Apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengarahkan Timbalan-Timbalan Naib Canselor dan Dekan Hal Ehwal Pelajar (TTNC dan Dekan HEP) supaya tidak mengadakan Pilihan Raya Kampus (PRK) serentak, sebaliknya ditetapkan pada dua dua tarikh berbeza, tentulah sukar untuk mereka menolaknya.
Tarikh pertama PRK tahun ini ialah pada 16 Oktober 2008, manakala penamaan calon 12 Oktober, melibatkan sembilan IPTA, antara lain yang sudah dipastikan UMT, UMP, UMK, UDM, UTeM. Manakala IPTA lain, khususnya di Lembah Klang, akan diadakan pada bulan Januari 2009.
Sudah tentu media, masyarakat dan mahasiswa sendiri akan tertanya-tanya mengapakah arahan ini dikeluarkan oleh KPT.
Ironinya, pertanyaan-pertanyaan seumpama inilah yang sangat dibimbangi KPT!
Satu perjumpaan sulit diatur, dihadiri Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Idris Haron, Prof Madya Dr Muhammad Hussin dari UKM, Prof Azali (TNC yang mendapat kepercayaan KPT) dari UPM dan sebahagian TTNC dan Dekan HEP bertempat di Rumah Melaka, Jalan Bellamy Kuala Lumpur bertarikh 6 Mei dan 16 Julai 2008.
Pertemuan terakhir berjalan di Hotel Istana, Kuala Lumpur, 6 Oktober, bermula jam 9 malam. Ia dipengerusikan Idris. Antara arahan yang dikeluarkan ialah melarang wartawan memasuki kawasan kampus semasa pilihan raya.
Mereka menamakan diri sendiri sebagai Sekretariat Kampus ('nama underground', kata Idris) dan merancang pelbagai strategi terkini terutama dalam menyekat kebangkitan mahasiswa yang tidak menyokong BN.
Jemputan mesyuarat sulit ini hanya dibuat melalui SMS. Tidaklah diketahui bagaimana TTNC dan Dekan HEP ini hendak membuat tuntutan perjalanan dan penginapan tanpa melalui kelulusan Naib Canselor dan tanpa surat jemputan rasmi.
Perjumpaan sulit ini hanya mampu diadakan tiga kali berbanding tahun-tahun lalu sebanyak sembilan kali.
Sebenarnya perjumpaan sehingga jam 2.00 pagi itu mendapat tentangan sebahagian besar TTNC dan Dekan HEP kerana segala strategi KPT didalangi Mat Hussin yang membuat 'comeback' selepas Dato' Mustapa Mohamed bertukar ke Kementerian Pertanian.
Kelibat Mat Hussin sahaja mengundang rasa mual dan jelik TTNC dan Dekan HEP. Sejarah mereka diarah-arah seolah "diketuk ketampi" Mat Husin, amat menyerikkan!
Di antara keputusan yang dipersetujui dalam perjumpaan sulit ini ialah mengadakan PRK tidak secara serentak seperti tahun-tahun sebelum ini.
Alasan utama KPT mengarahkan PRK diadakan secara berasingan ialah untuk mengelak daripada PRK menjadi perhatian media, rakyat, parti pembangkang dan mengelakkan kebangkitan mahasiswa.
Sepatah kata Idris: "Kalau boleh buatlah PRK secara senyap-senyap, jangan sampai diketahui sesiapa terutama media!" Inilah 'standard' pemikiran seorang timbalan menteri kita?
Beberapa strategi lain untuk melumpuhkan kebangkitan mahasiswa disenarai panjang dengan begitu terancang sekali. Sukar hendak dipercayakan, kerana seperti kata Dr Siddiq Fadhil, "umpama seorang ayah merancang untuk mencacat anaknya sendiri!"
Antaranya adalah:
1. KPT mengarahkan istilah Pilihan Raya Kampus ditukar kepada Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar. Istilah pilihan raya bagi KPT adalah setanding dengan Pilihan Raya Umum dan bakal membangkitkan semangat juang mahasiswa.
Oleh itu kalimat ini wajar dihapuskan supaya mahasiswa tidak dapat merasa seperti suasana pilihan raya di luar kampus. Cukuplah dengan kalimat pemilihan, seperti memilih ketua kelas semasa sekolah rendah dan tadika sahaja.
2. KPT mengarahkan poster-poster calon hanya dikeluarkan HEP. Calon dilarang mencetak poster sendiri. Kreativiti calon tidak perlu dan dilarang. Cukuplah menunggu poster bersaiz A4 dari HEP. Adakah ini cara HEP membentuk kepimpinan dan kreativiti mahasiswa? Semua disediakan, mahasiswa dilayan seperti robot layaknya!
3. KPT mengarahkan perkataan 'mahasiswa' ditukar kepada 'pelajar' sahaja. Istilah mahasiswa bagi KPT boleh membangkit rasa 'self esteem' yang tinggi di kalangan mahasiswa.
Oleh itu KPT mengarahkan semua universiti menggunakan nama 'Majlis Perwakilan Pelajar' bukan lagi 'Majlis Perwakilan Mahasiswa'. Mahasiswa dilarang menunjukkan 'taring' sebaliknya hendaklah siap sedia akur dan jangan bersikap kritikal terhadap pentadbiran universiti, apatah lagi kerajaan BN.
4. KPT telah dan akan mengeluarkan perbelanjaan yang besar kepada HEP untuk menganjurkan kursus calon dan jentera Aspirasi Kerajaan sebagai persiapan PRK.
Sebaliknya calon bukan Aspirasi Kerajaan dianaktirikan dan tiada langsung bajet untuk kursus calon apatah lagi untuk jentera mereka. Jelas sekali mahasiswa telah diperbodohkan. Apakah permainan padang yang tidak sama rata ini adil dan 'gentleman'?
Sebenarnya setiap tahun, bajet ini dikeluarkan kepada TTNC dan Dekan HEP dalam bentuk wang tunai berjumlah ribuan ringgit. Oleh itu jangan hairan kalau calon Aspirasi Kerajaan berupaya memenangi banyak kerusi PRK kerana di belakang mereka adalah KPT, yang sepatutnya bertindak sebagai badan bebas menyelenggarakan PRK.
Seolah-olah bagaikan Yahudi yang menaja calon-calon presiden di Amareka Syarikat. Siapakah yang boleh memberi jaminan wang tunai yang berjumlah ribuan ini, tidak disalahgunakan oleh TTNC dan Dekan HEP? Saya cabar Canselor dan Naib Canselor menyiasat kenyataan ini.
5. KPT mengarahkan HEP supaya calon bukan Aspirasi Kerajaan tidak dibenarkan bertanding secara berkumpulan kerana ini akan membentuk kekuatan kepada mereka. Calon bukan Aspirasi hanya dibenarkan bertanding atas kapasiti individu. Begitulah "double standard" HEP kepadamahasiswa bukan Aspirasi Kerajaan.
Dalam masa sama, HEP secara terbuka membentuk dan menaja calon-calon Aspirasi secara kumpulan dengan mengadakan kursus calon dan jentera. Semua maklum, HEP adalah umpama Suruhanjaya Riliha raya (SPR) di kampus. Bayangkan HEP yang membuat peraturan pilihan raya tetapi merekalah juga yang menodai dan mencabuli peraturan tersebut!
Strategi terbaru KPT untuk meraih kemenangan calon-calon Aspirasi Kerajaan ini akanmengundang beberapa persoalan yang menambah kekalutan dan keresahan di kalangan media danmahasiswa di kampus.
Beberapa persoalan di bawah wajar dijawab KPT dan HEP demi menjamin maruah dan harga diri mahasiswa yang diinjak-injak ini dapat diperkasa dan dibela.
1. Mengapakah PRK tidak diadakan serentak pada tahun ini, sebaliknya dilanjutkan ke bulan Januari 2009? Umumnya, Akta Universiti dan Kolej Universiti jelas menyatakan, "Hendaklah jawatan Majlis Perwakilan Pelajar dipegang selama satu tahun sahaja."
Dalam kaedah tafsiran undang-undang perkataan "HENDAKLAH" membawa maksud mandatori. Tidak dapat tidak, tempoh perjawatan MPP dengan ini WAJIB berakhir apabila tempoh penggal merekacukup satu tahun.
Perkataan "HENDAKLAH" tidak boleh ditafsirkan secara bebas mengikut selera KPT. Tafsiran sebegini hanya boleh dimungkinkan sekiranya ada proviso yang membenarkan kelonggaran peruntukan tersebut dan pemanjangan tempoh MPP dengan memberi kuasa kepada Naib Canselor atau pihak lain untuk membuat demikian.
Namun di atas faktor kelompok sempit, KPT tetap ingin melanjutkan jawatan MPP melebihi setahun iaitu Januari 2009.
2. Mengapakah KPT takut dan bimbang sangat dengan liputan media dan perhatian masyarakat terhadap PRK dan kebangkitan mahasiswa? Sepatutnya KPT berbangga kerana mahasiswa menjadi perhatian dan tumpuan media dan rakyat.
Bukankah mahasiswa juga mempunyai hak untuk masyarakat mendengar suara mereka? Bukankah KPTjuga mahu mahasiswa mampu menjadi juru bicara ummah? Atau sebenarnya KPT hanya ingin melahirkan 'mahasiswa itik gembol-gembol' tukang angguk-angguk dan tukang geleng-geleng?
3. Apakah visi dan misi KPT sebenarnya dalam melahirkan mahasiswa yang berketrampilan dan mencapai tahap global? Apakah KPT merasakan polisi terbaru terutama melibatkan PRK ini bakal melahirkan mahasiswa yang mempunyai kemahiran insaniah seperti yang digembar-gemburkan selama ini?
Mahasiswa hari ini merasakan KPT tidak lebih hanya mempunyai visi dan misi untuk "menternak" dan memperbodohkan mahasiswa dengan idea-idea 'canggih' yang layak dilakukan Yahudi ke atas pemuda-pemuda.
4. Mengapakah KPT begitu merestui dan menggalakkan mahasiswa UiTM mengadakan demonstrasi bila Menteri Besar Selangor mencadangkan supaya sedikit kuota diberi kepada mahasiswa bukan bumiputera?
Ironinya, dalam masa sama KPT melarang mahasiswa lain mengadakan demonstrasidalam isu-isu yang lebih relevan.
Hakikatnya, KPT begitu arif berapakah jumlah sebenar mahasiswa bukan Bumiputera di USM dan di UPM. Ia bukan rahsia lagi. Tetapi KPT 'buat-buat pekak'. Peningkatan mahasiswa bukan Bumiputera di IPTA berkenaan tidak pula dikawal. Janganlah 'double stardard.' Kokoknya berdegar-degar tetapi ekor bergelumang najis!
5. Mengapa KPT begitu menekan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sedangkan mereka juga mempunyai hak dan pendirian untuk tidak menyokong calon Aspirasi Kerajaan?
Tentu kita masih ingat bagaimana pejabat MPP UIAM dikunci berbulan lamanya semata-mata kerana mereka tidak condong kepada Aspirasi Kerajaan. Berlaku adillah kepada semua mahasiswa. Janganlah peralatkan mahasiswa untuk kepentingan politik sempit KPT sahaja.
Senario buruk yang didedahkan ini wajar dihapuskan. Bayangkan apa akan terjadi kepada bakalpimpinan negara sekiranya KPT masih meneruskan polisi dan "strategi" yang bakal merosakkanpemikiran dan sikap anak bangsa mereka sendiri.
Cabaran masa depan negara dan era globalisasi yang semakin getir memerlukan anjakan pradigma oleh KPT sendiri. Janganlah membawa nilai 'politik kampungan' di menara gading.
Jika beginilah cara pentadbiran KPT, jangan terkejut mahasiswa sendiri akan bangkit bersama-sama Pakatan Rakyat untuk menumbangkan Kerajaan BN. Mungkin ini sahaja jalan keluar bagi mahasiswa untuk keluar dari kezaliman KPT.
Mahasiswa sudah sekian lama disakiti. Apakah yang paling sakit bagi seorang yang bergelar 'mahasiswa tulen' di menara gading? Tidak lain dan tidak bukan ialah DIPERBODOHKAN!
0 comments:
Post a Comment