Siri-siri pilihan raya kampus dalam tempoh 2003 hingga 2009 telah dijadikan sebagai satu medan pencabulan amanah semua Naib Cancelor(NC), Timbalan Naib Cancelor(TNC), pegawai dan pencacai Hal Ehwal Pelajar(HEP) di seluruh IPTA di Malaysia.
Kerajaan BN dengan sewenang-wenangnya mengarahkan seluruh 'puppet' (baca:barua) IPTA untuk mengugut mahasiswa yang tidak menyokong kerajaan diambil tindakan tatatertib di bawah Auku (akta drakonian) sekiranya mereka dilihat membantu pihak pembangkang sepanjang proses pilihan raya berlangsung.
Pemerkosaan di Institusi Pengajian Tinggi Awam bukanlah satu perkara yang baru. Jawatan-jawatan seperti NC, TNC, Pengarah HEP, dekan-dekan fakulti, pengetua-pengetua kolej termasuklah Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) adalah posisi-posisi strategik untuk dikudakan oleh Umno.
Ini tidak termasuk sebahagian posisi di bahagian unit tatatertib dan divisi kewangan universiti yang mungkin juga digunapakai oleh Umno untuk memuaskan serakah mereka.
Jelasnya, proksi-proksi Umno di kampus Malaysia ini seolah-olah merasakan mereka ini tidak dipertanggungjawabkan dengan akta universiti mahupun Auku sendiri. Kelab UMNO luar Negara bebas dianggotai mahasiswa yang menimbulkan kebencian Malaysia dalam Negara. Juga AJK untuk biro kelab UMNO ini, dianggotai oleh pensyarah, mentan TNC, TNC dan juga pengetua-pengetua kolej (termasuk UKM) yang tanpa segan silunya, mendambakan diri dalam politik kepartian tersebut.
Sebagai contoh, bagaimanakah biro Pemuda Umno boleh mempengerusikan mesyuarat bersama dengan semua TNC secara berkala di sekitar hotel-hotel Lembah Klang?
Apakah nilai intelektual seorang TNC apabila diarahkan oleh seorang balaci Umno untuk menjayakan agenda imperialis Umno di kampus? Apakah pula kelayakan pegawai-pegawai HEP di kampus untuk mengkoordinasikan badan-badan pelajar sedangkan mereka tidak pernah bergiat aktif dengan kegiatan sosial sewaktu di kampus?
Dan lebih teruk lagi, mereka ini pula yang menganggotai Jentera Mahasiswa Aspirasi untuk pilihan raya kampus saban tahun?
Ini hanyalah di antara modus operasional pihak tertinggi universiti untuk mendoktrin (mempengaruhi pemikiran) mahasiswa supaya hanya mengundi Umno atau BN dan lupakan yang lain. Ini juga adalah strategi saraf mereka untuk menanamkan budaya mahasiswa 'angguk' kepada kerajaan dan lebih kronik lagi apabila mereka telah berjaya 'memandulkan' Gerakan Mahasiswa di kampus dengan ajaran ‘fear & abolish!’
Optimisnya saya secara peribadi berpendapat bahawa reformasi penstrukturan keseluruhan tapak karat Umno di Malaysia mampu dibersihkan menjelang tahun 2020.
Teori ini cuba digagaskan apabila kita menyedari walaupun hampir kesemua kerusi MPP IPTA di Malaysia ini di’kata’kan adalah milik Aspirasi-BN (69 %), namun kualiti dan kontribusi yang dibuat oleh mereka tidak layak untuk dibanggakan.
Secara kasarnya, kerusi-kerusi MPP pada sesi kali ini hanya 2% sahaja milik balaci Umno dan selebihnya adalah mahasiswa tajaan Umno yang hanya ingin terlibat untuk menyumbang sesuatu kepada universiti dan untuk kemaslahatan masa depan diri sendiri. Segelintir kecil itu pula tidak mempunyai pemahaman dan idealisme yang jelas untuk membawa agenda Umno di kampus.
Maka, HEP akan memainkan peranan untuk menyusun almanac/taqwim dan agenda tahunan MPP tersebut dan golongan 2% ini pulalah yang hanya tahu melaksanakan.
MPP Aspirasi ini pula terlalu bermegah dengan kedudukan mereka sehingga terlupa untuk mencabut sticker-sticker Pemuda Umno di kereta, bilik malah di almari mereka juga.
Mungkin sebab terlalu sibuk dengan perancangan peribadi, bermesyuarat bersama GPMS dan KPT dan mungkin juga disebabkan ‘lawatan-lawatan percutian’ di Beijing, Mesir dan Australia. Sudah pastinya, peruntukan untuk ‘lawatan sambil belajar’ ini menggunakan duit universiti atau suntikan dana dari KPT.
Program-program anjuran MPP dan Jawatankuasa Kolej Kediaman juga sering kali dijalinkan kerjasama dengan logo Umno atau dengan menjemput pemimpin-pemimpin Umno peringkat kawasan (terbaru, puteri UMNO terlibat dalam progam di Dato’ Onn) sebagai ahli panel ataupun speaker program.
Rentetan daripada itu, untuk menguatkan lagi penyuburan doktrinisasi Umno di kampus, mereka akan menggunakan sepenuhnya program Haluan Siswa atau orientasi mahasiswa baru sebagai platform awal memperkenalkan figura-figura proksi Umno di kampus.
Tidak dilupakan, program wajib hadir Biro Tata Negara(BTN) yang juga dipergunakan sepenuhnya untuk meracuni dan mencandu minda bersih mahasiswa supaya bencikan pembangkang, bencikan front mahasiswa yang menuntut kebenaran dan keadilan dan bencikan juga pemimpin-pemimpin mahasiswa yang tidak menyokong kerajaan serta dikatakan berhaluan kiri.
Tetapi, yang janggalnya mereka langsung tidak mampu menunjukkan model kepimpinan yang karismatik, beridealisme, berjiwa rakyat, bermoral tinggi dan sebaliknya.
Justeru, jika mahasiswa inilah yang akan menjadi aspirasi harapan perjuangan Umno untuk meneruskan survival mereka menjelang tahun 2020, maka bersiap sedialah untuk menunggu saat kejatuhannya. Peluang ini sepatutnya digunakan seoptimum mungkin oleh mahasiswa yang seringkali dilabelkan dengan pro-pembangkang.
Walaupun diugut, diheret ke mahkamah universiti, dikenakan community services, digantung dan dibuang pengajian, dicemuh dan lain-lain namun terus komited dengan arus perjuangan. Hanya mereka yang mampu mendepani cabaran inilah yang boleh dinobatkan sebagai ‘dream team’ untuk berkhidmat kepada rakyat, untuk agama dan negara.
Sekali lagi ditegaskan, jika kerajaan atau KPT sering kali memanipulasi perlembagaan dengan berkonsepkan ‘law of the jungle’ dan mempergunakan mahasiswa hanya untuk kepentingan politik sempit mereka maka ia tidak merugikan golongan mahasiswa yang dilabel pro pembangkang tetapi sebaliknya ia merugikan Umno dan kerajaan sendiri.
0 comments:
Post a Comment