Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Sunday, March 8, 2009

PERUTUSAN MAULIDURRASUL OLEH MPP FAKULTI PENDIDIKAN

12 Rabiulawal bakal menjelang tidak lama lagi. Tarikh tersebut membawa makna yang cukup besar kerana lahirnya seorang Nabi yang membawa syafaat kepada seluruh umat Islam. Kelahiran baginda disambut dengan begitu gembira termasuklah bapa saudara baginda, Abu Lahab. Beliau telah membebaskan hambanya, Thuwayba semasa kelahiran Nabi Muhammad S.A.W walaupun kemudiannya beliau kuat menentang dan memusuhi baginda kerana membawa ajaran Islam yang syumul.



Setiap tahun sambutan Maulidur Rasul diadakan di Negara kita tidak kira di peringkat sekolah, universiti, daerah, negeri, mahupun kebangsaan. Sambutan tersebut bertujuan untuk mengingati perjuangan dan pengorbanan baginda dalam menyebarkan Islam. Pelbagai bentuk program dianjurkan sempena menyambut Hari Keputeraan baginda seperti perarakan, syarahan, pertandingan, penyampaian anugerah dan sebagainya dalam usaha untuk meningkatkan penghayatan terhadap perjuangan Rasulullah.



Walaubagaimanapun, masih terdapat segelintir umat Islam yang tidak ambil peduli tentang kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, bahkan begitu gembira meraikan konsert-konsert hiburan yang melalaikan. Tatkala baginda hampir wafat, kata-kata "ummati" (umatku) meniti di bibirnya, sebaliknya kita sebagai umatnya langsung tidak mengingati baginda apatah lagi menjadikan baginda sebagai idola di samping mengamalkan sunnah baginda. Kebanyakan manusia akhir zaman ini lebih suka mengagungkan artis dan sering menurut hawa nafsu yang cintakan dunia melebihi segalanya. Senario ini membuatkan banyak jiwa-jiwa manusia yang rosak sehingga menyebabkan mereka mudah terjerumus ke lembah kehinaan.



Janganlah kita menjadikan sambutan Maulidur Rasul sebagai adat semata-mata tanpa menghayati sirah perjuangan baginda. Kita perlulah sentiasa bersyukur akan kelahiran Nabi Muhammad S.A.W yang telah membimbing umat manusia keluar daripada kegelapan. Semoga kita sentiasa bersama Allah dan Rasulullah, dijauhkan daripada sifat keji dan mungkar serta ditiupkan semangat perjuangan baginda dalam menegakkan Islam di muka bumi Allah yang bersifat sementara ini.



“Sesungguhnya Allah dan para Malaikat berselawat ke atas Nabi, wahai orang-orang beriman! Berselawatlah kamu dan berilah salam ke atas baginda”. Siapakah kita pada pandangan Allah dan Rasul sekiranya kita tidak berselawat ke atas baginda? Renung-renungkanlah...Justeru itu kami barisan mpp mahasiswa menyeru kepada seluruh warga kampus agar sama-sama kita menghayati pengajaran disebalik hari kebesaran ini.Semoga kita semua diberkati oleh ALLAH yang esa dan menjadi umat MUHAMMAD yang berkualiti.


‘Selamat Menyambut Maulidur Rasul’.


Oleh Saudara Affandi Abdul Rahman

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !