Isu perlembagaan (constitiuonal crisis) di Perak semakin menghampiri kemuncaknya. Sebelum ini, jarang orang bercakap soal kuasa Speaker. Namun ekoran tindakan berani Speaker Dun Perak, V Sivakumar yang juga merupakan seorang peguam menggantungkan Menteri Besar Barisan Nasional, Dato’ Dr Zambry Abdul Kadir dan 6 anggota exconya daripada menghadiri persidangan DUN, telah menghangatkan lagi krisis di Perak. Juga dengan tindakan beliau memanggil sidang tergempar pada esok hari, (3 Mac 2009), yang akan memberikan satu lagi berita yang mengejutkan. Yang akan menyebabkan berlakunya pilihanraya kecil di seluruh Perak. Untuk isu ini, kita ikuti pandangan beberapa pimpinan Gabungan Mahasiswa berkaitan senario melibatkan kuasa Speaker ini.
“ Speaker mempunyai kuasa khas (special power) serta kekebalan speaker (Immunity of the Speaker) yang tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah kerana Speaker merupakan orang paling berkuasa dalam persidangan Dewan Undangan Negeri dan ia telah termaktub dalam Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan serta Enakmen Sidang Perundangan (Hak-hak Keistimewaan) 1959. Tindakan Sivakumar adalah mengikut lunas-lunas undang-undang serta demokrasi dan sekiranya pintu Dewan Undangan Negeri dikunci sekalipun esok (3 Mac), persidangan DUN tersebut boleh diadakan dimana-mana sahaja di Perak hatta di bawah pokok sekalipun dan ini sudah diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak” – Hishamuddin Abdullah, Pengerusi GMUKM.
“ Sidang tergempar dewan adalah amat wajar diadakan dan ianya tidak bercanggah dengan Undang-Undang Tubuh dan perintah-perintah Tetap Perak dan Speaker mempunyai kuasa untuk memanggil sidang tergempar , ianya berada dalam ruang lingkup bidang kuasa Speaker dan cara terbaik untuk selesaikan konflik Perak ialah membubarkan Dewan Undangan Negeri itu sendiri.” - Affandi Abdul Rahman, Pengerusi MAMPU merangkap Jurucakap GMUKM.
“ Saya bersetuju dengan Sidang DUN tergempar tersebut berdasarkan peruntukan Undang-Undang yang telah diberikan kepada Speaker sepertimana termaktub dalam Undang-Undang Perak” – Hilman Ahmad Idham, Pengerusi KAMI merangkap Jurucakap GMUKM.
“ Sebenarnya isu di Perak amat menyentuh peribadi saya sebagai orang Perak dan saya lihat isu ini hanya boleh diselesaikan apabila rakyat kembali diberi peluang melalui pilihanraya kecil di seluruh Perak untuk memilih pemimpin mereka dan Sidang DUN tergempar ini adalah satu langkah yang terbaik. Saya ingin nasihatkan kepada pemimpin-pemimpin politik agar mengutamakan hak rakyat dan janganlah parti-parti bercakaran, rakyat di bawah terus tersepit dan dihalang hak asasi mereka” – Chris Loh Wei, wakil Bebas mahasiswa.
“ Sidang DUN tergempar ini perlu untuk membincangkan kembali permasalahan yang timbul di negeri Perak dan saya amat bersetuju agar diadakan Sidang tergempar ini kerana ia akan mengembalikan hak rakyat Perak serta dapat mengelakkan wujudnya politik kotor lompat parti. Saya juga bimbang sekiranya mainan politik pihak tertentu atas berselindung di sebalik institusi raja akan terus menyebabkan negeri Perak bertambah huru-hara dan sebagai mahasiswa yang perlu lantang bersuara dan bersifat idealisme, mereka sepatutnya mendesak agar Sidang Dun ini diadakan untuk mengembalikan kembali sistem demokrasi di Perak” - Ammar Ishak, Pengerusi Gerakan Mahasiswa Lantang Negara (GMLN) merangkap jurucakap GMUKM.
0 comments:
Post a Comment