniam juga membuat akuan bersumpah serupa tetapi menarik balik akuan itu tiga hari kemudian dalam satu lagi akuan bersumpah.
Ayah Altantuya Kecewa Dengan Penghakiman Mahkamah
Malaysia

Dr Shaariibuu Setev, bapa wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan penganalisis Abdul Razak Abdullah Baginda daripada pertuduhan bersubahat membunuh anaknya.

Beliau turut bertanya mengapa Abdul Razak, yang mengenali anak perempuannya dibebaskan tetapi dua anggota polis yang tidak dikenali anaknya, diperintah membela diri, demikian menurut laporan Bernama.

Mahkamah Malaysia Ditertawakan Dunia?


Ditanya wartawan sama ada beliau menjangkakan Abdul Razak akan dibebaskan, Shaariibuu berkata beliau sangat kesal dengan nasib yang menimpa anaknya dan menyangka anaknya akan mendapat keadilan di Malaysia.

Mengenai sama ada keputusan Mahkamah Tinggi itu akan memberi kesan kepada sistem kehakiman di Malaysia, beliau berkata dunia mengikuti perkembangan kes anaknya dan beliau percaya keputusan itu, sedikit sebanyak, akan memberi kesan kepada kehakiman
Malaysia.

Shaariibuu berkata beliau enggan mengulas banyak mengenai keputusan berkenaan kerana tidak mahu campur tangan dalam kehakiman
Malaysia, tetapi akan berunding dengan peguamnya berhubung tindakan selanjutnya.

Beliau bercakap kepada wartawan dalam bahasa
Mongolia, yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh setiusaha kedua Kedutaan Mongolia di Thailand, Siizkhuu Sainbileg.

Sementara itu, Timbalan Pendakwaraya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, yang mengetuai barisan pendakwaan, beliau akan berbincang dengan Peguam Negara sama ada mengemukakan rayuan terhadap pembebasan Abdul Razak.

Tun Abdul Majid berkata pendakwaan akan mempertimbangkan untuk memfailkan rayuan selepas meneliti penghakiman.

"Kami mempunyai 14 hari untuk memfailkan rayuan tetapi kami perlu menunggu arahan Peguam Negara," katanya, sambil menambah kata bahawa pihak pendakwaan telah melaksanakan tugas secara teliti bagi membuktikan kes.

1 comments:

malik said...

kenapa la najib tak dipanggil naik makhamah....

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !