Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Sunday, October 26, 2008

Menyelongkar Sejarah..Menjadi Pedoman Buat Kita Semua


Kemenangan Pro Mahasiswa di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan penidakkan 2 per 3 majoriti Aspirasi di UPSI menunjukkan bahawa idealisme mahasiswa sudah kembali menghantui pihak Aspirasi. Angin perubahan semakin meyala-nyala di IPT yang akan kelihatan menerjah masuk ke kampus kita cintai ini.



Sebelum itu, sudah 5 tahun mahasiswa sepi daripada kemenangan pemimpin pro mahasiswa. Sebelum kita lupa, bolehlah kita lampirkan semula faktor-faktor kekalahan Pro Mahasiswa sejak 5 tahun lalu.

Sekitar 1998-2001, mahasiswa dan gerakan pelajar tumbuh segar semula ibarat cendawan yang baru tumbuh. Namun malangnya, kemunduran minat dan sikap mahasiswa berulang pada akhir 2002 disebabkan oleh gerakan dan langkah berterusan pihak kerajaan dengan kerjasama pentadbir universiti untuk mematikan idealisme. Berikut merupakan fakta kes yang boleh kita kongsi bersama :



Nafas baru gerakan pelajar



Penyingkiran Anwar Ibrahim pada September 1998 telah memulakan episod baru dunia gerakan mahasiswa ketika itu yang lesu berserta dengan menuanya Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) .

Tentangan terhadap akta drakonian ini yang mulanya sengit pada awal-awal pengenalannya telah membibit lemah sehinggalah mati sekitar akhir tahun 1980-an akibat tiada daya di kalangan kelompok progresif mahasiswa untuk mengerakkan kempen anti Auku.



Pada ketika yang sama kealpaan wujud di kalangan mahasiswa juga pensyarah, seiring memecut pantasnya pembangunan ekonomi negara sehingga zaman emas ekonomi negara 1995-1997.

Bermula dengan kebangkitan kelompok mahasiswa Islam pada tahun 96/97 dan dilonjakkan pula dengan krisis 98 sehingga tahun 2001 semua kampus kecuali Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah dimenangi oleh kelompok pro-mahasiswa dan pro-pembangkang yang bersatu.



Serentak dengan itu juga bangkit pertubuhan-pertubuhan bebas pelajar seperti Universiti Bangsar Utama (UBU), Dema, Gerakan Mahasiswa Lantang (GMLN) bersama kukuhnya kembali beberapa persatuan peringkat kebangsaan seperti Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis), Persatuan kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Kelab Rakan Islah Malaysia (Karisma).



Persatuan-persatuan terbabit bukan hanya aktif di kampus tetapi mula menyatakan sokongan dan pendirian dalam isu-isu semasa, termasuk bantahan terhadap penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA) masalah kemiskinan dan polisi negara yang pincang.

Perkembangan tersebut menimbulkan rasa gelisah pentadbiran BN-Umno di bawah Dr Mahathir. Sehingga lawatan Mahathir dan pimpinan negara ke universiti-universiti sering mendapat sambutan dingin dan kadangkala disambut dengan demonstrasi.



Lebih-lebih lagi dengan sikap penakut dan lembik pentadbiran universiti yang menapis soalan-soalan kepada pemimpin kerajaan yang hadir ke universiti.



Gertakan Auku dan peraturan universiti



Semenjak tahun 1999 hingga 2000 kerajaan telah mula mengertak mahasiswadengan mengenakan tindakan kepada beberapa pelajar yang terlibat dalam gerakan mahasiswa yang diistilahkan mereka sebagai “persatuan haram”.



Beberapa aktivis mahasiswa ketika itu seperti Yong Kai Peng, pengerusi Democracy Youth for Malaysia (DEMA) telah dikenakan tindakan denda RM 200, oleh mahkamah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) atas dakwaan menghantar memorandum bantahan terhadap keganasan polis kepada Ketua Hakim Negara.



Perkara malang turut menimpa Ahmad Zaki Yamani, Setiausaha Agung PKPIM (sekarang Exco Angkatan Muda Keadilan) yang telah dibuang oleh Institut Teknologi Mara (sekarang UiTM) atas kesalahan yang tidak bersebab. Namun dipercayai kesalahan yang dilakukan termasuklah menyertai demonstrasi dan menyebarkan risalah secara haram di kampus.



Namun begitu ketakutan yang cuba diwujudkan telah tenggelam dengan gelombang reformasi. Buktinya pada pilihan raya umum ke-10 pihak mahasiswa telah bergerak secara bebas ke seluruh negara untuk menyatakan manifesto mahasiswa mirip apa yang telah dibuat oleh gerakan mahasiswa tahun 1970-an.



Selepas daripada itu kelompok mahasiswa terus aktif menyertai demonstrasi-demonstrasi aman dalam pelbagai isu selain memperkukuh bantahan mereka kepada Auku.



Polis dan ISA



Pada tahun 2001, berlaku penangkapan terhadap 10 aktivis reformasi dan pemimpin parti KeADILan. Persatuan-persatuan mahasiswa sekali telah bangkit dan bersatu untuk mencapai deklarasi masjid negara di perhimpunan bantahan mahasiswa pada Julai 2001 dan menubuhkan Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI).



Seramai 7 orang telah ditahan dalam perhimpunan itu. Mereka terus digantung oleh universiti masing-masing sehingga sekarang walaupun telah dibebaskan mahkamah pada tahun 2005.

Tidak lama selepas itu berlaku pula kebakaran Dewan Tunku Canselor (DTC) Universiti Malaya (UM) yang menjadikan alasan kepada kerajaan untuk menahan Khairul Anuar Ahmad Zainudin (Jonah) dan Ahmad Fuad Ikhwan di bawah ISA.



Dalam tempoh penahan Jonah dan Fuad, lebih kurang dua minggu bertali arus disiarkan oleh media rus perdana yang mengkritik dan menuduh beberapa persatuan sebagai persatuan subversif dan haram.

Penahanan tersebut di samping mainan media arus perdana yang mengaitkan mereka sebagai pertubuhan haram telah memberikan impak yang kuat untuk menakutkan mahasiswa yang terlibat dalam persatuan mahasiswa sekali gus ibu-bapa mereka di kampung.



Pengenalan Akujanji dan pengawalan pilihan raya kampus



Bermula dari tahun 2002 juga Dr Mahathir meminta mahasiswa dan kakitangan unversiti menandatangai akujanji agar tidak menentang dan vokal terhadap kerajaan. Ada ugutan verbal yang dilepaskan di kampus-kampus yang menyebutkan mereka yang enggan menandatangi akujanji ini akan tidak layak untuk bergraduat.



Dengan akujanji ini kerajaan sebenarnya menujukan kepada pihak mahasiswa yang simpati kepada gerakan mahasiswa dan ibu-bapa yang bimbangkan pengajian anak mereka tersekat.

Apatah lagi sebaik menerima surat tawaran universiti dan pinjaman terdapat baris-baris ingatan kepada pelajar dan ibu-bapa yang mengugut pemberhentian pelajar - pelajar yang didapati terlibat dalam aktiviti 'menentang kerajaan.'



Pada tahun itu juga pihak universiti secara terang-terangan mulai menyempitkan proses pilihan raya di kampus melalui undang-undang 'sekolah tadika'.



Contohnya di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada ketika itu mereka mensyaratkan pelajar lelaki Islam hanya diboleh bergambar dengan songkok hitam dan tidak boleh berkopiah putih yang sering menjadi imej gerakan Islam di kampus.



Pada tahun yang sama ada universiti yang mensyaratkan itu poster calon dicetak dan sediakan oleh pihak universiti. Pernah pada tahun 2003 seorang mahasiswa di UPM yang telah menang nyaris digugurkan kemenangan kerana menggunakan gambar yang diambilnya sendiri di kedai dan tidak menggunakan gambar yang diambil oleh jurugambar universiti.



Dan pada tahun 2004 kesalahan yang sama telah menyebabkan seorang wakil pelajar yang menang pilihanraya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) digugurkan kemenanganya.



Di Universiti Kebangsaan Malaysia pula , ceramah dan pidato umum pelajar hanya boleh disampaikan melalui rakaman video, di samping kekangan masa berkempen yang disingkatkan kepada 3 hari berbanding 7 hari sebelum itu untuk semua universiti.



Manakala secara perlahan-lahan tahun demi tahun mula ditambah peraturan seperti kekangan CGPA, temuramah kepada calon, ujian ucapan awam dan bahasa Inggeris kepada calon yang ingin menyertai pilihan raya kampus.



Selain itu ugutan kepada penyokong dan mereka yang aktif seperti disingkirkan untuk dapat tinggal di kolej kediaman dan kesukaran berurusan dengan pentadbiran juga mula dijalankan oleh pihak universiti.

Undi dan kerja mereka yang dilihat tidak selari dengan aspirasi BN-Umno “dihadiahkan” risiko yang memeritkan kehidupan mereka sebagai mahasiswa.



Aturan dan kekangan peraturan pelik ini telah merudumkan aktiviti dan minat mahasiswa untuk terlibat dalam persatuan mahasiswa. Dan hasilnya pada pemilihan 2003/2004 pihak kerajaan telah mula menguasai hampir kesemua universiti kecuali UM dan UIA



TNC menjadi ketua memenangkan budak-budak Umno



Pada sesi 2004/2005 bersama juga perpindahan tampuk kekuasaan negara kepada Abdullah Ahmad Badawi bermulalah serangan secara brutal kepada kelompok pro mahasiswa dan pembangkang di kampus.



Banyak kejadian seperti pencerobohan, kekangan fizikal, kekacauan dan pengharaman persatuan dilakukan universiti-universiti awam, mengikut dari laporan yang dibuat oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) seramai lebih daripada 50 orang telah dikenakan tuduhan menyalahi Auku selepas dari pilihan raya kampus sesi 2004/2005.



Antara kesalahan yang dikenakan termasuklah membuat sidang akhbar, menulis di akhbar arus perdana dan menyertai perhimpunan menemui menteri di Parlimen untuk menuntut pilihan raya kampus yang bebas dan adil, menganjurkan pertemuan dengan pelajar tahun 1 dan membuat kajian tanpa kebenaran. Sebahagian kes-kes terbabit masih dalam perbicaraan.



Akhbar Siasah dan Suara Keadilan juga mendedahkan bagaimana penglibatan Kementerian Pengajian Tinggi, anggota exco pendidikan Pemuda dan Puteri Umno telah mengadakan mesyuarat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bersama Timbalan-Timbalan Naib Canselor (TNC) untuk memenangkan kelompok-kelompok penyokong Umno.



Terdapat juga kes mahasiswa pukul sebagaimana yang terkena kepada Zainulfakar di UM dan beberapa pencerobohan kepada bilik pelajar di UPM.



Ternyata dengan penglibatan secara terus TNC arahan kepada pegawai-pegawai Bahagian Hal Ehwal Mahasiswa dan pengetua-pengetua kolej khasnya tidak dapat dibantah lagi.



Bermakna seluruh pentadbiran kolej, dan Hal Ehwal Mahasiswa (HEM) digunakan untuk memenangkan kelompok aspirasi Umno.



Menurut rungutan dari pihak dalam kampus menyebutkan antara tindakan dan arahan lain yang diberikan termasuklah mengarahkan fellow-fellow kolej kediaman agar mengetuk dan membuat semakan sikap pelajar di kolej kediaman terhadap pilihan mereka.



Lanjutan itu pihak pengetua akan membuat pertemuan khusus dengan alasan program ramah mesra untuk mempengaruhi pelajar agar mengundi calon pilihan pentadbir yang juga membawakan aspirasi kerajaan BN-Umno.



Pembunuhan idealisme dan semangat universiti



Tindakan secara berperingkat ini sebenarnya telah membunuh secara perlahan-lahan sikap sensitif mahasiswa kepada masyarakat malahan dalam isu mereka sendiri.



Langkah pertama kerajaan yang menanggalkan isu luar dari perbualan dan perbincangan mahasiswa, telah menyebabkan mereka tidak peka dan tertinggal dengan perkembangan isu semasa.



Kemudianya, perlahan-lahan kekangan mula diwujudkan dalam isu mereka seperti Auku dan peraturan pilahanraya telah melengkapkan usaha merosakkan perkembangan sihat mahasiswa.



Langkah tersebut bukan sahaja menyenangkan kerajaan untuk bertindak sesuka hati seperti menaikan harga minyak dan gas, penswastaan ambulan dan polisi lain. Malahan ia menyebabkan kampus telah mati dan hilangnya budaya debat dan memberi pendapat di ladang ilmu yang subur seperti universiti.

Budaya mengampu dan samseng seperti kes pembulian di UPM baru-baru ini, pelajar dipukul oleh pentadbir pada tahun 2005 dan ugutan penutupan persatuan pelajar yang berdaftar menunjukkan universiti sudah semakin hampir menjadi sekolah tadika.

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !