Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Monday, October 20, 2008

Mahasiswa Masih Menanti Jawapan Khaleed Nordin


Kenyataan Datuk Seri Mohammad Khaleed Nordin, Menteri Pengajian Tinggi berkaitan tuntutan mahasiswa untuk pilihanraya kampus adil dan berdemokrasi masih dinanti-nantikan oleh mahasiswa sehingga hari ini.


Beliau yang merupakan menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal mahasiswa ini telah menyatakan jaminan untuk mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut pada hari ini (20 Oktober 2008) ketika ditemui oleh ahli Majlis Perwakilan Pelajar Pro Mahasiswa di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada 17 Oktober lalu.


Sebelum itu, kira-kira 200 mahasiswa terdiri daripada penuntut UKM, Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan beberapa Universiti sekitar lembah Klang telah berhimpun di hadapan Dewan Canselor Tun Abdul Razak UKM dan mula melaungkan “ Student Power” apabila Mohammad Khaled berjalan masuk ke dalam dewan untuk meninjau pameran Karnival Kerjaya Kebangsaan dari khemah pelancaran.


Suasana menjadi agak tegang apabila pengawal keselamatan UKM menghalang mereka daripada mara menghampiri menteri terbabit dan kelihatan beberapa pelajar dipukul dan ditolak oleh Pengawal tersebut.


Jurucakap Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM), Saudari Danaletchumi berkata bahawa pihak Kementrian Pengajian Tinggi (KPT) wajar mengumumkan segera kaedah penambahbaikan terhadap perjalan pilihanraya Kampus (PRK) yang sedang berlangsung di beberapa kampus sekarang dan juga yang akan berlangsung di kampus-kampus besar pada awal Januari tahun hadapan.


“ Kami mahukan jawapan dan bukannya sikap berdolak-dalik pihak kementrian dalam isu demokrasi pelajar ini yang jelas bahawa telah berlaku penyelewengan sejak 5 tahun yang lalu”.


“ Di UKM sendiri, wujudnya penggunaan nombor siri pada kertas undi serta halangan calon dan agen calon untuk memasuki pusat penjumlahan undi merupakan salah satu penipuan daripada berbelas lagi penipuan yang wujud semasa PRK pada tahun lalu,” dakwanya.


Katanya, Menteri Pengajian Tinggi perlu sedar bahawa hak mahasiswa tidak boleh dihalang dan perhimpunan di UKM itu bukanlah yang terakhir buat mahasiswa sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi dan sekali lagi dibakul sampahkan oleh pihak bertanggungjawab.


“ Salahkah kami sekiranya ingin menuntut perjalanan sistem pilihanraya yang adil dan berdemokrasi kerana tuntutan kami bukannya untuk memalukan Universiti, tetapi lebih kepada proses inginkan sistem demokrasi tulen dijalankan di kampus kami,” tegasnya.


“ Kita perlu sedar bahawa penggunaan sistem pengundian e-voting adalah tidak relevan kerana dalam pilihanraya umum, sistem pengundian secara manual dijalankan dan mengapa mahasiswa disuruh melaksanakan sistem pengundian secara computer,’’ persoalnya dalam satu kenyataan kepada gm-ukm.blogspot.com.


Menurut Setiausaha Kerja GMUKM, Hishamuddin Abdullah pula menyatakan bahawa jawapan Datuk Mohammad Khaled Nordin bahawa sesetengah Universiti masih belum mengadakan pilihan raya kerana bertembung dengan tarikh peperiksaan adalah satu alasan yang wajar ditolak sama sekali.


“ Persoalan di sini ialah mengapakah Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) yang akan menduduki peperiksaan pada 4 November ini, tarikh sama dengan UKM telah dibenarkan mengadakan pilihanraya pada 17 Oktober lalu yang menang dengan disapu bersih oleh Aspirasi,” katanya.


“ Jawapannya adalah kerana pihak Kementrian dan golongan tertentu takut kekalahan anak emas mereka, Aspirasi di kampus-kampus besar yang terletak di Lembah Klang ini dan juga ingin mengelakkan kerancakkan persidangan UMNO yang sedang berlangsung sekarang terjejas,” ujarnya.


Menurut Hishamuddin lagi, beliau menyatakan kekesalan atas faktor politik sempit kepartian, mahasiswa diperlakukan sesuka hati oleh pihak pentadbiran yang menafikan kebebasan mereka dalam sistem demokrasi.


“ Pihak Kementrian perlu sedar bahawa sekiranya kaki dan tangan mahasiswa terus dipasung dan digari, ia akan memberi kesan negatif kepada kerajaan pada kacamata masyarakat dan mereka juga perlu tahu bahawa masyarakat sentiasa duduk di belakang mahasiswa apabila mahasiswa ditindas serta dizalimi”, katanya.


Menurut beliau, GMUKM menyelar kenyataan pihak tertentu yang menyatakan mahasiswa yang terlibat dengan gerakan mahasiswa dan juga PRK, merupakan mahasiswa yang malas belajar dan sering mendapat keputusan ‘cukup makan’.


“ Kami di peringkat GMUKM menafikan sekeras-kerasnya kenyataan tidak berasas ini kerana untuk rekod, terdapat ahli GMUKM yang mendapat Anugerah Pelajaran Diraja dan sehingga kini, terdapat ramai ahli yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif 3.00 ke atas dan ia termasuklah calon yang ditawarkan oleh GMUKM kepada mahasiswa dalam PRK yang lepas,” tegasnya.


Perhimpunan 17 Oktober itu telah berjaya menarik perhatian media dan mendapat liputan meluas di dada-dada akhbar pada keesokan harinya. Dengan memakai baju berwarna hitam sebagai lambang kegelapan demokrasi kampus dan membawa sekuntum bunga putih sebagai lambang harapan mensucikan kekotoran itu, perhimpunan 17 Oktober telah berjaya membuka mata ramai pihak yang selama ini menganggap suara mahasiswa diibaratkan seperti anjing yang menyalak bukit, suara yang sia-sia dan tidak perlu didengari oleh pihak tertentu terutamnya pihak KPT.

2 comments:

TULIS ONLINE said...

Salam...

Teruskan penantian... Mungkin dia sibuk kut hari nie, so mungkin dia akan umum esok atau lusa... Dia kan banyak kerja, so mungkin dia terlepas pandang atau terlupa... Tapi saya rasa dia akan umum perkara yang tidak sedap didengar...

Bentuklah politik kampus dengan acuan sendiri tanpa menyuluh atau didorong oleh politik luar...

Untuk pengetahuan semua, satu kenyataan yang saya tahu dari dulu hingga sekarang, terdapat calon2 yang jadi calon atas tiket aspirasi sebenarnya bukan penyokong UMNO pun. Ada beberapa org exco PMUKM skrg yang bertanding atas tiket aspirasi sebenarnya anti UMNO...

Saya ada bukti sbb saya kenal sangat dgn org2 itu... Jadi janganlah terlalu melabelkan org2 aspirasi tu sbg org UMNO... Tak semua tapi mmg ada... GMUKM pun boleh kalau nak dilabelkan pro-Pakatan Rakyat... Saya ada bukti... Tetapi saya tahu ada jugak yg betul2 bukan sokong PR tapi dia sokong GMUKM sbb GMUKM membela mahasiswa... Ini pun saya ada bukti...

Selamat berkempen yer...

mieyna said...

universiti di sekitar lembah klang merupakan kerusi hangat bagi PRK kali ini. Ini merupakan medan perjuangan mahasiswa yang lantang dalam menuntut keadilan dalam sistem PRK. maka persiapkanlah diri kalian dalam mengharungi perjuangan menuntut hak mahasiswa.

student power!!!

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !