BANGI, 17 Oktober 2008 : Kira-kira 500 orang mahasiswa yang terdiri daripada mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Univeriti Putra Malaysia dan beberapa universiti di sekitar lembah Klang telah berhimpun untuk menyatakan desakan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaleed Nordin di Karnival Kerjaya Kebangsaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Perhimpunan Ops-Desak ini sebenarnya adalah berpunca daripada kelalaian dan kelekaan Kementrian Pengajian Tinggi dalam menangani isu-isu dan masalah mahasiswa khususnya mengenai Pilihanraya Kampus yang sebelum ini telah diperlekeh dan dipandang sepi oleh pihak terbabit. Pelbagai penganiayaan dan kzaliman yang dilakukan oleh urusetia pilihanraya kampus sepanjang pilihanraya kampus yang lalu.
Setelah 5 tahun menunggu jawapan daripada pihak KPT, hari ini mahasiswa sudah tidak mampu lagi menahan penganiayan dan kezaliman KPT, telah mengambil langkah turun beramai-ramai untuk mendesak Khaleed Nordin memberi jawapan terhadap tuntutan mahasiswa yang sebelum ini berkumpul menuntut perkara yang sama di Bangunan Kementrian Pengajian Tinggi pada 10 Oktober yang lalu.
Antara tuntutan penting yg dikemukakan ialah pelaksanaan e-voting di semua kampus, penambaikan dalam perjalanan dan sistem PRK yang korup dan berat sebelah serta beberapa tuntutan kampus-kampus lain berkaitan penyelewengan demokrasi di Universiti masing-masing. Secara faktanya, memorandum demi meorandum telah dihantar selama 5 tahun oleh mahasiswa dan selama itulah memorandum dibakul sampahkan oleh pihak Kementrian.
Mahasiswa telah mengambil ketetapan untuk berjumpa sendiri dengan Khaleed Nordin melalui wakil mereka, Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN) yang berjaya menyerahkan sendiri memorandum secara serahan tangan dan bersua muka dengan menteri yang tersebut.
Namun malangnya, belum sempat pertemuan itu berakhir, Pengawal Keselamatan UKM yang diluar batasan profesional sebagai pengawal keselamatan, telah menghalang Khaleed Nordin berjumpa dengan mahasiswa dengan bertindak kasar dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada mahasiswa yang datang pada hari itu.
Turut menjadi mangsa ialah para media yang ingin mendapatkan maklumat sebenar telah dikasari dan dihalang membuat liputan tentang perhimpunan itu.
Menurut Kazman Noordin, tindakan ini disifatkan sebagai tindakan pengecut dan cuba menghalang kebebasan media untuk melaporkan perkara sebenar berlaku pada perhimpunan itu.
" Jelas bahawa dalang sebenar kepada kekecohan ini adalah pegawai keselamatan itu sendiri yang cuba bertindak di luar batasan bagi menghalang perhimpunan mahasiswa daripada tersebar kepada pengetahuan umum,” katanya yang bertindak sebagai pengerusi majlis himpunan tersebut.
Dipetik lagi oleh Kazman yang menyatakan bahawa sememangnya situasi di UKM sentiasa berlaku kelumpuhan hak mahasiswa untuk bersuara dan ini dapat dilihat dalam isu rampasan laptop pada Mac lalu dan juga kes tangkapan tanpa bicara terhadap mahasiswa oleh pengawal keselamatan terbabit.
Pada himpunan itu, para mahasiswa turut menyatakan bantahan melalui laungan " Hidup hidup mahasiswa ” kepada Khaleed Nordin yang berjalan melalui perhimpunan tersebut. Mereka turut memberikan bunga putih kepada menteri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal mahasiswa sebagai lambang bahawa kesucian mahasiswa tidak boleh dikotori dengan politik kotor pemerintah.
Kira- kira jam 4.02 petang, mahasiswa yang berkumpul seawal jam 2.30 petang telah menyediakan sudut pidato dengan menyeru agar Datuk Seri Khaled Nordin untuk membuat kenyataan media tentang tuntutan mahasiswa tersebut.
Menurut kenyataan wakil Ahli Majlis Perwakilan Pelajar, Saudara Hilman Nordin menyatakan bahawa Datuk Khaled Nordin setuju untuk membuat kenyataan rasmi pada hari isnin ini berkaitan dengan tuntutan mahasiswa. " Memandangkan pejabat sudah ditutup sekarang, maka kenyataan rasmi akan dibuat pada hari isnin ini,’’ demikian kenyataan Wakil Majlis Perwakilan Pelajar Pro Mahasiswa itu kepada hadirin yang hadir.
Himpunan mahasiswa yang menuntut Khaled Nordin untuk memberikan kenyataan rasmi tentang isu tuntutan mahasiswa telah membuatkan pegawai keselamatan UKM bertindak ganas dengan memukul mahasiswa yang hadir pada perhimpunan itu. Seorang pimpinan mahasiswa, Ahmad Farid telah dipukul dan ditumbuk dengan separuh mati oleh pegawai keselamatan yang bertindak mengikut emosi. Satu laporan polis di Balai Polis Kajang telah dibuat terhadap pegawai keselamatan yang dikenali sebagai Shahrom dan juga Mejar Housaini, ketua pegawai keselamatan UKM. Menurut seorang saksi, Mejar Housaini dilihat bertindak mencakar dan menumbuk Saudara Farid dan laporan perubatan telah dibuat menunjukan bahawa terdapatnya kesan lebam dan calar di tubuh mangsa.
Dalam satu kejadian tolak-menolak antara 50 orang pengawal keselamatan dengan mahasiswa, terdapat seorang mahasiswi yang terjatuh dan tercedera akibat kekasaran tersebut. Kehadiran ramai pengawal keselamatan UKM dilihat kononnya cuba meleraikan perhimpunan tetapi sebenarnya, telah menimbulkan kekecohan dengan tindakan mereka yang ganas untuk menghalang mahasiswa daripada menyatakan suara demokrasi mereka kepada menteri bertanggungjawab itu.
Menurut Setiausaha Kerja Gabungan Mahasiswa UKM, Hishamuddin Abdullah, perhimpunan mahasiswa tidak boleh dihalang dengan kasar oleh pegawai keselamatan. " Perkara 10 Perlembagaan kita memberikan lesen kepada mahassiswa untuk berhimpun dan mengeluarkan pendapat. Jelas bahawa tindakan mahasiswa itu berdasarkan undang-undang, bukannya emosi ’’.
" Isunya di sini ialah bukannya perhimpunan mahasiswa, tetapi adalah berkaitan dengan tuntutan memorandum yang menuntut satu pilihanraya kampus yang adil dan berdemokrasi kepada mahasiswa, golongan yang akan memimpin negara ini pada suatu hari nanti,” tegasnya.
Perhimpunan itu berakhir pada jam 5.30 petang. Perhimpunan berjaya bersurai dengan aman walaupun kehadiran pihak polis dan trak black mania dilihat cuba memberi tekanan kepada mahasiswa yang berkumpul. Laungan keramat "Student power’’ telah bergema di hadapan Dewan Tun Abdul Razak (DECTAR) dan berjaya menarik perhatian media dan pengunjung yang hadir pada Karnival Kerjaya peringkat kebangsaan itu.
0 comments:
Post a Comment