Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Sunday, October 19, 2008

Hanya ‘Gred D’ untuk Pilihanraya Kampus UMT.

UDM, Kuala Nerus - ''Strategi makan diri'', itulah ringkasnya yang boleh disimpulkan untuk Pilihanraya Kampus (PRK) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang berlangsung pada hari Khamis, 16 Oktober lalu.

Dengan jumlah pelajar yang keluar mengundi tidak sampai 40% menunjukkan bahawa Hal Ehwal Pelajar (HEPA) gagal mendapat sokongan pelajar untuk keluar membuang undi.

PRK UMT sebenarnya adalah satu PRK yang gagal.

Walaupun siswa-siswi ‘diugut’ dengan pelbagai ugutan dan diancam dengan ancaman yang menggugat kedudukan mereka sebagai siswa-siswi, namun ‘tsunami politik’ turut berlaku pada PRK UMT.

Bantahan suara majoriti siswa UMT tidak ditunjukkan diatas kertas undi, namun dengan cara mereka memboikot PRK, dan tidak keluar untuk membuang undi.

HEPA hanya dapat ‘Gred D’. Itulah paling tinggi penilaian yang boleh kita berikan kepada pengurusan HEPA dan anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang diisytiharkan menang dalam PRK UMT.

HEPA dapat markah 40%, begitu juga MPP yang menang, hanyalah MPP yang hanya melepasi markah ‘LULUS’ sahaja.

Malah di sesetengah universiti lain di Malaysia umpamanya Universiti Malaya (UM), seseorang pelajar wajib mengulang subjek yang diambil, sekiranya ia mendapat gred D, kerana ia dianggap ‘GAGAL’.

Itulah realiti ‘akademik’ yang perlu diterima umum hasil dari PRK UMT yang dilaksanakan oleh pengurusan HEPA yang penuh kontroversi dan konspirasi.


Empat puluh peratus yang keluar mengundi bermakna anggota MPP yang terpilih bukanlah MPP yang popular tetapi mereka adalah MPP minoriti kerana mereka tidak dipilih oleh majoriti suara siswa-siswi UMT.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu turun ke bawah melakukan penyiasatan serta ‘bedah siasat’, sekiranya KPT benar-benar telus dan bertanggungjawab mahu melihat sasaran prestasi universiti Malaysia akan mencapai objektif yang digariskan menjelasng 2020.

Kegagalan KPT mengenalpasti punca-punca kelemahan HEPA dan menyelesaikannya mengikut ukuran pengurusan universiti taraf dunia, merupakan isyarat awal kepada kegagalan kerajaan dalam melahirkan ‘modal insan’ hasil produk universiti yang bertaraf universal serta kualiti graduan universiti tempatan tidak akan kemana.

Sampai bilakah siswa-siswi UMT akan diwakili oleh pemimpin yang hanya gred D?
Adakah tiada calon yang lebih baik sekurang-kurangnya gred C+ dan pentadbir HEPA yang lebih profesional?

Selagi HEPA bertindak bukan sebagai badan yang membimbing pelajar menghargai sebuah demokrasi yang memberikan kebebasan sebenarnya kepada siswa-siswi untuk menentukan halatuju PRK mereka sendiri, selagi itulah siswa-siswi hanya akan diwakili oleh kepimpinan kampus bertaraf ‘Gred D’

HEPA UMT bukan sahaja campurtangan dalam soal-soal teknikal PRK, tetapi HEPA sudah lama menggerakkan satu konspirasi yang berstrategi melakukan ‘pengklonan’ dan mencipta MPP ‘robotik’, yang bakal menuruti segala arahan HEPA tanpa sebarang bantahan.


Tindakan HEPA tidak memberikan kebebasan kepada mahasiswa itulah yang menyebabkan bantahan senyap yang berlaku (silent protest) samada timbul kerana tidak puas hati dengan tindakan HEPA yang menekan pelajar atau sudah bosan dengan HEPA yang ‘turut berpolitik’ dalam PRK.

HEPA dan anggota MPP yang terpilih mungkin sedang meraikan kemenangan mereka.

Mungkin berbangga dan merasa cukup berjaya kerana segala strategi dan konspirasi yang mereka rancang telah berjaya menyekat ‘aspirasi pelajar’ sekaligus melahir ‘pelajar pro-aspirasi’ HEPA.

Namun mereka mengkhianati Negara dengan melahirkan bakal-bakal graduan dan pemimpin masa depan yang terkonkong dan tidak dapat menyatakan kebebasan dalam membuat keputusan mereka.
Mereka akan menjadi Modal Insan yang hanya memperolehi Gred D!

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !